Pelan Tindakan KL20 Sasar Capai Penilaian Pemula Niaga RM400 Bilion Menjelang 2030

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) — Pelan Tindakan KL20, yang dilancarkan hari ini disasar menjana tambahan RM400 bilion dalam penilaian pemula niaga menjelang 2030.

Menurut dokumen pelan tindakan itu yang didapatkan di laman sesawang rasmi Sidang Kemuncak KL20 2024, pemula niaga Malaysia juga disasar mencapai tambahan RM750 juta dalam pelaburan modal teroka tahunan menjelang 2030. 

Selain itu, Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan tambahan 3,000 pemula niaga aktif yang menyediakan lebih 100,000 pekerjaan berkemahuran tinggi.

Terdahulu hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Pelan Tindakan KL20 bersempena dengan penganjuran sulung Sidang Kemuncak KL20 2024.

Pelan tindakan itu ialah pelan hala tuju komprehensif yang menggariskan pembaharuan penting untuk mencapai penyatuan dalam kalangan pemegang kepentingan utama — pengasas, pemodal teroka, tenaga kerja, inkubator dan pemecut — untuk melonjakkan sektor teknologi permulaan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

Di bawah pelan tindakan itu, Malaysia menyasar menawarkan kepada komuniti pemula niaga pasaran meluas yang boleh dijangkaui, pembiayaan di semua peringkat, akses kepada tenaga kerja semua peringkat dan persekitaran perniagaan yang lancar.

Sementara itu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli semasa ucapannya pada sidang kemuncak itu, berkata Pelan Tindakan KL20 menggariskan inisiatif baharu untuk mempercepat bidang kritikal ekosistem pemula niaga: modal, tenaga kerja dan kualiti pemula niaga.

Tujuannya adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi modal peringkat awal dan pertumbuhan, hab untuk usahawan bertaraf dunia dan tenaga kerja mahir, dan menjadi medan tumpuan bagi syarikat pemula niaga utama dunia yang ingin memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka.  

Menurutnya, antara inisiatif lain pelan itu termasuk VC Golden Pass, Innovation Pass, Unicorn Golden Pass, Graphics Processing Unit (GPU) Scheme, Innovation Belt dan Single Window.

Sidang kemuncak dua hari itu yang bermula hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur diterajui oleh Kementerian Ekonomi dan dihadiri lebih 3,000 peserta, termasuk pelabur antarabangsa dan syarikat pemula niaga.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

GEAR-uP: KWAP labur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melabur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical Holdings Sdn Bhd, pembekal sehenti dan pemilik jenama nutraseutikal di Malaysia, bagi membangunkan ekosistem pasaran persendirian negara menerusi Dana Pemacu.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam Laporan Kemajuan GEAR-uP yang dikeluarkan hari ini berkata, pelaburan itu dilaksanakan menerusi pengurus dana tempatan Mekar Capital dan pengurus dana global Navis Capital.

Menurut laporan itu, pelaburan berkenaan membuktikan modal institusi mampu memajukan sektor kesihatan bernilai tinggi menerusi inovasi nutraseutikal, pengkomersialan produk serta pembangunan jenama premium.

KWAP turut menyokong pertumbuhan ekonomi menerusi pelaburan bersama sebanyak RM210 juta dalam Fasa 1 bagi pembangunan 9,000 katil.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pembangunan yang lebih luas untuk menyediakan 28,800 katil menerusi empat projek, dengan jumlah nilai pembangunan kasar kira-kira RM600 juta,” menurut laporan itu.

MOF berkata, pelaburan berkenaan bertujuan mewujudkan persekitaran kediaman lebih baik kepada golongan yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.

Laporan itu turut memaklumkan pencapaian setakat Jun 2026 bagi inisiatif Dana Impak Khazanah Nasional Bhd.

Sebanyak 32 syarikat peringkat pertengahan disokong di bawah Mid-Tier Companies Growth Innovation Programme, manakala 21 lagi menerima sokongan menerusi Program ELEVATE 2.0.

Sementara itu, MOF berkata syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memainkan peranan penting sebagai pelabur asas dan pelabur utama strategik dalam penyenaraian berkualiti di Bursa Malaysia.

Langkah itu melengkapkan konsep larian berganti apabila modal yang dipulangkan kepada pelabur modal teroka dan ekuiti swasta boleh dilaburkan semula dalam generasi baharu firma peringkat awal.

Pendekatan berkenaan membolehkan lebih banyak syarikat berkembang secara berperingkat sehingga mencapai tahap sesuai untuk disenaraikan.

Menurut laporan itu, aliran penyenaraian yang berterusan penting bagi mencapai sasaran Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 untuk meningkatkan permodalan pasaran kepada antara RM5.8 trilion hingga RM6.3 trilion menjelang 2030.

Sokongan kukuh pelabur institusi turut menjadi antara faktor penting bagi memastikan aliran berkenaan kekal mampan.

MOF berkata, GLIC mengurus secara aktif portfolio merangkumi 37 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan sasaran pulangan tahunan 7.5 peratus bagi tempoh 2024 hingga 2028.

Portfolio berkenaan berpotensi menjana nilai sehingga RM100 bilion.

Prestasi pada 2025 melepasi sasaran apabila mencatat pulangan pemegang saham sebanyak 8.0 peratus.

“Memandangkan GLC mewakili kira-kira 27 peratus daripada permodalan Pasaran Utama Bursa Malaysia, keuntungan ini disalurkan semula kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, KWAP, Permodalan Nasional Bhd dan Tabung Haji untuk meningkatkan simpanan persaraan rakyat Malaysia,” menurut MOF.

Menurut laporan itu, GLIC memacu penjanaan nilai portfolio menerusi tiga pendekatan utama, iaitu menyediakan laluan keluar bagi kitaran modal, memperkukuh kredibiliti untuk pasaran lebih luas serta membina asas pemilik jangka panjang yang stabil.