CGS MY Dijenamakan Semula, Sasar Raih Hasil Lebih RM300 Juta Menjelang 2027

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) — CGS International Securities Malaysia (CGS MY), kini dijenamakan semula sebagai CGS International Securities Malaysia, menampilkan penawaran baharu serta  menyasarkan untuk meraih hasil sebanyak RM300 juta menjelang 2027.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif  Alan Inn Wei Loon berkata penyedia perkhidmatan kewangan terintegrasi itu memperoleh pendapatan sebanyak RM250 juta pada 2023.

“Sumber pendapatan kami kini agak pelbagai iaitu daripada pembiayaan, produk berstruktur, dan akan datang daripada perbankan pelaburan atau kewangan korporat.

“Sasaran kami untuk Kadar Pertumbuhan Tahunan Terkumpul (CAGR) adalah sekitar 15 peratus hingga 20 peratus untuk tiga hingga lima tahun akan datang,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran semula jenama CGS MY pada hari ini.

Penjenamaan semula itu adalah rentetan daripada pengambilalihan 100 peratus kepentingan dalam CGS-CIMB Securities (Malaysia) oleh China Galaxy Securities (CGS) pada 29 Disember 2023.

Pengambilalihan itu dijangka meningkatkan rangkaian CGS International Securities Pte Ltd (CGS International) di China dan ASEAN, khususnya di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand, serta menyediakan CGS MY hubungan yang lebih baik dengan pelanggan serantau dan peluang pelaburan.

Alan Inn berkata CGS MY ialah penyumbang kedua terbesar dari segi hasil kepada kumpulan CGS International di rantau ini dan juga nombor satu dari segi kedudukan pasaran di Bursa Malaysia.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Azizah Mohd Yatim berkata berikutan penjenamaan semula itu, CGS MY dalam perancangan untuk mengembangkan perniagaan ekuiti persendirian dan modal terokanya.

“Dengan memanfaatkan keupayaan seluruh kumpulan, kami akan dapat mengubah CGS MY menjadi pemain yang hebat dalam sektor perkhidmatan kewangan yang berdaya saing tinggi.

“Pada masa yang sama, kami giat berusaha untuk memanfaatkan keupayaan digital kami bagi mendemokrasikan akses kepada produk pelaburan, terutamanya untuk segmen pelanggan runcit,” katanya.

CGS MY mempunyai lebih 15 juta pelanggan di seluruh dunia.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Pemulihan Harga Yang Sementara

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO meneruskan lantunan teknikalnya untuk sesi kedua pada hari Selasa apabila menaik MYR23 untuk ditutup pada paras MYR4,496. Komoditi ini membuka sesi dagangan pada harga MYR4,461. Pada awalnya, ia jatuh kepada paras terendah bernilai MYR4,445 sebelum sentimen menaik membawanya lebih tinggi kepada paras MYR4,510. Walaupun penutupan dagangan positif, pergerakan menaik ini hanyalah dianggap sebagai satu koreksi harga dalam trend pasaran yang menurun. Komoditi ini terus berada di bawah garisan SMA 50 hari yang sekarang berperanan sebagai rintangan overhed yang dinamik.

Apabila harga menaik, paras rintangan kuat dijangka muncul pada paras MYR4,700. Berdasarkan pasaran teknikal ini, mereka yang menjangkakan penurunan harga masih mempunyai kelebihan teknikal. FCPO mungkin menyambung semula koreksi harga sebaik sahaja ia gagal menembusi paras rintangan overhed yang dinamik itu – garisan SMA 50 hari. Buat masa sekarang, kami bertindak mengekalkan bias dagangan negatif.

Kami menyarankan para pedagang untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei atau MYR4,481. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi kekal kukuh pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama ialah MYR4,390, yang diikuti oleh paras MYR4,300. Sementara itu, paras rintangan pertama kini berada pada MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi bernilai MYR4,840.