9 Sebab Kenapa Kita Digalakkan Menulis Wasiat?

Mengurus dan merancang harta adalah sangat digalakkan di dalam Islam. Diriwayatkan daripada Abdullah Bin Umar : Rasulullah S.A.W bersabda:

“Bukanlah seorang Muslim yang sebenar yang mempunyai harta untuk diwasiatkan untuk tidur dua malam kecuali wasiatnya sudah tertulis dan disimpan di bawah kepala”

Roslina Sabiyah merupakan seorang Peguam Syarie yang mempunyai pengkhususan dalam bidang perunding keluarga dan harta pusaka, akan menerangkan dengan lebih lanjut mengenai kepentingan menulis wasiat,

 

Kenapa Kita Digalakkan Menulis Wasiat?

Tujuannya adalah untuk memudahkan waris-waris kita menguruskan harta pusaka selepas kematian kita nanti. Biasanya isi kandungan yang penting dalam dokumen wasiat ialah:

1) Kata-kata berbentuk nasihat, amanat dan pesanan yang baik kepada isteri/suami, anak-anak dan ahli keluarga yang lain.

2) Senarai nama isteri/suami, anak-anak dan ahli keluarga yang boleh mewarisi. Ini penting untuk memudahkan wasi melaksanakan wasiat kepada sesiapa yang berhak. Kalau suami ada 3 orang isteri, senaraikan lah semua walaupun isteri pertama baru dapat tau saat wasiat tu dibacakan. Inilah gunanya tulis wasiat. Isteri pertama pun tak boleh nak marah dah sebab suami pun dah meninggal.

3) Senaraikan semua hutang piutang  yang kita ada. Ingat, hutang wajib dibayar. Walaupun ada hutang kat kedai runcit dlm buku 555 pun kena tulis juga. Tak tenang roh kita nanti kalau hutang tak selesai. Dah selesai hutang kalau ada baki baru boleh laksanakan wasiat yang seterusnya.

4) Barulah nyatakan hasrat nak bagi harta kat orang yang kita sayang tapi ingat ye, yang bukan waris sahaja. Sebagai contoh, nak bagi kat anak angkat atau nak bagi kat adik-beradik. Adik-beradik bukanlah waris kalau si mati ada anak lelaki. Contoh je. Anda kena kenalpasti dulu siapa waris-waris anda.

5) Kalau nak bagi untuk tujuan kebajikan lagi digalakkan tapi pastikan jumlah pemberian kepada bukan waris dan untuk tujuan kebajikan tu mestilah tak lebih dari 1/3 daripada jumlah keseluruhan harta.

6) Masukkan juga nama orang yang nak dilantik sebagai Wasi atau Pentadbir. Kalau nak lantik Pemegang Amanah atau Penjaga untuk anak-anak di bawah umur pun boleh ditulis sekali.

7) Pewasiat juga boleh masukkan sekali peruntukan kos untuk melaksanakan wasiat dan larangannya supaya tidak menggunakan hartanya bagi tujuan yang tidak bermanfaat kepada dirinya dan waris-waris yang ditinggalkan.

8) Dokumen Wasiat mesti ditandantangani oleh Pewasiat dan disaksikan oleh 2 orang saksi yang berkelayakan. Ini bagi mengelakkan pertikaian kesahihan dokumen Wasiat selepas kematian Pewasiat. Tapi jika ada pertikaian dari segi pelanggaran rukun sah wasiat, pihak yang tak berpuashati boleh merujuk wasiat tersebut ke Mahkamah Syariah.

9) Selepas selesai semua yang di atas barulah boleh bahagi-bahagikan baki lagi 2/3 harta kepada waris-waris yg layak mengikut bahagian masing-masing yang telah ditetapkan mengikut hukum faraid.

Sebenarnya samada kena buat wasiat atau hibah, keperluan setiap orang tak sama. Situasi dan keadaan yg berbeza memerlukan jalan penyelesaian yang berbeza. Yang penting, buatlah sesuatu dengan ilmu dan maklumat yang betul bukan sekadar ikut-ikutan. Dapatkan penjelasan dari yang pakar.

Sumber: Roslina Sabiyah & Co 

Sumber: Syed Mohd Muhaimin

Terkejut tak dengan keratan akhbar di atas?  RM60 bilion harta orang mati dibeku, berpunca daripada sikap waris yang menganggap proses memohon pembahagian harta pusaka lambat, mahal dan menyusahkan.

Rasanya kalau kesedaran mengenai kepentingan penulisan wasiat ni, takkan sampai RM60 bilion kot.

Previous ArticleNext Article
An introverted chocoholic whom happened to be involved in content curation and stock trading

1 Comment

  1. Setuju dengan poin di atas. Saya juga kena pesan kawan-kawan supaya usahakan buat wasiat daripada ibubapa sementara mereka masih hidup dan sihat.

    Kalau tukar nama atas geran tanah, proses makan masa. Benda ni lebih baik buat awal2. Jangan sampai mereka dah tiada baru nak. Susah nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

KWSP Suami Meninggal: Boleh Isteri Tuntut Sebagai Harta Sepencarian?

Selama ini, apabila seorang suami meninggal dunia, ramai mungkin menganggap wang KWSP yang ditinggalkan akan terus menjadi harta pusaka dan dibahagikan kepada waris mengikut faraid.

Namun, perkembangan hukum dan keputusan Mahkamah Syariah menunjukkan perkara ini sebenarnya lebih kompleks.

Pada September 2025, Muzakarah Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-128 memutuskan bahawa tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP oleh ahli beragama Islam adalah diharuskan, tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan Mahkamah Syariah.

Keputusan ini membawa satu implikasi penting kepada pasangan yang berkahwin.

Wang KWSP tidak semestinya keseluruhannya menjadi harta pusaka untuk difaraidkan.

Sekiranya Mahkamah Syariah memutuskan sebahagian wang tersebut merupakan hak harta sepencarian pasangan, bahagian itu akan diberikan kepada pasangan terlebih dahulu. Bahagian yang diperintahkan sebagai harta sepencarian tersebut pula tidak dikira sebagai harta pusaka pencarum dan tidak tertakluk kepada pembahagian faraid.

Tetapi sebenarnya, isu ini bukan bermula pada 2025

Menariknya, beberapa negeri sudah mempunyai perkembangan berkaitan isu ini sebelum keputusan Muzakarah Kebangsaan tersebut.

Kelantan: kes KWSP sebagai harta sepencarian sejak 2000-an

Antara kes yang sering dirujuk ialah Norhayati binti Yusoff lwn Ahmad Shah bin Ahmad Tabrani, yang diputuskan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kes tersebut, wang KWSP suami menjadi antara aset yang dituntut sebagai harta sepencarian.

Mahkamah mengiktiraf konsep sumbangan tidak langsung isteri. Walaupun isteri mungkin tidak membuat caruman KWSP secara langsung, sumbangan kepada rumah tangga boleh menjadi faktor dalam menentukan hak harta sepencarian.

Ini penting kerana ia menunjukkan bahawa persoalan harta sepencarian bukan semata-mata tentang siapa yang memasukkan duit ke dalam akaun.

Sumbangan pasangan kepada rumah tangga juga boleh mempunyai nilai dari sudut undang-undang Syariah.

Selangor pula mempunyai pendirian yang jelas

Dalam panduan Jabatan Mufti Selangor pada 2020 berkaitan wang KWSP selepas kematian suami, dinyatakan bahawa isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian sepanjang tempoh perkahwinan dengan arwah suami sebelum lebihan harta tersebut dibahagikan mengikut faraid.

Kemudian pada 2023, Selangor mempunyai fatwa khusus berkaitan harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan. Rujuk Fatwa Tentang Harta Sepencarian Selepas Kematian Salah Satu Pihak Dalam Perkahwinan Di Negeri Selangor.

Ini menunjukkan konsep tuntutan harta sepencarian selepas kematian bukan sesuatu yang hanya muncul selepas keputusan MKI pada 2025.

Johor: daripada pendirian lama kepada pendekatan baharu

Pendirian terdahulu di Johor menyatakan wang KWSP pencarum yang meninggal dunia merupakan harta pusaka dan tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Fatwa Johor yang lebih lama, dikeluarkan pada 2013, menyatakan:

“Apabila pencarum KWSP meninggal, wang KWSP ialah harta pusaka dan perlu difaraidkan; ia tidak boleh dijadikan harta sepencarian.

Namun, selepas keputusan MKI 2025, Johor mengambil pendekatan baharu yang membenarkan tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP bagi ahli beragama Islam yang layak, tertakluk kepada keputusan Mahkamah Syariah. Rujuk Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor.

Perubahan ini menunjukkan bagaimana pendirian berkaitan KWSP dan harta sepencarian boleh berkembang mengikut keputusan hukum dan kerangka undang-undang semasa.

NegeriKedudukan yang ditemuiTahun / status
KelantanAda kes Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan tuntutan terhadap KWSP sebagai harta sepencarian; turut ada fatwa berkaitan tuntutan harta sepencarian selepas kematianKes 2006; Fatwa Negeri 2002
SelangorSecara rasmi mengiktiraf bahawa selepas kematian salah satu pihak, pasangan boleh menuntut harta sepencarian. Soal jawab Mufti Selangor juga secara jelas menyebut isteri boleh menuntut harta sepencarian terhadap KWSP arwah sebelum baki difaraidkanFatwa 2023; panduan 2020
JohorDahulu berpendirian sebaliknya: KWSP ialah harta pusaka dan tidak boleh dijadikan harta sepencarian. Tetapi pada 2026, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengeluarkan keputusan baharu yang membenarkan tuntutan KWSP sebagai harta sepencarian, selaras dengan MKI 20252013 → berubah 2026
SarawakPernah memutuskan wang caruman KWSP tidak boleh dianggap harta sepencarian, sebaliknya harta pusaka yang difaraidkanKeputusan terdahulu

Jadi, apa maksudnya kepada pasangan?

Kita ambil contoh mudah.

Katakan seorang suami meninggal dunia dan meninggalkan RM500,000 dalam KWSP.

Isteri membuat tuntutan harta sepencarian.

Jika Mahkamah Syariah selepas mempertimbangkan tuntutan tersebut memutuskan bahawa RM150,000 adalah hak harta sepencarian isteri, maka RM150,000 itu bukan lagi sebahagian daripada harta pusaka suami untuk difaraidkan.

Baki RM350,000 pula barulah menjadi sebahagian daripada harta pusaka, tertakluk kepada proses pengurusan pusaka dan pembahagian mengikut faraid.

Jadi bukan bermaksud:

“Isteri automatik dapat separuh KWSP.”

Tidak.

Yang betul ialah:

“Isteri yang layak boleh membuat tuntutan, dan jumlah yang menjadi harta sepencarian bergantung kepada keputusan Mahkamah Syariah.”

Kenapa perkara ini penting untuk perancangan pusaka?

Sebab ramai orang melihat KWSP hanya daripada sudut simpanan persaraan.

Tetapi apabila berlaku kematian, ia menjadi sebahagian daripada proses pengurusan harta si mati.

Dalam konteks pasangan Islam, terdapat beberapa perkara yang perlu dibezakan:

Pertama, harta sepencarian.

Ini ialah tuntutan pasangan terhadap harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan, tertakluk kepada undang-undang dan keputusan Mahkamah Syariah.

Kedua, harta pusaka.

Selepas hak-hak yang berkaitan seperti harta sepencarian ditentukan, baki harta si mati boleh menjadi harta pusaka.

Ketiga, faraid.

Baki harta pusaka kemudiannya dibahagikan kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.

Sebab itu seseorang tidak boleh terus melihat angka KWSP dan berkata:

“Ini semua akan difaraidkan.”

Ia bergantung kepada keadaan dan, bagi tuntutan harta sepencarian, keputusan Mahkamah Syariah.

Namun, jangan salah faham

Keputusan MKI 2025 bukan bermaksud setiap isteri automatik mendapat sebahagian daripada KWSP suami.

Ia hanya membuka ruang bahawa tuntutan tersebut diharuskan.

Tuntutan masih perlu dibuat dan dipertimbangkan oleh Mahkamah Syariah.

Jumlahnya juga tidak semestinya 50:50.

Mahkamah boleh melihat kepada pelbagai faktor dan bukti berkaitan sumbangan pasangan serta keadaan harta yang dituntut.

Satu lagi perkara penting ialah status keputusan hukum tersebut di setiap negeri. Keputusan Muzakarah MKI perlu dilihat bersama peruntukan dan proses undang-undang Syariah negeri masing-masing.

Daripada “siapa dapat KWSP?” kepada “apa hak setiap pihak?”

Ini sebenarnya perubahan cara kita melihat perancangan pusaka.

Bila seorang suami meninggal dunia, persoalannya bukan semata-mata:

“Berapa banyak isteri dapat?”

Tetapi:

“Apakah hak isteri sebagai pasangan? Apakah yang menjadi harta sepencarian? Apakah yang benar-benar menjadi harta pusaka? Dan siapa yang berhak menerima baki tersebut melalui faraid?”

Perbezaan ini nampak kecil, tetapi dari sudut nilai harta, ia boleh menjadi sangat besar.

Lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai simpanan KWSP jutaan ringgit.

Maka, bagi pasangan yang beragama Islam, memahami kedudukan harta sepencarian dan faraid semasa masih hidup jauh lebih baik daripada cuba memahami semuanya selepas berlaku kematian.

KWSP bukan sekadar soal berapa banyak kita berjaya kumpul. Kita juga perlu tahu bagaimana wang itu akan diurus apabila kita sudah tiada.

Penafian: Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan nasihat undang-undang, fatwa atau nasihat kewangan. Kedudukan harta sepencarian, tuntutan wang KWSP dan proses pembahagian harta pusaka boleh berbeza mengikut negeri, fakta kes dan keputusan Mahkamah Syariah. Pembaca disarankan mendapatkan nasihat daripada peguam syarie, pihak berkuasa agama negeri atau pihak yang berkelayakan sebelum membuat sebarang tuntutan atau keputusan berkaitan harta pusaka.