Mentaliti Jadikan Rumah Sebagai Pelaburan Jejas Kemampuan Pemilikan

KUALA LUMPUR: Rumah yang semakin dilihat sebagai instrumen pelaburan oleh sesetengah masyarakat berbanding tempat perlindungan menimbulkan cabaran baharu terhadap kemampuan pemilikan kediaman, khususnya dalam keadaan kos sara hidup dan kos pembiayaan yang terus meningkat.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ketua Ekonomi Negara IPP Wealth Managers Ltd, Mohd Sedek Jantan, berkata perubahan corak pemikiran itu menyebabkan isu kemampuan pemilikan rumah tidak lagi boleh dinilai berdasarkan harga semata-mata kerana ia turut dipengaruhi faktor kewangan, kos sara hidup dan kadar faedah.

Beliau berkata, rumah yang pada asalnya berfungsi sebagai tempat berteduh kini semakin dianggap sebagai aset pelaburan, sekali gus memberi kesan kepada tahap kemampuan pemilikan, khususnya apabila kos pembiayaan meningkat.

“Dahulu rumah dilihat sebagai tempat berteduh, tetapi sekarang pembelian rumah banyak dikaitkan dengan pelaburan dan pengumpulan aset. Ini boleh menjadi isu kerana ia sentiasa dikaitkan dengan kewangan. Perumahan mampu milik kini mungkin mampu dimiliki, tetapi apabila kadar faedah meningkat kelak, ia menjadi masalah kepada sesetengah kumpulan.

“Jadi, definisi mampu milik perlu ditakrif semula. Ia bukan hanya tanggungjawab kerajaan, tetapi semua pihak berkepentingan dan pemain pasaran perlu bekerjasama untuk menyediakan perumahan mampu milik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi forum Perumahan Mampu Milik dan Pasaran Kediaman: Permintaan dan Penawaran pada Sidang Kemuncak Binaan & Hartanah Malaysia 2026 (MBPS 2026) baru-baru ini.

Forum itu turut menampilkan Pengarah Penyelidikan Khazanah Research Institute (KRI), Dr Suraya Ismail; Pengarah Urusan Kumpulan CBRE | WTW, Tan Ka Leong; Pengarah Penyelidikan dan Perundingan Rahim & Co International Sdn Bhd, Sr Sulaiman Akhmady Mohd Saheh; serta Ketua Pegawai Eksekutif Olive Tree Property Consultants, Dr Samuel Tan.

Tambah Mohd Sedek, kemampuan pemilikan rumah juga perlu dilihat dari sudut kos tersembunyi yang ditanggung isi rumah seperti penjagaan anak, penyelenggaraan kediaman dan perbelanjaan perjalanan harian ke tempat kerja.

Menurutnya, ramai keluarga muda kini terpaksa membeli atau menyewa rumah jauh dari pusat bandar kerana tidak mampu memiliki kediaman berhampiran lokasi pekerjaan, sekali gus menambah kos dan masa perjalanan harian.

Sementara itu, Tan berkata, kecenderungan melihat rumah sebagai aset pelaburan turut mempengaruhi corak pembangunan hartanah apabila pemaju lebih cenderung membina projek berketumpatan tinggi dan apartmen servis bagi memaksimumkan nilai tanah.

“Bagaimanapun, permintaan sebenar pasaran lebih tertumpu kepada rumah mampu milik berharga bawah RM300,000 yang terletak berhampiran pusat pekerjaan serta mempunyai akses pengangkutan yang baik.

“Ketidaksepadanan antara produk yang dibangunkan dengan keperluan sebenar pembeli menjadi antara punca utama berlakunya lambakan unit tidak terjual dalam pasaran,” katanya.

Ia juga berikutan berdasarkan data yang dibentangkan Rahim & Co menunjukkan jumlah kediaman siap tidak terjual ataupun ‘overhang’ meningkat kepada 54,795 unit pada suku pertama 2026 dengan nilai RM34.12 bilion, berbanding 43,533 unit bernilai RM30.72 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Sulaiman pula berkata, keadaan itu menunjukkan masalah pasaran bukan semata-mata berpunca daripada harga rumah yang tinggi, sebaliknya turut membabitkan ketidaksesuaian produk, lokasi dan kehendak pembeli.

“Ramai pembeli masih mahukan rumah atas tanah walaupun ditawarkan unit apartmen pada harga yang lebih rendah,” katanya.

Beliau turut menjelaskan sebahagian besar kediaman siap tidak terjual sebenarnya terdiri daripada unit berharga bawah RM300,000, sekali gus mencabar tanggapan bahawa masalah lambakan hanya membabitkan hartanah mewah.

Sementara itu, Ka Leong berkata, sebanyak 21,384 unit kediaman berharga bawah RM400,000 direkodkan dalam kategori tidak terjual setakat suku pertama 2026, menunjukkan rumah yang dianggap mampu milik juga berdepan masalah permintaan yang lemah. 

Beliau berkata, trend itu mencerminkan jurang yang semakin melebar antara harga rumah yang ditawarkan dengan kemampuan sebenar isi rumah untuk memiliki kediaman. 

“Isu kemampuan pemilikan rumah kini semakin bersifat setempat dan tidak boleh lagi dilihat sebagai cabaran yang sama di seluruh negara. Bekalan rumah mampu milik perlu diselaraskan dengan kuasa beli sebenar penduduk di setiap kawasan,” katanya. 

— Berita Harian

Previous ArticleNext Article

OIB Lancar Gardens Idaman, Memperkukuh Portfolio Perumahan Mampu Milik Mampan Di Selangor

Rawang, 17 Ogos 2026: Oriental Interest Berhad (OIB) hari ini mengumumkan pelancaran rasmi Myra Idaman, sebuah pembangunan perumahan mampu milik terbaharunya di bawah program Rumah Idaman, yang dipasarkan dengan nama Gardens Idaman. Pelancaran ini memperluas lagi portfolio perumahan mampu milik OIB di Selangor, dengan Gardens Idaman menjadi pembangunan terbaharu Kumpulan di bawah program Rumah Idaman.

Meliputi kawasan seluas 11.226 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM163.8 juta,
Gardens Idaman akan menawarkan 616 unit pangsapuri separa berperabot dengan harga bermula daripada RM250,000 hingga RM270,000. Setiap unit turut dilengkapi dengan dua ruang letak kereta.

Pembangunan berstatus pajakan ini dijangka siap pada tahun 2030 dan direka sebagai komuniti berpagar dan berpengawal untuk pembeli rumah pertama serta keluarga yang mencari kediaman yang lebih luas dan selesa.

Setiap unit berkeluasan 1,002 kaki persegi mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua ruang letak kereta, serta dilengkapi secara separa berperabot dengan almari pakaian, penghawa dingin, pemanas air, kabinet dapur, peti sejuk, televisyen dan kabinet TV.

Para penghuni juga akan menikmati Central Park yang menampilkan trek joging, gimnasium luar, taman permainan kanak-kanak, gelanggang futsal dan pickleball, selain kemudahan lain seperti dewan serbaguna, tadika serta surau.

William Lew, Pengurus Besar Unit Perniagaan Essential Myra, bahagian hartanah kediaman OIB, berkata program Rumah Idaman Selangor memainkan peranan penting dalam memperluaskan akses kepada perumahan mampu milik berkualiti di seluruh negeri.

“Program Rumah Idaman telah menjadi penanda aras penting dalam menjadikan pemilikan rumah berkualiti lebih mudah dicapai oleh pembeli rumah pertama.

“Sebagai salah satu pemaju yang menyertai program ini, peranan kami bukan sekadar membangunkan kediaman yang memenuhi keperluan program, tetapi juga sentiasa mencari peluang untuk mewujudkan nilai tambah kepada pemilik rumah serta komuniti yang bakal didiami mereka,” katanya

Pelancaran ini turut memperluas portfolio perumahan mampu milik OIB, dengan Gardens Idaman dan pembangunan akan datang, Saujana Idaman di Dengkil, masing-masing menerima pensijilan Provisional GreenRE Bronze, mengiktiraf komitmen projek-projek tersebut terhadap amalan pembangunan yang mampan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

GreenRE merupakan skim pensijilan bangunan hijau Malaysia yang ditubuhkan oleh
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), bagi mengiktiraf pembangunan yang
memenuhi penanda aras kelestarian merangkumi aspek seperti kecekapan tenaga, kecekapan air, perlindungan alam sekitar serta kualiti persekitaran dalaman.

Walaupun aspek kelestarian semakin diberi perhatian dalam sektor hartanah Malaysia, penerapan piawaian GreenRE dalam pembangunan perumahan mampu milik masih belum meluas.

Ini menunjukkan masih terdapat ruang untuk memperluaskan penerapan reka bentuk mampan dalam pembangunan perumahan mampu milik, agar manfaat kelestarian dapat dinikmati oleh lebih ramai pemilik rumah.

Lew menambah bahawa walaupun pensijilan GreenRE bukan merupakan keperluan di bawah program Rumah Idaman, OIB percaya aspek kelestarian wajar diterapkan dalam pembangunan perumahan mampu milik dan tidak seharusnya terhad kepada pembangunan bertaraf premium.

“Sering kali wujud persepsi bahawa kelestarian hanya sesuai untuk pembangunan berharga tinggi. Namun, kami percaya perumahan mampu milik juga boleh menerapkan elemen kelestarian tanpa menjejaskan kemampuan milik, terutamanya apabila aspek ini dipertimbangkan sejak peringkat awal reka bentuk.

“Pensijilan Provisional GreenRE Bronze yang diterima oleh Gardens Idaman dan Saujana Idaman menunjukkan bahawa kelestarian dan kemampuan milik boleh bergerak seiring. Pencapaian ini turut mencerminkan usaha kami untuk menerapkan pendekatan pembangunan yang lebih mampan dalam projek perumahan mampu milik,” jelasnya.

Gardens Idaman menggabungkan pelbagai ciri reka bentuk mampan termasuk reka bentuk luaran bangunan bagi mengurangkan penyerapan haba, kelengkapan kecekapan air 100%, penggunaan bahan binaan rendah karbon, sistem acuan aluminium boleh guna semula, sistem lif cekap tenaga, cat rendah penyerapan sebatian organik (VOC) serta pengoptimuman pencahayaan semula jadi.

Secara keseluruhannya, langkah-langkah ini dijangka meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dan air, memperbaiki kualiti persekitaran dalaman serta mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih selesa untuk para penghuni.

Berdasarkan penilaian GreenRE, Gardens Idaman dijangka mencapai penjimatan tenaga kira-kira 30.61% berbanding dengan garis dasar GreenRE, serta mengurangkan pelepasan karbon operasi yang dianggarkan sebanyak 337 tan karbon dioksida setara (CO₂e) setiap tahun.

Terletak di salah satu koridor pertumbuhan utama Selangor, Gardens Idaman menawarkan hubungan strategik ke Rawang, Sungai Buloh, Kwasa Damansara, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Koridor Guthrie serta Lebuhraya Utara-Selatan (NSE).

Pembangunan ini turut menawarkan akses mudah ke sekolah, kemudahan penjagaan kesihatan dan rekreasi serta pusat komersial berhampiran.

Gardens Idaman merupakan projek terbaharu dalam portfolio Rumah Idaman OIB, selepas kejayaan pelancaran Putra Idaman di Desa Pinggiran Putra pada tahun 2024.

Dengan Saujana Idaman dijadualkan untuk dilancarkan pada suku ketiga 2026, OIB akan terus mengembangkan portfolio perumahan mampu miliknya di Selangor, selaras dengan aspirasi perumahan negeri. Untuk maklumat lanjut mengenai Gardens Idaman, layari https://www.myra.com.my/myra-homes/gardensidaman