Bank Lebih Berhati-Hati, Kelulusan Pinjaman Perumahan Menurun

KUALA LUMPUR: Nilai kelulusan pinjaman bagi pembelian hartanah di Malaysia menyusut kepada RM24 bilion pada Mei 2026, mencerminkan cabaran yang semakin ketara dihadapi pembeli rumah apabila institusi kewangan mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam meluluskan pembiayaan.

Berdasarkan nota penyelidikan MBSB Research, nilai kelulusan pinjaman itu merosot 10.7 peratus berbanding bulan sebelumnya, sejajar dengan penyusutan jumlah permohonan pembiayaan yang diterima dalam tempoh sama.

Bagi asas tahunan, kelulusan pinjaman bagi pembelian hartanah turut merekodkan penurunan 8.1 peratus, sekali gus menunjukkan momentum pembiayaan perumahan masih perlahan.

Penganalisis MBSB Research, Jessica Low Jze Tieng, berkata kelembapan itu sebahagian besarnya berpunca daripada penurunan nisbah kelulusan pinjaman apabila bank memperketat proses penilaian kredit terhadap pemohon.

Beliau berkata, nisbah kelulusan pinjaman susut kepada 42.6 peratus pada Mei 2026 berbanding 46.5 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.

“Secara keseluruhannya, pinjaman yang diluluskan lebih rendah sebahagiannya disebabkan nisbah kelulusan yang menurun memandangkan pihak bank kini lebih ketat dalam meluluskan pinjaman,” katanya.

Walaupun berdepan proses pembiayaan yang lebih mencabar, sentimen pembelian hartanah secara keseluruhannya masih kekal stabil, namun jangkaan terhadap pasaran dilihat semakin sederhana.

Jumlah permohonan pinjaman bagi pembelian hartanah menurun kepada RM56.5 bilion pada Mei 2026, susut 10.1 peratus berbanding bulan sebelumnya selepas mencatat pertumbuhan kukuh pada April.

Menurut MBSB Research, penyusutan permohonan secara bulanan itu berkemungkinan dipengaruhi faktor cuti umum dan cuti persekolahan sepanjang Mei.

Bagaimanapun, secara kumulatif, jumlah permohonan pinjaman bagi lima bulan pertama tahun ini masih meningkat 1.4 peratus kepada RM263 bilion, sekali gus menunjukkan minat terhadap pembelian hartanah masih berada pada tahap yang sihat.

Dari sudut makroekonomi, prospek sektor hartanah dijangka berdepan tekanan sederhana berikutan peningkatan kos sara hidup yang didorong kos elektrik lebih tinggi, turun naik harga bahan api dan peningkatan kos logistik.

“Walaupun impaknya masih terkawal setakat ini, faktor-faktor ini boleh membawa kepada perbelanjaan yang lebih berhati-hati oleh isi rumah pada masa hadapan,” jelas Jze Tieng.

Keadaan itu dijangka menyebabkan bakal pembeli mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam menilai kemampuan kewangan sebelum membuat komitmen pembelian hartanah untuk jangka panjang.

Sehubungan itu, MBSB Research mengekalkan saranan ‘Neutral’ terhadap sektor hartanah berikutan jangkaan pergerakan pasaran yang lebih sederhana dalam tempoh akan datang.

Menurut firma penyelidikan itu, penilaian sektor hartanah ketika ini berada sedikit melebihi purata sejarah, sekali gus mengehadkan potensi peningkatan nilai dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun, prestasi saham syarikat hartanah kekal mengatasi pasaran apabila Indeks Hartanah Kuala Lumpur meningkat 4.5 peratus pada separuh pertama 2026 berbanding kerugian marginal 1 peratus yang dicatatkan FBM KLCI bagi tempoh sama.

Prestasi itu dipacu antaranya lonjakan 91.2 peratus saham MKH Bhd susulan Tawaran Am Mandatori oleh Batu Kawan Bhd, manakala GuocoLand Malaysia Bhd meningkat 86.3 peratus selepas proses penswastaan dimulakan oleh pemegang saham pengawalnya, GLL (Malaysia) Pte Ltd.

Dalam persekitaran pasaran yang lebih mencabar, segmen rumah mampu milik dijangka terus menjadi pemacu utama kepada prestasi syarikat pemaju.

MBSB Research turut mengekalkan Mah Sing Group Bhd, Matrix Concepts Holdings Bhd dan IOI Properties Group Bhd sebagai saham pilihan utama sektor itu, disokong kekuatan strategi pembangunan, pengewangan aset serta tumpuan terhadap projek perumahan mampu milik.

— Berita Harian

Previous ArticleNext Article

OIB Lancar Gardens Idaman, Memperkukuh Portfolio Perumahan Mampu Milik Mampan Di Selangor

Rawang, 17 Ogos 2026: Oriental Interest Berhad (OIB) hari ini mengumumkan pelancaran rasmi Myra Idaman, sebuah pembangunan perumahan mampu milik terbaharunya di bawah program Rumah Idaman, yang dipasarkan dengan nama Gardens Idaman. Pelancaran ini memperluas lagi portfolio perumahan mampu milik OIB di Selangor, dengan Gardens Idaman menjadi pembangunan terbaharu Kumpulan di bawah program Rumah Idaman.

Meliputi kawasan seluas 11.226 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM163.8 juta,
Gardens Idaman akan menawarkan 616 unit pangsapuri separa berperabot dengan harga bermula daripada RM250,000 hingga RM270,000. Setiap unit turut dilengkapi dengan dua ruang letak kereta.

Pembangunan berstatus pajakan ini dijangka siap pada tahun 2030 dan direka sebagai komuniti berpagar dan berpengawal untuk pembeli rumah pertama serta keluarga yang mencari kediaman yang lebih luas dan selesa.

Setiap unit berkeluasan 1,002 kaki persegi mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua ruang letak kereta, serta dilengkapi secara separa berperabot dengan almari pakaian, penghawa dingin, pemanas air, kabinet dapur, peti sejuk, televisyen dan kabinet TV.

Para penghuni juga akan menikmati Central Park yang menampilkan trek joging, gimnasium luar, taman permainan kanak-kanak, gelanggang futsal dan pickleball, selain kemudahan lain seperti dewan serbaguna, tadika serta surau.

William Lew, Pengurus Besar Unit Perniagaan Essential Myra, bahagian hartanah kediaman OIB, berkata program Rumah Idaman Selangor memainkan peranan penting dalam memperluaskan akses kepada perumahan mampu milik berkualiti di seluruh negeri.

“Program Rumah Idaman telah menjadi penanda aras penting dalam menjadikan pemilikan rumah berkualiti lebih mudah dicapai oleh pembeli rumah pertama.

“Sebagai salah satu pemaju yang menyertai program ini, peranan kami bukan sekadar membangunkan kediaman yang memenuhi keperluan program, tetapi juga sentiasa mencari peluang untuk mewujudkan nilai tambah kepada pemilik rumah serta komuniti yang bakal didiami mereka,” katanya

Pelancaran ini turut memperluas portfolio perumahan mampu milik OIB, dengan Gardens Idaman dan pembangunan akan datang, Saujana Idaman di Dengkil, masing-masing menerima pensijilan Provisional GreenRE Bronze, mengiktiraf komitmen projek-projek tersebut terhadap amalan pembangunan yang mampan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

GreenRE merupakan skim pensijilan bangunan hijau Malaysia yang ditubuhkan oleh
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), bagi mengiktiraf pembangunan yang
memenuhi penanda aras kelestarian merangkumi aspek seperti kecekapan tenaga, kecekapan air, perlindungan alam sekitar serta kualiti persekitaran dalaman.

Walaupun aspek kelestarian semakin diberi perhatian dalam sektor hartanah Malaysia, penerapan piawaian GreenRE dalam pembangunan perumahan mampu milik masih belum meluas.

Ini menunjukkan masih terdapat ruang untuk memperluaskan penerapan reka bentuk mampan dalam pembangunan perumahan mampu milik, agar manfaat kelestarian dapat dinikmati oleh lebih ramai pemilik rumah.

Lew menambah bahawa walaupun pensijilan GreenRE bukan merupakan keperluan di bawah program Rumah Idaman, OIB percaya aspek kelestarian wajar diterapkan dalam pembangunan perumahan mampu milik dan tidak seharusnya terhad kepada pembangunan bertaraf premium.

“Sering kali wujud persepsi bahawa kelestarian hanya sesuai untuk pembangunan berharga tinggi. Namun, kami percaya perumahan mampu milik juga boleh menerapkan elemen kelestarian tanpa menjejaskan kemampuan milik, terutamanya apabila aspek ini dipertimbangkan sejak peringkat awal reka bentuk.

“Pensijilan Provisional GreenRE Bronze yang diterima oleh Gardens Idaman dan Saujana Idaman menunjukkan bahawa kelestarian dan kemampuan milik boleh bergerak seiring. Pencapaian ini turut mencerminkan usaha kami untuk menerapkan pendekatan pembangunan yang lebih mampan dalam projek perumahan mampu milik,” jelasnya.

Gardens Idaman menggabungkan pelbagai ciri reka bentuk mampan termasuk reka bentuk luaran bangunan bagi mengurangkan penyerapan haba, kelengkapan kecekapan air 100%, penggunaan bahan binaan rendah karbon, sistem acuan aluminium boleh guna semula, sistem lif cekap tenaga, cat rendah penyerapan sebatian organik (VOC) serta pengoptimuman pencahayaan semula jadi.

Secara keseluruhannya, langkah-langkah ini dijangka meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dan air, memperbaiki kualiti persekitaran dalaman serta mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih selesa untuk para penghuni.

Berdasarkan penilaian GreenRE, Gardens Idaman dijangka mencapai penjimatan tenaga kira-kira 30.61% berbanding dengan garis dasar GreenRE, serta mengurangkan pelepasan karbon operasi yang dianggarkan sebanyak 337 tan karbon dioksida setara (CO₂e) setiap tahun.

Terletak di salah satu koridor pertumbuhan utama Selangor, Gardens Idaman menawarkan hubungan strategik ke Rawang, Sungai Buloh, Kwasa Damansara, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Koridor Guthrie serta Lebuhraya Utara-Selatan (NSE).

Pembangunan ini turut menawarkan akses mudah ke sekolah, kemudahan penjagaan kesihatan dan rekreasi serta pusat komersial berhampiran.

Gardens Idaman merupakan projek terbaharu dalam portfolio Rumah Idaman OIB, selepas kejayaan pelancaran Putra Idaman di Desa Pinggiran Putra pada tahun 2024.

Dengan Saujana Idaman dijadualkan untuk dilancarkan pada suku ketiga 2026, OIB akan terus mengembangkan portfolio perumahan mampu miliknya di Selangor, selaras dengan aspirasi perumahan negeri. Untuk maklumat lanjut mengenai Gardens Idaman, layari https://www.myra.com.my/myra-homes/gardensidaman