Tutorial Melabur Unit Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) Guna Maybank2u

Ramai yang tidak melibatkan diri dalam pelaburan hartanah kerana kekurangan deposit. Zaman sekarang rumah yang paling murah mungkin RM400,000. Jangan cakap nak beli rumah untuk pelaburan, nak beli rumah untuk duduk sendiri pun belum tentu mampu.

Tapi mesti anda pernah dengar tentang AHB kan? Tahukah anda, AHB dapat membantu untuk melabur dalam hartanah dengan modal yang sangat rendah.

Apa itu AHB?

Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) merupakan dana unit amanah (unit trust) patuh syariah yang melabur dalam hartanah komersil yang kebanyakannya terletak di Lembah Klang.

Konsep AHB adalah sama seperti pelaburan ASB, di mana harga seunit adalah tetap pada harga RM1. Apa yang membezakannya adalah, AHB ini merupakan sepenuhnya pelaburan hartanah.

AHB ini pula ditubuhkan oleh Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan diuruskan oleh Maybank Asset Management Sdn Bhd. Manakala Pemegang Amanah bagi AHB adalah AmanahRaya Trustees Berhad.

Minimum Pelaburan?

Jumlah pelaburan minima adalah hanya RM100. Kini anda sudah boleh melanggan unit AHB hanya melalui Maybank2u. Sangat mudah!

Macam Mana Nak Mula Melabur Dalam AHB?

Sebelum anda boleh mula melanggan unit AHB, anda kena pastikan ada akaun unit amanah bersama Maybank. Cara nak buka akaun ini pun mudah, semua secara atas talian (online) melalui Maybank2u.

Tutorial ini ada dua (2) bahagian. Jom tengok tutorial bahagian satu di bawah:

Bahagian Satu: Buka Akaun Unit Amanah

  1. Layari maybank2u.com.my dan masukkan User ID dan kata laluan seperti biasa.
  1. Klik ‘APPLY’, kemudian pergi ke ‘INVESTMENT’. Pilih Unit Trust Account dan klik ‘APPLY NOW’.
  1. Isi dan lengkapkan semua maklumat yang diperlukan.
  1. Baca dengan teliti dan tanda pada soalan yang berkenaan. Kemudian klik ‘Continue’.
  1. Jawab semua soalan pada ruang ‘RISK-PROFILE’. Setelah selesai, pilih ‘Settlement Account’ anda, tanda yang berkenaan dan klik ‘SAVE & NEXT’.
  1. Tahniah, pembukaan akaun unit amanah anda sedang diproses.

PENTING:

Proses pembukaan akaun unit amanah mengambil masa 5 hingga 14 hari. Anda kena sentiasa semak laman web Maybank2u untuk melihat sekiranya anda sudah boleh memohon unit AHB.

Bahagian Dua: Langgan Unit AHB

  1. Layari maybank2u.com.my dan masukkan User ID dan kata laluan anda.
  1. Klik ‘WEATLH’ pada menu atas.
  1. Klik pada ruang ‘Unit Trust’. Sekiranya pembukaan akaun unit amanah anda masih diproses atau jika anda tiada akaun unit amanah bersama Maybank paparan ruang ‘Unit Trust’ tidak akan kelihatan (rujuk gambar di bawah).
Tiada pilihan ruang ‘Unit Trust’ bagi akaun sedang diproses.
  1. Pilih nombor akaun unit amanah anda dahulu. Kemudian klik ↓ dan pilih ‘Subscribe Fund’.
  1. Kemudian pergi ke bahagian ‘Fund House’ dan pilih ‘MAYBANK ASSET MANAGEMENT SDN BHD’.
    Pada bahagian ‘Fund Name’ pula klik ‘AMANAH HARTANAH BUMIPUTERA’.
  1. Seterusnya, isi bahagian ‘Subscription Details’ dengan lengkap. Isi ruang ‘Amount’ dengan RM100. Kemudian klik ‘CHECK’. Seterusnya, baca segala terma dan syarat, tanda pada ruang berkenaan kemudian klik ‘SUBSCRIBE’.

Anda juga boleh merujuk maklumat penuh produk dan prospektus yang disediakan.

  1. Semak maklumat yang tertera kemudian klik ‘REQUEST’ untuk sahkan transaksi pembelian.

Tahniah! Pembelian unit AHB telah berjaya.

Kini mudah sahaja untuk melanggan unit AHB. Tidak perlu lagi susah-susah untuk ke Maybank atau AmBank.

Semoga perkongsian ini bermanfaat.

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

Dilema mahu membeli atau menyewa rumah

Memiliki rumah sejak sekian lama dianggap sebagai simbol kestabilan dan kejayaan hidup bagi rakyat Malaysia.

Tidak hairanlah ramai golongan muda merasakan mereka perlu membeli rumah secepat mungkin yang memaksa mereka menanggung komitmen pinjaman perumahan selama 30 hingga 40 tahun.

Namun, dalam cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat, harga rumah yang terus berada di luar kemampuan sebahagian besar pembeli muda serta corak pekerjaan yang semakin dinamik, tiba masanya kita menilai semula maksud sebenar ‘seseorang itu ada rumah’.

Pada asasnya, rumah adalah tempat berteduh dan menyediakan keperluan asas untuk kediaman. Yang mustahak adalah ‘jaminan tempat kediaman dan kepentingan untuk mendiami’ yang lazimnya adalah melalui pemilikan tetapi boleh juga melalui penyewaan.

Bagi ramai golongan muda, terutamanya di peringkat awal kehidupan, menyewa boleh menjadi pilihan yang lebih praktikal dan fleksibel.

Ia membolehkan mereka mampu untuk menetap berhampiran tempat kerja, mengurus kewangan dengan lebih baik dan mengelakkan beban hutang jangka panjang sebelum benar-benar bersedia untuk membeli rumah sendiri.

Perubahan cara berfikir ini secara perlahan-lahan membuka ruang kepada perkembangan pasaran sewaan di Malaysia, termasuk kemunculan konsep ‘co-living’ atau kediaman bersama di dalam sebuah komuniti transit, serta juga konsep Rent-to-Own (RTO) atau Sewa-untuk-Beli.

Walaupun segmen ini masih kecil berbanding pasaran sewaan konvensional, ia semakin mendapat perhatian khususnya dalam kalangan generasi muda.

Konsep ‘co-living’ menawarkan bilik atau unit yang lengkap dengan perabot, tempoh sewaan yang lebih fleksibel serta kemudahan bersama yang diuruskan secara profesional.

Ia juga mengurangkan kos kemasukan (barrier of entry) kerana penyewa tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan besar untuk membeli perabot atau menanggung pelbagai kos utiliti secara berasingan.

Bagi golongan belia dan profesional muda, pekerja kontrak serta mereka yang sering berpindah lokasi pekerjaan, ‘co-living’ menyediakan pilihan perumahan yang lebih mudah dan praktikal tanpa perlu membuat komitmen membeli rumah ketika pendapatan mereka, khususnya pendapatan boleh guna mereka masih sedang dibina dan deperkukuhi.

Namun begitu, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi sekiranya pasaran sewaan ingin berkembang menjadi satu cabang penting dalam ekosistem perumahan negara.

Cabaran pertama ialah persepsi masyarakat. Budaya pemilikan rumah masih sangat kuat dan menyewa sering dianggap sebagai pilihan sementara atau petanda seseorang mencapai kestabilan kewangan.

Persepsi ini ada benarnya, tetapi ia juga mewujudkan tekanan sosial yang menyebabkan ramai membeli rumah lebih awal daripada kemampuan sebenar mereka ataupun menyebabkan kerakusan pasaran yang sehingga mengakibatkan tekanan mental dan emosi.

Hakikatnya, keperluan perumahan setiap individu berbeza mengikut peringkat kehidupan. Ada yang memerlukan fleksibiliti untuk berpindah mengikut kerjaya, manakala ada yang lebih selesa menangguhkan pembelian rumah sehingga kedudukan kewangan mereka lebih kukuh.

Oleh itu, menyewa tidak sepatutnya sewenang-wenangnya dilihat sebagai pilihan yang kurang baik sehingga dilihat sebagai stigma berbanding pemilikan rumah.

Cabaran kedua ialah pasaran sewaan negara yang masih belum matang dan terpasung. Sebahagian besar pasaran masih dikuasai oleh pemilik individu dengan standard pengurusan, syarat penyewaan dan kualiti penyelenggaraan yang berbeza-beza.

Keadaan ini menyebabkan pengalaman menyewa tidak seragam dan kadangkala menimbulkan ketidakpastian kepada penyewa dan juga pemilik rumah.

Cabaran ketiga pula ialah kekurangan rangka kerja perundangan yang menyeluruh untuk mengawal selia sektor sewaan kediaman.

Pelaksanaan dan penggubalan sebuah akta, seperti Akta Penyewaan Kediaman (RTA) yang satu ketika dahulu diusulkan tetapi tertangguh, perlu disegerakan bagi mewujudkan pasaran sewaan yang lebih teratur dan telus.

Sebuah akta yang khusus untuk regulasi pasaran penyewaan sektor kediaman ini berpotensi untuk menyediakan perlindungan yang lebih jelas kepada penyewa dan juga pemilik, memperkukuhkan mekanisme penyelesaian pertikaian serta meningkatkan keyakinan pelabur dan pengendali profesional dalam sektor perumahan sewaan.

Bagi akta sedemikian, keutamaan harus diberikan kepada pendekatan yang mesra penyewa, mesra pemilik dan mesra pelabur yang mengimbangi secara saksama kepentingan-kepentingan setiap pemegangtaruh untuk melahirkan satu persekitaran pasaran yang menang-menang.

Tumpuan juga harus diberikan untuk memperhalusi dan mengukuhkan konsep RTO atau Sewa-untuk-Beli sebagai salah satu langkah penyelesaian menang-menang.

Dalam jangka panjang, pembangunan pasaran sewaan yang lebih tersusun akan memberikan lebih banyak pilihan kepada rakyat.

Persediaan dan ketersediaan bakal pembeli rumah adalah berbeza-beza di dalam persekitaran yang mencabar dewasa ini di samping tekanan sosial berkenaan kemampuan dan pemilikan rumah idaman.

Walaupun apapun keadaannya, yang pasti adalah setiap individu dan isi rumah seharusnya mempunyai akses dan jaminan tempat kediaman yang selesa, mempunyai akses kepada kemudahan, selamat dan mampu dibayar mengikut keperluan serta kedudukan kewangan masing-masing.

Dalam hal ini, memperkukuhkan pasaran sewaan melalui konsep seperti RTO dan ‘co-living’ serta pemerkasaan rangka kerja perundangan berpotensi untuk melengkapkan ekosistem perumahan negara dengan menyediakan pilihan yang lebih pelbagai dan inklusif untuk rakyat Malaysia.

Penulis ialah Pengarah Kanan, Penyelidikan Hartanah Rahim & Co Chestertons

— Berita Harian