PMB An-Nur Waqaf Income Fund, Gabungan Waqaf Dengan Pelaburan Unit Amanah

Pernah tak kita jumpa waqaf dengan pelaburan unit amanah? Baru-baru ini ianya telah dilancarkan oleh anak syarikat Mara Berhad, PMB Investment Berhad melalui Unit Amanah PMB An-Nur Waqf Income Fund.

Hari pertama dana Unit Amanah ini dilancarkan, RM7 juta telah berjaya dikumpulkan dan mereka mensasarkan pelaburan sebanyak RM50 juta dalam dana ini sehingga tahun 2022.

Harga terbit dana ini adalah RM0.50 seunit dan ianya mempunyai ciri-ciri khusus yang membolehkan pemilik unit untuk mewaqafkan 30% agihan pendapatan tahunan (annual income distribution) yang diterima kepada projek waqaf.

Baki 70% pula akan dilaburkan semula untuk pemegang unit.

PMB mengumumkan bahawa projek waqaf akan dikawalselia oleh Waqaf An-Nur Corp yang akan menguruskan dana yang diwaqafkan oleh pemegang unit.

Selain daripada itu, dana ini turut menawarkan perlindungan Takaful percuma kepada pemegang unit yang layak.

Tentunya ia merupakan satu inovasi produk yang sangat menarik buat para pelabur di luar sana.

Usaha PMB ini adalah salah satu usaha syarikat dana dalam memasukkan elemen waqaf di dalam produk pelaburan mereka.

Ini hasil daripada garis panduan baru berhubung dana waqaf daripada pihak Suruhanjaya Sekuriti yang diumumkan akhir tahun lepas.

Waqaf merupakan salah satu instrumen penting bagi pembiayaan sosial dalam kewangan Islam yang telah terbukti sejak ribuan tahun dahulu.

Hari ini, ia diperkasakan menjadi sebahagian daripada produk pelaburan yang mendidik pelabur supaya tidak hanya mementingkan keuntungan untuk diri sendiri semata-mata tetapi turut menyumbang kepada kebaikan sosial dan sejagat.

Antara yang menjadi ketetapan SC dalam garis panduan waqaf itu adalah penekanan kepada aspek ketelusan dalam melaporkan aktiviti dan projek waqaf kepada pelabur dan pemegang unit amanah.

Diharapkan usaha ini dapat menambahbaik aspek pengurusan dana awam dan aspek kesaksamaan agihan harta antara masyarakat.

Baca lebih lanjut mengenai garis panduan waqaf di laman web Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Ditulis oleh Arham Merican, Pengurus Shariah di sebuah institusi kewangan negara dan pemegang sijil Islamic Financial Planner (IFP). Merupakan lepasan Sarjana dalam bidang Pengajian Pembangunan, Fakulti Ekonomi Universiti Malaya. Beliau boleh dihubungi di [email protected].

Previous ArticleNext Article

FCPO: Kembali Ke Fasa Pengukuhan

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO ini menurun MYR9 semasa sesi dagangan lalu untuk ditutup pada harga MYR4,597. Pada hari Jumaat, komoditi ini memulakan dagangan pada paras MYR4,604. Pada awalnya, ia jatuh ke paras terendah sesi tersebut pada MYR4,575. Ia kemudiannya melantun ke paras tertinggi sesi tersebut pada MYR4,608 dan menutup dagangan pada MYR4,597. Di samping pergerakan RSI ke bawah, penutupan dagangan terkini yang menurun menunjukkan momentum menurun kembali menguat.

Komoditi ini mungkin akan melanjutkan fasa koreksi harga dan menguji paras sokongan semula pada MYR4,390. Sementara itu, garisan SMA 50 hari masih bergerak ke paras lebih rendah, lantas mengukuhkan keadaan pasaran menurun. Sekiranya komoditi ini mencatat pergerakan menaik, paras MYR4,700 akan menahan harga daripada menembusi paras berkenaan. Selagi FCPO terus berada di bawah paras ambang MYR4,700, kami tetap akan berpegang pada bias dagangan negatif.

Para pedagang disarankan untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei (MYR4,481). Untuk menangani risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama kini berada pada MYR4,390 dan diikuti oleh paras sokongan lebih rendah pada MYR4,250. Paras rintangan pertama pula ialah MYR4,700 yang diikuti oleh paras MYR4,900.