Kenanga IB Jangka Momentum Dagangan Bursa Malaysia Kekal Positif Dalam Masa Terdekat

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) — Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) menjangka momentum dagangan di Bursa Malaysia Bhd kekal positif dalam tempoh terdekat sebelum beralih kepada sektor berasaskan pemulihan secara berperingkat berikutan purata nilai dagangan harian (ADV) yang lebih kukuh pada suku pertama 2026.

Bank pelaburan itu menyemak semula jangkaan ADV bagi tahun kewangan 2026 kepada RM3.15 bilion atau meningkat 11 peratus daripada RM2.85 bilion.

“Kami menjangka ADV sederhana secara berperingkat, dengan suku kedua 2026 sebanyak RM3.20 bilion, diikuti separuh kedua 2026 pada purata RM3.05 bilion apabila aktiviti dagangan kembali normal.

“Ini membawa kepada peningkatan lima peratus dalam unjuran pendapatan tahun kewangan 2026,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Menurut Kenanga IB, ADV suku pertama 2026 Bursa mengatasi anggaran sebanyak 11 peratus didorong oleh ketidaktentuan pasaran yang meningkat berikutan kebimbangan mengenai konflik geopolitik dan inflasi.

“Strategi dagangan bagi baki tahun 2026 akan bergantung pada pihak yang mendapat manfaat dan terjejas daripada harga minyak tidak menentu.

“Inflasi kekal menjadi kebimbangan utama, dengan prestasi bergantung pada keupayaan syarikat untuk memindahkan kenaikan kos kepada pengguna dalam harga komoditi yang turun naik,” katanya.

Kenanga IB memaklumkan penerima manfaat yang berpotensi termasuklah kaunter minyak dan gas, saham perladangan berikutan prospek penilaian yang baik dan peranan tenaga boleh baharu sebagai alternatif kepada minyak.

“Sementara itu, sektor yang terdedah kepada kos pengangkutan dan logistik yang tinggi, terutamanya kontraktor, mungkin berdepan tekanan pendapatan yang lebih besar,” katanya.

Bagi 2027, bank pelaburan itu menaikkan sedikit jangkaan ADV kepada RM3 bilion daripada RM2.90 bilion walaupun masih di bawah paras tahun kewangan 2026 berdasarkan ketegangan geopolitik yang mereda dan turun naik pasaran yang berkurangan.

“Risiko terhadap jangkaan kami termasuklah jumlah dagangan yang lebih rendah daripada jangkaan dalam pasaran sekuriti dan derivatif; perbelanjaan operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan dan jumlah tawaran awam permulaan (IPO) yang berkurangan,” katanya.

Kenanga IB menaik taraf Bursa Malaysia kepada saranan mengatasi pasaran, dengan harga sasaran lebih tinggi sebanyak RM9.25 berikutan pelabur dijangka memilih profil pendapatan yang defensif dalam ketidaktentuan sektor yang lebih luas.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.