Jaga-jaga! Tempoh Rehat Tarif Trump Bakal Tamat, Dunia Perlu Bersedia

Pada 9 April 2025, dunia menarik nafas lega seketika apabila Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan penangguhan pelaksanaan tarif perdagangan terhadap rakan dagang utama Amerika. Pengumuman tersebut, yang dinamakan sebagai “Liberation Day,” memberi ruang selama 90 hari untuk negara-negara seperti China, Jepun, Korea Selatan, negara-negara Eropah dan ASEAN (termasuk Malaysia) berunding bagi mengelakkan krisis dagangan yang lebih besar.

Kini, jam berdetik menuju tarikh akhir tersebut. Tempoh 90 hari akan tamat pada 8 Julai 2025 (untuk kebanyakan negara) dan 9 Julai 2025 (khusus untuk Kesatuan Eropah). Sekiranya tiada sebarang persetujuan dicapai menjelang tarikh itu, tarif tinggi yang diumumkan awal tahun ini bakal dikuatkuasakan serta-merta. Dunia sedang berdiri di tepi jurang risiko ekonomi global dan persoalannya, adakah kita benar-benar bersedia?

Apa Sebenarnya Tarif Trump Ini?

Donald Trump sememangnya dikenali dengan dasar perdagangan yang tegas dan bersifat unilateral. Dalam pentadbiran terdahulu dan kempen politik beliau, Trump berulang kali menyatakan bahawa Amerika Syarikat menjadi mangsa kepada perjanjian perdagangan yang tidak adil, terutamanya dengan China.

Gambar: Financial Times

Dalam rancangan tarif terbaru, Trump menyasarkan langkah yang lebih keras. Antara tarif yang diumumkan termasuk:

  • 60% ke atas semua produk dari China
  • 50% ke atas kenderaan dari Eropah dan Jepun
  • Penilaian semula terhadap kesemua perjanjian perdagangan bebas termasuk ASEAN, NAFTA dan Korea

Langkah ini, jika dilaksanakan tanpa kompromi, boleh mencetuskan perang perdagangan global yang baru. Bukan hanya Amerika Syarikat dan negara sasaran yang akan terkesan, malah seluruh dunia termasuk negara membangun seperti Malaysia.

Jika Rundingan Gagal, Apa Yang Akan Terjadi?

Sekiranya rundingan tidak mencapai kesepakatan sebelum tarikh tamat, tarif yang telah diumumkan akan mula dikenakan. Kesan daripada tindakan ini akan terasa dalam pelbagai aspek ekonomi dan pasaran kewangan.

Untuk Malaysia, kesannya boleh dijangka dalam bentuk berikut:

  1. Eksport Menurun: Malaysia bergantung kepada eksport, khususnya dalam sektor teknologi, elektronik, komoditi dan produk OEM. Kenaikan tarif akan menyebabkan harga produk kita menjadi mahal di pasaran Amerika dan sekaligus menjejaskan permintaan.
  2. Rantaian Bekalan Terganggu: Malaysia merupakan sebahagian daripada rantaian bekalan global, termasuk pengeluaran semikonduktor dan komponen automotif. Jika syarikat besar di China, Jepun atau Eropah terkesan, tempahan kepada pengeluar tempatan juga akan berkurangan.
  3. Nilai Ringgit Tertekan: Ketidaktentuan global biasanya akan menyebabkan pelabur melarikan dana ke pasaran lebih stabil seperti Amerika, sekaligus melemahkan Ringgit Malaysia.
  4. Sentimen Pasaran Saham Menurun: Bursa Malaysia boleh mengalami jualan besar-besaran jika pelabur asing hilang keyakinan terhadap kestabilan serantau.

Sektor yang paling terdedah kepada risiko ini ialah:

  • Teknologi dan semikonduktor (seperti Inari, MPI, Unisem dan D&O)
  • Sarung tangan getah dan produk getah (seperti Top Glove dan Hartalega)
  • Automotif dan OEM (pembekal komponen kenderaan kepada pasaran luar)

Bagaimana Jika Rundingan Berjaya?

Dalam senario lebih positif, sekiranya Trump menerima cadangan yang dikemukakan dan bersetuju untuk melanjutkan tempoh rundingan atau mengurangkan kadar tarif, ini akan melegakan pasaran global dan mendorong pemulihan segera dalam beberapa sektor penting.

Antara sektor yang dijangka mendapat manfaat ialah:

  1. Teknologi dan Elektronik: Sektor ini boleh kembali rancak apabila permintaan global stabil. Syarikat EMS dan pengeluar cip akan menerima lonjakan pesanan.
  2. Logistik dan Pelabuhan: Apabila aliran perdagangan global berjalan lancar, syarikat seperti Westports dan MISC akan menikmati peningkatan volume dan pendapatan.
  3. Komoditi seperti Minyak Sawit: Negara pengeluar akan berpeluang meningkatkan eksport ke pasaran dunia, tanpa tekanan sekatan atau tarif tinggi.
  4. Pasaran Modal: Keyakinan pelabur terhadap pasaran membangun akan meningkat, sekaligus menggalakkan aliran masuk dana asing ke bursa-bursa Asia Tenggara.

Apa Yang Boleh Dilakukan Oleh Pelabur?

Dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang, pelabur perlu lebih berwaspada. Antara langkah yang boleh dipertimbangkan:

  • Memantau dengan dekat perkembangan rundingan dagangan Amerika Syarikat
  • Mengkaji semula portfolio dan mengurangkan pendedahan terhadap sektor sensitif
  • Memastikan modal disusun mengikut tahap risiko yang sesuai
  • Menyediakan senarai saham berpotensi untuk dibeli jika pasaran kembali pulih

Kemas Kini Terkini: AS dan China Sudah Capai Persefahaman, Bagaimana Pula Negara Lain?

Sumber: BBC News

Baru-baru ini, Amerika Syarikat dan China akhirnya mencapai persefahaman perdagangan sementara, yang menyaksikan beberapa jenis tarif ditangguhkan dan beberapa lagi dikurangkan. Perkembangan ini memberi nafas baharu kepada pasaran dunia, terutamanya sektor teknologi dan pembuatan yang terjejas sebelum ini akibat ketegangan dua kuasa besar ini.

Antara intipati rundingan AS-China yang terbaharu:

  1. China bersetuju untuk longgarkan sekatan eksport bahan logam dan magnet yang digunakan dalam pembuatan teknologi canggih.
  2. Sebagai balasan, AS akan tarik balik sebahagian sekatan terhadap cip semikonduktor dan teknologi berkaitan.

Namun begitu, persoalan utama kini ialah: adakah negara lain akan menerima layanan yang sama?

Setakat ini, persefahaman antara AS dan China tidak serta-merta menjamin kelegaan kepada negara-negara lain. Rundingan dengan Kesatuan Eropah, Jepun, Korea Selatan dan ASEAN masih berlangsung. Trump melalui kenyataan terbarunya menyatakan bahawa setiap negara akan dinilai berdasarkan ‘komitmen sebenar’ dalam rundingan, bukan semata-mata janji di atas kertas.

Malaysia, sebagai anggota ASEAN dan rakan dagang penting kepada AS, masih belum diumumkan sebagai penerima manfaat langsung daripada persetujuan ini. Namun, kesepakatan AS-China boleh memberi isyarat positif bahawa Trump terbuka kepada penyelesaian pragmatik, asalkan pihak lawan menunjukkan komitmen dalam rundingan.

Kesimpulannya, jika trend ini berterusan, negara-negara lain termasuk Malaysia mungkin berpeluang mendapat lanjutan masa atau pengurangan kadar tarif, tetapi ia bukan automatik. Kedudukan Malaysia dalam rundingan, kekuatan eksport kita dan hubungan diplomatik akan memainkan peranan penting dalam menentukan hasil akhir.

Dalam masa yang sama, dunia masih belum stabil daripada kesan konflik Israel-Iran serta ketegangan berpanjangan di Timur Tengah, yang turut memberi kesan kepada harga minyak global dan sentimen pelabur. Gabungan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik ini menjadikan separuh kedua tahun 2025 satu tempoh yang perlu diperhatikan dengan lebih dekat oleh pelabur, perniagaan dan kerajaan.

Rebut Peluang Belajar Melabur Saham Di Pasaran Saham Amerika Syarikat

Kami menerima banyak pertanyaan tentang bagaimana nak terlibat dengan pasaran saham global. Malah banyak artikel percuma yang telah kami kongsikan antaranya:

Eh, banyak lagi lah.

Kami dulu juga hanya fokus melabur di pasaran saham Bursa Malaysia. Tetapi selepas mengambil kira risiko dan faktor-faktor lain, kami mengambil keputusan untuk tidak meletakkan 100% duit lebihan yang ada di pasaran saham Malaysia.

Selalu tengok harga saham Apple, Tesla, Google, NVIDIA duk naik dan ingin menjadi salah seorang daripada pemegang saham syarikat-syarikat terkemuka dunia ini?

Dah tak perlu risau dan susah-susah lagi! Kami akan kongsikan step by step cara untuk mula melabur saham di Wall Street.

Jangan lepaskan peluang ini! Mulakan langkah pertama anda untuk melabur dalam pasaran saham Wall Street hari ini!

Previous ArticleNext Article

Apple Kembali ‘Rampas’ Takhta Syarikat Paling Bernilai Dunia Daripada Nvidia

BENGALURU: Apple mengatasi Nvidia untuk muncul sebagai syarikat paling bernilai di dunia, sekali gus mengubah kedudukan syarikat-syarikat teknologi terbesar apabila pelabur menilai semula prospek kecerdasan buatan (AI).

Apple kini mempunyai nilai pasaran sekitar AS$4.88 trilion selepas harga sahamnya kekal stabil, manakala Nvidia bernilai kira-kira AS$4.86 trilion susulan kejatuhan 3.5 peratus sahamnya.

Perubahan kedudukan itu menunjukkan pelabur kini mula meluaskan tumpuan mereka melangkaui penerima manfaat paling jelas daripada ledakan AI seperti Nvidia, yang telah mendahului senarai syarikat paling bernilai dunia selama hampir setahun.

Apple kembali merampas kedudukan teratas buat kali pertama sejak April tahun lalu.

Ketua Pelaburan BRI Wealth Management, Toni Meadows, berkata Apple sebelum ini dilihat ketinggalan dalam perlumbaan AI kerana tidak berbelanja besar untuk membangunkan model AI, namun sentimen terhadap syarikat itu kini berubah.

“Apple kurang terdedah kepada keperluan perbelanjaan modal yang tinggi dan berada pada kedudukan lebih baik untuk menjana pendapatan daripada AI menerusi perkhidmatan, ekosistem yang kukuh serta peningkatan perkakasan. Penilaian semula ini mencerminkan keyakinan terhadap kemampanan pendapatan syarikat, bukannya potensi AI yang bersifat spekulatif,” katanya.

Bagi sebuah syarikat yang sering dianggap ketinggalan dalam perlumbaan AI, pencapaian ini mencerminkan usaha Apple untuk mengukuhkan kedudukannya dalam kalangan pemain utama industri, selain berpotensi mempengaruhi bagaimana tempoh akhir kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tim Cook, akan dinilai.

Cook dijangka menyerahkan jawatan CEO kepada veteran perkakasan Apple, John Ternus, pada September ini.

Bulan lalu, Apple melancarkan versi baharu pembantu maya Siri yang telah lama tertangguh, dengan harapan peningkatan itu dapat merapatkan jurang dengan gergasi teknologi lain serta syarikat pemula dalam perlumbaan AI yang semakin sengit.

Sesetengah penganalisis berpendapat Apple sebenarnya memiliki ‘lombong emas’ AI menerusi data peribadi yang tersimpan dalam setiap iPhone.

Data itu berpotensi menjadikan jawapan Siri lebih tepat dan pembantu maya itu lebih berkeupayaan.

Namun, cabarannya ialah data itu dilindungi dalam sistem operasi atas faktor privasi, menyebabkan Apple perlu mencari kaedah untuk memanfaatkan nilainya tanpa menjejaskan perlindungan pengguna.

Nvidia menjadi syarikat pertama di dunia yang melepasi nilai pasaran AS$5 trilion pada Oktober lalu, satu pencapaian bersejarah yang meletakkannya jauh di hadapan pesaing.

Bagaimanapun, kehilangan kedudukan teratas kepada Apple tidak semestinya menandakan perubahan kekal dalam kedudukan relatif kedua-dua syarikat.

Nvidia masih merupakan antara penerima manfaat terbesar daripada peningkatan perbelanjaan berkaitan AI, dengan pemproses grafik keluarannya menjadi tulang belakang kepada kebanyakan aplikasi AI generatif.

Nvidia juga berpotensi merampas semula kedudukan teratas sekiranya sentimen pasaran kembali memihak kepadanya.

Pada masa sama, Apple turut berdepan cabaran apabila syarikat itu menaikkan harga produknya bagi mengimbangi peningkatan kos, satu strategi yang boleh menjejaskan permintaan pengguna.

Naib Presiden Penyelidikan Alpha Segal Marco Advisors, Benjamin Hall, berkata beliau tidak melihat perbezaan ketara antara kedua-dua syarikat.

“Saya menjangka Nvidia akan terus menjadi pemain penting dalam apa sahaja perkembangan yang berlaku pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, gelombang keyakinan terhadap AI turut merebak ke segmen lain industri semikonduktor.

Antara penerima manfaat terbesar tahun ini ialah pengeluar cip memori seperti Micron, yang melepasi nilai pasaran AS$1 trilion pada Mei selepas pelabur mengiktiraf kepentingan cip memori dalam infrastruktur AI.

Pengeluar cip dari Korea Selatan, SK Hynix, turut disenaraikan di Nasdaq awal bulan ini, sekali gus menambah satu lagi pesaing dalam usaha menarik perhatian pelabur.Hall berkata kemunculan pemain baharu itu dijangka mengalihkan sebahagian tumpuan pelabur daripada kumpulan saham teknologi gergasi Magnificent Seven kepada lebih banyak syarikat lain.

Namun, kenaikan luar biasa saham syarikat cip mula kehilangan momentum pada Julai apabila pelabur menilai semula kemampanan tema pelaburan AI, menyebabkan indeks Philadelphia SE Semiconductor susut hampir 19 peratus daripada paras tertinggi sepanjang masa.

Walaupun mengalami kejatuhan ketara, prestasi indeks itu setakat tahun ini masih mengatasi prestasi saham Nvidia.

-Reuters