SC Lancar Panduan Pematuhan Maqasid Al-Shariah Sebelum Akhir Tahun

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) — Suruhanjaya Sekuriti (SC) merancang untuk melancarkan panduan berasaskan prinsip Maqasid al-Shariah sebelum akhir tahun.

Pengerusi Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata menerusi panduan itu, pelabur akan dapat melabur bukan sahaja dalam produk-produk patuh Syariah di Malaysia tetapi juga dalam produk yang sejajar dengan Maqasid-al-Shariah (objektif atau tujuan di sebalik ketetapan Islam).

Beliau berkata Malaysia ialah peneraju global yang telah lama bertapak dalam kewangan Islam, dengan campur tangan dan rangka kerja pengawalseliaan yang inovatif dan perintis.

“Kita mesti memanfaatkan kepimpinan pemikiran kita, menolak sempadan dan terus meluaskan spektrum produk-produk tradisional dan alternatif.

 “Ini bermakna ia membolehkan produk dan hasil yang bukan sahaja patuh Syariah tetapi sejajar dengan prinsip Maqasid al-Shariah yang lebih luas, bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk produk-produk Islam yang berprestij,” katanya dalam ucaptama Persidangan Merapatkan Jurang Bakat Industri-Universiti sempena Penyelidikan Pasaran Modal Malaysia-Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (ICMR-SIDC) di sini, hari ini.

Awang Adek juga berkata Malaysia mesti meningkatkan produk-produk alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) serta pembiayaan kemampanan untuk menarik pelabur yang mengutamakan ESG.

Walaupun Malaysia mendahului banyak rakan serantau dari segi pendedahan kemampanan oleh syarikat-syarikat sendirian berhad, beliau berkata kini tiba masanya untuk bekerja secara serius ke arah mengguna pakai piawaian Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (ISSB), yang dijangka berkuat kuasa tahun depan.

“Memandangkan pembangunan aktif dalam tenaga boleh diperbaharui di peringkat domestik di dalam negara dan pengenalan pasaran karbon oleh Bursa Malaysia, kita harus bercita-cita untuk menjadi peneraju serantau dalam produk ESG dan perkhidmatan yang berkaitan ESG,” katanya.

Beliau menambah mendorong pertumbuhan yang lebih kukuh dalam pasaran swasta juga harus menjadi keutamaan, kerana pertumbuhannya melalui modal teroka, ekuiti persendirian, pendanaan ramai berasaskan ekuiti dan pembiayaan rakan setara adalah fenomena.

“Ini mesti terus digalakkan untuk membantu akses perusahaan kecil dan sederhana kepada pembiayaan yang sesuai bagi pertumbuhan dan pengembangannya,” kata beliau.

Sementara itu, Awang Adek berkata program siswazah pasaran modal SC yang baru dilancarkan, InvestED boleh membantu merapatkan jurang antara permintaan dan bekalan, memastikan lebih ramai tenaga kerja tersedia di masa depan yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan dan kestabilan.

Beliau menyatakan kerjasama di antara pemegang kepentingan utama akan menjadi penting untuk menyelesaikan cabaran di pasaran modal.

“ICMR boleh menerajui ‘perantaraan’ dan membina hubungan penyelidikan yang lebih kukuh dengan universiti, justeru adalah digalakkan untuk ICMR menjalankan inisiatif ‘Call for Papers’, memfokuskan pada mengenal pasti peluang-peluang di pasaran modal Malaysia dan di rantau ini,” tambahnya.

— BERNAMA

TAG: Suruhanjaya Sekuriti, Maqasid al-Shariah, pematuhan, ESG, bakat, Awang Adek Hussin

Previous ArticleNext Article

Sunway Cadang Tawaran Pengambilalihan Bersyarat Bagi Memiliki IJM Corp Pada Harga RM3.15 Sesaham

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) — Sunway Bhd mencadangkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk memiliki keseluruhan 3.51 bilion saham dalam IJM Corp Bhd pada harga tawaran RM3.15 sesaham.

Sunway dalam satu makluman di Bursa Malaysia hari ini berkata Maybank Investment Bank Bhd yang bertindak bagi pihaknya, telah menyerahkan notis tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat kepada lembaga pengarah IJM Corp mengenai hasratnya untuk memiliki keseluruhan kepentingan ekuiti pada harga tawaran itu.

Ia menambah Sunway mungkin mencalonkan sebuah anak syarikat milik penuhnya sebagai penerima saham tawaran berkenaan.

“Dengan mengandaikan tawaran yang dicadangkan itu diterima sepenuhnya dan tiada pelarasan dibuat terhadap harga tawaran, jumlah pertimbangan bagi tawaran itu dianggarkan sekitar RM11.0 bilion yang akan diselesaikan melalui gabungan tunai dan penerbitan saham biasa baharu dalam Sunway,” kata Sunway.

Sekiranya tiada berlakunya sebarang keadaan yang diluar jangka, syarikat itu berkata tawaran yang dicadangkan dijangka selesai menjelang suku ketiga 2026.

Syarikat itu berkata tawaran yang dicadangkan itu adalah tertakluk kepada, antaranya Sunway mesti menerima, pada atau sebelum tarikh tutup, penerimaan sah yang akan menyebabkan Sunway memegang, secara keseluruhan lebih daripada 50 peratus saham undian IJM Corp.

Sunway berkata ia mungkin akan cuba untuk menyahsenarai IJM Corp melalui kaedah yang dibenarkan di bawah undang-undang dan peraturan yang terpakai, dengan keputusan untuk meneruskan dan pilihan kaedah akan dibuat pada masa yang relevan.

Ia berkata penyelesaian tawaran yang dicadangkan itu akan mewujudkan sebuah konglomerat yang diperbesarkan yang terlibat dalam pembangunan hartanah dan pembinaan di Malaysia berdasarkan hasil dan asas asetnya.

“Sunway akan dapat menggabungkan prestasi kewangan IJM Group dan turut mengembangkan aktiviti perniagaan Sunway dan anak syarikatnya,” kata syarikat itu sambil menambah pihaknya berhasrat untuk meneruskan perniagaan sedia ada IJM Group.

Selain itu, Sunway berkata IJM Corp akan dikekalkan sebagai anak syarikat berasingan, selari dengan syarikat operasi sedia ada yang lain dalam Sunway Group.

“Mengandaikan tawaran yang dicadangkan itu diterima sepenuhnya, syarikat berhasrat untuk membentuk sebuah jawatankuasa pemandu integrasi untuk, antara lain mengkaji operasi perniagaan IJM Group dan keperluan pelesenan berhubung perniagaan masing-masing bagi Sunway Group yang diperbesarkan,” katanya.

Sunway berkata ia tidak mempunyai rancangan pada masa ini untuk memperkenalkan atau melaksanakan sebarang perubahan besar dalam struktur IJM Group, atau menjual atau menggunakan semula aset utama IJM Group.

“Bagaimanapun, penggunaan semula aset atau penjualan aset bukan teras mungkin diperlukan sebagai sebahagian daripada rasionalisasi aktiviti perniagaan dan untuk kekal berdaya saing dalam industri, meningkatkan penggunaan sumber dan memperoleh manfaat sinergi,” tambah syarikat itu.
la berkata rancangan terperinci untuk IJM Group hanya akan dimuktamadkan selepas Sunway menjalankan semakan terperinci terhadap kedudukan kewangan dan operasi IJM Group setelah tawaran yang dicadangkan berjaya diselesaikan.

Sunway berkata pihaknya juga tidak mempunyai rancangan pada masa ini untuk memberhentikan atau menjadikan pekerja IJM Group tidak diperlukan secara langsung hasil daripada tawaran yang dicadangkan itu.
— BERNAMA