Berjaya Food Sekali Lagi Rugi, Kali Ini Sebanyak RM14.32 Juta

KUALA LUMPUR: Berjaya Food Bhd mencatatkan satu lagi kerugian pada suku yang baru berakhir apabila kos dan perbelanjaan terus melebihi pertumbuhan hasil yang kecil.
Kerugian bersih bagi pemegang francais rangkaian kopi Starbucks itu berjumlah RM14.32 juta bagi tempoh tiga bulan berakhir 31 Mac 2026, suku ke-10 berturut-turut syarikat berada dalam kerugian.
Namun begitu, kerugian lebih rendah berbanding RM37.19 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2025 hasil langkah kawalan kos dan penutupan kedai.
Hasil bagi suku dikaji meningkat 4.9 peratus tahun ke tahun kepada RM119.14 juta, sebahagian besarnya didorong oleh operasi luar negara.
Walau bagaimanapun, Berjaya Food Bhd kekal optimis terhadap prospeknya dengan menyatakan bahawa usaha-usaha terkini mula menunjukkan hasil.
“Kumpulan menjangkakan prestasi operasi dan kewangan akan terus kukuh, disokong oleh inisiatif pemasaran dan promosi yang berterusan, usaha rasionalisasi kedai yang sedang dijalankan, serta pendigitalan berterusan untuk meningkatkan pengalaman pelanggan sama ada dalam talian mahupun di kedai,” katanya.
Berjaya Food kini giat mengembangkan operasi di luar negara sambil memperkukuh jenama lain dalam portfolionya termasuk Paris Baguette dan Krispy Kreme Doughnuts bagi mengekang kerugian berterusan.
Di pasaran tempatan pula, syarikat menutup cawangan Starbucks dan restoran Kenny Rogers Roasters yang tidak mencatatkan prestasi baik.
“Inisiatif yang dilaksanakan ini telah menunjukkan peningkatan dalam prestasi kumpulan dan dijangka terus memberikan sumbangan positif pada suku akan datang, disokong oleh penambahbaikan lanjut dalam kecekapan operasi,” katanya.
— Berita Harian









