Malaysia Tegaskan Komitmen Pematuhan, Nafi Dakwaan Transit Seludup Cip AI Ke China

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) – Kerajaan Malaysia memandang serius dakwaan bahawa negara ini dijadikan transit dalam penyeludupan cip kecerdasan buatan (AI) Nvidia ke China, malah menegaskan komited terhadap pematuhan kawalan eksport antarabangsa yang bersifat pelbagai hala.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Malaysia juga tidak mahu perbuatan pihak menyalahgunakan kelebihan negara ini sebagai hab semikonduktor dan logistik serantau bagi sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

“Kita memegang teguh kepada pematuhan kawalan eksport melalui Akta Perdagangan Strategik yang menyelaras eksport, transit dan ‘transhipment’ (penghantaran) barangan strategik, termasuk semikonduktor.

“Dasar Malaysia juga selari dengan langkah kawalan yang telah dilaksanakan di Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan United Kingdom (UK),” katanya dalam Program Ruang Bicara Aspirasi Ekonomi di Bernama TV di sini, pada Rabu.

Sehubungan itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan sentiasa memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam memantau aliran teknologi sensitif seperti cip Nvidia H100 dan A100 yang digunakan dalam aplikasi AI berprestasi tinggi.

Pada masa sama, beliau mengulas perkembangan berkaitan syarikat teknologi China, DeepSeek yang meraih tumpuan dunia selepas mengumumkan model AI generasi ketiga yang mampu beroperasi dengan kuasa pengkomputeran lebih rendah berbanding cip Nvidia dengan jumlah perbelanjaan kurang US$6 juta (RM1=US$4.43).

Tengku Zafrul berkata kejayaan DeepSeek membuktikan bahawa teknologi AI tidak lagi dimonopoli oleh beberapa negara atau syarikat besar seperti Microsoft, OpenAI atau Google.

“Kita kini melihat China, (syarikat) Alibaba dan mungkin selepas ini India atau EU turut bersaing dalam (persaingan) teknologi AI.

“Kemajuan teknologi seperti DeepSeek memberi kesan positif kerana menjadikan AI lebih inklusif dan mampu dimiliki oleh lebih ramai pengguna.

“Jika AI boleh beroperasi dengan kos lebih rendah, lebih banyak perniagaan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dapat memanfaatkannya untuk meningkatkan produktiviti,” katanya.

Model AI baharu yang kurang bergantung kepada pemproses grafik (GPU) berkuasa tinggi juga dapat mengurangkan keperluan tenaga, sekali gus menjadikan teknologi AI lebih lestari, katanya.

Malaysia perlu perkukuh R&D, pelaburan teknologi

Dalam pada itu, Tengku Zafrul mengingatkan kepentingan bagi Malaysia menyelami dan mengambil pengajaran daripada kejayaan teknologi AI di China dan negara lain.

“Kita akan ketinggalan jika hanya menumpukan aspek melahirkan tenaga mahir tetapi tidak memberi perhatian kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“(Berikutan itu), kerajaan telah merangka Pelan Perindustrian Baharu (NIMP) untuk meningkatkan lagi rantaian nilai dalam industri semikonduktor dan AI,” katanya.

Tengku Zafrul turut menekankan bahawa Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan terus memberi tumpuan kepada memastikan manfaat teknologi AI dapat dinikmati oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta tenaga kerja tempatan.

Ini penting memandangkan kerajaan mahu melihat limpahan ekonomi bukan hanya terhad kepada syarikat besar, tetapi juga syarikat PKS dan mikro.

“Kedua adalah limpahan kepada tenaga kerja kita kerana isu ‘brain drain’ (aliran keluar bakat atau pakar) yang perlu ditangani.

“Ramai tenaga mahir kita berhijrah ke Singapura, AS, China atau Taiwan kerana kurang peluang pekerjaan dalam bidang teknologi tinggi di Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, MITI sedang berusaha menarik lebih banyak syarikat teknologi yang boleh menawarkan pekerjaan berkualiti tinggi kepada rakyat Malaysia.

“Kita tidak mahu hanya menjadi negara yang menyediakan tenaga kerja, tetapi juga sebagai peneraju dalam inovasi dan teknologi,” katanya.

Atas alasan itu juga, beliau berkata Malaysia akan terus mengkaji dasar relevan untuk memastikan negara ini kekal kompetitif dalam industri AI dan teknologi digital yang berkembang pesat.

Tengku Zafrul juga berkongsi tumpuan Malaysia pada masa ini adalah bagi pengukuhan aktiviti reka bentuk litar bersepadu (IC) dan pembuatan wafer yang masih belum diterokai secara meluas oleh syarikat-syarikat tempatan.

Menurutnya, walaupun penglibatan Malaysia dalam industri semikonduktor mencecah 50 tahun, kebanyakan syarikat masih bergantung kepada aktiviti pemasangan dan ujian.

Menyedari kepentingan itu, kerajaan menyediakan insentif dan geran R&D untuk menggalakkan pelaburan dalam teknologi bernilai tinggi selain menekankan pentingnya peralihan Malaysia daripada sekadar pusat pengeluaran kepada pemimpin dalam inovasi dan pembangunan teknologi, kata beliau.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Bank Dunia Turunkan Unjuran Pertumbuhan Global 2026 Kepada 2.5 Peratus

Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan global kepada 2.5 peratus bagi 2026 pada Khamis, daripada 2.9 peratus pada 2025, sekali gus mencatatkan kadar terendah sejak akhir 2019, lapor Agensi Berita Xinhua.

Laporan Prospek Ekonomi Global separuh tahun bank itu memetik faktor kenaikan harga tenaga, inflasi yang lebih tinggi dan peningkatan kos pinjaman di tengah-tengah konflik Asia Barat sebagai punca kepada pengurangan unjuran pertumbuhan berkenaan.

Laporan itu turut memberi amaran bahawa risiko kemerosotan adalah signifikan. Pertumbuhan global boleh terus menyederhana kepada 2.1 peratus jika gangguan bekalan tenaga berlarutan lebih lama dan harga minyak secara purata mencecah US$115 setong tahun ini, yang akan memacu inflasi kepada 4.4 peratus.

Laporan berkenaan menurunkan unjuran pertumbuhan bagi dua pertiga negara berbanding laporan Januari tahun ini, dengan negara-negara Teluk mencatatkan pengurangan paling besar daripada 3.9 peratus pada 2025 kepada hampir sifar pada 2026.

Asia Selatan pula dijangka mencatatkan pertumbuhan paling kukuh berbanding mana-mana wilayah lain pada kadar 6.3 peratus bagi tahun 2026, walaupun angka itu menunjukkan penurunan berbanding tujuh peratus pada 2025.

Selain itu, laporan berkenaan mengekalkan unjuran pertumbuhan sebanyak 2.2 peratus bagi ekonomi Amerika Syarikat (AS) pada 2026, biarpun ia menarik perhatian bahawa angka terbabit boleh menyusut kepada 2.1 peratus pada 2027 dan dua peratus pada 2028.

Ekonomi di zon euro pula dijangka berkembang pada kadar 0.8 peratus pada 2026, turun daripada 1.4 peratus pada 2025. Bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jepun, ia diunjurkan berkembang 0.7 peratus pada 2026 berbanding 1.1 peratus pada 2025.

Bank Dunia menjangkakan pertumbuhan global kembali meningkat kepada 2.8 peratus pada 2027, namun kadar itu kekal 0.4 mata peratusan di bawah purata yang direkodkan pada dekad 2010-an.

Walaupun risiko terus memihak kepada kemerosotan ekoran peningkatan permusuhan, gangguan pasaran komoditi dan ketegangan geopolitik yang bertambah, pihak bank menegaskan bahawa tindakan dasar adalah sangat kritikal.

Pada peringkat global, Bank Dunia menggesa negara-negara terbabit untuk melindungi keselamatan tenaga dan makanan serta memajukan peralihan tenaga. Bagi peringkat domestik pula, semua negara digesa mengawal inflasi, memperkukuh kemampanan fiskal dan menyokong pewujudan peluang pekerjaan.

–BERNAMA