Pengajaran dari Kes Saman Syarikat Faiza: Bagaimana Meguruskan Syarikat Keluarga?

Jenama Beras Faiza sudah sebati dalam kalangan Rakyat Malaysia. Rata-rata mengenali mereka kerana ‘killer product’ Basmathi dan mereka juga penaja utama dalam program Bersamamu. Tapi bagaimana pula dengan Beras Faiz? Pernah anda sedar kehadiran produk tersebut?

Pertengahan 2016, viral seketika mengenai produk beras yang dikatakan sangat mirip dengan produk keluaran pengeluar beras popular di Malaysia, Faiza. Malah nama jenama produk tersebut hampir sama. Bagi mengelakkan kekeliruan, syarikat Faiza telah membuat penafian dan menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai kaitan dengan Syarikat Faiz Rice.

Faiz Rice Sdn Bhd dimiliki sepenuhnya oleh Tuan Haji Fikri Bin Abu Bakar yang merupakan anak kepada Puan Hajah Faiza Bawumi Sayed Ahmad. Sebelum ini Tuan Haji Fikri bekerja dibawah Faiza Sdn Bhd kemudian membuat keputusan untuk membina perniagaannya sendiri tetapi dalam bisnes niche yang sama seperti ibunya.

Bagi memastikan survival bisnes, Faiza Sdn Bhd telah memfailkan saman keatas Faiz Rice atas kesalahan pelanggaran hak cipta dan cap dagangan serta campur tangan tidak sah dalam perniagaan antara Faiza Bawumi Sayed Ahmad dan anak lelakinya, Fikri Abu Bakar.

Hakim Mahkamah Tinggi, Kian Kheong berkata terdapat pelanggaran hak cipta komersial dilakukan secara terang-terangan oleh Faiz Rice dan Fikri, yang jelas menunjukkan nama baik syarikat Faiza terjejas disebabkan pelanggaran itu. Malah keterangan saksi turut menunjukkan, sejak kemasukan Faiz Rice dalam pasaran, syarikat Faiza mengalami kerugian ketara dalam masa yang singkat.

Dalam prosiding mahkamah pada 4 Jun tahun tersebut, beliau memerintahkan Faiz Rice dan Fikri selaku defendan membayar RM3.9 juta bagi ganti rugi jumlah pampasan, ganti rugi bagi kehilangan nama baik (goodwill) sebanyak RM100,000), ganti rugi statutori bagi hak cipta sebanyak RM60,000 dan ganti rugi teruk dan teladan sebanyak RM100,000.

Jika anda terlibat dalam bisnes, anda perlu tahu membezakan antara syarikat keluarga dan syarikat milik keluarga. Syarikat keluarga atau family business merujuk kepada perniagaan yang dimiliki dan diurus oleh ahli keluarga. Sementara itu, syarikat milik keluarga atau family – owned business pula merupakan perniagaan yang saham syarikat dimiliki oleh anggota keluarga, tetapi perniagaan dijalankan oleh ahli pengurusan profesional.

Sama ada syarikat milik persendirian atau dimiliki keluarga, masing-masing mempunyai kelebihan dan kelemahan tersendiri. Pentadbiran secara sistematik dapat memastikan perniagaan milik keluarga boleh bertahan lama. Bagi memastikan syarikat keluarga dapat diwariskan kepada generasi seterusnya boleh mengaplikasikan proses penggantian.

Terdapat empat fasa yang terlibat dalam proses pengurusan penggantian iaitu permulaan, pemilihan, pembelajaran,dan peralihan.

1. Permulaan

Fasa ini merupakan fasa pengenalan kepada anak-anak untuk mempelajari mengenai perniagaan milik keluarga mereka. Fasa ini bermula sesudah lahirnya anak tersebut dan pada peringkat inilah peranan penting perlu dimainkan oleh ibu bapa mereka untuk mendidik mereka ke arah memberi gambaran yang baik tantang perniagaan.

2. Pemilihan

  • Mewujudkan satu peraturan yang tetap

Selalunya ahli keluarga yang membuat keputusan tentang pemilihan adalah berdasarkan kepada peraturan yang telah ditetapkan secara bersama.

  • Memilih calon yang terbaik

Dalam pendekatan yang lain, ahli keluarga boleh juga meminta bakal pengganti-pengganti ini melakukan  satu tugasan iaitu dengan melihat bagaimana mereka bekerjasama dalam memulakan satu perniagaan. Pemilik dan ahli lembaga pengarahlah yang akan menjadi panel penilai bagi tugasan tersebut.

  • Membangunkan pemimpin interim

Bagi sesetengah perniagaan keluarga, pemilihan calon bagi pengganti yang bukan ahli keluarga adalah satu penyelesaian sementara. Cara ini adalah terpakai dalam keadaan anak-anak yang masih muda untuk dilantik sebagai pemimpin.

3.   Pembelajaran

Latihan dan pembelajaran merupakan proses yang penting dalam proses penggantian kerana pengganti perlu didedahkan kepada kemahiran yang diperlukan untuk memimpin syarikat dengan lebih berkesan. Antara latihan yang kebiasaanya dibuat penilaian termasuklah:

  • Proses membuat keputusan
  • Kemampuan memimpin
  • Orientasi risiko
  • Kemahiran interpersonal
  • Kebolehan menangani dan menghadapi tekanan.

4. Peralihan

Penyelidikan membuktikan peralihan akan berjalan dengan lancar sekiranya peralihan tersebut kena pada masanya, pengasas tidak lagi terlibat dalam urusan harian perniagaan, pengasas komited dengan perancangan penggantian yang telah ditetapkan dan pengasas telah menyampaikan segala tanggungjawab, polisi, objektif, dan strategi perniagaan kepada pewarisnya.

Rujukan: Barton, C.F (1993). Family Bussiness. Succession Planning.

Pada tahun 2020 yang lalu, kami telah pun menghasilkan buku sulung yang bertajuk ‘Malaysia Melabur: 10 Benda Kita Kena Tahu’. Sambutannya begitu menggalakkan sehingga buku ini terpilih sebagai Top 10 di MPH dalam kategori Malay Non-Fiction bagi tahun 2020.

Alhamdulillah, terkini kami berjaya terbitkan pula buku ‘Malaysia Melabur Saham’.

Kenapa Perlu Baca Buku Ini?

Pastinya anda selalu terdengar atau terbaca tentang peluang menambahkan pendapatan di pasaran saham patuh syariah di Bursa Malaysia.

Jika anda benar-benar berminat untuk terlibat tetapi masih belum memulakan langkah pertama, buku ini teramat sesuai.

Ianya ringkas, padat dan sarat dengan contoh-contoh berbentuk grafik.

Kenapa Kena Miliki Buku Ini?

Tak semua orang boleh belajar menerusi video, jadi boleh baca buku ini di masa lapang. Nak Google semua artikel pun memakan masa. Sebab itu buku ini telah terjual lebih daripada 2,000 naskah!

Kami faham ramai nak mula melabur saham, tapi nak tahu dulu asasnya?

Tak sempat nak belajar secara face-to-face, jom mulakan dengan membaca buku ini.

Senang faham sebab buku ini penuh dengan gambar dan contoh-contoh.

Ditulis oleh mereka yang berpengalaman, kita sama-sama belajar sampai faham.

TERKINI: Miliki Buku Malaysia Melabur Saham di Shopee

Previous ArticleNext Article

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.