Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) – Sejauh Mana Pelaksanaannya?

Pada hari Khamis 18 Oktober 2018 yang lalu, Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad telah pun membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) 2016-2020: Keutamaan dan Peneklanan Baharu di Bangunan Parlimen.

Tapi sebelum itu, apa kata kita recap semula apa itu RMK-11 ini:

Sumber: Astro Awani

Sekarang dah tahu apa itu RMK-11, apa kata kita dengar kupasan Kajian Separuh Penggal tersebut daripada pihak Kapital.my.

Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) 2016-2020 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bukanlah sekadar memberi perincian pencapaian pelan pembangunan tetapi juga mahu menyatakan keutamaan kerajaan yang baru untuk memacu kemajuan Malaysia.

Dalam sesi pembentangan itu, Tun Mahathir telah menggariskan enam tunjang utama dalam RMK11 iaitu mereformasi tadbir urus ke arah meningkatkan ketelusan dan kecekapan perkhidmatan awam, memperkukuh pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat, menuju ke arah pembangunan wilayah yang seimbang, memperkasa modal insan, mempertingkat kemampanan alam sekitar melalui pertumbuhan hijau dan memperkukuh pertumbuhan ekonomi.

Antara perkara yang ditekankan dalam pembentangan RMK11 ini ialah pembaharuan institusi dengan amalan tadbir urus dan polisi yang baik bagi menarik pelabur kembali ke Malaysia. Tun Mahathir  menyatakan akan memberi keutamaan dan penekanan baru dalam mereformasi tadbir urus bagi meningkatkan ketelusan dan kecekapan perkhidmatan awam.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali turut dipetik berkata bahawa kerajaan sebelum ini gagal mencapai sasaran mereka kerana ketirisan dan juga rasuah. Oleh itu, pembaharuan tadbir urus adalah penting bagi memulihkan kembali keyakinan pelabur untuk datang ke Malaysia.

“Dan antara tonggak terpenting dalam Kajian Separuh Penggal RMK11 untuk memastikan urus tadbir yang baik kerana dengan urus tadbir ini dapat jamin keyakinan baru di kalangan pelabur asing untuk kembali semula ke Malaysia dan dapat menjana pertumbuhan. Dan dengan pertumbuhan kita dapat agih kekayaan secara adil dan saksama,” ujar Azmin Ali.

Kredit: The Star
Antara perkara yang menjadi tumpuan daripada sesi pembentangan ini adalah pengumuman tempoh perkhidmatan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri yang dihadkan kepada dua penggal sahaja bagi mereformasikan sistem politik.

Menurut Tun Mahathir lagi, bagi pelantikan jawatan utama di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, kerajaan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa pemilih yang akan bertanggungjawab bagi memperaku pelantikan jawatan-jawatan penting ini.

“Suruhanjaya tertentu seperti SPRM dan SPR akan juga bertanggungjawab secara langsung kepada Parlimen. Langkah segera untuk mereformasi sistem politik juga akan dilaksanakan. Tempoh perkhidmatan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri akan dihadkan kepada dua penggal. Perdana Menteri juga tidak akan memegang portfolio lain,” ujar Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sewaktu sesi pembentangan RMK11.

Kredit: Kosmo

Antara perkara lain yang bakal dilaksanakan lagi dalam tempoh RMK11 ini ialah pengembalian semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 untuk mempertingkatkan kuasa autonomi Parlimen.

Selain itu, kerajaan juga mahu memerangi rasuah secara menyeluruh dalam sektor awam dan juga swasta. Antara langkah yang bakal diambil ialah dengan mentransformasi SPRM untuk menjadi sebuah badan bebas sepenuhnya di samping akan mengkaji semula Akta SPRM secara menyeluruh.

Kerajaan juga akan menilai kembali Akta Perlindungan Saksi 2009 dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 bagi mempertingkatkan undang-undang pencegahan rasuah.

Menurut laporan RMK11 ini, institusi sekarang masih kekurangan semak dan imbang (check and balance) antara executive, legislative dan judiciary. Pengasingan kuasa adalah asas penting bagi membendung penumpuan kuasa pada sesetengah bahagian dalam kerajaan sahaja. Disebabkan hal itu, pekerja perkhidmatan awam yang memegang jawatan-jawatan sensitif akan diwajibkan kepada sistem ‘job rotation’.

Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya juga akan diasingkan dengan melantik dua individu yang berlainan supaya semak dan imbang dapat dipertingkatkan pada semua peringkat.

Antara pembaharuan institusi yang bakal dilaksanakan lagi ialah penubuhan sebuah suruhanjaya bebas aduan dan salahlaku polis bagi memperkasakan integriti serta mencegah salahlaku dalam anggota polis.

Kerajaan juga akan melantik pegawai bebas (Ombudsman) yang akan menyiasat sebarang aduan dan salah urus tadbir dalam perkhidmatan awam dan akan melapor secara terus kepada Parlimen.

Dalam pembentangan itu juga, Tun Dr Mahathir menyatakan kerajaan akan menambahbaik sistem pilihan raya yang sedia ada. Antara perkara yang bakal dilakukan ialah menurunkan had umur pengundi kepada 18 tahun serta memperkenalkan undang-undang berkaitan pembiayaan politik.

Sebuah rangka kerja perundangan yang komprehensif dan berkesan juga bakal diperkenalkan bagi menambah baik prosedur perolehan kerajaan di samping menguatkuasakan pelaksanaan tender terbuka serta mengkaji semula rangka kerja perkongsian awam-swasta.

“Mandat yang diberikan oleh rakyat adalah untuk kita melakukan perubahan. Maka reformasi tadbir urus menjadi keutamaan. Kita telah melakukannya dengan menukar pemimpin institusi kritikal seperti institusi kehakiman, Jabatan Peguam Negara, SPRM dan SPR. Tadbir urus kerajaan perlu diperbaiki. Ketelusan akan ditingkatkan bagi mencegah rasuah dan membasmi salah guna kuasa,” ujar Perdana Menteri itu.

Sumber: Kapital.my

 

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.