Hisense Perkenal TV Laser TriChroma dan TV Sonic One Super-tipis

LAS VEGAS, 9 Januari 2019 /PRNewswire/ — Hisense®, pengeluar televisyen dan perkakas terkemuka dan rakan kongsi UEFA EURO 2020™, hari ini membuat penampilan di Pameran Elektronik Pengguna di Las Vegas, Nevada, menerusi salah satu persembahan produk paling mantap daripadanya setakat ini. Sebagai jenama antarabangsa yang cemerlang dalam memenuhi keperluan pengguna merentas pasaran, Hisense mempamerkan TV ultra-premium yang menerobos sempadan teknologi paparan, termasuk TV serba lengkap yang luar biasa tipis.

Reruai Hisense dengan bangganya memaparkan TV Laser 4K Smart TriChroma™ (100L7T), penambahan terkini dalam siri memenangi anugerah yang menggunakan unsur-unsur warna asas, iaitu merah, biru dan hijau. Hasilnya merupakan pelbagai warna hampir tidak terhingga termasuk Putih Suci. TV Laser TriChroma mempunyai X-Fusion Laser Light Engine™ yang menggabungkan tiga laser bebas untuk memaparkan pelbagai pilihan warna dan rona dengan tepat, mencapai 96.6% daripada ruang warna rec.2020. Cip TI DLP® memberikan kelajuan gerakan amat pantas dengan kadar segar semula 32 mikro-saat untuk 8.3 juta piksel, mencipta pengalaman tontonan yang tiada tandingan yang perlu anda lihat sendiri untuk mempercayainya.

“Kami teruja untuk mempamerkan keluasan dan kedalaman portfolio produk Hisense 2019 kami dan memperkatakan tentang evolusi seterusnya dalam TV, mudah alih, perkakas dan kini teknologi Kediaman Pintar,” kata Dr. Lan Lin, naib presiden eksekutif Hisense Group Co., Ltd. “Pelaburan berterusan kami dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan wawasan untuk masa depan adalah faktor bagaimana Hisense mencapai kejayaan berkenaan, maka kami mengalu-alukan semua pihak untuk melihat dengan lebih dekat kemajuan yang terhasil daripada usaha berterusan kami dalam membangunkan teknologi inovatif.”

Hisense Sonic One – TV Tipis Serba Lengkap

Televisyen serba lengkap yang luar biasa tipis merupakan antara inovasi untuk disaksikan di reruai Hisense. Berukuran hanya 1.1-inci pada titiknya yang paling dalam, Hisense Sonic One™ ialah gabungan sempurna antara reka bentuk perindustrian dan mekanikal. Profil tipisnya dapat dicapai hasil daripada faktor bentuk pembesar suara Piezoelectric yang mengeluarkan bunyi daripada panel, mengekalkan profil amat tipis demi paparan yang menakjubkan.

ULED XD – Suatu Pengalaman Sempurna

ULED XD ialah sistem unik daripada cip set proprietari Hisense, algoritma pemprosesan imej dan teknologi panel baharu untuk julat dinamik yang belum pernah dicapai sebelum ini dengan hitam yang luar biasa gelap serta kecerahan yang mempesonakan. Panel ULED XD dwisel melapisi modul 1080p yang memaparkan imej skala kelabu antara rangkaian penuh cahaya belakang LED dan modul 4K yang memaparkan imej warna penuh, mencipta penaiktarafan signifikan terhadap pengelaman setempat, warna dan julat dinamik.

Hisense Adonis MD – Standard Paparan Baharu

Paparan MicroLED Adonis MD™ 145-inci baharu menggunakan lebih 10 juta LED mikroskopik yang memberikan kontras, kecerahan dan pengaliran gerakan yang lebih baik, di samping turut mengekalkan kecekapan tenaga. Teknologi termaju ini mewujudkan kefleksibelan yang lebih besar dan kawalan cahaya yang dapat memberi manfaat kepada sesiapa jua bermula dengan pemilik rumah kepada syarikat yang tercari-cari penyelesaian paparan rintis. Hisense Adonis MD mengekalkan pic piksel 0.833mm, memberikan salah satu pengalaman kualiti gambar dengan resolusi paling halus dan paling tepat yang pernah disaksikan di paparan.

Teknologi Pintar, Kehidupan Lebih Pintar

Hisense memaparkan konsep khas di CES, membawa tetamu melihat simulasi langsung bagaimana perkakas Hisense memupuk sambungan lebih baik antara peranti dalam kediaman pintar. Para pengunjung akan berupaya membuka pintu dengan kunci pintar dan mencetuskan tetapan pilihan dengan penyaman udara terhubung. Pengalaman kediaman pintar akan turut membantu pengguna membayangkan masa depan yang semakin hampir ini yang mana ketuhar, peti sejuk dan perkakas lain dapat menjangka keperluan mereka dan bertindak balas terhadap arahan suara daripada Amazon Alexa™.

Telefon Bimbit Berfungsi Sepanjang Masa

Kemajuan terkini dalam rangkaian penuh telefon pintar Hisense akan dipaparkan di CES untuk disaksikan oleh dunia. Rangkaian produk mudah alih yang menggamit perhatian termasuk Infinity H12 menggunakan-dwikamera dan A6 yang menampilkan dua skrin, termasuk satu paparan e-dakwat. Rangkaian telefon bimbit mesra alam yang lebih luas memberi gambaran lebih dekat mengapa Hisense dapat meraih kejayaan berterusan dalam pasaran.

Teknologi Ditonjolkan

Para hadirin CES dapat meninjau rangkaian telefon pintar dan perkakas Hisense serta dapat menyaksikan suatu yang jarang dilihat terhadap mekanisme dalaman berhubung apa yang menjadikan Hisense sebagai peneraju global dalam teknologi paparan. Di dalam reruai ini disediakan kisah-kisah terperinci dan aplikasi-aplikasi yang dapat dilihat terhadap teknologi proprietari Hisense, termasuk ULED, cip set Hi-View dan penyepaduan AI. Ini merupakan antara banyak penambahbaikan dalaman yang dapat meningkatkan kualiti gambar pada produk-produk TV 2019 premium Hisense yang baru diumumkan, iaitu Hisense U9F, Hisense H9F dan Hisense H8F yang julung kali diperkenalkan di CES.

Rangkaian penuh produk Hisense akan dipamerkan di Pameran Elektronik Pengguna di Las Vegas, 8-11 Januari 2019, di reruai #10039, Dewan Central. Untuk maklumat lanjut, kunjungi https://www.hisense-usa.com.

Amazon Alexa™ ialah tanda dagangan berdaftar Amazon.com, Inc.
Semua tanda dagangan lain yang disebutkan di sini merupakan hak milik pemilik masing-masing.

Latar Belakang Hisense USA Corporation dan Hisense Company, Ltd.
Hisense USA Corporation ialah subsidiari Hisense Company, Ltd., ditubuhkan pada tahun 1969 dan beribu pejabat di Qingdao, China. Hisense USA Corporation menawarkan rangkaian produk teknologi inovatif yang mengubah industri barangan elektronik pengguna, mencabar persaingan dan menyediakan nilai signifikan kepada pengguna. Diedarkan di seluruh Amerika Utara, portfolio produk Hisense USA Corporation termasuk televisyen, peti sejuk, penyaman udara, penyahlembap, penyejuk minuman dan penyejuk beku.

Sumber: Hisense

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.