Pengalaman Menguruskan Claim Kereta Hilang, Ambil Tahu 6 Perkara Penting Ini

Kes ini adalah pengalaman penulis sendiri yang telah kehilangan kereta pada bulan Ogos 2017. Sepanjang kehilangan kereta tersebut, penulis terpaksa membayar ansuran bulanan seperti biasa. Hanya pada bulan Mac 2018 barulah urusan dengan pihak insurans selesai.

Adalah diharapkan dengan perkongsian ini pembaca sekalian akan tahu bagaimana menguruskan urusan tuntutan (claim) bagi kenderaan yang hilang.

1. Buat Laporan Polis

Kereta saya hilang pada 3.8.2017. Sebaik hilang saya terus ke balai polis yang berdekatan yang jaraknya kurang dari 200m. Sebaik selesai membuat laporan polis, saya berhubung dengan Pegawai Penyiasat pada esok hari untuk mereka merekodkan kenyataan saya dan bagi mereka melengkapkan kertas siasatan.

Pada masa yang sama saya turut berhubung dengan pihak Insurans bagi urusan tuntutan. Menurut mereka selagi tidak terima sebarang surat rasmi dari pihak PDRM untuk mengesahkan sudah tutup kes maka urusan tuntutan tidak akan selesai. Bagi mempercepatkan urusan saya membuat follow up hampir setiap minggu bagi memohon agar kes ini dapat dipercepatkan.

2. Tunggu Surat Tutup Kes dari pihak PDRM

Menjelang bulan Disember pihak PDRM akhirnya mengeluarkan Surat Tutup Kes. Secara asas kandungan surat ini ialah bagi memaklumkan bahawa siasatan telah dilakukan namun kenderaan tersebut tidak dijumpai dan langkah langkah seperti no pendaftaran dan no casis kereta turut akan disenarai hitamkan.

Hanya selepas surat ini dikemukakan barulah urusan tuntutan boleh dilakukan.

3. Sesi Soal Siasat Bersama Adjuster

Selepas itu barulah pihak Adjuster menghubungi saya untuk membuat satu lagi soal siasat. Beberapa soalan di tanya termasuk lah meminta saya mengemukakan gambar kereta dan bukti masih memiliki 2 kunci kereta tersebut. Menurut Adjuster sekiranya kita hanya memiliki 1 kunci kereta sahaja dan 1 lagi terhilang, itu saja sudah cukup menunjukan kecuaian di pihak kita sebagai pemilik kenderaan. Nasib baik la saya memang menyimpan 2 kunci kereta tersebut lagi.

Pihak Adjuster turut meminta saya membawa segala rekod servis kenderaan saya bagi mengelakan percubaan untuk menipu. Menurut mereka ada kes di mana Pemilik kenderaan sengaja “menghilangkan” kenderaan mereka kerana tidak tahan dengan kondisi kereta yang selalu rosak.

Sekali lagi, saya bernasib baik kerana segala rekod servis saya di simpan oleh pihak Honda Malaysia. Saya hanya menghubungi cawangan Honda Bangi (Global Amity) bagi mendapatkan segala butiran servis saya. Honda Bangi memberikan sepenuh kerjasama pada saya meskipun kadang kala saya servis di tempat selain dari Honda Bangi.

This image has an empty alt attribute; its file name is motor-takaful.jpg

4. Proposal Dari Pihak Insurans

Selepas urusan Adjuster selesai, pegawai insurans meminta tempoh labih kurang 2-3 minggu untuk mereka selesaikan laporan dan untuk mereka kemukakan Proposal. Saya bernasib baik sekali lagi apabila pegawai tersebut menjelaskan pada saya bahawa sekiranya saya tidak berpuas hati dengan proposal yang dicadangkan saya boleh membuat rayuan.

Selepas laporan mereka selesai, mereka kemukakan proposal penyelesaian iaitu sebanyak RM 87,000. Baki hutang saya dengan pihak bank pula ialah sebanyak RM 100,000. Oleh itu saya perlu menambah sebanyak RM 13,000 lagi bagi menyelesaikan urusan ini.

5. Buat Rayuan Dengan Pihak Insurans

Saya buat rayuan bagi mendapatkan jumlah yang sedikit tinggi. Untuk makluman, kereta saya di insuranskan pada harga RM 98,000 namun pihak insurans memberikan pada harga RM 87,000 berdasarkan kepada harga pasaran semasa.

Semasa ini baru lah saya menyesal tidak buat insurans berdasarkan agreed price.

Untuk pengetahuan anda semua, setiap kali membuat pembaharuan insurans kita ada 2 pilihan sama ada memilih agreed price atau based on market value. Jika kita memilih agreed price, kata lah harga dipersetujui ialah RM 100,000 maka pihak Insurans wajib membayar RM 100,000 kepada pihak Bank.

Jika ada lebihan, kita turut boleh meminta lebihan tersebut. Namun agreed price ni mahal berbanding market value. Seingat saya harga pembaharuan insurans untuk agreed price bagi kereta saya ialah lebih RM 4000.

Berbanding dengan market value, harga pembaharuan hanyalah sekitar RM 2000 sahaja. Cuma malangnya ianya akan diberikan berdasarkan market value. Harus di ingat market value kereta ini sememangnya akan turun setiap masa.

Namun syukur sekali lagi pihak insurans bersetuju dengan rayuan saya dan membuat proposal sebanyak RM 93,000.

6. Buat Rayuan Dengan Pihak Bank

Baki hutang saya ialah RM 100,000 sementara insurans pula akan membayar tuntutan pada saya sebanyak RM 93,000. Oleh itu ianya masih berbaki RM 7,000 lagi yang perlu dibayar.

Saya cuba membuat rayuan pada pihak Bank pula agar mereka dapat mempertimbangkan kes saya ini dan saya membuat bargain dengan mereka iaitu untuk membuat penyelesaian penuh.

Bank setuju dengan  menawarkan saya untuk hanya membayar RM 3500 sahaja sebagai full and final payment.

Kesimpulan :

1. Pilih lah insurans agreed price. Ianya mahal tetapi berbaloi. Ada beberapa syarikat yang menawarkan cash back jika tiada tuntutan.

2. Sentiasa ada jalan bila kita ditimpa musibah. Yang penting kena usaha. Saya sendiri tidak sangka pihak bank, insurans dan juga pihak Honda memberikan kerjasama yang sangat baik.

Semoga kita semua dilindungi daripada sebarang musibah dan dipermudahkan segala urusan. Jemput juga baca 4 Tips Elak Kereta Kena Curi Menjelang Musim Perayaan.

Ditulis oleh Zairul Izzain, beliau pernah berkhidmat sebagai peguam di sektor kerajaan dan swasta. Kini melepaskan dunia kepeguaman dan melibatkan diri secara sepenuh masa sebagai seorang ejen takaful.

Beliau berazam untuk mengubah mindset masyarakat bahawa Takafulism bukan sekadar medical card saja malah mencakupi aspek dunia dan akhirat.

Layari www.zairulizzain.com untuk maklumat lanjut.
Previous ArticleNext Article

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

KWSP Suami Meninggal: Boleh Isteri Tuntut Sebagai Harta Sepencarian?

Selama ini, apabila seorang suami meninggal dunia, ramai mungkin menganggap wang KWSP yang ditinggalkan akan terus menjadi harta pusaka dan dibahagikan kepada waris mengikut faraid.

Namun, perkembangan hukum dan keputusan Mahkamah Syariah menunjukkan perkara ini sebenarnya lebih kompleks.

Pada September 2025, Muzakarah Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-128 memutuskan bahawa tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP oleh ahli beragama Islam adalah diharuskan, tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan Mahkamah Syariah.

Keputusan ini membawa satu implikasi penting kepada pasangan yang berkahwin.

Wang KWSP tidak semestinya keseluruhannya menjadi harta pusaka untuk difaraidkan.

Sekiranya Mahkamah Syariah memutuskan sebahagian wang tersebut merupakan hak harta sepencarian pasangan, bahagian itu akan diberikan kepada pasangan terlebih dahulu. Bahagian yang diperintahkan sebagai harta sepencarian tersebut pula tidak dikira sebagai harta pusaka pencarum dan tidak tertakluk kepada pembahagian faraid.

Tetapi sebenarnya, isu ini bukan bermula pada 2025

Menariknya, beberapa negeri sudah mempunyai perkembangan berkaitan isu ini sebelum keputusan Muzakarah Kebangsaan tersebut.

Kelantan: kes KWSP sebagai harta sepencarian sejak 2000-an

Antara kes yang sering dirujuk ialah Norhayati binti Yusoff lwn Ahmad Shah bin Ahmad Tabrani, yang diputuskan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kes tersebut, wang KWSP suami menjadi antara aset yang dituntut sebagai harta sepencarian.

Mahkamah mengiktiraf konsep sumbangan tidak langsung isteri. Walaupun isteri mungkin tidak membuat caruman KWSP secara langsung, sumbangan kepada rumah tangga boleh menjadi faktor dalam menentukan hak harta sepencarian.

Ini penting kerana ia menunjukkan bahawa persoalan harta sepencarian bukan semata-mata tentang siapa yang memasukkan duit ke dalam akaun.

Sumbangan pasangan kepada rumah tangga juga boleh mempunyai nilai dari sudut undang-undang Syariah.

Selangor pula mempunyai pendirian yang jelas

Dalam panduan Jabatan Mufti Selangor pada 2020 berkaitan wang KWSP selepas kematian suami, dinyatakan bahawa isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian sepanjang tempoh perkahwinan dengan arwah suami sebelum lebihan harta tersebut dibahagikan mengikut faraid.

Kemudian pada 2023, Selangor mempunyai fatwa khusus berkaitan harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan. Rujuk Fatwa Tentang Harta Sepencarian Selepas Kematian Salah Satu Pihak Dalam Perkahwinan Di Negeri Selangor.

Ini menunjukkan konsep tuntutan harta sepencarian selepas kematian bukan sesuatu yang hanya muncul selepas keputusan MKI pada 2025.

Johor: daripada pendirian lama kepada pendekatan baharu

Pendirian terdahulu di Johor menyatakan wang KWSP pencarum yang meninggal dunia merupakan harta pusaka dan tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Fatwa Johor yang lebih lama, dikeluarkan pada 2013, menyatakan:

“Apabila pencarum KWSP meninggal, wang KWSP ialah harta pusaka dan perlu difaraidkan; ia tidak boleh dijadikan harta sepencarian.

Namun, selepas keputusan MKI 2025, Johor mengambil pendekatan baharu yang membenarkan tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP bagi ahli beragama Islam yang layak, tertakluk kepada keputusan Mahkamah Syariah. Rujuk Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor.

Perubahan ini menunjukkan bagaimana pendirian berkaitan KWSP dan harta sepencarian boleh berkembang mengikut keputusan hukum dan kerangka undang-undang semasa.

NegeriKedudukan yang ditemuiTahun / status
KelantanAda kes Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan tuntutan terhadap KWSP sebagai harta sepencarian; turut ada fatwa berkaitan tuntutan harta sepencarian selepas kematianKes 2006; Fatwa Negeri 2002
SelangorSecara rasmi mengiktiraf bahawa selepas kematian salah satu pihak, pasangan boleh menuntut harta sepencarian. Soal jawab Mufti Selangor juga secara jelas menyebut isteri boleh menuntut harta sepencarian terhadap KWSP arwah sebelum baki difaraidkanFatwa 2023; panduan 2020
JohorDahulu berpendirian sebaliknya: KWSP ialah harta pusaka dan tidak boleh dijadikan harta sepencarian. Tetapi pada 2026, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengeluarkan keputusan baharu yang membenarkan tuntutan KWSP sebagai harta sepencarian, selaras dengan MKI 20252013 → berubah 2026
SarawakPernah memutuskan wang caruman KWSP tidak boleh dianggap harta sepencarian, sebaliknya harta pusaka yang difaraidkanKeputusan terdahulu

Jadi, apa maksudnya kepada pasangan?

Kita ambil contoh mudah.

Katakan seorang suami meninggal dunia dan meninggalkan RM500,000 dalam KWSP.

Isteri membuat tuntutan harta sepencarian.

Jika Mahkamah Syariah selepas mempertimbangkan tuntutan tersebut memutuskan bahawa RM150,000 adalah hak harta sepencarian isteri, maka RM150,000 itu bukan lagi sebahagian daripada harta pusaka suami untuk difaraidkan.

Baki RM350,000 pula barulah menjadi sebahagian daripada harta pusaka, tertakluk kepada proses pengurusan pusaka dan pembahagian mengikut faraid.

Jadi bukan bermaksud:

“Isteri automatik dapat separuh KWSP.”

Tidak.

Yang betul ialah:

“Isteri yang layak boleh membuat tuntutan, dan jumlah yang menjadi harta sepencarian bergantung kepada keputusan Mahkamah Syariah.”

Kenapa perkara ini penting untuk perancangan pusaka?

Sebab ramai orang melihat KWSP hanya daripada sudut simpanan persaraan.

Tetapi apabila berlaku kematian, ia menjadi sebahagian daripada proses pengurusan harta si mati.

Dalam konteks pasangan Islam, terdapat beberapa perkara yang perlu dibezakan:

Pertama, harta sepencarian.

Ini ialah tuntutan pasangan terhadap harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan, tertakluk kepada undang-undang dan keputusan Mahkamah Syariah.

Kedua, harta pusaka.

Selepas hak-hak yang berkaitan seperti harta sepencarian ditentukan, baki harta si mati boleh menjadi harta pusaka.

Ketiga, faraid.

Baki harta pusaka kemudiannya dibahagikan kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.

Sebab itu seseorang tidak boleh terus melihat angka KWSP dan berkata:

“Ini semua akan difaraidkan.”

Ia bergantung kepada keadaan dan, bagi tuntutan harta sepencarian, keputusan Mahkamah Syariah.

Namun, jangan salah faham

Keputusan MKI 2025 bukan bermaksud setiap isteri automatik mendapat sebahagian daripada KWSP suami.

Ia hanya membuka ruang bahawa tuntutan tersebut diharuskan.

Tuntutan masih perlu dibuat dan dipertimbangkan oleh Mahkamah Syariah.

Jumlahnya juga tidak semestinya 50:50.

Mahkamah boleh melihat kepada pelbagai faktor dan bukti berkaitan sumbangan pasangan serta keadaan harta yang dituntut.

Satu lagi perkara penting ialah status keputusan hukum tersebut di setiap negeri. Keputusan Muzakarah MKI perlu dilihat bersama peruntukan dan proses undang-undang Syariah negeri masing-masing.

Daripada “siapa dapat KWSP?” kepada “apa hak setiap pihak?”

Ini sebenarnya perubahan cara kita melihat perancangan pusaka.

Bila seorang suami meninggal dunia, persoalannya bukan semata-mata:

“Berapa banyak isteri dapat?”

Tetapi:

“Apakah hak isteri sebagai pasangan? Apakah yang menjadi harta sepencarian? Apakah yang benar-benar menjadi harta pusaka? Dan siapa yang berhak menerima baki tersebut melalui faraid?”

Perbezaan ini nampak kecil, tetapi dari sudut nilai harta, ia boleh menjadi sangat besar.

Lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai simpanan KWSP jutaan ringgit.

Maka, bagi pasangan yang beragama Islam, memahami kedudukan harta sepencarian dan faraid semasa masih hidup jauh lebih baik daripada cuba memahami semuanya selepas berlaku kematian.

KWSP bukan sekadar soal berapa banyak kita berjaya kumpul. Kita juga perlu tahu bagaimana wang itu akan diurus apabila kita sudah tiada.

Penafian: Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan nasihat undang-undang, fatwa atau nasihat kewangan. Kedudukan harta sepencarian, tuntutan wang KWSP dan proses pembahagian harta pusaka boleh berbeza mengikut negeri, fakta kes dan keputusan Mahkamah Syariah. Pembaca disarankan mendapatkan nasihat daripada peguam syarie, pihak berkuasa agama negeri atau pihak yang berkelayakan sebelum membuat sebarang tuntutan atau keputusan berkaitan harta pusaka.