9 Tips Financial Freedom Untuk Gologan Belia – Daripada Seorang Jutawan Muda

Bebas daripada belenggu masalah kewangan dan bergelar jutawan muda pastinya menjadi impian setiap daripada kita. Nak kaya bukanlah sesuatu yang mudah tetapi ianya juga tidak mustahil.

Seorang jutawan muda, Sam Dogen iaitu pengasas Financial Samurai berkongsi tips bagaimana beliau berjaya menjadi jutawan seawal usia 28 tahun.

1. Fokus Pada Pelajaran

Bukan semua orang berpeluang mendapat pendidikan sehingga ke peringkat tertinggi. Sekiranya kita berjaya sehingga ke peringkat universiti, gunakan peluang ini sebaik-baiknya untuk mendapatkan pointer tertinggi.

Walaupun ramai yang mengatakan bahawa majikan lebih pentingkan pengalaman, tetapi mereka tetap akan melihat keputusan peperiksaan kita juga nanti. Tambah lagi dengan lambakan graduan, pastinya majikan nak cari yang terbaik untuk syarikat mereka.

2. Menabung Walaupun Sukar

Ini menjadi masalah bagi kebanyakan orang. Nak menyimpan, tapi hati ni selalu saja tergoda untuk membelanjakan duit terhadap perkara-perkara yang tidak penting seperti barangan berjenama, tinggal di rumah mewah dan sebagainya.

Cuba disiplinkan diri anda untuk menyimpan sekurang-kurangnya 10% daripada gaji bulanan.

3. Kerja Keras

Nak berjaya, tentulah ada perkara yang perlu dikorbankan seperti masa dan tenaga. Walaupun kita bekerja dengan orang lain, kita perlu bekerja kuat seperti syarikat itu anda yang punya.

Nampak macam tak bestkan? Tapi percayalah pengalaman yang kita bakal peroleh itu memang berguna untuk masa hadapan.

4. Jadikan Bidang Hartanah Sebagai Sahabat Baik

Tidak rugi pun kalau kita buat keputusan untuk melabur dalam bidang hartanah. Tambah lagi di Malaysia, harga aset ini jarang sekali merudum teruk.

Kita boleh buat duit dengan hartanah yang kita miliki sama ada menjualnya kembali atau pun menyewakan unit tersebut. Ramai yang dah berjaya menghasilkan pendapatan berganda dengan pelaburan hartanah ni.

5. Hidup Sederhana

Memiliki kereta mewah, barangan berjenama dan makan di restoran mewah merupakan gaya hidup impian hampir setiap orang. Tetapi adakah ianya perlu?

Mark Zuckerberg dan Steve Jobs yang bergelar bilionaire pun pakai baju yang sama setiap hari. Kalau nak bergaya tak salah, tetapi janganlah keterlaluan. Bukankah bersederhana itu lebih baik?

6. Pendapatan Sampingan

Zaman sekarang, melakukan dua atau tiga kerja bukanlah sesuatu yang pelik. Dengan kos sara hidup yang semakin tinggi serta impian untuk hidup selesa membuatkan ramai belia yang melakukan kerja part-time setelah tamat masa kerja.

Ini membolehkan kita menambah lagi simpanan sedia ada.

7. Bina Network Yang Kuat

Kalau nak berjaya, jangan sombong dengan orang. Bukan bermaksud nak suruh kita jadi kaki kipas atau pembodek. Cukuplah dengan menjaga hubungan dengan orang sekeliling.

Jangan lokek untuk memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan. Mereka inilah yang bakal menjadi penyokong kuat kita dalam alam pekerjaan mahu pun perniagaan.

8. Melabur Dalam Pendidikan

Walaupun dah tamat belajar, kita perlu sentiasa memantapkan diri dengan ilmu untuk kekal bersaing. Carilah ilmu yang boleh menambah kemahiran kita bagi memenuhi untuk keperluan pasaran.

Untungnya zaman sekarang semuanya di hujung jari. Jadi kita boleh dapatkan tips atau belajar secara online sahaja.

9. Kekal Di Atas Trek

Kita mesti pernah dengar kisah sesetengah orang yang berjaya, namun akhirnya muflis kerana kurangnya ilmu dalam bidang kewangan. Sekarang terdapat banyak laman web dan juga aplikasi yang boleh membantu kita untuk melihat aliran tunai, mengira kewangan dan juga bentuk pelaburan yang boleh kita manfaatkan.

Nak dapatkan apa yang kita impikan pastinya perlukan pengorbanan. Kita mungkin akan kurang masa untuk bersosial bersama-sama dengan rakan sebaya.

Tetapi jika pengorbanan sekarang menjanjikan sesuatu yang lebih baik di masa hadapan, apa salahnya kan?

Sumber Rujukan: https://www.cnbc.com/2019/06/05/10-money-rules-that-helped-me-become-a-millionaire-at-28.html

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Jimat Berlebihan Boleh Melumpuhkan Ekonomi Negara

Dalam ilmu kewangan, kita sering ditekankan dengan pesanan supaya menyimpan wang untuk kegunaan masa hadapan. Pesanan itu tidak salah sama sekali. Namun, dari sudut ekonomi makro, wujud satu fenomena yang dipanggil sebagai ‘Paradox of Thrift’. Jika semua orang, terutamanya mereka yang masih mempunyai pendapatan stabil memutuskan untuk berhenti berbelanja secara drastik, ekonomi tidak akan menjadi lebih kukuh. Sebaliknya, ia akan menjadi lumpuh!

Suntikan tunai daripada perbelanjaan anda sebenarnya adalah minyak pelincir yang menggerakkan enjin ekonomi negara. Jika pendapatan anda tidak terjejas, berikut adalah tiga perkara yang anda perlu teruskan demi kelangsungan ekonomi komuniti.

1. Terus Makan Di Restoran Seperti Biasa

Apabila anda melangkah masuk ke dalam restoran dan memesan sepinggan nasi atau secawan sirap limau, wang tersebut tidak hanya terhenti di tangan pemilik kedai. Ia sebenarnya memulakan satu rantaian ekonomi yang sangat luas.

Sebagai contoh, bayangkan anda membayar RM20 untuk makan tengah hari. Wang itu akan digunakan oleh pemilik restoran untuk membayar bil elektrik kedai, sewa premis dan yang paling penting adalah gaji para pekerja. Pekerja tersebut pula akan menggunakan gaji mereka untuk membeli barangan keperluan harian di pasar raya. Selain itu, pemilik restoran juga perlu membayar pembekal ayam, sayur dan beras di pasar borong.

Jika anda dan ramai lagi orang lain berhenti makan di situ, rantaian ini akan putus. Pembekal sayur akan kehilangan pembeli dan pekerja restoran mungkin kehilangan pekerjaan. Ekonomi adalah satu kitaran yang saling berkait.

2. Terus Membeli Di Gerai Tepi Jalan

Peniaga marhaen atau peniaga kecil biasanya tidak mempunyai simpanan tunai yang besar seperti syarikat korporat. Mereka sangat bergantung kepada aliran tunai harian untuk meneruskan hidup.

Ambil contoh seorang peniaga goreng pisang di simpang jalan. Pelanggan utama mereka mungkin terdiri daripada pekerja pejabat di kawasan sekitar yang masih mempunyai gaji tetap. Jika semua pelanggan ini memutuskan untuk berhenti membeli kerana terlalu panik, jualan peniaga tersebut akan jatuh menjunam.

Kesannya, peniaga kecil ini tidak lagi mampu untuk membeli bahan mentah daripada pembekal lain atau membayar keperluan sekolah anak-anak mereka. Apabila peniaga kecil tidak mempunyai kuasa beli, ekonomi di peringkat akar umbi akan mula mati secara perlahan lahan.

3. Terus Gunakan Perkhidmatan Penghantaran Makanan

Mungkin ada yang berasa bersalah untuk memesan makanan melalui aplikasi seperti Grab atau Foodpanda kerana dianggap membazir kos penghantaran. Namun, sedarilah bahawa dalam situasi ekonomi yang mencabar, sektor ekonomi gig adalah penyelamat utama bagi mereka yang telah kehilangan pekerjaan tetap.

Misalnya, anda memesan makanan secara segera kerana tidak sempat memasak atau ada urusan penting. Wang yang anda belanjakan itu bukan sahaja memberi keuntungan kepada vendor makanan, tetapi ia memberikan pendapatan langsung kepada rider yang menghantarnya.

Bagi anda, caj penghantaran mungkin sekadar beberapa ringgit sahaja. Tetapi bagi seorang rider, itulah modal untuk mereka mengisi minyak motosikal dan menyediakan makanan di atas meja untuk keluarga mereka. Dengan terus membuat pesanan, anda sedang memastikan ekosistem logistik ini terus bernafas.

Berjimat Biar Bertempat

Kita perlu bijak membezakan antara amalan berjimat dengan tindakan berhenti berbelanja. Berjimat bermaksud anda mengurangkan pembelian barangan mewah yang tidak perlu seperti gajet terbaharu atau barangan berjenama.

Memang benar, mengurangkan pembelian gajet atau barangan mewah mungkin menjejaskan pekerja di sektor tersebut. Namun, dalam fasa menghadapi krisis, keutamaan kita adalah pada keperluan asas dan ekonomi tempatan.

Wang yang dibelanjakan di gerai nasi lemak atau restoran tempatan berpusing lebih cepat dalam komuniti setempat berbanding pembelian barangan import yang keuntungannya akan mengalir ke luar negara. Pekerja kedai gajet mungkin terkesan, namun kerosakan ekonomi adalah jauh lebih parah jika peniaga makanan dan pembekal bahan mentah (nadi utama rakyat) yang tumbang dahulu.

Jika anda masih mempunyai slip gaji yang stabil dan aliran tunai yang sihat, jadilah wira ekonomi yang tidak didendang. Teruskan menyokong peniaga marhaen di sekeliling anda.