Bank Pusat Global Terpaksa Memotong Kadar Faedah

Bank pusat Amerika Syarikat (Federal Reserve) seperti yang dijangka telah memotong kadar faedahnya sebanyak 25 mata asas pada bulan Julai yang lalu. Pemotongan ini adalah yang pertama sejak kemelesetan ekonomi lebih sedekad yang lalu dan seakan menunjukkan ‘kadar faedah rendah’ akan kekal dalam tempoh yang lama.

Tidak kurang juga yang meramalkan pemotongan kadar faedah sebanyak 50 mata asas dengan Presiden Donald Trump kerap memberi tekanan dan kritikan kepada Federal Reserve (The Fed) untuk melonggarkan dasar.

Bukan sahaja di Amerika Syarikat, bank pusat lain di dunia juga menurunkan kadar faedah mereka, contohnya Bank Negara Malaysia (BNM) yang telah menurunkan kadar OPR (Overnight Policy Rate) bulan Mei yang lalu. Bank pusat New Zealand (Reserve Bank of New Zealand) pula mengejutkan pemerhati pasaran apabila memotong kadar tunai (cash rate) sebanyak 50 mata asas kepada 1%. Terbaru, bank pusat India, Thailand dan Filipina juga telah menurunkan kadar faedah pada bulan ini.

Walaupun tidak semua bank pusat di dunia menurunkan kadar faedah, tetapi kesemuanya cenderung untuk melonggarkan dasar monetari untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi masing-masing disebabkan aktiviti ekonomi yang semakin perlahan terutamanya China.

Isu Geopolitik Punca Pemotongan Kadar Faedah

Apabila meneliti perkembangan ekonomi sejak awal tahun 2018, kita bolehlah meletakkan puncanya kepada Presiden Donald Trump disebabkan dasar ekonomi yang terlalu melindungi (protectionism) ekonomi Amerika Syarikat. Hasilnya China dikenakan tarif import terhadap hampir kesemua eksportnya ke Amerika Syarikat. China pula tidak hanya berdiam diri dan menggunakan senjata perdagangannya menyerang semula ekonomi Amerika Syarikat.

Serangan AS tidak terhenti di situ sahaja, Zon-Eropah juga berhadapan dengan serangan perdagangan dan beberapa negara yang lain.

Hasilnya? Pertumbuhan ekonomi dunia semakin perlahan dan memberi kesan negatif kepada pasaran kewangan global. Lebih teruk lagi, ramai penganalisa yang menjangka kemelesetan ekonomi akan berlaku dalam tempoh terdekat.

Bank Pusat Terpaksa Melonggarkan Dasar

Menurut tinjauan yang dibuat terhadap pegawai kewangan di Amerika Syarikat pada Jun 2019, pertumbuhan ekonomi paling panjang dalam sejarah AS mungkin akan berakhir. Kebimbangan mereka terhadap ketidaktentuan ekonomi dan perang dagang berkemungkinan akan mengakhiri pertumbuhan positif sejak sedekad yang lalu.

Hampir separuh daripada mereka iaitu 48% daripada pegawai tinggi kewangan di Amerika Syarikat meramalkan kemelesetan akan berlaku pada pertengahan tahun 2020. Dan sebanyak 69% daripada mereka meramalkan pertumbuhan negatif akan bermula pada penghujung tahun hadapan.

Maka disebabkan kebimbangan inilah, bank-bank pusat di seluruh dunia cenderung untuk melonggarkan dasar monetari dengan menurunkan kadar faedah.

Memotong kadar faedah ke paras rendah dapat menurunkan kos pinjaman dan meningkatkan bekalan wang di dalam ekonomi yang mana bertujuan untuk meningkatkan aktiviti ekonomi di sesebuah negara. Kadar faedah yang rendah dapat memangkin pertumbuhan di mana pengguna dan perniagaan dapat berbelanja dan membuat pelaburan baru.

Cabaran Dalam Menurunkan Kadar Faedah

Lee Heng Guie pengarah Pusat Kajian Sosio-Ekonomi (SERC) berkata, “Dengan ketidaktentuan ekonomi global yang semakin meningkat disebabkan ketegangan perang perdagangan, kami menjangka kadar faedah global akan kekal rendah dalam tempoh 12 bulan akan datang untuk melindungi ekonomi daripada sebarang risiko yang mampu memberi kesan kepada ekonomi global.

Ia relevan apabila mengatakan ekonomi dunia sudah terbiasa dengan ‘kadar faedah rendah’ sejak 10 tahun lalu yang banyak membantu pemulihan dan perkembangan ekonomi. Walaubagaimanapun, kadar faedah yang rendah dalam jangka panjang mempunyai kesan buruk kepada ekonomi itu sendiri.

Dengan keadaan semasa pasaran yang mudah terkesan, ia sebenarnya memberi tekanan kepada bank pusat. Bank pusat mempunyai beberapa alat yang boleh digunakan untuk merancakkan semula kegiatan ekonomi tetapi dengan keadaan fiskal dan hutang yang tinggi di sesetengah negara menyebabkan ia terdedah kepada risiko yang lain, demikian kata Lee Heng Guie.

Mitul Kotecha seorang penganalisa pasaran di bank pelaburan TD Securities pula berkata, ancaman terhadap ekonomi seperti perang dagang dan Brexit menyukarkan autoriti untuk hanya bergantung kepada dasar monetari.

“Pada pendapat saya, pemotongan kadar faedah akan membantu, tetapi sama ada ia mencukupi untuk melawan tekanan negatif dan pertumbuhan global yang perlahan masih menjadi perdebatan,” kata beliau kepada CNBC.

Dalam hal ini, dasar monetari juga perlu diimbangi dengan dasar fiskal oleh kerajaan dengan tambahan perbelanjaan ataupun pemotongan cukai.

Penganalisis ekonomi di Societe Generale, Kunal Kumar Kundu berkata; ia memerlukan dua perkara iaitu perbelanjaan kerajaan yang lebih besar dan kadar faedah rendah yang mana akan lebih efektif dalam menaikkan pertumbuhan dalam situasi semasa di mana perniagaan banyak terkesan oleh perang perdagangan AS-China.

Presiden The Fed cawangan Boston pula berpendapat bank pusat perlu berhati-hati dan tidak menurunkan kadar faedah terlalu rendah kerana ia akan menyebabkan pemilik rumah dan perniagaan mengambil hutang lebih banyak, seterusnya menjadikan kemelesetan lebih menyakitkan.

Ada benarnya apa yang dikatakan oleh Rosengren, dalam usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi bank pusat akan membanjiri ekonomi dengan wang yang lebih murah melalui pemotongan kadar faedah. Murah di sini bermaksud, kos untuk meminjam daripada bank menjadi lebih murah.

Persoalannya sekarang bagaimana jika kemelesetan tetap berlaku walaupun dengan kadar faedah yang kekal rendah. Ini akan menyukarkan bank pusat kerana kekurangan alat dalam dasar monetari untuk menaikkan semula pertumbuhan ekonomi. Inilah cabaran besar kepada bank pusat pada hari ini berbanding sedekad yang lalu.

Sumber Rujukan:

  1. https://www.nytimes.com/2019/08/17/upshot/how-the-recession-of-2020-could-happen.html
  2. https://www.cbsnews.com/news/nearly-half-of-u-s-financial-chiefs-expect-economic-recession-within-a-year/
  3. https://www.theedgemarkets.com/article/state-nation-say-hello-extended-low-interest-rates
  4. https://www.cnbc.com/2019/08/21/interest-rate-cuts-in-asias-emerging-markets-may-not-be-enough.html
  5. https://www.marketwatch.com/story/feds-rosengren-says-cutting-interest-rates-now-would-make-next-recession-worse-2019-08-19

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bukan Semua Masalah Hutang Bermula Dengan Sikap Boros

Apabila kita membincangkan isu hutang, tanggapan yang sering muncul ialah seseorang itu mungkin terlebih berbelanja, tidak pandai mengurus wang, atau mengambil pinjaman tanpa berfikir panjang.

Namun, daripada pengalaman saya sendiri dan kerja harian kami bersama peminjam, realitinya tidak semudah itu.

Belakangan ini, ramai yang terperangkap dalam hutang bukan kerana mereka sengaja mahu hidup di luar kemampuan. Sebaliknya, masalah sering bermula daripada perkara yang nampak biasa, seperti kad kredit, bayaran minimum, ansuran kecil, pinjaman peribadi, atau kemudahan Beli Sekarang, dan Bayar Kemudian atau Buy Now, Pay Later (BNPL). Pada awalnya, angka pinjaman kelihatan kecil dan masih terkawal. Walau bagaimanapun, apabila faedah, caj lewat bayar dan komitmen bulanan mula bertambah, hutang yang kecil boleh menjadi suatu beban yang berat.

Inilah jurang yang jarang dibincangkan secara terbuka. Akses kepada kredit semakin mudah, tetapi kefahaman tentang kos sebenar hutang masih belum berkembang pada kadar yang sama.

Menurut Bank Negara Malaysia, hutang isi rumah kekal tinggi pada 84.8% daripada KDNK, bersamaan RM1.67 trilion pada akhir 2025. Angka ini menunjukkan betapa besarnya kebergantungan rakyat Malaysia terhadap kredit. Dalam masa yang sama, AKPK juga menekankan bahawa kad kredit dan pinjaman peribadi menyumbang kepada sebahagian besar kes pelanggan yang berhadapan kesukaran kewangan.

Bagi saya, isu ini bukan sekadar tentang berapa banyak peminjam, sebaliknya tentang berapa ramai yang benar-benar faham apa yang berlaku selepas mereka meminjam.

Sebagai contoh, bayaran minimum kad kredit. Ramai menganggap selagi mereka membayar jumlah minimum setiap bulan, status masih terkawal. Secara teknikal, akaun mungkin tidak tertunggak. Tetapi dari sudut kewangan, baki hutang masih berjalan, faedah masih dikira, dan tempoh pembayaran boleh menjadi jauh lebih panjang daripada yang dijangka.

Begitu juga dengan BNPL. Kemudahan ini boleh membantu jika digunakan secara berdisiplin, terutamanya untuk pembelian yang benar-benar perlu. Walaupun begitu, apabila seseorang mula mengambil beberapa komitmen kecil pada masa yang sama, jumlah keseluruhan boleh menjadi sukar dipantau. RM50 di satu platform, RM80 di platform lain, dan RM120 di tempat lain. Jumlah ini mungkin nampak kecil secara berasingan. Tetapi apabila digabungkan dengan sewa, ansuran kereta, bil telefon, pinjaman peribadi dan kad kredit, tekanan aliran tunai mula terasa.

Apa yang saya lihat adalah ramai peminjam sebenarnya bekerja, mempunyai pendapatan tetap, dan cuba memenuhi komitmen mereka sebaik mungkin. Mereka bukan tidak mahu membayar. Masalahnya, mereka lambat sedar bahawa struktur hutang mereka sudah tidak lagi sihat.

Di BlueBricks, kami menerima sekitar 30 hingga 40 pertanyaan penyatuan hutang setiap hari. Sebahagian besar datang daripada golongan bekerja yang pada awalnya menyangka hutang mereka masih boleh dikawal. Hal ini dapat kita lihat, apabila satu pinjaman digunakan untuk menutup pinjaman lain, atau kad kredit digunakan untuk menampung perbelanjaan asas, itu biasanya tanda bahawa masalah sudah masuk ke peringkat yang lebih serius.

Saya sendiri pernah melalui tekanan hutang yang besar selepas satu pelaburan gagal. Pengalaman itu mengajar saya bahawa tekanan kewangan bukan hanya soal nombor. Implikasinya, dari sudut emosi, keluarga, keyakinan diri dan cara seseorang membuat keputusan. Apabila seseorang berada dalam keadaan terdesak, mereka lebih mudah percaya kepada tawaran yang nampak cepat, mudah dan terlalu baik untuk menjadi benar.

Oleh itu, literasi kewangan tidak boleh berhenti pada nasihat umum seperti “jangan berhutang” atau “belanja ikut kemampuan”. Nasihat itu betul, tetapi tidak cukup. Pengguna perlu faham bagaimana faedah dikira, apa kesan bayaran minimum, bagaimana caj penalti terkumpul, dan bila sesuatu komitmen itu sudah mula menjejaskan kestabilan kewangan mereka.

Kita juga perlu lebih jujur bahawa celik kewangan bukan hanya penting untuk mereka yang berpendapatan rendah. Golongan profesional juga boleh terperangkap, terutamanya apabila gaya hidup, komitmen keluarga, kos sara hidup dan akses mudah kepada kredit bertembung pada masa yang sama.

Pada akhirnya, kad kredit, pinjaman dan BNPL boleh menjadi alat yang berguna jika dimanfaatkan dengan kefahaman dan disiplin. Tetapi tanpa pengetahuan yang mencukupi, alat yang sama boleh menjadi permulaan kepada kitaran hutang jangka panjang.

Jika Malaysia mahu membina masyarakat yang lebih stabil dari segi kewangan, kita perlu bergerak daripada sekadar memberi akses kepada kredit kepada memastikan pengguna benar-benar faham tanggungjawab yang datang bersamanya.

Kerana selalunya, masalah hutang tidak bermula apabila seseorang gagal membayar. Ia bermula lebih awal, apabila seseorang tidak benar-benar tahu berapa mahal harga sebenar hutang yang mereka ambil.

Penafian: Pandangan yang disediakan dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan. Harap maklum bahawa produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh BlueBricks Holdings adalah tidak patuh Syariah.

Nota: Artikel ini merupakan hasil sumbangan daripada Karl Ng, Pengarah BlueBricks Holdings