Kenapa Harga Saham Turun Naik?

Harga saham sering berubah-ubah, meningkat dan menurun harganya. Betul, kadang-kadang ada juga saham yang harganya tak bergerak. Kadang-kadang ada yang harganya naik tinggi atau turun dengan sangat banyak sehingga terkejut kita dibuatnya.

“Mengapa harga saham berubah-ubah? Apa yang menyebabkan harga saham turun naik?

Ini adalah soalan hebat dan sering ditanya oleh pelabur baru. Untuk membantu kita memahaminya, kita kena faham dulu asas mengenai apa yang menyebabkan turun naik harga saham ini.

Prosedur Dan Fungsi Pasaran Saham

Pasaran saham pada dasarnya macam pusat lelong rumah. Cuma bukan jual rumah tetapi aktiviti jual beli pegangan syarikat, dengan satu pihak ingin menjual hak milik dalam syarikat dan satu pihak lagi ingin membeli. Apabila kedua-dua pihak bersetuju dengan harga tersebut, transaksi jual beli pun berlaku.

Pembeli dan penjual ini biasanya terdiri daripada individu, perusahaan, institusi atau pengurus aset. Selain daripada kita sebagai pelabur runcit, kita juga ada mereka yang menguruskan wang untuk pelanggan, pengurus dana (ASB, TH, KWSP), dana unit trust, dana pencen (KWAP) dan ramai lagi.

Sebab Harga Saham Naik Dan Turun

Disebabkan pasaran saham berfungsi seperti tempat untuk berjual beli, ada ketika di mana lebih ramai pembeli daripada penjual dan hal ini cenderung mendorong harga saham untuk naik. Selain itu ia juga menarik minat pelabur yang sebelumnya tidak berminat menjual untuk menjual.

Namun, apabila bilangan penjual melebihi bilangan pembeli, ada yang tergesa-gesa untuk membuang harga dan memberi tawaran terendah yang menyebabkan penurunan harga. Ini boleh menjadi masalah dan masing-masing akan pakat jual atau ‘panic selling‘.

Faktor Lain: Harga Saham Turun Naik

Selalunya, pelabur memilih untuk membeli atau menjual saham berdasarkan penilaian sama ada sesebuah syarikat tersebut bernilai atau pun tidak. Golongan ini lebih kepada pelabur jangka masa panjang dan banyak bergantung kepada Analisa Fundamental untuk membuat keputusan.

Ianya juga bergantung kepada prospek syarikat untuk menjana pendapatan dan keuntungan yang lebih besar pada masa hadapan, sudah tentu apabila syarikat bakal meraih pendapatan yang lebih besar – kita sebagai pelabur akan menikmati dividen dan juga kenaikan harga saham.

Selain daripada itu, catalyst atau pemangkin juga bakal mempengaruhi sentimen orang ramai.

Senario politik semasa juga antara faktor yang boleh mempengaruhi. Contoh paling ketara selepas PRU-14, jemput baca Saham-saham Yang Jatuh Teruk Sehari Lepas PRU-14 dan Saham Yang Jatuh Teruk Lepas PRU-14 Dah Mula Nak Rebound.

Sekiranya ekonomi dijangka meningkat dan negara berkembang maju, sudah pasti ramai pelabur akan berasa yakin dan terus melabur, malah meningkatkan pelaburan mereka kerana berasa ‘selamat’.

Namun, apabila krisis ekonomi berlaku atau bencana alam dan penularan wabak penyakit akan menyebabkan turunnya harga saham. Para pelabur akan bawa keluar duit mereka ke pelaburan safe haven. Jemput baca Ekonomi Berdepan Krisis? Pegang 5 Aset ‘Safe Haven’ Ini Untuk Lindungi Diri Kita.

Asas Supply & Demand

Kalau kita perasan, turun atau naik harga saham bergantung kepada asas penawaran dan permintaan.

Kita ambil contoh wabak Covid-19 yang sedang melanda seluruh dunia ketika ini. Sektor sarung tangan getah dan penjagaan kesihatan (topeng muka, farmasi, teknologi kesihatan) menyaksikan permintaan yang meningkat. Apabila permintaan melebihi penawaran, syarikat dijangka menjana pendapatan yang lebih tinggi. Maka, ramai akan minat nak beli saham syarikat. Automatik harga saham-saham bagi syarikat ini akan meningkat naik.

Baca juga Saham-Saham Glove Terus Terbang.

Sebaliknya yang berlaku kepada sektor penerbangan dan perhotelan.

Apabila orang ramai lebih banyak duduk di rumah dan tidak keluar bercuti makan angin, apabila tiada permintaan untuk sektor ini, maka syarikat dijangka menjana pendapatan yang berkurangan, sekaligus keuntungan juga berkurang. Maka, kita boleh lihat harga saham bagi syarikat dalam industri ini telah jatuh harganya (sebab tak ramai minat nak beli).

Analogi lain, minyak murah pun, bukan kita boleh pergi mana, ya tak?

Tetapi apabila keadaan kembali pulih, orang ramai bebas ke sana ke sini, permintaan mula meningkat, maka sektor ini akan kembali pulih dan mengakibatkan harga saham meningkat semula.

Adanya Sindiket Yang ‘Menolak’ Naik Harga Saham?

Selain daripada itu, katanya wujud sindiket yang membeli harga saham secara berjemaah. Mereka ini daripada kumpulan yang sama, menggunakan modal yang besar untuk melakukan transaksi jual beli sesama sendiri bagi menghasilkan volume yang tinggi.

Kalau tengok kepada chart, angin takde ribut takde, tiba-tiba harga saham meletup naik. Fundamental koyak, syarikat rugi, masakan tiba-tiba harga saham melonjak dengan volume yang tinggi?

Ini sering terjadi kepada ‘super penny stock’ atau saham di bawah 10 sen yang mudah untuk dimanipulasi harganya. Kalau boleh, jauhilah saham-saham ‘murah’ ini kerana takut kita tersangkut di puncak.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Timur Tengah Dilanda Konflik: Krisis Menjadi Peluang?

Risiko geopolitik jadi tumpuan utama

Peperangan Iran yang sedang berlaku sekarang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelabur, memandangkan ia memberikan kesan ekonomi yang runcing berkaitan kekurangan tenaga yang berlarutan. Harga minyak yang lebih tinggi untuk tempoh lebih lama menimbulkan risiko untuk Rizab Persekutuan AS (US Fed) menjadi lebih agresif. Para pelabur ekuiti rata-ratanya dilihat lebih munasabah, dengan mengambil kira jangkaan kes asas untuk konflik yang terkawal, yang bermakna strategi pembelian semasa harga lemah. Perjanjian gencatan senjata masih rapuh.

Semakin lama masa diambil untuk mencapai jalan penyelesaian atau jika terjerumus semula dalam pertelingkahan, semakin tinggi risiko pelabur hilang keyakinan dan menjual pegangan. Sekiranya kes asas gagal dicapai, pelabur akan menjadi lebih berhati-hati dan lebih menjaga simpanan tunai mereka. Kami anggarkan penilaian terendah buat FBM KLCI pada – 2SD (1,433 mata). Sebaliknya, pengakhiran yang berkekalan kepada konflik ini akan menyaksikan kenaikan harga susulan kelegaan, dengan tumpuan pada saham-saham pertumbuhan dan saham ketinggalan nilai yang terjejas oleh peperangan.

Keadaan makroekonomi dan jangkaan pelabur yang berubah-ubah

Andaian kes asas oleh Jabatan Ekonomi RHB, dengan kebarangkalian 60%, ialah situasi gencatan senjata yang berkekalan, dan premium risiko harga minyak mereda. Kes asas untuk ramalan makroekonomi rasmi oleh RHB tidak banyak dipinda, tetapi ia sekarang mengambil kira hanya satu potongan kadar US Fed untuk 2026 (daripada dua). Selagi saluran komunikasi antara watak-watak utama ini kekal terbuka apabila kedua-dua pihak mencari jalan penyelesaian tanpa mencalarkan reputasi, pasaran-pasaran mungkin boleh terus berharap penyelesaian akan muncul. Senario kes “lebih buruk” (kebarangkalian 30%) pula mengandaikan konflik yang berlarutan dan harga minyak meninggi.

Tempoh hari tambahan bagi harga minyak yang tinggi dan bekalan tenaga yang terhad kepada pasaran menimbulkan risiko inflasi berterusan, merendahkan pendapatan boleh belanja, menekan permintaan, menjejaskan keberuntungan syarikat, dan mendesak US Fed. Perjanjian keamanan yang berkekalan dapat mengurangkan kerosakan pada asas-asas makroekonomi dunia dan mengurangkan premium risiko dalam harga minyak mentah dengan ketara. Cabarannya dilihat pada butiran pelaksanaan – khususnya berhubung kebebasan untuk menelusuri Selat Hormuz dan pengesahan jumlah kerosakan secara beransur-ansur pada prasarana pengeluaran dan penapisan minyak di Negara-Negara Teluk.

Strategi

Berdasarkan andaian kes asas RHB, pada asasnya kami dapat kekal positif akan prospek untuk ekuiti dan membiarkan sasaran FBM KLCI kami untuk akhir tahun 2026 sama pada 1,780 mata buat masa sekarang. Walau bagaimanapun, peperangan Iran ini mencerminkan tahap risiko geopolitik yang runcing yang berpunca daripada Pentadbiran Trump. Pendirian pelaburan berjaga-jaga yang disarankan dalam laporan prospek ekuiti 2026 kami berkisar tentang pendirian berwaspada pelabur, mentaliti dagangan, dan strategi pembelian semasa harga lemah, masih terpakai.

Landskap geopolitik yang semakin meruncing memerlukan pendirian yang lebih mengelakkan risiko, dengan tumpuan pada sektor-sektor yang lebih selamat (seperti tenaga, perladangan, penjagaan kesihatan, telekomunikasi, pengguna, dan REIT) dan pegangan tunai lebih tinggi. Berdasarkan kejadian dahulu, kami anggarkan tahap penilaian terendah bagi FBM KLCI pada -2SDatau 1,433 mata. Sentimen pasaran yang kembali positif terhadap risiko bermakna strategi pelaburan menumpu pada pertumbuhan dan saham-saham ketinggalan nilai dalam pasaran

Penganalisis
Alexander Chia +603 2302 8119 ([email protected])

Penafian :
Laporan penyelidikan ini disediakan oleh pasukan Penyelidikan RHB (RHB Research Team) dari RHB Investment Bank Bhd.