Ekonomi Berdepan Krisis? Pegang 5 Aset ‘Safe Haven’ Ini Untuk Lindungi Diri Kita

Ekonomi ini bak roda, ada naik dan turunnya. Sesetengah tahun kita berdepan dengan krisis, dan sesetengah tahun ia melambung tinggi. Sebagus mana pun pengurusan sesebuah kerajaan terhadap ekonomi sesebuah negara, ia takkan terlepas dari kitaran ini.

Kadang-kadang ia datang dari sumber yang tidak disangka-sangka, contohnya cetusan peperangan dan penularan wabak. Seorang pelabur yang baik akan membina sebuah portfolio yang boleh bertahan dalam mana-mana keadaan ekonomi.

Hanya portfolio yang diversified mampu outperform pasaran dalam pelbagai situasi.

Sebagai tambahan kepada aset-aset yang menarik dan berpotensi tinggi seperti saham dalam industri IT, kenderaan elektrik, small cap, mahu pun matawang kripto; kita perlu juga kadangkala melabur ke dalam aset yang ‘selamat’ atau pun apa yang dinamakan sebagai aset safe haven.

Di antara ciri aset safe haven yang paling penting ialah apabila harga pasaran saham jatuh, harga aset-aset ini akan naik atau pun tidak jatuh banyak berbanding pasaran.

Sebab itulah mereka ini penting untuk dijadikan sebahagian dari strategi anda!

Berminat nak tahu? Teruskan membaca.

1. Komoditi: Emas

Emas ataupun gold adalah komoditi yang mempunyai pelbagai kegunaan seperti dalam peralatan elektronik, aeroangkasa, perubatan, dan semestinya barang perhiasan seperti rantai, cincin, dan gelang emas.

Emas menjadi salah satu aset ‘selamat’ kerana dianggap sebagai penyimpan nilai atau store of value. Berlainan dengan wang tunai, emas tidak boleh dicetak kerana pengeluarannya agak terkawal dan tindakan bank pusat tidak mempengaruhi nilai emas.

Tambahan lagi, emas dianggap sebagai pelindung dari inflasi atau kenaikan harga barang kerana pelabur percaya bahawa apabila inflasi meningkat; nilai matawang menurun maka mereka lebih rela memegang aset dalam bentuk emas dari bentuk tunai.

2. Matawang: US Dolar

Matawang US dolar telah menjadi semakin popular sejak sekitar tahun 2018 sebagai aset selamat, walaupun negara tersebut mempunyai defisit bajet dan current account yang kurang baik. Sesetengah pengkaji berpendapat bahawa semakin ramai yang memilih US dolar kerana ia banyak digunakan dalam perdagangan antarabangsa, dan menerima banyak permintaan sejak krisis global yang berlaku pada tahun 2008.

Selain daripada itu, sekitar 60-70% hutang di seluruh dunia adalah dalam denominasi US dollar. Ketika krisis, aset-aset banyak yang akan dijual dan syarikat akan menggunakan wang itu untuk membeli US dolar untuk membayar hutang-hutang tersebut.

Aga juga pelabur yang berpendapat bahawa kekuatan ekonomi US dalam jangka masa pendek ini merupakan di antara sebab mengapa pelabur merasa selamat memegang matawang tersebut.

3. Matawang: Swiss Franc

Switzerland franc juga merupakan satu lagi matawang yang menjadi tempat persembunyian para pelabur. Negara Switzerland mempunyai lanskap politik yang amat stabil, dan ekonomi Switzerland mengalami kadar inflasi yang rendah membuatkannya ideal untuk menyimpan wang di situ.

Selain daripada itu, pelabur juga mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap pengurusan sistem kewangan oleh bank pusat Switzerland.

Kajian oleh bank pusat Jerman menunjukkan nilai franc kebiasaannya naik ketika nilai pasaran saham global turun. Kajian ini dibuat untuk tempoh meliputi 1986 sehingga 2012.

Contohnya, ketika krisis kewangan global pada tahun 2008 dan krisis hutang Eropah pada tahun 2011, nilai franc telah naik kerana pelabur telah membeli dan menyimpan matawang tersebut sehingga krisis reda.

4. Matawang – Japanese Yen

Sumber gambar : www.businessinsider.com

Jepun mempunyai sifat ekonomi yang hampir sama dengan Switzerland. Begitu juga dengan matawangnya iaitu Yen.

Yen menjadi antara pilihan pelabur untuk lari daripada aset yang terumbang-ambing. Antara sebabnya ialah Jepun merupakan di antara pemiutang terbesar di dunia, di mana mereka memiliki lebih USD3 trilion aset di negara asing.

Apabila digabungkan dengan lebihan akaun semasa (current account surplus) yang besar, ia membuatkan pelabur yakin bahawa apabila berlakunya perkara yang tidak diingini.

Yen adalah tempat yang selamat untuk bersembunyi, dan kadar inflasi Jepun adalah rendah dan stabil.

5. Bon: Bon Kerajaan Bergred Pelaburan

Bon bergred pelaburan atau pun investment-grade bond adalah bon berkualiti yang mempunyai risiko rendah. Contohnya, Standard & Poor’s meletakkan gred BBB- dan ke atas sebagai gred pelaburan.

Selebihnya digelar bon sampah atau junk bond. Malaysia berada dalam gred pelaburan, iaitu A-. Jadi, bon bergred pelaburan tidak sukar dicari di Malaysia.

Bon dianggap selamat kerana memberikan pemegangnya pendapatan yang tetap secara berjadual, terutamanya jika pengeluar bon tersebut adalah syarikat atau negara yang kukuh dari segi kewangan.

Kerana itulah bon kebiasaannya outperform pasaran aset lain ketika ekonomi global jatuh atau tidak menentu, lebih-lebih lagi bon kerajaan.

Baca lagi Apa Itu Bon atau Sukuk?

6. Bonus: Wang Tunai

Penulis faham, tak semua daripada kita ada masa untuk menganalisa aset-aset di atas untuk menentukan sama ada patut melabur atau pun tidak. Pilihan juga agak terhad kepada kita selaku pelabur runcit kerana sesetengah aset hanya untuk pelabur yang mempunyai modal yang tinggi.

Jika tiada pilihan lain, pegang lah wang tunai ataupun cash. Ini yang paling mudah.

Dengan kata lain, jual sebahagian portfolio pelaburan anda dan simpan dalam bentuk cash atau fixed deposit. Nilai cash tidak akan menurun (tidak mengambil kira inflasi), kecuali kita simpan dalam bentuk matawang asing di mana anda akan mengalami kenaikan atau kesusutan nilai akibat tukaran matawang semasa.

Sumber Rujukan:

Ditulis oleh Azam, seorang pengurus dana saham antarabangsa di sebuah institusi kewangan di Malaysia.

Penafian: Artikel ini merupakan pendapat dan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan rasmi mana-mana individu/organisasi. Penulis tidak menerima sebarang bayaran pengiklanan dari mana-mana individu/organisasi yang disebutkan di dalam artikel ini.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.