Mahkamah Tinggi hari ini mendapati bahawa Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah berjaya membuktikan tuntutan saman sivil terhadap Dato’ Sreesanthan Eliathamby, 60 kerana dagangan orang dalam.
Hakim Azizul Azmi bin Adnan mendapati Dato’ Sreesanthan telah melanggar seksyen 89E(2)(a) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 apabila dia memperolehi sejumlah 600,000 saham Worldwide Holdings Bhd (Worldwide) antara 7 Jun 2006 dan 11 Julai 2006 ketika memiliki maklumat bukan awam yang material.
Dalam keputusannya, Mahkamah Tinggi mendapati bahawa Dato’ Sreesanthan memiliki maklumat bukan awam yang material yang berkaitan dengan cadangan penswastaan Worldwide oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor melalui skim pengaturan ahli di bawah seksyen 176 Akta Syarikat 1965. Cadangan penswastaan Worldwide tersebut kemudiannya diumumkan kepada Bursa Malaysia pada 23 Ogos 2006.
Dato’ Sreesanthan merupakan rakan kongsi kanan sebuah firma undang-undang dan bertindak sebagai penasihat undang-undang CIMB Investment Bank Bhd bagi cadangan penswastaan Worldwide.
Dengan keputusan yang memihak kepada tuntutan SC ini, Dato’ Sreesanthan diperintahkan untuk membayar kepada SC sejumlah RM1,989,402.00 iaitu jumlah yang bersamaan tiga kali ganda keuntungan yang diperoleh hasil daripada dagangan orang dalam tersebut.
Di samping itu, Dato’ Sreesanthan telah diperintahkan untuk membayar penalti sivil sebanyak RM1,000,000 kepada SC dan dilarang menjadi pengarah dalam mana-mana syarikat awam tersenarai bagi tempoh selama 10 tahun bermula 18 November 2020. SC juga diberi bayaran kos sebanyak RM100,000.
Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia:
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), sebuah badan berkanun yang melapor kepada Menteri Kewangan, ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi kawal selia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung untuk menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa dan rumah penjelasan, dan mengawal selia semua individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat lanjut mengenai SC boleh didapati di laman sesawangnya di www.sc.com.my. Ikuti SC di twitter di @SecComMy untuk perkembangan terkini.










