Bolehkah Untung 100% Atau Lebih Dalam Islam? Bagaimana Pula Dengan Beli Pagi Jual Petang Dalam Saham?

Hari ini semakin ramai rakyat Malaysia menceburkan diri dalam pelaburan saham khususnya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan dan sepanjang tempoh moratorium. Daripada aktiviti tersebut, muncul perbincangan hukum mengenai kaedah membuat keuntungan.

Dua persoalan biasa yang sering menjadi perdebatan adalah pertamanya bolehkah membuat untung 100% atau lebih, dan keduanya bolehkah membuat untung dalam masa 1 minit atau kurang dengan teknik yang pelbagai yang diajar oleh sifu-sifu saham.

Untung 100% Atau Lebih

Pertamanya konsep atau kaedah yang perlu kita pegang dalam sebarang transaksi kewangan adalah asal hukum Muamalat adalah harus kecuali ada dalil khusus yang mengharamkan.

Maka berdasarkan kaedah ini, mereka yang mengatakan membuat sesuatu itu haram perlu mengemukakan dalil. Dalam isu ini, terdapat satu hadis dalam riwayat Al-Bukhari yang menceritakan bagaimana seorang Sahabat Rasulullah yang bernama Urwah.

Urwah telah diberikan wang satu dinar oleh Rasulullah untuk membeli seekor kambing. Kemudian ia membeli dua ekor kambing dengan harga satu dinar. Ketika ia menuntun kedua ekor kambing itu, tiba-tiba seorang lelaki menghampirinya dan menyatakan hasrat untuk membeli kambing tersebut. Maka Urwah menjual seekor kambing itu dengan harga satu dinar. Kemudian ia bertemu Rasulullah dengan membawa satu dinar dan seekor kambing. Rasulullah lalu meminta penjelasan Urwah dan ia ceritakan kejadiannya maka Rasulullah pun berdoa:

 “Ya Allah berkatilah Urwah dalam bisnesnya.”

Berdasarkan kefahaman daripada hadis ini sahabat Urwah menjual kambing dengan harga dua kali ganda harga kos beliannya. Beliau membuat untung 100 peratus dalam jangka masa yang singkat.

Bahkan terdapat juga hadis juga riwayat Al-Bukhari yang menceritakan transaksi sahabat yang membuat keuntungan melebihi 100%, iaitu kisah Zubair Al-Awwam yang menjual tanah sembilan kali ganda dari harga beliannya.

Untung Dalam Masa Singkat

Satu lagi pertikaian adalah isu masa untuk membuat keuntungan. Seperti kaedah di atas, konsep sama digunapakai di mana pengharaman memerlukan dalil sebagai pembuktian.

Dalam Shariah, ada dua kaedah yang biasa disebut tentang membuat keuntungan iaitu untung/hasil muncul disebabkan tanggungan risiko kerugian” atau al-Kharaj bi al-Dhoman dan untung/hasil muncul bersama risiko atau al-Ghunmu bi al-Ghurmi.

Selagi mana transaksi kita mempunyai risiko maka kita berhak mendapatkan hasilnya. Contoh jika kita membeli saham pada harga RM0.10 pada jam 9.30 pagi, kita jual saham itu pada harga RM0.11 pada jam 9.32 pagi. Bukankah adanya risiko saham tersebut jatuh nilai menjadi 0.09 atau 0.08 atau lebih rendah?

Dan andai saham itu jatuh, bukankah kita yang akan menanggung risikonya? Itulah yang dimaksudkan dengan kaedah tadi dan ianya harus dalam Islam.

Ditulis oleh Arham Merican, Pengurus Shariah di sebuah institusi kewangan negara dan sedang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Pengajian Pembangunan. Meminati bidang ekonomi dan Shariah dengan fokus kepada pengurusan kewangan, pembasmian kemiskinan, dan pembinaan masyarakat madani.

Masih baru dalam dunia pelaburan saham? Pernah dengar tentang buku Malaysia Melabur Saham? Jika anda benar-benar berminat untuk terlibat dalam pelaburan saham tetapi masih belum memulakan langkah pertama, buku ini teramat sesuai.

This image has an empty alt attribute; its file name is 210115-MMS-Thumbnail-700x468.jpg

Ianya ringkas, padat dan sarat dengan contoh-contoh berbentuk grafik.

Kenapa Kena Beli Buku Ini?

  • Tak semua orang boleh belajar menerusi video, jadi boleh baca buku ini di masa lapang. Nak Google semua artikel pun memakan masa.
  • Anda nak mula melabur saham, tapi nak tahu dulu asasnya?
  • Tak dapat nak belajar secara face-to-face, jom mulakan dengan membaca buku ini.
  • Senang faham sebab buku ini penuh dengan gambar dan contoh-contoh.

Tempah sekarang sebab masih ada harga istimewa -> Buku Malaysia Melabur Saham

Previous ArticleNext Article

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.