Rakuten Trade Lantik Boost Sebagai Rakan Gabungan Baharu Untuk Tambah Baik Sistem Ganjaran

Rakuten Trade Sdn Bhd (Rakuten Trade) telah memeterai pakatan dengan Boost (sebuah perkhidmatan e-dompet tempatan) dalam langkah mengukuhkan sistem ganjarannya untuk memberi tumpuan kepada transaksi tanpa tunai yang semakin diterima pakai sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun lepas.

Kerjasama ini bakal menyaksikan Rakuten Trade beralih kepada penyediaan manfaat yang lebih bersifat serta-merta kepada pelabur runcit digitalnya, dengan mata ganjaran lama boleh ditukarkan kepada mata ganjaran gabungan, yang seterusnya boleh ditebus dengan syiling e-dompet Boost.

Rakuten Trade, yang melancarkan Sistem Ganjarannya pada Ogos 2017, secara purata memberikan 4.3 juta mata RT setiap bulan. Pada 31 Disember 2020, hasil yang dijana daripada sistem ganjarannya mencecah RM16.3 juta dan semakin meningkat setiap tahun.

Memandangkan perubahan gaya hidup semasa yang kini bersifat lebih digital, Rakutan Trade mengambil langkah untuk meneroka idea baharu bagi menambah baik sistem ganjarannya untuk memenuhi keperluan dan meningkatkan pengalaman digital pelanggan.    

Ketua Pegawai Eksekutif Rakuten Trade, En Kazumasa Mise, berkata, “Penambahbaikan berterusan sangat penting bagi pembangunan dan pertumbuhan perniagaan kami. Persekitaran semasa telah menunjukkan keperluan bagi transaksi digital yang memainkan peranan dalam kehidupan harian kita. Sebab itulah Rakuten Trade telah menjalin pakatan strategik dengan Boost, berasaskan kekuatan bersama dalam dunia pendigitalan dan usaha membawa ganjaran bermakna kepada para pelanggan kami. Satu manfaat penting jual beli saham dalam talian, selain daripada yuran broker lebih rendah, ialah ganjaran yang diterima. Memandangkan profil pelabur runcit sentiasa berubah, ganjaran mestilah fleksibel dan mampu disesuaikan mengikut jangkaan mereka yang kini berbeza.”

Boost telah melangkah maju dan mengukuhkan kedudukannya sejak dilancarkan pada 2017, dengan hampir sembilan juta pengguna membuat bayaran tanpa tunai untuk barangan keperluan harian di lebih daripada 228,000 rakan niaga di luar dan dalam talian di seluruh negara.

En. Mohd Khairil Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Boost, berkata, “Pertumbuhan digital dan dalam talian luar biasa yang kami catatkan tahun lepas hakikatnya menunjukkan potensi dan peluang tidak terbatas dalam cara kita boleh membayangkan semula dan meneroka cara baharu untuk menggunakan platform digital bagi mengendalikan segenap aspek perniagaan dan gaya hidup. Pada tahun ini, kami komited untuk memanfaatkan lagi peluang untuk merintis jalan dalam usaha mencapai cita-cita negara membina ekonomi digital dan tanpa tunai.”

“Kami berbesar hati untuk mengalu-alukan penyertaan Rakuten Trade sebagai rakan platform pelaburan runcit pertama kami untuk mengukuhkan sistem ganjaran kesetiaan mereka menerusi BoostUp kami. Kerjasama ini akan menggalakkan keupayaan saling kendali antara penyedia perkhidmatan digital dan meningkatkan kemampuan Boost sebagai platform berbilang saluran yang menyediakan ganjaran dan fungsi, menjangkaui kaedah pembayaran digital semata-mata. Dengan rangkaian rakan niaga kami yang terus meningkat dan menjadi pilihan ramai, pelanggan Rakuten Trade mempunyai pelbagai pilihan untuk membelanjakan mata ganjaran mereka,” tambahnya.  

Menerusi kerjasama baharu ini, pelanggan Rakuten Trade boleh menukarkan mata RT kepada syiling (1 mata RT = 1 syiling Boost). Syiling Boost boleh ditebus untuk barangan keperluan harian seperti makanan dan minuman, produk keperluan rumah, barangan runcit, membayar bil dan juga pertukaran kepada tunai e-dompet.

Di samping Boost, rakan ganjaran lain Rakuten Trade terdiri daripada AirAsia BIG Rewards dan BonusLink. Syarikat telah menamatkan kerjasama dengan B Infinite pada Januari 2021 selepas bekerjasama selama tiga tahun. 

Untuk maklumat lanjut mengenai Rakuten Trade, sila layari www.rakutentrade.my atau muat turun aplikasi  iSPEED.my app menerusi Google Play Store atau Apps Store.  

Untuk maklumat lanjut mengenai Boost, sila layari laman web www.myboost.com.my atau ikuti Boost di Facebook (facebook.com/myboostapp) dan Instagram (instagram.com/myboostapp). Boost boleh didapati untuk muat turun di Google Play, App Store atau HUAWEI AppGallery. 

Mengenai Rakuten Trade Sdn Bhd (“Rakuten Trade”)

Rakuten Trade(楽天トレード) ialah hasil usaha sama antara bank pelaburan bebas terulung di Malaysia Kenanga Investment Bank Berhad dan Rakuten Securities, Inc. sebahagian daripada Rakuten Group (“Rakuten”) di Jepun, syarikat pelopor inovasi global. Rakuten Group memperkasakan masyarakat, sambil menyediakan perkhidmatan inovatif yang mudah digunakan oleh pelanggannya di seluruh dunia. Dipilih sebagai Syarikat FinTech (Teknologi Kewangan) Terbaik 2018, Rakuten Trade telah menggegar dunia industri perbankan pelaburan pada 19 Mei 2017 apabila dilancarkan secara rasmi sebagai broker saham digital pertama negara di Malaysia. Platform FinTech mereka memberi peluang kepada pelabur untuk menikmati pengalaman pembrokeran saham dalam talian sepenuhnya dari pembukaan akaun, saluran pasaran secara langsung, pelaksanaan dan penjelasan dagangan, laporan penyelidikan dan juga ganjaran. Rakuten Trade juga merupakan broker perdagangan ekuiti pertama untuk melancarkan sistem ganjarannya yang tersendiri menerusi kerjasama dengan tiga rakan program mata kesetiaan utama di negara ini – AirAsia BIG, BonusLink dan Boost. Pelanggan menerima mata Rakuten Trade apabila mereka berurusan dengan Rakuten Trade termasuk membuka akaun, berdagang, atau merujuk rakan dan keluarga.. Rakuten Trade memegang Lesen Perkhidmatan Modal Pasaran (“CMSL”) terhad daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk menjual beli sekuriti tersenarai dan menawarkan khidmat nasihat pelaburan.

Mengenai Boost 

Boost ialah e-dompet gaya hidup tempatan yang bertujuan mengubah cara pengguna berurus niaga setiap hari. Menggabungkan keperluan gaya hidup dan teknologi digital terkini, Boost berusaha menjadikan urusan lebih mudah, panas dan selamat, serta memberikan pengalaman keseluruhan yang membawa lebih manfaat kepada pengguna.

Boost dilancarkan pada Januari 2017 sebagai platform yang mendigitalkan salah satu daripada perkhidmatan teras syarikat telekomunikasi – cara pengguna prabayar menambah nilai kredit mudah alih masing-masing. Boost membolehkan pengguna membayar menerusi telefon mudah alih di lokasi yang turut serta tanpa menggunakan tunai atau kad fizikal. Setakat ini, hampir 9 juta pengguna Boost kin boleh membuat pembayaran di lebih daripada 228,000 lokasi rakan niaga di seluruh negara.

Ciri-ciri utamanya termasuk:

  • Memberi ganjaran kepada pengguna menerusi BoostUP 
  • Penjimatan beli-belah dalam talian menerusi CashUp 
  • Bayar di gedung rakan niaga UnionPay QR di Malaysia
  • Membayar bil utiliti rakan niaga seperti Telekom Malaysia, Astro and Syabas
  • Membayar caj tempat letak kereta di tepi jalan atau berpagar.
  • Mendapatkan bantuan kerosakan tepi jalan atau penyenggaraan kereta
  • Menempah dan membayar tambang pengangkutan awam di B KLIA Ekspress, KTM intercity, EzCab, CatchThatBus dan Firefly
  • Derma tanpa tunai kepada beberapa badan amal menerusi #DoGoodwithBoost
  • Membeli dan menghadiahkan baucar digital gedung dalam talian, tempat menjamu selera, hiburan, kesihatan & kecantikan  
  • Berkongsi bil menerusi ciri unik yang dinamakan “Go Dutch” 
  • Membeli tambah nilai prabayar
  • Pindahan wang percuma
  • Penghantaran makanan menerusi McDelivery, DeliverEat, PopMeals, EASI dan eatigo
  • Membayar petrol di stesen rakan niaga seperti Shell, Petron and Setel

Pengguna boleh memuat turun Boost daripada Google Play Store, App Store atau HUAWEI AppGallery.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.myboost.com.my atau ikuti Boost di Facebook (facebook.com/myboostapp) dan Instagram (instagram.com/myboostapp).

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.