SC Siasat Sindiket yang Disyaki Dalangi Skim Pelaburan Tidak Berlesen

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sedang menyiasat satu sindiket yang disyaki mendalangi lima skim pelaburan tidak berlesen, termasuk dua skim firma klon, yang telah menipu ratusan pelabur dengan jumlah lebih RM7 juta dalam aktiviti pelaburan yang tidak berlesen.

Susulan aduan dan maklumat daripada orang ramai, baru-baru ini SC telah menyerbu beberapa lokasi di Kuala Lumpur dan merampas rekod dan peranti yang digunakan oleh sindiket tersebut. SC turut merampas pelayan (server) yang digunakan sindiket itu dalam menjalankan skim penipuan. Siasatan sedang dijalankan atas kesalahan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

Siasatan awal menunjukkan bahawa sindiket tersebut telah menjalankan sekurang-kurangnya lima skim pelaburan tidak berlesen sejak 2016:

1. Amal Trust (juga dikenali sebagai Wakala Ventures atau AML Global) Nombor Pendaftaran Syarikat: 002848059-U URL: https://amal-trust.com/ (disekat)

2. Asia Equity Ventures Nombor Pendaftaran Syarikat: 002576131-V URL: Tidak dapat diakses lagi sejak 2018

3. Perniagaan Global Ekuiti Nombor Pendaftaran Syarikat: 002697965-K URL: Tidak mempunyai laman web

4. Lindale Ventures Nombor Pendaftaran Syarikat: 003041846-U URL: http://www.lindale-ventures.com/ (disekat)

5. Waheed Ventures (juga dikenali sebagai Waheed Trading atau Wadeed Global Ventures) Nombor Pendaftaran Syarikat: 003089431-V URL: https://waheed-ventures.com/ (disekat)

Orang ramai yang telah berurusan dengan skim-skim tidak berlesen ini atau dengan wakilnya diminta untuk tampil memberikan maklumat yang berkaitan kepada pihak SC dengan menghubungi 012-6113519 atau e-mel [email protected].

Kesemua lima skim tersebut telah dimasukkan ke dalam Senarai Peringatan Pelabur SC: http://www.sc.com.my/investor-alert. SC juga telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menyekat laman-laman web yang berkaitan.

SC ingin mengingatkan para pelabur agar sentiasa berhati-hati ketika menilai peluang pelaburan, terutamanya yang menjanjikan pulangan yang sangat tinggi degan sedikit atau tanpa risiko. Pelabur juga disarankan agar mendapatkan bimbingan penasihat berlesen yang sah. Pelabur digesa untuk mengesahkan status individu atau syarikat yang menawarkan peluang pelaburan melalui laman web SC di

Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia:

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), sebuah badan berkanun yang melapor kepada Menteri Kewangan, ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi kawal selia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung untuk menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa dan rumah penjelasan, dan mengawal selia semua individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat lanjut mengenai SC boleh didapati di laman sesawangnya di www.sc.com.my. Ikuti SC di twitter di @SecComMy untuk perkembangan terkini.

Previous ArticleNext Article

seeNI Memperkenalkan Hala Tuju Baharu Menghubungkan Kandungan, Komuniti dan Komersial

PETALING JAYA, 29 Oktober 2026 – Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, menyatukan portfolio jenama medianya di bawah jenama seeNI sebagai sebahagian daripada strategi untuk membuka peluang pertumbuhan baharu melalui kandungan berjenama, penajaan, kempen yang melibatkan bakat dan kerjasama komersial.

Berteraskan Komuniti, Kandungan dan Komersial, peralihan ini menggantikan identiti Nu Ideaktiv kepada seeNI. Langkah ini menyediakan satu pintu masuk kepada pengiklan dan agensi untuk mengakses jenama media, bakat komuniti dan kepakaran kreatif syarikat bagi mencapai matlamat perniagaan yang sama.
Portfolio ini merangkumi antaranya seeNI Creator Academy, Media Hiburan, Borak seeNI, NONA, Remaja, Roda Panas, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma. Penyatuan kekuatan jenama ini bertujuan memperluas nilai komersial merentas minat dan peringkat kehidupan khalayak, melangkaui penawaran berasaskan satu jenama atau penempatan iklan secara berasingan.

Melalui tiga tunjang tersebut, Komuniti menghubungkan khalayak melalui minat dan pengalaman bersama; Kandungan menggabungkan jenama media, penceritaan, kepakaran produksi dan bakat; manakala Komersial menterjemahkan hubungan itu kepada peluang kempen bersepadu, penajaan dan kerjasama. Gabungan ini menjadi asas untuk memadankan matlamat pelanggan dengan khalayak serta pendekatan interaksi yang bersesuaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, berkata,
“Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami.

Menerusi Komuniti, Kandungan dan Komersial, kami mahu melangkaui penempatan iklan secara berasingan dengan menawarkan peluang yang lebih menyeluruh kepada jenama untuk berhubung dengan khalayak melalui kandungan yang relevan, bakat dan penglibatan yang bermakna. Dalam melangkah ke fasa baharu ini, keutamaan kami adalah untuk memperkukuh kerjasama, membuka peluang pendapatan baharu dan membina perniagaan yang lebih mampan untuk masa hadapan.”

Menerusi seeNI Collective, seeNI menggabungkan kekuatan kandungan, komuniti, bakat kreatif dan rakan strategik untuk membuka peluang kerjasama melangkaui pengiklanan konvensional. Antara kerjasama yang diketengahkan termasuk TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions dalam usaha memperkasa bakat baharu industri kreatif menerusi seeNI Story Lab, serta Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam bidang fesyen dan gaya hidup. Kesemua kerjasama ini bertujuan memperluas peluang untuk jenama berhubung dengan audiens melalui pelbagai platform dan pengalaman.

Sementara itu, seeNI Talent dirangka untuk memadankan bakat yang sesuai dengan kandungan, kempen jenama, acara dan peluang komersial berdasarkan rekod kerja, kesesuaian khalayak serta kesediaan bakat untuk terlibat. Kedua-dua penawaran ini menyokong penyelesaian yang lebih bersepadu kepada keperluan pelanggan dengan menggabungkan keupayaan mengikut khalayak sasaran dan matlamat komersial.

The New World of seeNI – mengetengahkan hala tuju seeNI hari ini di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City. Acara ini memperkenalkan barisan kandungan seeNI untuk tahun 2027, barisan bakat serta peluang kerjasama kepada pengiklan, peneraju jenama dan pemain industri lain.

Acara ini menandakan satu pencapaian komersial penting dalam transformasi berterusan seeNI. Berpandukan More Begins Here, seeNI berhasrat menyediakan sebuah destinasi bersepadu yang membolehkan pelanggan meneroka lebih banyak kandungan, di samping membuka peluang baharu untuk perniagaan berkembang.