BIMB Investment Sasar RM50 Juta Langganan Untuk Dana Wakaf Pertama Di Malaysia

BIMB Investment Management Berhad (BIMB Investment), anak syarikat milik penuh Bank Islam Malaysia Berhad, menyasarkan saiz Dana Makmur myWakaf (MWF) yang akan dilanggan mencecah RM50 juta menjelang akhir tahun ini.

Dana Makmur myWakaf adalah dana unit amanah wakaf pertama di bawah Rangka Kerja Dana Bercirikan Wakaf Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang diperkenalkan pada 12 November 2020. Ia juga merupakan sebuah Dana Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab di bawah Garis Panduan Dana Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab SC.

Pengumuman tersebut dibuat ketika  majlis pelancaran rasmi Dana Makmur myWakaf di Grand Hyatt Kuala Lumpur yang disempurnakan oleh YB Senator Datuk Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengerusi BIMB Investment, Mohamed Ridza Mohamed Abdulla; Pengerusi Bank Islam, Tan Sri Dr. Ismail Hj. Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Investment, Najmuddin Mohd Lutfi.

Pengerusi BIMB Investment, Mohamed Ridza Mohamed Abdulla berkata,  “Dari segi strategi pelaburan, pendedahan pelaburan diperuntukkan ke pasaran Sukuk, ekuiti patuh Shariah dan aset berisiko rendah seperti instrumen pasaran wang Islam untuk mengekalkan potensi peluang pendapatan. Dana ini membolehkan pelabur mengambil bahagian dalam prospek pendapatan pasaran Malaysia, Asia Pasifik dan global dengan peruntukan asetnya secara taktikal. Dana inovatif ini sesuai untuk pelabur korporat dan juga individu-individu yang ingin menyalurkan sebahagian daripada pulangan pelaburan mereka untuk tujuan wakaf bagi membantu  masyarakat yang kurang bernasib baik khususnya dalam bidang penjagaan kesihatan, pendidikan dan pemerkasaan komuniti.”

Beliau menambah, “Wakaf memainkan peranan yang sangat signifikan dalam pembangunan ekonomi dan kesejahteraan sesebuah negara. Oleh itu, Dana Makmur myWakaf diwujudkan sebagai usaha memperkasa dan mempelbagaikan usaha-usaha berkaitan wakaf agar seiring dengan perubahan zaman dan teknologi semasa bagi memastikan manfaatnya dapat disalurkan kepada golongan yang layak. Tentunya, tarikan dana ini adalah kemudahan bagi pelabur untuk meraih pelaburan dan pada masa sama, berkongsi sebahagian pulangan pelaburan yang dijana dengan mewakafnya untuk manfaat masyarakat secara berterusan.”

YB Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, berwakaf adalah satu instrumen penting dalam Islam yang berperanan sebagai pemangkin pembangunan dan ekonomi ummah.

“Saya amat teruja dengan pelancaran Dana Makmur myWakaf kerana menunjukkan komitmen BIMB Investment terhadap usaha-usaha wakaf untuk manfaat penerima, di samping terus merangsang kemajuan instrumen wakaf di negara ini. BIMB Investment juga telah mengambil langkah yang cukup istimewa, unik, dan inovatif menerusi penawaran dana ini. Ia memberi satu pilihan mudah kepada rakyat Malaysia untuk menyumbang ke arah kebaikan yang lebih besar.   Hasilnya dapat direalisasikan di dunia ini dan di akhirat.”

Dana Makmur myWakaf adalah sebuah dana pelbagai mata wang, aset campuran global patuh Shariah dan menyokong inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC).

Dana ini bertujuan untuk menjana pendapatan melalui kepelbagaian portfolio pelaburan patuh Syariah di pelbagai kelas aset peringkat tempatan dan global. Dana ini menggunakan pendekatan kelestarian yang menggabungkan prinsip Global Compact Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGC) dan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Para pelabur boleh melabur dalam Dana Makmur myWakaf melalui 3 kelas aset iaitu RM, USD dan AUD dengan pelaburan awal minimum sebanyak RM200, USD200 dan AUD200 masing-masing. Dana Makmur myWakaf berpotensi untuk mengagihkan pendapatan bulanan dan menyalurkan 50% pengagihan pendapatan sebagai Aset Wakaf untuk tujuan wakaf melalui inisiatif myWakaf AIBIM.

Para pelabur juga boleh melabur ke dalam Dana Makmur myWakaf melalui aplikasi pelaburan robo-pintar BEST Invest oleh BIMB Investment.

BIMB Investment adalah pengurus aset Islam disokong bank yang pertama di rantau ini yang merupakan penandatangan Prinsip Pelaburan Bertanggungjawab yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNPRI). BIMB Investment telah dinamakan Pengurus Aset ESG Terbaik dua tahun berturut-turut untuk tahun 2019 dan 2020 dari Anugerah Kewangan Islam The Asset Triple A 2020.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai Dana Makmur myWakaf, sila hubungi 1-800-88-1196 atau layari www.bimbinvestment.com.my

Pernyataan Penafian

Pelabur dinasihatkan untuk membaca dan memahami kandungan Prospektus bagi Dana Maymur myWakaf (“Dana”) bertarikh 3 Mac 2021, Prospektus tambahan (jika ada) dan Halaman Serlahan Produk (PHS) sebelum melabur, yang telah didaftarkan dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang tidak akan bertanggungjawab terhadap kandungannya. Salinan Prospektus dan PHS boleh didapati di Ibu Pejabat BIMB Investment Management Berhad, di laman web www.bimbinvestment.com.my, pejabat agensi yang rasmi dan/atau mana-mana cawangan Bank Islam. Prospektus tidak boleh diambil kira bahawa SC telah mengesyorkan Dana tersebut. Terdapat yuran dan caj yang dikenakan dan pelabur dinasihatkan untuk membandingkan dan mempertimbangkannya sebelum melabur di dalam Dana. Pelaburan di dalam Dana ini terdedah kepada risiko, sila rujuk kepada Prospektus untuk maklumat terperinci. Pelabur dinasihatkan untuk mempertimbangkan risiko di dalam Dana dan harus membuat penilaian sendiri mengenai risiko dan mendapatkan nasihat professional, jika perlu, sebelum melabur. Pelabur juga perlu ambil perhatian bahawa harga unit dan agihan yang dibayar, jika ada, boleh turun dan naik. Sebarang isu unit yang berkaitan dengan Prospektus hanya akan dibuat setelah penerimaan borang permohonan yang lengkap yang dilampirkan bersama Prospektus, tertakluk kepada terma dan syarat yang terkandung didalamnya. SC tidak meyemak maklumat ini yang dikeluarkan oleh media.

Mengenai BIMB Investment Management Berhad

BIMB Investment Management Berhad (“BIMB Investment”) adalah sebuah syarikat pengurusan pelaburan Shariah-ESG yang terkemuka di Malaysia. Anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Bank Islam Malaysia Berhad, BIMB Investment adalah sebuah syarikat pengurusan dana Islam berlesen yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Ditubuhkan pada 14 September 1993 dan memulakan operasinya pada 20 Jun 1994, BIMB Investment beribu pejabat di Kuala Lumpur, Malaysia.

Talian bebas tol: 1-800-88-1196

Laman web: www.bimbinvestment.com.my

Previous ArticleNext Article

SC Lancarkan ICM Innovation Lab Untuk Memacu Inovasi Pasaran Modal Islam Berteraskan Maqasid al-Shariah

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengumumkan penubuhan ICM Innovation Lab (FIKRALab), sebuah platform kolaborasi berstruktur dan penyelidikan serta pembangunan (R&D) gunaan untuk membangunkan produk dan instrumen baharu dalam pasaran modal Islam (ICM).

FIKRALab, yang merupakan inisiatif di bawah Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030, bertujuan memperkasa ICM Malaysia dengan berteraskan Maqasid al-Shariah dan berpandukan prinsip Halal-Toyyib.

Melalui FIKRALab, SC berhasrat untuk memangkin pembangunan produk dan perkhidmatan ICM berasaskan Maqasid al-Shariah yang memberikan objektif beretika, nilai ekonomi sebenar serta impak sosial yang lebih luas.

Inovasi ini bertujuan memelihara keperluan asas kesejahteraan manusia agama, nyawa, akal, keturunan dan harta sambil menyelaraskan modal dengan aktiviti ekonomi produktif serta memajukan kemakmuran bersama yang mampan.

FIKRALab dibangunkan berasaskan usaha berterusan SC dalam memupuk inovasi ICM. Usaha ini bermula dengan FIKRA, program pemecut fintech Islam Malaysia, dan kemudian diperkukuh melalui FIKRA ACE yang memberi tumpuan kepada fasilitasi bersasar, penglibatan industri serta keterhubungan ekosistem dalam bidang fintech.

FIKRALab memperluas pembangunan ekosistem melangkaui inovasi ICM berteraskan fintech semata-mata, dengan membolehkan kolaborasi dan penciptaan bersama yang lebih mendalam antara SC dan industri dalam aspek idea, penyelidikan, reka bentuk produk serta ujian perintis. Ia memberi tumpuan khusus kepada pembangunan instrumen dan penyelesaian baharu yang selari dengan Maqasid al-Shariah.

Hasil yang dijangka daripada FIKRALab termasuk pembangunan kes penggunaan, produk dan infrastruktur ICM baharu yang menunjukkan hasil berasaskan nilai yang jelas, pengukuhan penglibatan antara industri dan pengawal selia, serta peningkatan keyakinan pasaran terhadap inovasi yang berteraskan Maqasid dan disokong oleh industri.

Salah satu ciri utama FIKRALab ialah Klinik Maqasid al-Shariah, iaitu pendekatan berstruktur yang merangkumi penglibatan terpilih oleh SC serta simposium ilmu bersama pakar dalam bidang tertentu bagi menilai dan mempertingkatkan produk ICM sedia ada.

Melalui klinik ini, SC akan bekerjasama dengan pemain industri, penasihat Syariah dan pakar bidang untuk memperkukuh cadangan nilai instrumen ICM sedia ada, mengukuhkan kaitan dengan ekonomi sebenar serta memberikan impak sosial dan ekonomi yang lebih besar.

FIKRALab akan dilaksanakan secara berfasa, bermula dengan projek perintis yang kini dijalankan oleh SC dengan kerjasama sebuah institusi kewangan. Projek ini bertujuan membangunkan instrumen inovatif bagi membuka potensi pendapatan patuh Syariah dalam kumpulan aktiviti bercampur.

Fasa seterusnya dijangka bermula pada suku keempat 2026, apabila permohonan bagi kohort pertama FIKRALab dibuka. Permohonan kohort dijangka diadakan setiap tahun dengan fokus berbeza bagi setiap kitaran.

Fokus bagi kohort pertama termasuk pembangunan produk dan perkhidmatan ICM generasi baharu yang menawarkan cadangan nilai sepenuhnya baharu, kewangan sosial Islam dan modal sosial, serta pembiayaan kelestarian dan peralihan.

Inovator, institusi kewangan, penyedia teknologi, ahli akademik dan rakan ekosistem yang mempunyai idea atau cadangan inovasi produk ICM dijemput untuk mendaftar minat dan berhubung dengan SC melalui [email protected] mulai sekarang hingga 30 September 2026.