Barat Melakukan Sekatan Terhadap China Di Atas Tuduhan Melanggar Hak Asasi Manusia

Ketegangan di antara China dan Amerika Syarikat dalam isu perdagangan bukanlah perkara yang baru.

Ketika era pentabiran Donald Trump, beliau telah melakukan beberapa sekatan terhadap China terutamanya dalam bidang teknologi. Kita dapat lihat syarikat teknologi terkenal seperti Huawei dan ByteDance mengalami nasib yang kurang baik apabila Donald Trump mengarahkan pemberhentian operasi syarikat tersebut di Amerika Syarikat.

Kini pentadbiran Amerika Syarikat telah pun bertukar tangan. Sebelum ini, ramai penganalisis percaya presiden Amerika Syarikat yang baru dipilih iaitu Joe Biden akan lebih mesra dengan China dan ada pihak yang mendakwa beliau akan menjadi boneka kepada China.

Sangkaan itu meleset sama sekali kerana Joe Biden pada hakikatnya lebih tegas terhadap China berbanding dengan Donald Trump.

Polisi Donald Trump terhadap China sebelum ini hanya memfokuskan kepada perdagangan sahaja, tetapi polisi Jeo Biden terhadap China lebih menyeluruh yang juga termasuk isu politik.

Joe Biden bersama sekutu Barat yang lain telah melakukan sekatan besar-besaran terhadap China dalam pelbagai aspek kerana menuduh mereka telah melanggar hak asasi manusia terhadap etnik Uighur di wilayah Xinjiang.

Kredit Gambar: BBC

Tuduhan yang dilemparkan oleh negara Barat terhadap China ini telah menyebabkan implikasi yang sangat buruk terhadap hubungan perdagangan di antara blok negara barat dengan negara komunis tersebut.

Joe Biden yang mengetuai sekatan terhadap China ini telah menyebabkan beberapa syarikat dari negara barat turut menerima tempias negatif daripada penduduk China, terutamanya syarikat yang melibatkan penghasilan pakaian.

Syarikat Yang Terjejas Akibat Sekatan Dari Negara Barat

Di antara syarikat dari barat yang terkesan dengan sekatan yang dilakukan oleh negara barat terhadap China adalah H&M dan Nike.

Kedua-dua syarikat ini secara langsung mengalami tekanan dari China apabila kedua syrikat itu secara rasmi menegeluarkan kenyataan yang tidak akan menggunakan kapas yang dihasilkan dari wilayah Xinjiang. Ini berikutan daripada pihak barat yang telah menuduh Kerajaan China menggunakan buruh paksa dalam menghasilkan kapas di sana.

Mengikut undang-undang negara barat, penggunaaan buruh paksa merupakan satu kesalahan yang sangat besar yang perlu diambil tindakan tegas.

Joe Biden menggunakan alasan tersebut untuk menyekat perkembangan ekonomi China.

Syarikat-syarikat dari Eropah juga turut mengambil bahagian. Adidas turut mengambil pendekatan yang sama dalam isu ini.

Tindakan yang dilakukan oleh syarikat barat terhadap industri kapas China itu telah menjejaskan ekonomi industri pakaian di China. Kerajaan China menafikan tuduhan yang tidak berasas yang dilemparkan terhadap negara mereka.

Stesen BBC merupakan stesen televisyen yang paling lantang mengkritik penggunaan buruh paksa di wilayah tersebut. Mereka telah mengeluarkan video tentang buruh paksa etnik Uighur yang dipaksa mengutip kapas di ladang kapas di wilayah Xinjiang.

Tindak Balas Dari Rakyat China Terhadap Isu Ini

China yang menafikan penglibatan negara itu dengan buruh paksaan dengan mendakwa video yang dihasilkan oleh BBC itu adalah satu propaganda yang telah dirancang oleh pihak barat untuk memburukkan China di mata dunia.

China turut menjelaskan bahawa semua hasil kutipan kapas di wilayah Xinjiang menggunakan teknologi terkini seperti mesin dan bukannya seperti yang didakwa oleh media barat iaitu menggunakan buruh paksa yang dilakukan secara tradisional.

Kredit Gambar: Mothership

Ramai selebriti yang berpengaruh di China turut bertindak dengan memutuskan hubungan kerjasama dengan syarikat barat kerana isu ini.

Ada sesetengah rakyat China memprotes dengan membakar barangan keluaran syarikat dari Barat yang dibuat secara live dalam media soisial terkenal mereka iaitu Weibo. Pemuda parti komunis turut membesarkan isu ini bagi menunjukkan semangat patriotik kepada negara mereka.

Apa yang pelik mengenai isu ini, kebanyakan syarikat barat melancarkan kempen untuk tidak menggunakan kapas dari wilayah Xinjiang untuk sejak dari tahun lepas lagi. Tetapi hanya pada awal bulan ini sahaja isu ini menjadi api kemarahan rakyat China.

Ada yang berpendapat bahawa sekatan yang dikenakan oleh negara barat kepada China telah membangkitkan kemarahan rakyat China dan mereka mula memboikot syarikat dari barat.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.