5 Tempat Ke Mana Duit Gaji Rakyat Malaysia Sering Dihabiskan Setiap Bulan

Bila hujung bulan, pasti ramai yang terpaksa berdepan situasi baki di dalam akaun bank yang hanya tinggal bawah RM100. Malah, ada juga yang lebih teruk iaitu belum sampai tengah bulan baki tinggal RM50.

Berdasarkan tinjauan kami, berikut merupakan 5 sebab utama mengapa ramai di antara anak muda yang kering duit setiap hujung bulan.

5 Sebab Duit Sering Habis Setiap Bulan

#1. Mamak

Nak salahkan mamak pun tak boleh juga, kita tu yang suka sangat melepak. Mentang-mentang banyak kedai mamak beroperasi 24 jam, kalau boleh nak lepak lama-lama dekat kedai mamak. Patutlah asyik penuh je restoran mamak kan? Harga takdelah murah mana.

Roti canai – RM1.20
Mee goreng mamak – RM5.00
Teh tarik – RM1.80
Ais kosong – RM0.40

Nak lepak dengan kawan-kawan seminggu sekali di kedai mamak tu logik lagi, tapi kalau hari-hari nak lepak sini, berjam-jam pula tu, air pun minum 3-4 round, memang cari nahas namanya.

#2. Smartphone & Gajet

Menurut kajian Gfk, jualan smartphone di Malaysia mencecah RM6.8 bilion (Mac 2016 – Feb 2017). Suatu jumlah yang nampak besar demi memenuhi keperluan pengguna dan kepesatan kelajuan internet di Malaysia.

Ada di antara kita gaji tak berapa besar, tetapi tiap kali ada model telefon baru keluar; mulalah rasa gelisah. Gaji bulanan baru RM2,500, model iPhone terbaru RM3,500 – sanggup tu nak swipe kad kredit semata-mata nakkan gajet yang terbaru. Bulan-bulan sedap je bayar minima 5%, memang sekejap lah cecah kredit limit tu.

Inilah yang orang sebut sebagai biar papa, asal bergaya. Sanggup makan Maggi hari-hari, asalkan gajet terkini ada untuk ditayang. Yang paling tak tahan, telefon mahal berharga ribuan ringgit, tapi kredit pun takde!

#3. Kopi Mahal & Starbucks

Lagi satu masalah kebanyakan orang kita adalah suka melepak tempat mahal, seolah-oleh bergaji 5 angka setiap bulan. Kalau melepak sambil bincang bisnes tu ok lagi, ini sembang kosong je.

Harga kopi ice blended – RM14.

Tak salah kalau kita hadkan minum kopi mahal sebulan sekali, tapi kalau seminggu sampai 3-4 kali, apa kes?

#4. Keahlian Gymnasium

Selepas sibuk bekerja, maka gymnasium adalah di antara tempat popular selepas waktu pejabat. Dengan berimpikan badan yang fit dan sado, senanglah nanti nak jadi model atau artis. Ops, jangan marah, gurau je.

Yuran keahlian – RM150 sebulan.

Dengan yuran keahlian menelan belanja beratus ringgit setiap bulan, last-last perginya seminggu sekali je. Tapi tahukah anda, keahlian gym ni biasanya paling laris bila hujung tahun. Time tu lah ramai orang berazam nak kurus, jadi terpaksalah jadi ahli gym sebab nak kurus sebagai azam tahun baru.

Padahal, boleh sahaja workout di rumah, lebih jimat.

#5. Beli Belah di Lazada

Laman e-commerce seperti Lazada semakin mencuri perhatian (dan juga wang) orang ramai.

Mengikut satu kajian Lazada berada di ranking pertama diikuti Zalora and 11 Street.

Maklumlah iklan Lazada berada merata-rata tempat. Nak pula dengan strategi mereka yang suka beri baucar diskaun, ditambah pula dengan kemudahan penghantaran percuma ke pejabat atau pun ke rumah, memang begitu mudah dan menjimatkan petrol dan masa daripada kita bersesak ke pusat membeli-belah.

Memang tak dinafikan harga yang ditawarkan di laman e-commerce seperti Lazada kebiasaannya lebih murah jika dibandingkan di kedai-kedai biasa dan juga pasaraya besar.

Kalau untuk penjimatan takpelah juga, tetapi kalau dah setiap minggu klik button “ADD TO CART” boleh menjadi ketagihan yang berbahaya kepada dompet. Mana taknya, dengan beberapa klik boleh terus buat pembayaran, dan pesanan telah disahkan…Tahu-tahu je barang sampai.

Sedar tak sedar, banyak duit habis telah habis di sini.

Kurangkan Perbelanjaan ATAU Tambahkan Simpanan

Kenalpasti perbelanjaan yang tidak diperlukan dan terus tinggalkannya. Duit lebih tu eloklah dibuat simpanan sebagai modal untuk melabur. Tak salah nak reward diri sendiri sebulan sekali, itu pun kalau berjaya kurangkan perbelanjaan dan ada duit lebih sikit untuk  dibelanjakan.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.