Penipuan Macau Scam Menggunakan Nama LHDNM

1. Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sindiket penipuan Macau Scam yang tidak berputus asa dalam memperdayakan mangsa.

2. Menurut maklumat yang dikongsikan kepada LHDNM oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Polis Diraja Malaysia (JSJK, PDRM), bagi tempoh 1 Januari 2021 sehingga 27 Mei 2021, sebanyak 556 kes melibatkan kerugian lebih RM15.26 juta berkaitan Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai LHDNM telah disiasat.

3. Modus operandi yang digunakan oleh suspek atau scammer ialah dengan menghubungi mangsa melalui panggilan telefon dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai dari LHDNM. Scammer seterusnya menyatakan syarikat atau perniagaan mangsa masih mempunyai tunggakan cukai yang mesti dilunaskan.

4. Mangsa yang terkeliru dengan panggilan ini kebiasaannya membuat penafian dan seterusnya panggilan akan disambungkan pula kepada individu yang menyamar sebagai polis, pegawai dari Bank Negara Malaysia (BNM) atau pegawai dari agensi penguatkuasa yang lain dan memaksa mangsa untuk membuat laporan rasmi.

5. Mangsa seterusnya dikaitkan pula dengan kegiatan pengubahan wang haram, pengedaran dadah atau kegiatan jenayah yang lain sehinggakan mangsa menjadi panik dan mereka diminta untuk menyerahkan maklumat perbankan termasuklah nombor TAC/OTP. 

6. Mangsa mula menyedari mereka ditipu apabila mendapati wang dalam akaun mereka telah dipindahkan ke akaun bank pihak ketiga dan suspek tidak dapat dihubungi semula.

7. Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan lakukanlah pengesahan dengan LHDNM terlebih dahulu terhadap setiap panggilan, e-mel mahupun surat yang meragukan dengan  menghubungi  talian Hasil Care Line atau talian pegawai yang boleh disemak senarainya pada portal rasmi www.hasil.gov.my atau hadir ke cawangan LHDNM berhampiran.

8. Di samping itu, orang ramai juga boleh membuat semakan modus operandi sindiket penipuan ini melalui media sosial dan portal rasmi LHDNM atau klik capaian pantas berikut:

http://www.hasil.gov.my/bt_goindex.php?bt_kump=10&bt_skum=1&bt_posi=1&bt_unit=2&bt_sequ=1

9. Adalah ditegaskan bahawa LHDNM tidak membincangkan hal-hal berkaitan percukaian melalui panggilan telefon peribadi. Sebarang permohonan maklumat daripada pembayar cukai dan arahan pembayaran cukai tertunggak akan dilakukan secara teratur melalui surat atau e-mel rasmi yang menggunakan domain @hasil.gov.my.

10. Selain itu, bagi pembayaran cukai juga, pembayar cukai hendaklah memastikan bayaran cukai dibuat kepada penama seperti pada jadual di bawah untuk memastikan bayaran tersebut benar-benar masuk ke akaun LHDNM dan seterusnya mengelakkan diri daripada ditipu oleh scammer.

11. Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada LHDNM melalui:

Dikeluarkan Oleh:
Bahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.