Menara Merdeka 118 Capai Tingkat 118, Kini Bangunan Tertinggi Di Malaysia

PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad (“PMVSB”), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (“PNB”), telah melakar satu pencapaian utama dalam pembinaan projek menara Merdeka 118. Pembinaan lantai terakhir iaitu bumbung kepada tingkat 118 menandakan penyempurnaan menara ini, sekaligus menjadikan Merdeka 118 sebagai menara tertinggi di Malaysia. Apabila siap dibina pada tahun 2022, menara ini akan mencapai ketinggian sekurang-kurangnya 644 meter dan bakal dinobatkan sebagai bangunan tertinggi di Asia Tenggara.

Merdeka 118 merangkumi 3 juta kaki persegi ruang luas lantai dan terdiri daripada 1.66 juta kaki persegi luas sewaan bersih ruang pejabat Gred-A serta kira-kira 1 juta kaki persegi ruang niaga. Beberapa ciri yang mengagumkan telah dibangunkan di  menara ini termasuklah dek pemerhatian ‘The View at 118’, yang akan menjadi dek tertinggi di Asia Tenggara, serta satu-satunya Hotel Park Hyatt di Malaysia yang terletak di 17 tingkat teratas menara. Dihubungkan secara terus dari menara adalah ‘118 Mall’, sebuah pusat beli-belah dengan pelbagai peluang perniagaan menarik yang dikelilingi kehijauan serta taman terbuka ‘Merdeka Boulevard at 118’ seluas 4 ekar untuk dinikmati orang ramai, di samping tiga menara kediaman eksklusif.

Ahmad Zulqarnain Onn, Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB berkata, “Kami gembira untuk mengumumkan bahawa menara Merdeka 118 telah berjaya menyempurnakan pemasangan lantai terakhir di tingkat 118. Peristiwa yang bermakna dalam pembinaan Merdeka 118 ini menambahkan lagi seri latar langit Kuala Lumpur yang sedia ada. Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat di dalam projek ini, terutama sekali bagi mereka yang telah bekerja keras ke arah pencapaian bersejarah ini.”

“Kini, Merdeka 118 telah pun 81% siap dibina, dan pemasangan fasad kaca berada di tingkat 108. Walaupun terdapat penangguhan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lepas, kami berpuas hati kerana pembangunan Merdeka 118 berjaya disiapkan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.

Presint Merdeka 118 juga akan menampilkan sebuah muzium tekstil  yang mengetengahkan tesktil dunia Melayu, sebuah pusat jagaan kanak-kanak berumur 7 tahun dan ke bawah, serta Masjid Merdeka yang merupakan sebuah masjid baharu dengan kapasiti ruang yang mampu memuatkan seramai 3,000 orang jemaah.

Pembangunan Merdeka 118 terletak di kawasan bersejarah pusat bandaraya Kuala Lumpur dan berdiri teguh di samping dua warisan negara – Stadium Merdeka dan Stadium Negara – yang mencerminkan penyatuan luar biasa antara seni bina bersejarah dan kontemporari di presint ini. Sebagai pemilik bagi dua stadium ini, PNB telah melaksanakan penyelenggaraan dan penjagaan yang teliti untuk mengekalkan dan memulihara warisan sejarah negara yang menjadi lambang keharmonian dan  kekayaan sejarah, evolusi dan masa hadapan Malaysia.

Mengenai PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad

PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad telah diperbadankan pada bulan Jun 2000 serta merupakan pemilik tanah dan penjaga tunggal kedua-dua Stadium Merdeka dan Stadium Negara. Kedua-dua stadium tersebut telah disenaraikan sebagai tapak “Warisan Kebangsaan” pada Oktober 2005 di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005. Semenjak dari itu, PNB Merdeka Ventures telah menjalankan pelan pemuliharaan yang teliti sehingga Stadium Merdeka meraih Anugerah Kecemerlangan UNESCO untuk Program Pemuliharaan Warisan Kebudayaan (Asia Pasifik)  pada 2008. www.merdeka118.com       

Mengenai Permodalan Nasional Berhad (“PNB”)

Permodalan Nasional Berhad (“PNB”) adalah syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia dengan aset di bawah pengurusan (AUM) kini melebihi RM300 bilion. Portfolio PNB merangkumi pelaburan-pelaburan strategik di syarikat korporat terkemuka Malaysia, ekuiti global, pelaburan persendirian dan hartanah. Untuk maklumat lanjut, layari www.pnb.com.my.

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.