Berikutan peristiwa yang berlaku baru-baru ini, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ingin menegaskan bahawa di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, juruaudit mempunyai kewajipan berkanun untuk segera melaporkan kepada SC, jika mereka secara munasabah percaya bahawa wujud mana-mana perkara yang melanggar atau tidak mematuhi mana-mana keperluan undang-undang sekuriti, peraturan bursa saham atau apa-apa perkara yang boleh memberi kesan buruk terhadap tahap kedudukan kewangan syarikat tersenarai.
Lembaga Pemantauan Audit SC turut menyatakan bahawa juruaudit luaran memainkan peranan penting dalam meningkatkan keyakinan terhadap kualiti dan kebolehpercayaan penyata kewangan yang teraudit di Malaysia. Oleh yang demikian, juruaudit harus dibenarkan untuk melaksanakan tanggungjawab dan memberikan pendapat bebas mereka tanpa rasa takut atau pilih kasih, dan melaksanakan tugas mereka dengan bebas daripada sebarang tindakan balas. Juruaudit juga dikehendaki menggunakan skeptisisme profesional mereka semasa menjalankan audit dan sentiasa mengguna pakai Piawaian Pengauditan Antarabangsa seperti yang diguna pakai oleh Institut Akauntan Malaysia.
SC juga ingin menjelaskan bahawa pihaknya belum menghubungi Datuk Mohamed Ilyas Pakeer Mohamed, Pengerusi Serba Dinamik Holdings Bhd seperti yang dilaporkan dalam artikel bertajuk “What Serba Dinamik said on its audit issues”, yang dilaporkan dalam The Edge CEO Morning Brief pagi ini.
Siasatan SC terhadap Serba Dinamik Holdings Bhd masih sedang dijalankan.
Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia:
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), sebuah badan berkanun yang melapor kepada Menteri Kewangan, ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi kawal selia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung untuk menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa dan rumah penjelasan, dan mengawal selia semua individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat lanjut mengenai SC boleh didapati di laman sesawangnya di www.sc.com.my. Ikuti SC di twitter di @SecComMy untuk perkembangan terkini.










