4 Jenis Kos Beli dan Jual Saham

Kita nak beli rumah atau kereta pun ada kos-kos lain yang terlibat. Samalah juga nak BELI dan JUAL SAHAM.

Tapi tak payah pening-pening nak kira dan buat bayaran kos. Semuanya dikira secara automatik dalam sistem.

Ini adalah 4 jenis kos yang akan terlibat :

1. Brokerage Fee

Brokerage fee adalah merupakan satu bayaran yang dikenakan oleh pihak broker kepada pelabur. Setiap broker mempunyai kadar yang berbeza.

Perkara ini boleh dikatakan agak baik kepada pelabur kerana kita boleh membuat perbandingan dan memilih broker yang mengenakan brokerage fee yang kompetitif selain dapat menjimatkan kos yang kita keluarkan.

2. SST 6%

Sales And Service Tax (SST) atau Cukai Jualan dan Perkhidmatan akan dikenakan terhadap brokerage fee sahaja. Kadar yang dikenakan pula adalah sebanyak 6%.

3. Clearance Fee

Clearance fee adalah merupakan sejenis bayaran kepada Bursa Malaysia yang dikenakan kepada para pelabur. Kadar clearance fee adalah sebanyak 0.03% dan maksimum bagi fee ini adalah sehingga RM200.

4. Duti Setem

Duti setem adalah caj yang dikenakan bagi setiap transaksi jual beli saham untuk dibayar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Bagi setiap transaksi yang bernilai RM1000, RM1 akan dikenakan. Jumlah maksimum duti setem ini adalah sebanyak RM200.

Namun begitu, caj ini dikecualikan bagi syarikat Small Cap dan Mid Cap.

Contoh Pengiraan Kos Beli Saham

Untuk lebih mudah memahami jenis kos jual dan beli saham, anda boleh rujuk contoh yang diberikan.

Jika anda membeli 100 unit saham berharga RM1.50 seunit berjumlah RM150, kadar brokerage fee yang perlu anda bayar adalah RM12 (minimum).

Caj SST sebanyak 6% dikenakan kepada brokerage fee iaitu sebanyak RM0.72 manakala clearance fee yang dikenakan kepada anda adalah sebanyak RM0.04.

Disebabkan oleh harga saham yang dibeli kurang daripada RM1000, maka duti setem yang dikenakan kepada anda adalah sebanyak RM1.00

Maka, untuk membeli saham ini, anda perlu membayar sebanyak RM163.76.

Untuk mendapatkan kos jualan saham anda, kita andaikan anda memiliki 100 unit saham berharga RM1.50 yang berjumlah sebanyak RM150.00.

Brokerage fee yang dikenakan adalah RM12 (minimum) manakala SST pula adalah sebanyak RM0.72. Clearance fee yang dikenakan pula adalah sebanyak RM0.04 dan duti setem adalah sebanyak RM1.00.

Jumlah kos yang perlu anda bayar adalah sebanyak RM13.76.

Contoh pengiraan yang diberikan adalah untuk pemegang akaun RHB TradeSmart. Kadar kos berbeza mengikut bank pelaburan.

Artikel ini ditaja oleh Asri Ahmad Academy. Jika anda betul-betul ZERO dalam pelaburan saham, anda boleh mendaftar webinar anjuran Asri Ahmad Academy & Bursa Malaysia di sini.

Previous ArticleNext Article

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.