Belajar Fokus Yang Sebenar Daripada Bill Gates Dan Warren Buffett

Penyelidikan saintifik telah menunjukkan bahawa ahli muzik, atlet dan usahawan yang berjaya, mereka ini tidak mempunyai bakat semula jadi. Sebaliknya mereka membangunkan sifat, tingkah laku, atau amalan khusus seawal usia mereka masih kecil lagi.

Daripada sudut yang lain, mereka yang tidak berjaya mencapai kejayaan atau matlamat hidup, selalu menyalahkan atau bergantung hidup dengan nasib semata-mata. Manakala mereka yang berjaya ini, mahir dalam memfokuskan sepenuhnya sumber pemikiran, idea dan kudrat mereka kepada matlamat atau impian yang ingin dicapai.

Fokus adalah seni kemahiran yang penting untuk mencari resepi kejayaan seseorang. Dalam perkongsian kali ini, jom kita tengok nilai fokus yang sebenar daripada tokoh bilionaire yang mahsyur.

Bill Gates

Bill Gates mengakui bahawa beliau terlalu obses dengan komputer ketika berusia 13 tahun. Ibu bapa beliau sangat bimbang dengan kelakuan obeses anak mereka. Ini kerana sewaktu zaman remaja, beliau meluangkan siang dan malam berkurung dalam bilik sambil menghadap komputer dan mengabaikan perkara yang berlaku di sekelilingnya.

Disebabkan kebimbangan dengan perubahan tingkah laku Bill Gates dengan komputer, ibu bapa beliau telah menjual komputer tersebut yang baru saja digunakannya selama 9 bulan.

Namun perkara tersebut tidak mematahkan fokus dan minat Bill Gates terhadap komputer. Melalui perkongsian oleh Andy Brainerman yang merupakan rakan serumah Bill Gates ketika berada di zaman kolej mereka, Brainerman menggambarkan Bill Gates mempunyai monomaniacal quality. Iaitu Bill Gates mempunyai fokus yang terlalu besar jika ianya merupakan sesuatu yang menjadi minat utama beliau.

Brainerman juga menyimpulkan bahawa Bill Gates mempunyai tekad yang tinggi untuk menguasai apa yang beliau telah dan akan lakukan. Bekas teman wanita beliau pula berkata, Bill Gates terlalu fokus sehinggakan tidak pedulikan sebarang bentuk gangguan.

Sewaktu zaman bujangnya, Bill Gates tidak pernah mempunyai televisyen dan menanggalkan radio pada kereta beliau, kerana beliau beranggapan ianya boleh mengganggu fokus beliau terhadap kerja sehariannya.

Menurut bekas teman wanita beliau, adalah terlalu sukar untuk mengekalkan hubungan mereka kerana Bill Gates lebih mengutamakan kerja beliau di Microsoft sehingga mencecah 17 jam sehari.

Warren Buffett

Ketika berumur 11 tahun, beliau telah menanam impian dan hasrat untuk menjadi jutawan apabila berusia umur 35 tahun. Hanya 5 tahun selepas itu, Warren Buffett telah berjaya mengumpul wang sebanyak USD5,000 hasil daripada perniagaan kecil beliau.

Tahukah anda nilai wang tersebut pada hari ini melebihi USD60,000? Ianya tentu suatu pencapaian yang tinggi bagi seorang remaja yang hanya berumur 16 tahun.

Impian dan matlamat beliau berjaya direalisasikan apabila mencapai umur 30 tahun, dan sudah tentu nilai USD1 juta pada masa itu adalah jauh lebih tinggi berbanding nilai USD1 juta pada masa sekarang. Segala bentuk aktiviti atau pekerjaan yang beliau lakukan, ianya sentiasa disertai dengan fokus yang tinggi.

Salah satu hobi kegemaran beliau adalah bermain permainan kad yang bernama ‘Bridge‘. Suatu ketika dahulu, rakan baik beliau iaitu Bill Gates terlalu puas untuk cuba meyakinkannya untuk membeli sebuah komputer. Beliau berjanji untuk menghantar wanita paling cantik di Microsoft supaya dapat  mengajarnya bagaimana menggunakan komputer tersebut.

Seringkali juga Warren Buffett menolak pelawaan tersebut, kerana beliau tidak pernah melihat kepentingan untuk memiliki sebuah komputer. Namun, pelawaan tersebut akhirnya di terima apabila Bill Gates menerangkan beliau mampu bermain permainan kad kegemarannya ‘Bridge’ secara online dalam komputer.

Sungguhpun begitu, Warren Buffett menegaskan bahawa beliau hanya tahu tentang ciri-ciri yang diperlukan untuk bermain permainan tersebut saja. Selain daripada itu, beliau tidak berminat untuk mengetahui perihal komputer atau fungsi-fungsinya yang lain.

Dan melalui latihan yang kerap dan fokus yang tinggi, Warren Buffett telah menimba ilmu dengan Sharon Osberg yang merupakan juara dunia ‘Bridge’ sebanyak dua kali. Kemudiannya beliau telah menyertai kejuaraan antarabangsa pertandingan tersebut.

Walaupun tanpa pengalaman dan tidak pernah menyertai sebarang pertandingan ‘Bridge’ sebelum ini, Warren Buffett berjaya melangkah ke pusingan akhir. Namun beliau terpaksa menarik diri daripada perlawanan terakhir kerana terlalu penat memberi fokus yang tinggi tanpa henti selama satu setengah hari.

Kejayaan beliau melangkah ke pusingan akhir ini telah mengejutkan orang ramai. Ternyata mereka yang berjaya seperti Bill Gates dan Warren Buffett mempunyai nilai fokus yang terlalu tinggi untuk mencapai impian atau matlamat hidup mereka.

Previous ArticleNext Article

Kita Bajet Insurans, Tapi Lupa Bajet Check-up

Hampir setiap ketua keluarga mempunyai bajet yang cukup terperinci untuk perlindungan kesihatan samada menerusi insurans atau takaful.

Di Majalah Labur, kami percaya ramai pembaca setia kami rata-rata bersetuju yang sejumlah 5% – 15% dari gaji bulanan adalah amaun yang cukup sihat untuk perlindungan kesihatan.

Akan tetapi, ada satu perkara yang sering tidak mempunyai bajet khusus: pemeriksaan kesihatan berkala.

Kita lebih mudah menyediakan RM200 untuk membaiki sesuatu selepas rosak berbanding memperuntukkan sejumlah wang untuk memastikan masalah itu dapat dikenal pasti lebih awal.

Baca : 5 Perkara Medical Card Boleh Bantu Yang Tak Ramai Orang Tahu!

Dalam kewangan peribadi, cara berfikir seperti ini mungkin kelihatan kecil. Tetapi apabila melibatkan kesihatan, penangguhan boleh membawa kepada keadaan yang memerlukan lebih banyak masa, rawatan dan perbelanjaan.

Sebab itu preventive healthcare wajar dilihat sebagai sebahagian daripada perancangan kewangan keluarga, bukan sekadar perbelanjaan tambahan.

Ada bajet insurans. Bagaimana dengan bajet kesihatan?

Insurans atau takaful penting untuk melindungi kewangan apabila berlaku keadaan yang memerlukan rawatan atau kemasukan ke hospital.

Tetapi perlindungan kewangan tidak semestinya bermaksud kita tidak perlu menyediakan bajet untuk penjagaan kesihatan rutin.

Kementerian Kesihatan Malaysia sendiri menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan untuk mengenal pasti faktor risiko, memberi nasihat pengurusan risiko dan membuat rujukan lanjut jika diperlukan.

pemeriksaan kesihatan

Pada asasnya, terdapat perbezaan antara:

“Saya mempunyai perlindungan jika sesuatu berlaku”

dengan

“Saya memperuntukkan wang untuk mengetahui keadaan kesihatan saya secara berkala.”

Kedua-duanya memainkan peranan yang berbeza dalam perancangan kewangan kesihatan.

Kesilapan ibu bapa : tunggu anak sakit baru bawa berjumpa doktor gigi

Perkara ini lebih mudah berlaku dalam kalangan ibu bapa. Anak tidak mengadu sakit, jadi pemeriksaan ditangguhkan. Gigi susu pula dianggap tidak begitu penting kerana akhirnya akan tanggal.

Apabila sakit mula berlaku, barulah ibu bapa mencari rawatan. Masalahnya, ketiadaan sakit tidak semestinya bermaksud tiada masalah.

Masalah ini yang cuba diketengahkan oleh Dr. A’tikah U’zed (Doktor Gigi di Klinik Pergigian Aesira) yang melihat ada keperluan untuk ibu bapa di Malaysia mengkhususkan wang untuk rawatan gigi anak mereka atau mereka sendiri!

pemeriksaan kesihatan gigi

Penegasan ini nampak ada intinya selepas kami melihat bahawa data National Oral Health Survey of Adults (NOHSA) 2020 menunjukkan ;

“Prevalens karies dalam kalangan rakyat Malaysia berumur 15 tahun ke atas ialah 85.1%, manakala dalam kumpulan umur 15–19 tahun pun prevalensnya masih 51.7%. Dalam kalangan orang dewasa yang mempunyai gigi, 40.7% mempunyai keperluan rawatan restoratif, 28.9% keperluan cabutan dan 4.5% keperluan rawatan endodontik.”

Masalah gusi juga tidak semestinya bermula dengan kesakitan.

NOHSA 2020 mendapati hanya 5.1% populasi bergigi mempunyai periodontium yang sihat, sementara 38.2% mempunyai periodontitis. KKM turut menerangkan bahawa penyakit periodontal boleh tidak disedari kerana pada peringkat awal ia boleh berlaku tanpa sakit.

Ini menjadikan pemeriksaan berkala satu perkara yang relevan bukan sahaja kepada kesihatan, tetapi juga kepada cara keluarga merancang perbelanjaan.

Kos rawatan gigi sebenarnya boleh dilihat sebagai kos tahunan

BilRawatanAnggaran kosKekerapan /Perspektif
1Konsultasi & pemeriksaan gigiRM30–RM1006–12 bulan / mengikut risikoKos asas untuk mengetahui keadaan gigi sebelum membuat keputusan rawatan
2X-ray gigi kecil (periapikal/bitewing)RM30–RM80Jika diperlukan doktorMembantu melihat masalah yang tidak jelas melalui pemeriksaan biasa
3X-ray panoramic (OPG)RM80–RM200Jika diperlukanBiasanya untuk penilaian keseluruhan rahang, gigi bongsu atau perancangan tertentu
4Scaling & polishingRM80–RM250Mengikut keadaan gigi/gusiPenjagaan berkala yang boleh dimasukkan dalam bajet pergigian tahunan
5Rawatan fluoridaRM50–RM120Berdasarkan risiko, terutama kanak-kanakPreventive care yang boleh dirancang lebih awal
6Fissure sealant±RM50–RM100/gigiTerutama gigi tertentu kanak-kanakPerbelanjaan pencegahan yang dibuat berdasarkan penilaian doktor
7Tampalan gigiRM80–RM300/gigiApabila terdapat kariesContoh kos rawatan yang mungkin timbul selepas pemeriksaan
8Cabutan gigi biasaRM80–RM300/gigiJika gigi tidak dapat dikekalkan / perlu dicabutKos meningkat berbanding penjagaan rutin apabila masalah memerlukan prosedur
9Rawatan saluran akar (root canal)±RM600–RM2,000/gigiUntuk gigi dengan masalah pulpa tertentuContoh bagaimana rawatan boleh menjadi lebih kompleks dan memerlukan bajet lebih besar
10Pembedahan gigi bongsu±RM800–RM2,500/gigiJika impaksi/kerumitan memerlukan pembedahanContoh kos prosedur yang lebih besar dan sukar dirancang sebagai perbelanjaan rutin

Semak : Senarai Harga Rawatan Gigi Terkini

Daripada melihat pergigian sebagai:

“Berapa saya perlu bayar apabila gigi sakit?”

lebih baik keluarga melihatnya sebagai:

“Berapa bajet saya perlu sediakan setiap tahun untuk penjagaan gigi?”

Ini tidak bermaksud seseorang perlu menjalani rawatan setiap tahun.

Sebaliknya, bajet tersebut boleh merangkumi pemeriksaan, penjagaan pencegahan dan rawatan yang diperlukan berdasarkan penilaian doktor gigi.

Kekerapan pemeriksaan pula bukan satu angka yang wajib sama untuk semua orang. Sesetengah individu mungkin memerlukan pemeriksaan lebih kerap berdasarkan risiko karies, keadaan gusi, sejarah rawatan dan faktor kesihatan lain.

Matlamatnya ialah tidak menunggu sehingga keadaan menjadi kecemasan sebelum mula merancang.

Contohnya, gigi jarang bukan semata-mata soal kosmetik

Ambil contoh diastema, atau gigi jarang.

Menurut Dr. A’tikah U’zied, diastema ialah ruang antara dua gigi yang paling kerap dilihat pada gigi hadapan atas.

Ia boleh berkait dengan saiz gigi berbanding rahang, faktor struktur semula jadi atau tabiat tertentu. Antara perkara yang boleh diperhatikan ialah ruang yang jelas antara gigi atau ruang yang semakin melebar.

Tidak semua diastema memerlukan rawatan.

Baca : Mencari Medical Card Terbaik? Tipu Semua Tu. Fahamkan 5 Perkara Ini

Tetapi apabila ibu bapa atau individu menyedari perubahan pada kedudukan atau jarak gigi, pemeriksaan memberikan peluang untuk menentukan sama ada ia sekadar variasi normal atau sesuatu yang memerlukan pemantauan atau rawatan.

Inilah konsep financial planning yang sering terlepas pandang.

Pemeriksaan bukan bermaksud kita sudah bersetuju untuk menjalani rawatan.

Pemeriksaan bermaksud kita mendapatkan maklumat terlebih dahulu.

Dengan maklumat itu, keluarga boleh membuat keputusan tentang apa yang perlu dilakukan, bila ia perlu dilakukan dan bagaimana perbelanjaannya boleh dirancang.

Jadi, enam bulan atau setahun sekali?

Jawapannya bergantung kepada individu.

Jadual pemeriksaan gigi sepatutnya mengambil kira keadaan gigi dan gusi, tahap risiko, umur, sejarah rawatan serta penilaian doktor gigi.

Bagi sesetengah orang, pemeriksaan enam bulan sekali mungkin sesuai. Bagi yang lain, doktor mungkin mencadangkan sela masa yang berbeza.

Yang penting ialah jangan menjadikan “tidak sakit” sebagai satu-satunya ukuran untuk menentukan sama ada pemeriksaan diperlukan.

Konsep yang sama digunakan dalam kesihatan secara umum. KKM menerangkan bahawa saringan kesihatan bertujuan membantu mengenal pasti faktor risiko dan penyakit lebih awal supaya pengurusan dapat dimulakan.

Bagaimana keluarga boleh masukkan kesihatan dalam financial planning?

Satu pendekatan mudah ialah membahagikan perancangan kepada beberapa lapisan:

Pertama, perlindungan.
Insurans atau takaful untuk risiko kesihatan yang besar, mengikut kemampuan dan keperluan keluarga.

Kedua, dana kecemasan.
Simpanan tunai untuk perbelanjaan kesihatan atau kecemasan yang tidak dirancang.

Ketiga, preventive healthcare.
Bajet tahunan untuk pemeriksaan dan saringan yang bersesuaian dengan umur serta faktor risiko.

Keempat, penjagaan rutin.
Termasuk pergigian dan keperluan kesihatan lain yang boleh dijangka.

Dengan cara ini, kesihatan tidak hanya muncul dalam bajet apabila sesuatu sudah berlaku.

Baca : Permintaan Sektor Penjagaan Kesihatan Diunjur Meningkat Bagi Jangka Panjang

Kesihatan juga perlukan bajet sebelum ia menjadi kecemasan

Financial planning yang baik bukan sekadar mempunyai wang apabila berlaku masalah.

Ia juga tentang mengetahui perbelanjaan yang boleh dijangka, menyediakan ruang untuk penjagaan berkala dan membuat keputusan berdasarkan maklumat sebelum keadaan menjadi mendesak.

pemeriksaan kesihatan

Pemeriksaan kesihatan tidak menjamin seseorang akan terlepas daripada penyakit atau rawatan mahal. Begitu juga pemeriksaan gigi tidak menjamin seseorang tidak akan memerlukan prosedur kompleks pada masa hadapan.

Namun, pemeriksaan memberikan sesuatu yang penting dalam perancangan kewangan:

maklumat lebih awal.

Dan maklumat lebih awal memberikan keluarga peluang untuk membuat keputusan dengan lebih tenang, sama ada perlu merawat sekarang, memantau dahulu atau menyediakan bajet untuk rawatan pada masa akan datang.

Jadi, apabila menyediakan bajet keluarga untuk tahun hadapan, jangan hanya tanya:

“Berapa saya perlu simpan kalau saya jatuh sakit?”

Tanya juga:

“Berapa yang saya sanggup peruntukkan untuk mengetahui keadaan kesihatan saya sebelum ia menjadi kecemasan?”

Kerana dalam pengurusan kewangan kesihatan, bil rawatan bukan satu-satunya kos yang perlu difikirkan.

Masa, ketidakselesaan, kehilangan produktiviti dan keputusan yang dibuat ketika keadaan sudah mendesak juga mempunyai nilai.

Preventive healthcare bukan tentang berbelanja sebanyak mungkin untuk kesihatan.

Ia tentang merancang supaya kesihatan tidak menjadi kejutan kewangan kepada keluarga.

Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan pengganti nasihat doktor atau doktor gigi. Keperluan pemeriksaan, saringan dan rawatan berbeza mengikut keadaan individu.