Pantang Larang Dalam Pelaburan Saham

Pelaburan saham bukanlah perkara yang boleh dibuat main. Jika kita mahu melabur dalam sesuatu kita perlulah tahu beberapa perkara dalam saham pelaburan. Hal ini perlu diambil serius kerana jikalau kita ambil endah tak endah tentang perkara ini, kita mungkin akan tersilap langkah dan akan terjerumus dalam kegagalan ataupun kerugian.

Jadi sebelum kita melabur dalam sesuatu syarikat kita sewajarnya mengetahui beberapa pantang larang dalam pelaburan.

Di antara pantang larang yang perlu kita tahu ialah jangan melabur tanpa ilmu pelaburan, jangan berhutang ataupun buat pinjaman, jangan melabur guna wang kecemasan, jangan meletakkan kesemua dana pelaburan di satu tempat, jangan melabur mengikut emosi dan Jangan melaburan disaham syarikat yang tidak disahkan oleh SC dan broker yang tidak berlesen.

Pantang Larang Dalam Pelaburan Saham

Dalam ilmu kewangan, di samping kita menyimpan dan berbelanja, kita juga amat digalakkan untuk menjana pendapatan melalui duit di mana duit yang akan bekerja untuk kita. Teknik tersebut biasanya dipanggil pelaburan. Ini bagi memastikan duit yang kita miliki sekarang boleh mengatasi masalah inflasi pada masa akan datang dan juga salah satu cara untuk “memberanakkan” duit.

Jika dilihat sebahagian besar daripada orang kaya, kekayaan mereka sebahagiannya adalah dengan memiliki saham di syarikat atau melalui pelaburan saham. Dalam pada era kini yang dilanda isu pandemik COVID-19, ramai yang berminat dan cuba untuk menceburi bidang saham terutamanya mereka yang telah hilang pekerjaan.

Akan tetapi tahukah anda, terdapat beberapa pantang larang dalam pelaburan saham yang perlu anda hadam?

Artikel ini membincangkan pantang larang dalam saham supaya mereka yang bergiat dalam bidang ini tidak membuat langkah yang salah dan penyesalan di kemudian hari. Mari kita lihat apakah pantang larang dalam pelaburan saham yang tidak patut anda lakukan.

Jangan melabur di saham syarikat yang tidak disahkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan broker yang tidak berlesen

Bagi mereka yang pertama kali melibatkan diri dalam pelaburan saham dan tiada ilmu dalam bidang tersebut biasanya terdedah dengan risiko penipuan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Mereka selalunya dijanjikan dengan pelaburan saham yang tiada kerugian dan menjamin keuntungan.

Setelah sejumlah wang dikreditkan kepada broker atau ejen yang tidak berdaftar tersebut, janji manis mereka hanyalah bagai “hangat-hangat tahi ayam” pada mulanya yang akhirnya menyebabkan pelabur menangis di bucu katil pada kemudian hari.

Tahukah anda, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah menetapkan garis panduan baharu terhadap Tawaran Saham oleh Syarikat Awam Tidak Tersenarai. Ini bagi melindungi minat para pelabur berikutan banyak aduan yang diterima oleh SC mengenai saham syarikat yang tidak tersenarai (UPC) yang diiklankan melalui media sosial, panggilan telefon atau ejen yang tidak berlesen dan sebagainya.

Garis panduan  baharu itu juga telah menetapkan supaya UPC hanya melantik ejen yang dilesenkan oleh SC jika pemasaran saham membabitkan ejen. Mana-mana UPC yang tidak melanggar garis panduan yang telah ditetapkan boleh disabitkan kesalahan undang-undang atas Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Hukuman RM10 juta atau penjara melebihi 10 tahun dikenakan kepada individu yang terlibat.

Jadi, sebagai pemula yang ingin melabur secara sihat, anda disarankan untuk berdaftar dengan syarikat yang telah disenarai oleh SC termasuk di mana-mana cawangan bank yang terlibat seperti Bank Islam, Hong Leong, Maybank dan sebagainya.

Untuk maklumat lanjut mengenai pasaran saham di Malaysia, anda boleh layari https://www.bursamalaysia.com.

Jangan meletakkan kesemua dana pelaburan di satu tempat

Sebagai pelabur yang bijak, anda tidak digalakkan sama sekali untuk meletakkan dana pelaburan anda di satu tempat. Sebagai contoh, anda meletakkan semua dana pelaburan di dalam saham. Bukan itu sahaja, anda juga turut meletakkan kesemua dana tersebut hanya di dalam satu syarikat saham.

Anda seharusnya mempelbagaikan pelaburan anda seperti di ASB, Tabung Haji, saham dan lain-lain. Sekiranya anda melabur di dalam pasaran saham, pastikan anda tidak melabur semua dana anda di satu kaunter. Hal ini kerana, sekiranya syarikat saham tersebut mengalami penurunan atau kerugian, anda juga akan turut merasai kerugian bahkan anda juga akan turut kehabisan dana untuk melabur di tempat lain.

Pastikan anda menetapkan peratus keuntungan saham yang boleh membayar broker dan keuntungan untuk anda serta risiko kerugian minimum yang anda sanggup tanggung.

Jangan melabur mengikut emosi

Kebanyakan mereka yang bergiat dalam pelaburan saham mempunyai masalah atau saingan terhadap emosi sendiri. Emosi adalah salah satu yang perlu anda atasi setelah meletakkan sahaja duit dalam mana-mana kaunter saham. Emosi yang biasanya terlibat adalah tamak dan yakin.

Seseorang pelabur akan merasa tamak biasanya setelah melihat sesuatu syarikat saham mempunyai pembelian yang tinggi ketika itu. Sekiranya seseorang itu tidak menetapkan berapa peratus keuntungan yang patut diambil, maka keuntungan tersebut boleh sahaja bertukar kepada kerugian dalam sekelip mata.

Sekiranya perkara itu berlaku, rata-rata pelabur akan menggunakan ‘teknik harapan’ iaitu mengharap semula saham itu akan naik atau untung semula. Tetapi, saham bukanlah seperti forex yang laju turun naiknya, anda perlu menunggu bahkan mungkin berbulan lamanya untuk mendapat keuntungan semula.

Begitu juga dengan emosi yakin. Seorang pelabur itu kadang kalanya yakin dengan analisis yang dibuat lalu memasukkan kesemua atau ‘’ all-in’’ dana pelaburan. Jika benar ia akan untung maka tiada masalah tetapi jikalau rugi maka anda sendiri akan tanggung akibatnya.

Oleh itu, solusinya anda perlu menjaga emosi dan ‘‘money management’’ atau pengurusan kewangan anda. Tetapkan berapa peratus keuntungan yang perlu diambil dan ‘Cut Loss’ (CL) bagi mengatasi kerugian yang banyak.

Jangan melabur tanpa ilmu pelaburan

Sebelum kita nak pandai dalam sesuatu kita hendaklah mengetahui ilmu dalam perkara tersebut. Contohnya matematik kita tidak boleh tahu tentang cara kira-kira jika kita tidak belajar matematik. Macam itulah juga dengan pelaburan kita mestilah belajar ilmu pelaburan sebelum kita melabur.

Zaman sekarang kita boleh belajar saham dengan cara yang mudah. Contohnya dengan menonton video YouTube, ataupun join group Telegram yang berkaitan dengan saham. Itu adalah cara yang percuma. Jikalau kita nak mengetahui dengan lebih mendalam, kita perlulah korbankan masa, harta untuk mencari kelas dengan guru yang berpengalaman dalam ilmu saham dan pelaburan.

Kita juga perlulah ada guru untuk memimpin kita ke jalan benar. Guru itu tidak perlulah orang yang dibayar ataupun jauh. Cukuplah kawan-kawan kita yang ada ilmu saham. Kita boleh bertanya pendapat mereka sebelum kita mahu melabur. Yang penting kawan itu mahu tolong kita bukan untuk menjatuhkan kita.

Jangan berhutang ataupun buat pinjaman

Sebelum kita melabur, paling penting sekali kita mestilah mempunyai wang ataupun pendapatan lebihan untuk melabur. Jangan sesekali kita meminjam kawan ataupun keluarga ataupun bank dan menggunakan duit tersebut untuk melabur. Kerana perbuatan tersebut adalah pembaziran semata-mata.

Bayangkan jikalau kita melabur menggunakan duit pinjaman, setelah kita mendapat keuntungan kita perlu membayar semula hutang-hutang ataupun duit yang kita pinjam dari kawan ataupun keluarga. Itu tak termasuk kadar bunga yang kita pinjam dari bank. Setelah selesai bayar hutang- hutang tersebut, keuntungan yang kita dapat hanyalah sedikit.

Jadi sangatlah membazir. Tapi sekiranya kita menggunakan duit kita sendiri, kita akan merasa nikmat keuntungan tersebut kerana itu adalah hasil daripada duit kita sendiri. Jadi sekali lagi penulis memberi peringatan supaya janganlah berhutang ataupun menggunakan duit pinjaman.

Jangan melabur guna wang kecemasan

Melabur dengan duit ataupun pendapat lebihan yang kita dapat. Sekali lagi penulis memberi peringatan kepada pembaca. Janganlah kita sesekali menggunakan wang kecemasan untuk pelaburan saham.

Hal ini perlu diambil serius kerana cuba kita bayangkan kalau berlaku apa-apa kecemasan yang berlaku kepada kita ataupun keluarga kita sendiri. Kita sendiri juga yang susah nak cari duit itu balik.

Contohnya, tiba-tiba suatu hari mak ataupun ayah anda jatuh sakit ataupun mengalami kemalangan yang tidak boleh dielak. Semasa itu kita sendiri tidak ada duit kerana kita telah menggunakan wang kecemasan untuk pelaburan.

Jadi kita akan menggunakan alternatif lain dengan menjual motorsikal ataupun kereta ataupun apa-apa barang yang boleh tolong kita untuk dapatkan wang tersebut untuk tolong mak ayah kita yang berada dalam kesusahan. Jadi sebelum melabur beringatlah dan berpada-padalah untuk tidak gunakan wang kecemasan dan seperti penulis sudah maklumkan dari awal gunakanlah wang ataupun pendapatan lebihan.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, kita telah pun membincangkan tentang pantang larang ataupun perangkap yang mungkin pelabur bakal hadapi di dalam pelaburan saham. Artikel ini juga mendiskusi tentang solusi kepada pantang larang saham ataupun permasalahan kepada isu tajuk ini.

Diharapkan bahawa para pembaca dapat menjadikan artikel ini sebagai sumber rujukan dalam strategi pelaburan saham.

Akhir kata, segala isu yang dibincangkan di dalam artikel ini tidak terkait dengan mana-mana agensi pelaburan yang berdaftar dan artikel ini juga adalah sebagai sumber ilmiah kepada para pembaca di luar sana supaya dapat dimanfaatkan bersama.

Penulis boleh dihubungi di:

Izlan Syakir ([email protected])
Dhiya Syahir ([email protected])
Prof Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Bin Mohd Dali ([email protected])
Fakulti Ekonomi Dan Muamalat
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Alhamdulillah, terkini kami telah terbitkan buku ‘Malaysia Melabur Saham’.

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Pastinya anda selalu terdengar atau terbaca tentang peluang menggandakan pendapatan dalam pasaran saham patuh syariah di Bursa Malaysia. Ramai yang masih berkira-kira sebab belum berani dan tak pasti.

Jika anda benar-benar berminat untuk terlibat tetapi masih belum memulakan langkah pertama, buku ini teramat sesuai.

Ianya ringkas, padat dan sarat dengan contoh-contoh berbentuk grafik.

Kenapa Kena Miliki Buku Ini?

Tak semua orang boleh belajar menerusi video, jadi boleh baca buku ini di masa lapang. Nak Google semua artikel pun memakan masa.

Anda nak mula melabur saham, tapi nak tahu dulu asasnya?

Tak dapat nak belajar secara face-to-face, jom mulakan dengan membaca buku ini.

Senang faham sebab buku ini penuh dengan gambar dan contoh-contoh.

Ditulis oleh mereka yang berpengalaman, kita sama-sama belajar sampai faham.

Miliki Buku Ini Sekarang!!

Tak semua orang boleh belajar menerusi video, jadi boleh baca buku ini di masa lapang. Nak Google semua artikel pun memakan masa. Sebab itu buku ini telah terjual lebih daripada 2,000 naskah!

Kami faham ramai nak mula melabur saham, tapi nak tahu dulu asasnya?

Tak sempat nak belajar secara face-to-face, jom mulakan dengan membaca buku ini.

Senang faham sebab buku ini penuh dengan gambar dan contoh-contoh.

Ditulis oleh mereka yang berpengalaman, kita sama-sama belajar sampai faham.

TERKINI: Miliki Buku Malaysia Melabur Saham di Shopee

Previous ArticleNext Article

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.