Bank Rakyat Tawar Moratorium Enam bulan Kepada Mangsa Banjir

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) — Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) yang prihatin terhadap pelanggannya yang terkesan dengan bencana banjir menawarkan bantuan moratorium sehingga enam bulan bermula semalam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, inisiatif itu bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan pelanggan yang terjejas akibat banjir dan pada masa yang sama berdepan pula dengan kekangan kewangan akibat pandemik COVID-19.

“Bank Rakyat sentiasa komited membantu semua pelanggan kami yang terjejas, seiring dengan aspirasi ‘Keluarga Malaysia’ dan kami berharap bantuan ini dapat membantu melegakan mereka yang bimbangkan komitmen kewangan ketika waktu yang mencabar ini.

“Justeru, pelanggan yang menghadapi kesukaran untuk meneruskan pembayaran pembiayaan bagi produk yang dilanggan boleh memohon bantuan moratorium ini.

“Ini termasuklah Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pembiayaan Pendidikan-i, Pembiayaan Mikro-i dan penangguhan bayaran keuntungan bagi Pajak Gadai-i,” jelas beliau.

Pelanggan individu dan perusahaan mikro boleh memohon bantuan moratorium melalui e-mel [email protected] dengan menyertakan nama penuh, nombor  kad  pengenalan, alamat terjejas, nombor telefon bimbit untuk dihubungi, jenis pembiayaan dan salinan bil utiliti yang mengesahkan alamat pelanggan.

Manakala pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh terus menghubungi Pusat Perniagaan PKS dan Koperasi (SME & Cooperatives (SMEC) Business Centre) bagi mendapatkan bantuan, jelas Bank Rakyat.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh hubungi Pusat Panggilan di talian 1300 800 800, layari laman web rasmi Bank Rakyat di www.bankrakyat.com.my dan mengunjungi cawangan Bank Rakyat atau Susulan Berpusat Wilayah berdekatan dengan mengikuti media sosial rasmi Bank Rakyat untuk mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa, tambahnya

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.