iProperty.com.my Serlah Median Kebolehmampuan Pencari Rumah pada 2021

iProperty.com.my telah mengumumkan beberapa penemuan menarik berdasarkan data pengguna LoanCare, petunjuk kelayakan pinjaman rumah oleh iProperty.com.my, pada 2021. Data yang dikumpul dari 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2021, menunjukkan bahawa median kebolehmampuan pencari rumah ialah RM474,900 dan median ansuran pinjaman rumah ialah RM2,000.

Data pengguna terdiri daripada pelbagai kumpulan umur, dengan kebanyakan pengguna berumur antara 25 dan 34 tahun (57%), diikuti oleh pengguna berumur antara 35 dan 44 tahun (26%), pengguna berumur antara 18 dan 24 tahun (10%), pengguna berumur antara 45 dan 54 tahun (7%), dan selebihnya terdiri daripada pengguna berumur 55 tahun ke atas.

Data ini berdasarkan maklumat yang dikemukakan oleh pengguna yang menggunakan LoanCare, termasuk umur, jenis pekerjaan, pendapatan dan komitmen kewangan. Selain itu, data tersebut adalah daripada pengguna unik, memastikan tiada titik data berlebihan oleh pengguna yang sama. Data yang diperoleh adalah daripada pengguna unik LoanCare sahaja dan tidak mewakili keseluruhan pengguna hartanah di Malaysia.

Satu pertiga daripada hartanah kediaman yang baru dilancarkan pada suku ketiga (S3) 2021 adalah dalam median kebolehmampuan pencari rumah muda

Membandingkan kumpulan umur pengguna LoanCare yang berbeza pada 2021, median kebolehmampuan pencari rumah muda ialah RM319,461 (18-24 tahun) dan RM438,300 (25-34 tahun). iProperty.com.my menyatakan bahawa median kebolehmampuan mereka berada dalam lingkungan RM300,001 hingga RM500,000 iaitu 34% daripada unit kediaman baharu dilancarkan pada S3 2021, seperti yang dilaporkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) dalam Laporan Ringkasan Pasaran Hartanah S3 2021. Kumpulan pencari hartanah matang yang menggunakan Loancare merekodkan median kebolehmampuan sebanyak RM872,988 (45-54 tahun), RM667,226 (55-64 tahun), dan RM664,724 (35-44 tahun).

Shylendra Nathan, Pengurus Negara, PropertyGuru Malaysia (PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my) mengulas, “Ia adalah menggalakkan untuk melihat median kebolehmampuan pencari rumah muda berada dalam julat harga satu pertiga daripada unit baharu yang ditawarkan pada S3 2021. Kami teruja melihat pemaju hartanah telah melancarkan hartanah kediaman yang sepadan dengan permintaan pembeli rumah pertama, yang biasanya mempunyai median kebolehmampuan lebih rendah. Memandangkan kesan COVID-19 terhadap kuasa beli rakyat, ketersediaan hartanah di pasaran yang sejajar dengan keupayaan kewangan pembeli rumah kali pertama menjadi lebih penting. Oleh itu, pencari rumah akan menjadi lebih bersedia jika mereka mempunyai gambaran penuh mengenai proses pinjaman rumah dan LoanCare memberikan mereka kelebihan ini dengan membantu mereka mengenal pasti nisbah khidmat hutang (DSR) mereka dan membandingkan kelayakan pinjaman rumah mereka daripada 17 bank di Malaysia.”

Kepentingan nisbah khidmat hutang (DSR) untuk menentukan keupayaan pembayaran balik peminjam

Ramai pencari hartanah mengalami kesukaran untuk mendapatkan pinjaman perumahan kerana pengetahuan tentang proses permohonan pinjaman yang tidak mencukupi. Salah satu halangan tersebut ialah kekurangan kesedaran terhadap DSR, petunjuk keupayaan seseorang untuk menyelesaikan komitmen hutang mereka. Skor DSR yang tinggi mungkin menyebabkan permohonan pinjaman ditolak.

Sebaliknya, skor DSR yang rendah adalah lebih diutamakan oleh bank kerana ia menunjukkan bahawa pemohon boleh membayar ansuran bulanan mereka tepat pada masanya dan mempunyai risiko yang lebih rendah untuk gagal membayar hutang mereka. Selain itu, kadar DSR adalah berlainan di seluruh Malaysia kerana setiap bank mempunyai garis panduan tersendiri untuk had maksimum DSR yang dibenarkan mengikut kaedah pengiraan tersendiri untuk pendapatan dan pengiktirafan komitmen.

Mempunyai maklumat mengenai DSR akan memberi bakal pembeli rumah idea yang lebih baik tentang bank mana yang mereka perlu pertimbangkan apabila memohon pinjaman rumah, sekali gus meningkatkan peluang mereka untuk mendapat kelulusan pada percubaan pertama.

Tingkatkan peluang kelulusan pinjaman rumah dengan LoanCare

LoanCare membantu pencari rumah meningkatkan peluang mereka untuk mendapatkan kelulusan pinjaman rumah dan mengurangkan kemungkinan ditolak bank, yang seterusnya boleh menghalang mereka daripada memohon pinjaman rumah semula untuk tiga hingga enam bulan. LoanCare membolehkan pengguna mencari maklumat terperinci tentang DSR mereka, kelayakan pinjaman rumah indikatif, pecahan pinjaman mengikut ansuran bulanan, tempoh pinjaman dan kadar faedah serta membandingkan kelayakan pinjaman rumah daripada 17 bank.

Kebanyakan pengguna kemudahan seperti LoanCare mempunyai niat yang tinggi untuk membeli hartanah. Memandangkan LoanCare menggunakan DSR untuk membandingkan kelayakan pinjaman perumahan pengguna merentas berbilang bank, ia akan membantu pembeli rumah menentukan julat harga hartanah yang sesuai dengan kemampuan mereka, seterusnya menjimatkan masa dan usaha dalam proses mencari. Walau bagaimanapun, keupayaan kewangan seseorang tidak semestinya menjamin kelulusan pinjaman perumahan. Bank juga melihat pada sejarah kredit dan kredibiliti pemohon sebagai faktor penting apabila mempertimbangkan permohonan pinjaman rumah.

LoanCare adalah sebahagian daripada usaha iProperty.com.my untuk menyokong aspirasi pemilikan rumah di kalangan rakyat Malaysia. Portal tersebut mempunyai misi untuk menjadi sebuah platform hartanah paling dipercayai di Asia Tenggara menerusi penyediaan data dan pandangan komprehensif yang mengoptimumkan pencarian hartanah dan kemahiran membuat keputusan pencari rumah.

Sebagai tambahan kepada LoanCare, pencari hartanah boleh mengenal pasti kesesuaian tempat rumah idaman mereka dengan ciri Point-of-Interest (POI). Ciri ini diintegrasikan pada peta hartanah yang dicari dan membolehkan pembeli rumah menentukan betapa mudahnya untuk mengakses kemudahan-kemudahan yang mengelilingi hartanah sasaran mereka, seperti pengangkutan awam, kemudahan perubatan dan institusi pendidikan. Ciri Data Transaksi turut tersedia bagi mengemukakan maklumat sepuluh transaksi terkini yang terdiri daripada nilai jualan dan harga setiap kaki persegi, serta angka pertumbuhan modal dan anggaran maklumat hasil sewa untuk setiap hartanah di iProperty.com.my.

Mengenai iProperty.com.my  

iProperty.com.my beribu pejabat di Kuala Lumpur dan mempunyai lebih 200 kakitangan.  iProperty.com.my adalah portal hartanah terkemuka dalam pasaran, menawarkan pengalaman carian dalam dua bahasa iaitu Inggeris dan Bahasa Malaysia. iProperty.com.my turut menyediakan  penyelesaian untuk pengguna seperti LoanCare – petunjuk kelayakan pinjaman rumah, saluran Berita & Gaya Hidup – kandungan yang merangsang perjalanan pencarian hartanah pengguna, acara – menghubungkan pencari hartanah dengan ejen dan pemaju di luar talian, dan banyak lagi. Syarikat ini adalah sebahagian daripada  PropertyGuru Group, syarikat teknologi hartanah terkemuka di Asia Tenggara. [1] 

Untuk mendapatkan berita berkaitan iProperty.com.my, sila kunjungi www.iproperty.com.my/newsroom dan terokai pelbagai maklumat terkini mengenai permintaan, trend, teknologi serta produk berkaitan hartanah dan banyak lagi. 

[1] Dari segi penguasaan pasaran keterlibatan relatif berdasarkan kepada data SimilarWeb

Previous ArticleNext Article

CIMB Securities Kekal Saranan ‘Neutral’ Ke Atas Sektor Hartanah

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) — CIMB Securities Sdn Bhd mengekalkan saran an ‘neutral’ terhadap sektor hartanah, terutamanya di Johor, susulan pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini, memandangkan keputusan itu memberikan mandat yang jelas kepada pentadbiran baharu untuk memastikan kesinambungan pembangunan.

CIMB Securities dalam nota penyelidikannya hari ini memaklumkan bahawa ia termasuk pengumuman rasmi pelan tindakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) pada suku keempat 2026, dengan sokongan daripada kerajaan perpaduan persekutuan.

Bank pelaburan itu juga menjangkakan pelancaran projek Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) Johor Bahru bernilai RM7 bilion pada separuh kedua 2026, berikutan pemberian surat hasrat kepada konsortium DOM Industries-MMC Engineering-Nylex- BTS Group Holdings.

Bagaimanapun, projek infrastruktur rentas sempadan yang lain, termasuk cadangan Laluan Link 2 Sistem Transit Rapid (RTS) Tuas-Iskandar Puteri dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, masih menunggu kejelasan dasar yang lebih lanjut.

“Walaupun kami mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor hartanah, pelan tindakan JS-SEZ yang akan datang dan permulaan Laluan Link RTS pada suku pertama 2027 akan menyokong permintaan bagi hartanah kediaman bertanah dan perindustrian di Johor, dengan kesan limpahan faedah kepada aset komersial dan runcit di koridor pertumbuhan utama,” menurut nota penyelidikan itu.

Nilai tanah industri utama dilaporkan telah meningkat dua kali ganda kepada RM150 bagi setiap kaki persegi daripada RM 70-RM80 bagi setiap kaki persegi pada 2024, didorong oleh permintaan berterusan berkaitan pusat data, dengan pencarian tanah semakin beralih ke luar Johor Bahru disebabkan oleh kekangan bekalan tenaga dan air.

Namun, CIMB Securities memberi amaran mengenai segmen kediaman bertingkat tinggi di Johor Bahru, di mana data suku pertama 2026 daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) menunjukkan stok sedia ada sebanyak 108,863 unit pangsapuri perkhidmatan, serta bekalan masuk dan dalam perancangan masing-masing sebanyak 41,832 dan 18,712 unit sehingga 2030/2031.

Ia meningkatkan risiko lambakan bekalan sekiranya permintaan gagal seiring dengan bekalan tambahan tersebut.

Dalam senarai analisisnya, UEM Sunrise kekal sebagai pilihan utama bagi peningkatan semula nilai tanah Johor, memandangkan simpanan tanah Iskandar Puteri yang luas dan pelan induk perindustrian Gerbang Nusajaya yang akan datang pada suku pertama
2027.

Pemaju lain yang mempunyai pendedahan ketara kepada kawasan sekitar Laluan Link R’TS termasuk Eco World, Mah Sing Sunway, SP Setia dan KSL Holdings.

Sementara itu, Perkhidmatan Tren Elektrik Kuala Lumpur-JB Sentral yang baharu telah meningkatkan ketersambungan dalam negeri dan membuka peluang pembangunan di daerah sekitar, sekali gus memberi manfaat kepada Matrix Concepts menerusi perbandaran Bandar Seri Impian miliknya di Kluang.

Dalam PRN diadakan pada 11 Julai, 2026, Barisan Nasional mengekalkan penguasaan di Johor dengan majoriti dua pertiga yang besar, selepas memenangi 48 daripada 56 kerusi dipertandingkan.

BERNAMA