Projek Perumahan Awam Terbaik Di Dunia (Edisi 2022)

Pernahkah anda terfikir, bagaimana negara-negara lain di seluruh dunia bina projek perumahan awam atau rumah mampu milik untuk rakyat mereka?

Dari sudut lokasi dan jarak dengan kemudahan awam, adakah jauh atau mereka bina di lokasi yang strategik?

Adakah rumah awam yang dibina di luar negara fokus kepada rumah yang mesra rakyat? 

Jika ya, bagaimana mereka bina rumah awam tersebut? 

Buat pengetahuan anda, fokus dasar perumahan awam negara kita sangat jelas seawal tahun 1971 lagi. 

Pada tahun 1971, fokus utama Kerajaan adalah untuk menyediakan rumah bagi rakyat miskin. 

Seterusnya, pada tahun 1998, Malaysia menyaksikan pelupusan besar-besaran kawasan setinggan bagi menempatkan rakyat pada kediaman yang lebih selesa, selamat dan berkomuniti. 

Menjelang tahun 2012, kita menyaksikan Kerajaan mula fokus pada pembinaan rumah mampu milik untuk golongan B40 dan M40 dan tidak terbatas di Lembah Klang sahaja, tetapi seluruh pelosok negara. 

Hasil kajian daripada The Urbed Street pada tahun 2018 menunjukkan, sebenarnya tidak mudah untuk sebuah Kerajaan membina projek perumahan awam atau rumah mampu milik. 

Hal ini kerana, mereka berdepan dengan 4 cabaran ini :- 

  1. Akses tanah di lokasi strategik 
  2. Kos pembinaan projek perumahan 
  3. Peningkatan kos pengurusan & operasi 
  4. Jual projek perumahan pada harga mampu milik

Dalam artikel ini, anda akan didedahkan dengan 5 projek perumahan awam terbaik di dunia mengikut indikator :- 

  • Harga
  • Lokasi
  • Populasi 
  • Jenis Rumah 

1. Singapura 

Dengan anggaran populasi penduduk seramai 5.5 juta orang, Singapura berjaya membina lebih 1 juta perumahan awam semenjak tahun 1961 untuk 90% penduduknya. 

Program Housing and Development Board (HBD) dan Central Provident Fund (CPF) terbukti sebagai polisi mekanisme yang berjaya meningkatkan pemilikan hartanah dalam kalangan rakyat Singapura. 

Gambar : Wallpaper Flare 

Dari segi harga, sebuah unit high rise HBD dijual bermula $164,000 untuk tiga bilik sehingga $405,000 untuk lima bilik. 

Majoriti projek HBD di Singapura terletak di lokasi strategik kerana Kerajaan Singapura menguasai 90% tanah dan ini membolehkan mereka menjual unit HBD pada harga yang mampu milik. 

Jenis rumah yang dijual di bawah polisi HBD adalah :- 

  • Flat eksekutif 
  • Flat 3 Generasi 
  • Flat : 1 bilik – 5 bilik 

2. Sepanyol 

Sepanyol merupakan sebuah negara di benua Eropah dengan anggaran populasi 47.5 juta orang pada tahun 2021. 

Projek perumahan awam yang dibina di negeri Bilbao, kawasan pergunungan Basque dan utara Sepanyol ini merupakan pusat pembinaan kapal. 

Turut dikenali sebagai projek perumahan awam tertinggi di dunia pada tahun 2018, projek Bolueta di Bilbao ini tidak mempunyai balkoni! 

Gambar : Prism Pub

Bagi mengelakkan berlaku lambakan hartanah daripada spekulator seperti di bandar-bandar lain di Sepanyol, 25% daripada tanah dimiliki oleh Majlis Perbandaran. 

Bermula tahun 1994, 75% projek perumahan mestilah rumah mampu milik atau perumahan awam. 

Harga jualannya adalah €130,000 atau 7 kali daripada pendapatan tahunan penduduk Bilbao, Sepanyol. 

Pendapatan isi rumah tahunan mereka adalah di antara €15,000 – €20,000 setahun. 

Konsep 5,500 flat ini adalah menggunakan tenaga yang rendah dan di intergasi dengan pemandangan jalan yang berkualiti hasil pendekatan Zaha Hadid. 

Apa yang menarik, projek perumahan awam ini mempunyai muzium dan universiti dalam jarak berjalan kaki sahaja. 

3. Chile 

Projek perumahan awam Quinta Monroy ini terletak di benua Amerika Selatan dan menjadi antara projek paling ikonik di benua Amerika Latin.

Projek perumahan ini pada mulanya untuk menempatkan 100 keluarga di kawasan seluas 5,000 meter persegi yang telah diduduki secara haram selama 30 tahun.

Gambar : Arch Daily  

Isunya adalah, lokasi projek tersebut terletak di Iquique, sebuah lokasi pelancongan bebas cukai semenjak abad ke 19 dan harga tanah di kawasan itu sangat tinggi. 

Solusinya, pemaju hartanah projek ini telah membina rumah bertingkat dengan dapur, tandas, tangga dan bilik sahaja. 

Gambar : Dezeen 

Ruang luaran rumah sengaja dikosongkan supaya penghuni boleh meluaskan kediaman mereka kelak mengikut kemampuan kewangan mereka. 

4. Belgium 

Bekas kilang sabun di Brussels, Belgium ini mencipta sejarah apabila berjaya ditransformasi menjadi sebuah projek perumahan awam dengan penggunaan tenaga rendah untuk 42 keluarga. 

Gambar : Arch Daily 

Projek Savonnerie Heymans Public Housing dengan keluasan 6,500 meter persegi ini mempunyai beberapa jenis rumah iaitu :- 

  • Studio 
  • Apartmen 1-6 bilik
  • Duplex (dua unit rumah) 
  • Maisonettes (flat dua tingkat) 
  • Loft (ruang terbuka dua tingkat) 

Projek ini mempunyai taman mini, taman permainan dan ruang sosial untuk menggalakkan aktiviti komuniti di kalangan penduduk. 

Gambar : Arch Daily 

5. Slovenia 

Projek Tetris Apartment di Ljubjana, ibu kota Slovenia ini mempunyai keluasan 5,000 meter persegi dan menempatkan 650 unit apartmen. 

Jenis rumah adalah apartmen 4 tingkat dengan setiap unit mempunyai keluasan, 58 meter panjang dan 18 meter lebar. 

Bahan binaan yang digunakan adalah kayu oak dan batu granit untuk lantai dan jubin tandas dalaman rumah. 

Setiap unit apartmen tidak menghadap unit yang lain dan didatangkan dengan tingkap yang besar dan menegak untuk penghuni melihat panorama luar rumah.

Gambar : Arch Daily

Apa yang menarik adalah, dinding dalaman rumah boleh diubah mengikut keperluan dan kehendak penghuni setiap unit kediaman. 

Kesimpulannya, kita dapat belajar bahawa pemaju hartanah luar negara menawarkan rumah yang lebih ‘customizable‘ dan tidak statik serta membosankan. 

Faktor harga dan lokasi juga sangat penting di mana, kebanyakan projek perumahan awam dijual pada harga yang benar-benar mampu milik di lokasi yang strategik sungguhpun keluasan rumah boleh dikategorikan kecil. 

Apa yang pasti, lokasi rumah sangat penting supaya taraf hidup penghuni dapat ditingkatkan dengan adanya akses infrastruktur dan lokasi yang ada peluang pekerjaan. 

Memiliki rekod CCRIS yang bersih sangat penting untuk kita semua. Kalau rekod CCRIS kita tak cantik, maka selepas ini susahlah untuk kita mendapatkan apa sahaja pinjaman daripada pihak bank.

  • Bagaimana pula dengan hutang kad kredit, bayar tepat pada masanya atau tidak?
  • Pernahkah anda terlibat dengan sebarang masalah undang-undang atau muflis?
  • Berapa pula Debt to service ratio (DSR) anda?

Dengan TechRevo, kini anda boleh dapatkan laporan kewangan dengan cepat dan mudah.

Bukan itu sahaja, semua pengiraan berkenaan dengan permohonan pinjaman akan dilakukan berdasarkan apa yang bank mahu.

Yang lagi bestnya, di penghujung laporan nanti ada pilihan bank dengan tawaran terbaik khusus untuk anda.

Dengan harga promosi RM14.90, anda akan dapat:

✅ Ketepatan 99% pengiraan DSR + kelayakan pinjaman perumahan
✅ Laporan CCRIS untuk 12 bulan
✅ Kes undang-undang, muflis

Dapatkan laporan TechRevo hari ini juga -> https://tinyurl.com/techrevo

Previous ArticleNext Article

LPPSA Kedua: Boleh Mohon Walaupun Pembiayaan Pertama Belum Habis, Ini Syarat & Kelayakannya

Ada pembiayaan LPPSA pertama yang masih berjalan tetapi sudah terfikir nak beli rumah kedua?

Mulai 4 Oktober 2026, penjawat awam yang layak boleh memohon Pembiayaan Kedua LPPSA tanpa perlu menyelesaikan sepenuhnya Pembiayaan Pertama.

Pada masa yang sama, LPPSA turut menaikkan had kelayakan maksimum pembiayaan perumahan sehingga RM1 juta.

Namun, ini bukan bermaksud semua penjawat awam automatik boleh meminjam RM1 juta. Jumlah sebenar masih bergantung kepada pendapatan bersih, kelayakan pemohon, baki kelayakan pembiayaan serta syarat LPPSA yang berkuat kuasa.

Apa perubahan LPPSA 2026?

Menurut notis rasmi LPPSA bertarikh 25 September 2026, dua perubahan utama mula berkuat kuasa pada 4 Oktober 2026:

Pertama, had kelayakan maksimum pembiayaan perumahan LPPSA dinaikkan sehingga RM1 juta.

Kedua, pemohon boleh membuat permohonan Pembiayaan Kedua tanpa menyelesaikan Pembiayaan Pertama, tertakluk kepada baki kelayakan pembiayaan dan syarat yang ditetapkan.

Ini memberi lebih banyak fleksibiliti kepada penjawat awam yang masih mempunyai pembiayaan pertama tetapi mahu menggunakan baki kelayakan mereka untuk pembiayaan kedua.

Had pembiayaan LPPSA sehingga RM1 juta

LPPSA menetapkan jadual had kelayakan berdasarkan pendapatan bersih.

Pendapatan BersihHad Kelayakan Maksimum
Lebih RM10,000RM1,000,000
RM10,000RM950,000
RM9,500RM930,000
RM9,000RM900,000
RM8,500RM880,000
RM8,000RM850,000
RM7,500RM830,000
RM7,000RM800,000
RM6,500RM780,000
RM6,000RM730,000
RM5,500RM670,000
RM5,000RM610,000
RM4,500RM550,000
RM4,000RM480,000
RM3,500RM430,000
RM3,000RM350,000
Sehingga RM2,500RM280,000

Jadual ini adalah berdasarkan FAQ rasmi LPPSA mengenai penambahbaikan 2026.

Nota penting: Had maksimum ini bukan bermaksud pemohon pasti menerima jumlah tersebut. Amaun yang diluluskan masih bergantung kepada kelayakan pemohon dan syarat pembiayaan yang berkuat kuasa.

Siapa yang layak menikmati had baharu?

LPPSA menyatakan jadual kelayakan baharu ini terpakai kepada kakitangan sektor awam yang layak memohon pembiayaan perumahan LPPSA, tertakluk kepada syarat dan kelayakan semasa.

Bagaimanapun, terdapat kumpulan tertentu yang tidak menggunakan jadual ini, antaranya:

  • Anggota Pentadbiran Persekutuan;
  • Anggota Pentadbiran Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri; dan
  • Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Golongan tersebut tertakluk kepada peruntukan atau keputusan berkaitan yang berasingan.

Apa maksud “Pembiayaan Kedua” sekarang?

Ini bahagian yang paling menarik.

Sebelum penambahbaikan ini, pemohon secara amnya perlu menyelesaikan Pembiayaan Pertama sebelum membuat Pembiayaan Kedua.

Mulai 4 Oktober 2026, syarat tersebut tidak lagi diperlukan.

LPPSA menyatakan pemohon boleh memohon Pembiayaan Kedua tanpa menyelesaikan Pembiayaan Pertama, tertakluk kepada penilaian kemampuan bayaran balik dan syarat kelayakan LPPSA.

Contohnya:

Ali membeli rumah pertama menggunakan LPPSA.

Pembiayaan pertama masih mempunyai baki.

Kemudian Ali mahu membeli rumah kedua.

Dengan peraturan baharu, Ali tidak perlu melangsaikan pembiayaan pertama terlebih dahulu semata-mata untuk memohon pembiayaan kedua.

Tetapi Ali masih perlu mempunyai baki kelayakan pembiayaan yang mencukupi dan memenuhi syarat LPPSA.

Apakah syarat Pembiayaan Kedua?

LPPSA menetapkan beberapa syarat utama.

Pemohon perlu:

1. Merupakan kakitangan sektor awam yang layak memohon pembiayaan perumahan LPPSA.

2. Potongan gaji bagi Pembiayaan Pertama telah dilaksanakan.

3. Tidak mempunyai tunggakan bayaran balik bagi Pembiayaan Pertama sedia ada.

Selain itu, permohonan tetap tertakluk kepada penilaian kemampuan bayaran balik dan syarat kelayakan LPPSA yang berkuat kuasa.

Berapa margin Pembiayaan Kedua?

Ini juga penting kerana margin pembiayaan bergantung kepada status Pembiayaan Pertama.

Jika Pembiayaan Pertama sudah selesai

Margin Pembiayaan Kedua adalah sehingga 100%.

Jika Pembiayaan Pertama masih belum selesai

Margin Pembiayaan Kedua adalah sehingga 90%.

Untuk Jenis 5 dan Jenis 7 bagi hartanah yang sama

LPPSA menetapkan margin sehingga 100% bagi:

  • Jenis 5 – Ambil Alih; dan
  • Jenis 7 – Ubah Suai,

bagi hartanah yang sama, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Contoh mudah Pembiayaan Kedua

Katakan seseorang masih mempunyai Pembiayaan Pertama LPPSA.

Kemudian dia mahu membeli rumah kedua berharga RM500,000.

Jika Pembiayaan Pertama masih belum diselesaikan, margin Pembiayaan Kedua adalah sehingga 90%.

Secara mudah:

RM500,000 × 90% = RM450,000

Jadi, secara teori, pembiayaan boleh mencapai sehingga RM450,000, manakala baki RM50,000 perlu ditanggung melalui sumber lain.

Tetapi angka sebenar masih tertakluk kepada baki kelayakan pembiayaan dan penilaian LPPSA.

Maksudnya, jangan terus anggap rumah RM500,000 akan mendapat pembiayaan RM450,000 kerana kelayakan sebenar setiap pemohon adalah berbeza.

Bagaimana LPPSA menentukan kelayakan?

LPPSA menggunakan kaedah pengiraan berdasarkan kemampuan bayaran balik.

Antara kriteria yang dinyatakan LPPSA ialah:

  • Ansuran bulanan tidak melebihi 60% daripada gaji pokok dan elaun tetap yang diambil kira;
  • Jumlah hutang tidak melebihi 80% daripada pendapatan bersih; dan
  • Gaji bersih sekurang-kurangnya 20% daripada pendapatan kasar.

Pendapatan bersih bagi tujuan pengiraan LPPSA pula merujuk kepada gaji pokok + elaun tetap yang diambil kira – potongan wajib.

Jadi, seseorang yang mempunyai gaji tinggi sekalipun tidak semestinya mendapat jumlah maksimum RM1 juta kerana pengiraan turut mengambil kira kemampuan bayaran balik.

Bagaimana pula kadar keuntungan?

Untuk pembiayaan hartanah sehingga RM1 juta, LPPSA memperkenalkan struktur kadar purata wajaran (blended rate).

Strukturnya:

Sehingga RM750,000 → 4.00% setahun

Bahagian melebihi RM750,000 sehingga RM1 juta → 4.50% setahun

Yang menariknya, pengiraan ini mengambil kira jumlah pembiayaan hartanah yang diluluskan bagi Pembiayaan Pertama dan Pembiayaan Kedua.

Contoh RM800,000

Bagi pembiayaan RM800,000:

RM750,000 pertama → 4.00%

Baki RM50,000 → 4.50%

Kadar purata wajaran yang terhasil ialah kira-kira 4.03% setahun.

RM1 juta bukan bermaksud boleh ambil RM1 juta untuk rumah kedua

Ini perkara yang ramai mungkin salah faham.

Had maksimum RM1 juta ialah had kelayakan maksimum, bukannya jumlah automatik yang boleh dipinjam.

Untuk Pembiayaan Kedua pula, LPPSA secara jelas menyatakan ia tertakluk kepada baki kelayakan pembiayaan.

Contohnya, jika seseorang mempunyai had kelayakan RM800,000 tetapi telah menggunakan RM600,000 bagi Pembiayaan Pertama, baki kelayakannya tidak bermaksud dia boleh terus mengambil RM800,000 lagi.

Sebaliknya, pengiraan baki kelayakan perlu dibuat berdasarkan ketetapan LPPSA.

Sebab itu LPPSA menyediakan kemudahan SmartKira untuk membuat semakan anggaran kelayakan mulai 4 Oktober 2026.

Boleh beli rumah kedua sebelum rumah pertama habis bayar?

Ya, mulai 4 Oktober 2026, boleh memohon.

Tetapi terdapat tiga perkara yang perlu diberi perhatian:

Pertama: Pembiayaan Pertama tidak perlu diselesaikan sepenuhnya.

Kedua: Pemohon perlu mempunyai baki kelayakan pembiayaan yang mencukupi.

Ketiga: Pemohon masih perlu memenuhi syarat kemampuan bayaran balik dan syarat LPPSA yang berkuat kuasa.

Jadi, kemudahan ini memberikan fleksibiliti, tetapi bukan “lesen” untuk mengambil hutang rumah tanpa mengambil kira kemampuan kewangan.

Semua jenis pembiayaan boleh digunakan?

Menurut FAQ LPPSA, semua jenis pembiayaan dibenarkan bagi Pembiayaan Kedua, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Namun, terdapat pengecualian tertentu.

Sebagai contoh, pelanggan yang sedang menikmati Pembiayaan Pertama Jenis 4 atau Jenis 5 bagi tanah dan belum memohon Jenis 6 untuk membina rumah, tidak dibenarkan memohon Pembiayaan Kedua bagi Jenis 4 atau Jenis 5 tanah tersebut.

LPPSA juga menjelaskan bahawa jika seseorang membeli tanah melalui Jenis 4 atau Jenis 5 dan kemudian memohon Jenis 6 untuk membina rumah di atas tanah tersebut, ia masih dianggap sebagai satu kelayakan pembiayaan, bukan Pembiayaan Kedua.

Bila boleh mula memohon?

Kemudahan baharu ini berkuat kuasa pada:

4 OKTOBER 2026

LPPSA menyatakan pelanggan boleh mengemukakan permohonan bagi kemudahan tersebut mulai tarikh berkenaan.

Bagi permohonan yang telah dikemukakan sebelum 4 Oktober 2026, LPPSA menyatakan ia akan diproses berdasarkan had kelayakan amaun pembiayaan hartanah yang berkuat kuasa pada tarikh permohonan diterima.

Kesimpulan

Penambahbaikan LPPSA 2026 membawa perubahan yang agak besar kepada penjawat awam.

Had kelayakan maksimum pembiayaan kini dinaikkan sehingga RM1 juta, manakala Pembiayaan Kedua boleh dipohon tanpa perlu menyelesaikan Pembiayaan Pertama terlebih dahulu.

Tetapi perkara paling penting untuk difahami ialah:

RM1 juta = had kelayakan maksimum, bukan jumlah automatik.

Dan:

Pembiayaan Kedua = boleh mohon walaupun pembiayaan pertama masih berjalan, tetapi tertakluk kepada baki kelayakan dan kemampuan bayaran balik.

Jadi, kalau memang bercadang membeli rumah kedua, langkah pertama bukan terus cari rumah RM1 juta.

Semak dahulu baki kelayakan LPPSA.

Kemudian barulah tengok harga rumah yang benar-benar mampu ditanggung.

Nota: Maklumat ini berdasarkan pengumuman dan FAQ rasmi LPPSA bertarikh 25 September 2026. Syarat dan pengiraan sebenar adalah tertakluk kepada pekeliling, garis panduan serta ketetapan LPPSA yang berkuat kuasa pada tarikh permohonan.

Sumber rasmi: LPPSA – Penambahbaikan Kemudahan Pembiayaan Perumahan Sektor Awam 2026 termasuk jadual kelayakan RM280,000 hingga RM1 juta.