Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Anda Tersalah Lapor Cukai?

Musim pengisytiharan pendapatan penggajian Tahun Taksiran 2021 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) akan melabuhkan tirainya pada 30 April 2022 bagi yang mengemukakan borang secara manual manakala menerusi e-Filing adalah pada 15 Mei 2022. Bagi sesetengah individu, bulan ini sememangnya dinantikan kerana berkemungkinan mereka akan menerima bayaran balik cukai (tax refund) sekiranya cukai yang kena dibayar lebih rendah daripada amaun Potongan Cukai Bulanan atau Ansuran CP500.

Sungguhpun begitu, ada dalam kalangan pembayar cukai yang suka melapor cukai di saat-saat akhir yang seterusnya mendorong kepada kesilapan-kesilapan kecil dalam pelaporan cukai mereka.  Lanjutan kepada perkara itu, tindakan pindaan taksiran perlu dilakukan. Justeru, dalam artikel kali ini kami akan kongsikan beberapa persoalan dan tindakan yang perlu dilakukan untuk memastikan pengisytiharan cukai anda adalah tepat dan betul berdasarkan undang-undang percukaian.

1. Adakah pindaan terhadap taksiran yang telah dilaporkan kepada HASiL masih boleh dibuat?  

Jawapan:

  • Ya, pindaan masih boleh dibuat terhadap taksiran yang telah dilaporkan kepada HASiL.
  • Terdapat tiga kaedah yang boleh dilakukan oleh pembayar cukai seperti berikut:
  1. Secara manual – Pembayar cukai hadir ke cawangan HASiL  sebelum tempoh yang ditetapkan menurut subseksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) (tiada penalti dikenakan bagi tambahan cukai). Bawa bersama-sama surat rayuan / borang CP15C (Permohonan Relif kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri berkenaan kesilapan atau khilaf), salinan e-Filing / borang kertas yang telah dihantar, dokumen dan resit yang berkaitan dengan pindaan taksiran berkenaan. Semua dokumen ini akan diserahkan ke cawangan HASiL yang mengendalikan fail cukai pembayar cukai tersebut; atau
  1. Borang e-BE Tahun Taksiran 2021 (individu pemastautin yang TIDAK menjalankan perniagaan) yang dikemukakan melalui e-Filing dalam tempoh iaitu antara 1 Mac 2022 hingga 15 Mei 2022 boleh menghantar permohonan pindaan secara dalam talian melalui https://mytax.hasil.gov.my iaitu e-Permohonan Pindaan BE bagi Tahun Taksiran 2021 bermula pada 1 April 2022. e-Permohonan Pindaan BE hanya terpakai bagi kes pembayar cukai yang terlebih melaporkan pendapatan dan yang terkurang menuntut pelepasan / rebat cukai di bawah subseksyen 131(1) ACP 1967.  Jika borang BE asal dikemukakan menggunakan Borang Manual, kaedah ini tidak terpakai; atau
  1. Borang Nyata Terpinda (BNT) Tahun Taksiran 2021 turut disediakan di Portal Rasmi HASiL mulai 1 Mei 2022 bagi pembayar cukai yang ingin membuat pindaan sendiri atas maklumat atau taksiran bagi membetulkan kesilapan dalam Borang Nyata berhubung dengan :
  • pendapatan terkurang / tidak lapor;
  • perbelanjaan / tuntutan lain terlebih tuntut; atau
  • elaun modal / insentif / pelepasan yang terlebih tuntut.

Ringkasnya BNT ini perlu digunakan bagi pindaan pengisytiharan cukai yang akan meningkatkan amaun taksiran atau jumlah cukai kena dibayar. BNT perlu dikemukakan dalam tempoh 6 bulan dari tarikh yang ditetapkan dalam ACP 1967 bagi pengemukaan Borang Nyata (BN) asal termasuk yang dihantar secara e-Filing di dalam tempoh yang ditetapkan.  BNT boleh dikemukakan ke cawangan HASiL yang mengendalikan fail cukai pendapatan pembayar cukai sama ada secara serahan tangan atau melalui pos. Untuk maklumat lanjut sila layari Portal Rasmi HASiL > Perundangan > Garis Panduan > Garis Panduan Bil. 1 Tahun 2020 : Prosedur Pengemukaan Borang Nyata Terpinda.

Pindaan maklumat asas seperti nombor telefon, e-mel, alamat surat-menyurat, kediaman dan premis perniagaan serta nama dan akaun bank boleh dibuat melalui e-Kemaskini di pautan https://mytax.hasil.gov.my/. Sebagai contoh jika pembayar cukai tersilap mengisi nombor akaun bank pada borang nyata cukai yang asal.  

2. Boleh jelaskan situasi-situasi silap lapor dan kaedah pindaan yang perlu digunakan?

Jawapan:

3. Apakah jenis-jenis kesilapan yang biasa diterima oleh HASiL?

Jawapan:

  • Kegagalan melaporkan pendapatan yang betul. 
  • Tidak menuntut amaun pelepasan yang dibenarkan seperti tertinggal menuntut insurans nyawa, derma, caruman Tabung SSPN atau pelepasan anak.
  • Kesilapan yang timbul daripada salah faham undang-undang.

(Contoh situasi ini:  Pada tahun 2021 ramai ibu bapa yang membeli komputer/tablet bagi kegunaan anak-anak untuk belajar secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR).  Resit pembelian komputer/tablet tersebut telah diletakkan atas nama anak.  Oleh yang demikian, ibu/bapa adalah tidak layak menuntut pelepasan ini kerana resit telah diletakkan atas nama anak.  Justeru itu, pastikan sebarang pembelian adalah diletakkan atas nama pembayar cukai bagi tujuan menuntut pelepasan tersebut.

4. Terlebih menuntut pelepasan/derma.

(Contoh: Derma yang layak dituntut adalah derma kepada Kerajaan / Kerajaan negeri / institusi yang layak di bawah Seksyen 44(6). Senarai institusi boleh disemak di portal rasmi HASiL https://www.hasil.gov.my/pautan-pantas/perkhidmatan/derma/ 

4. Berapa kalikah pindaan boleh dibuat? 

Jawapan: 

  • Pembayar cukai yang telah mengemukakan BN dalam tempoh ditetapkan dibenarkan untuk membuat pindaan melalui e-Permohonan Pindaan BE dan melalui BNT dan ianya terhad kepada sekali sahaja. 
  • Walau bagaimanapun, sekiranya masih terdapat pindaan selepas permohonan pindaan pertama dibuat, pembayar cukai perlu mengemukakan surat rayuan beserta dokumen dan resit yang berkaitan ke cawangan yang mengendalikan fail cukai mereka. 
  • Pastikan semakan telah dibuat dengan betul supaya tidak perlu lagi membuat pindaan atas pindaan. 

5. Adakah pindaan yang dibuat sendiri melalui BNT oleh pembayar cukai boleh mengakibatkan apa-apa perubahan pada taksiran cukai? 

Jawapan: 

Ya, betul. 

Pindaan sendiri boleh menyebabkan perubahan seperti: 

  • Daripada tidak kena cukai kepada kena cukai.
  • Daripada kena cukai kepada cukai tambahan. 
  • Daripada terima bayaran balik berkemungkinan tiada bayaran balik, malah akan wujud baki cukai kena dibayar. 

6. Elakkan kesilapan dalam pelaporan cukai. 

Pastikan kiraan manual telah dibuat bagi resit-resit yang ada terlebih dahulu, kumpulkan dalam satu fail, input boleh dikunci masuk pada Borang Nyata manual atau e-Filing. Tidak salah untuk membuat kiraan beberapa kali atau mengemaskini maklumat dalam e-Filing untuk kepastian selagi belum klik butang HANTAR. 

Buat perbandingan dengan pasangan (bagi yang telah berkahwin), dengan cara membuat pengiraan cukai (tax computation) terlebih dahulu.  Dari situ kita dapat mengenal pasti siapa yang patut menuntut pelepasan anak dan menikmati penjimatan cukai, seterusnya jika telah berpuas hati barulah klik butang hantar. Seringkali terjadi kes di mana, suami/isteri menuntut anak yang sama dalam e-BE masing-masing disebabkan tiada perbincangan antara pasangan. Proses audit akan dijalankan atas pelaporan maklumat yang tidak tepat oleh pembayar cukai. 

Kesimpulannya, masalah tersalah lapor ini boleh dielakkan jika pembayar cukai menyemak dengan meneliti maklumat yang telah dikunci masuk beserta resit-resit berkaitan sebelum borang BE dihantar.  Pembayar cukai juga dinasihatkan supaya cakna dengan maklumat terkini percukaian yang boleh diakses di portal rasmi HASiL www.hasil.gov.my atau boleh merujuk artikel-artikel yang pernah diterbitkan sebelum ini.

Terima kasih #KeluargaMalaysia, jangan lupa tanggjungjawab anda lapor dan bayar cukai dengan betul demi kelestarian percukaian negara. 

Artikel ini disumbangkan oleh Bahagian Komunikasi, Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif HASiL.

Belum Terlambat, Masih Sempat Untuk Belajar

Ingat, pasaran saham tidak kalis rugi. Harga saham akan bergerak. Naik, turun atau duk situ saja. Namun begitu, pelaburan saham telah lama terbukti menjadi salah satu instrumen pelaburan yang paling menguntungkan. Paling penting, gunakan modal dari duit lebihan sahaja supaya tidak serabut dan kusut bila rugi.

Nak melabur saham tapi tak tahu caranya?

Dah mula melabur tapi asyik rugi?

Nak tahu cara cari saham yang boleh dibeli?

Nak tahu analisis teknikal untuk ‘entry’?

Banyak ilmu pelaburan saham turut dikongsikan secara percuma di TheKapital. Jika anda ingin mendapatkan ilmu-ilmu eksklusif berdasarkan kepada tajuk-tajuk yang lebih mendalam, dapatkan ilmu tersebut di sini >> Produk TheKapital

Previous ArticleNext Article

10 Kesilapan Isi e-Filing Yang Ramai Orang Selalu Buat

Setiap kali musim e-Filing, ramai antara kita akan buka MyTax, masukkan maklumat gaji, tuntut pelepasan cukai dan tekan butang “Hantar”.

Nampak mudah. Tapi betul ke semua maklumat dah diisi dengan tepat?

Ada yang tersalah pilih borang. Ada yang terlupa masukkan bonus. Ada juga yang tak lapor pendapatan sewa sebab ingat dah ada potongan PCB, jadi tak perlu risau lagi.

Kesilapan macam ini mungkin nampak kecil, tetapi boleh menyebabkan kita terlepas pelepasan cukai, lambat menerima bayaran balik atau terpaksa membayar cukai tambahan.

Jom semak 10 kesilapan yang patut kita elakkan.

1. ❌ Tersalah pilih Borang B atau Borang BE

Ini antara perkara asas yang ramai pembayar cukai perlu faham.

Borang BE digunakan oleh individu pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan, manakala Borang B digunakan oleh individu pemastautin yang menjalankan perniagaan.

Contohnya, Ali bekerja makan gaji dengan pendapatan tahunan RM72,000. Pada masa yang sama, dia menjalankan perniagaan menjual pakaian secara dalam talian (TikTok Shop, Shopee) dan memperoleh keuntungan bersih RM20,000 setahun.

Ali tidak boleh memilih Borang BE semata-mata kerana dia juga mempunyai pekerjaan tetap. Dia perlu menggunakan borang yang sesuai dengan keadaan pendapatannya.

Jika tersalah menghantar Borang BE, maklumat pendapatan perniagaannya mungkin tidak dilaporkan melalui borang yang sepatutnya.

Kesannya, Ali mungkin perlu mendapatkan panduan HASiL untuk membetulkan pelaporan cukainya.

Penting juga untuk diingat bahawa pendapatan sewa atau pendapatan sampingan tidak secara automatik bermaksud seseorang perlu menggunakan Borang B. Penentuan bergantung pada sifat pendapatan dan sama ada individu itu menjalankan perniagaan bagi tujuan cukai.

2. ❌ Tertinggal bonus ketika mengisi pendapatan penggajian

Katakan pendapatan penggajian seseorang sepanjang tahun ialah RM80,000, terdiri daripada:

  • Gaji tahunan: RM72,000
  • Bonus: RM8,000

Tetapi ketika mengisi e-Filing, dia hanya memasukkan RM72,000 dan terlupa memasukkan bonus.

Akibatnya, pendapatan penggajian terkurang lapor sebanyak RM8,000.

Jika tambahan pendapatan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM8,000 × 19% = RM1,520

Jumlah sebenar bergantung pada pendapatan bercukai keseluruhan, pelepasan, rebat dan kadar cukai progresif.

Sebab itu, semak Borang EA atau EC dan pastikan jumlah pendapatan penggajian merangkumi gaji, bonus serta saraan bercukai lain yang berkaitan.

Dah hantar e-Filing? Jangan hantar borang baharu untuk tahun taksiran yang sama. Semak kaedah pindaan yang sesuai dengan HASiL kerana kesilapan ini melibatkan pendapatan terkurang lapor.

3. ❌ Tersalah pilih “Ya” untuk cukai ditanggung oleh majikan

Ada yang keliru antara cukai ditanggung majikan dengan Potongan Cukai Bulanan (PCB).

Ruangan “Cukai ditanggung oleh majikan” merujuk kepada keadaan majikan menanggung cukai pendapatan pekerja mengikut aturan pekerjaan. Ia bukan sekadar bermaksud majikan memotong PCB daripada gaji.

Bayangkan seorang pekerja sepatutnya menerima bayaran balik RM2,000, tetapi tersalah memilih “Ya” walaupun cukai sebenarnya ditanggung sendiri.

Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh sementara maklumat disemak.

Isu ini pernah mendapat perhatian pada Mac 2026 apabila HASiL menjelaskan tindakan bagi kes pembayar cukai Tahun Taksiran 2025 yang tersilap memilih ruangan tersebut. Bagi kes yang disahkan, pembayar cukai tidak perlu meminda borang dan bayaran balik akan diproses secara berperingkat.

Jadi, jangan klik secara automatik. Fahami maksud setiap ruangan sebelum menghantar borang.

4. ❌ Tuntut Pelepasan Cukai untuk Perbelanjaan yang Sudah Dibayar oleh Majikan

Ramai tak sedar, bukan semua perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai boleh dituntut begitu sahaja, terutamanya apabila kos tersebut sudah ditanggung oleh majikan.

Contohnya, syarikat menyediakan manfaat perubatan yang menanggung 100% kos rawatan pekerja. Ali menerima rawatan penyakit serius bernilai RM5,000 dan keseluruhan bil dibayar oleh syarikat. Ali kemudian cuba menuntut RM5,000 yang sama sebagai pelepasan cukai perubatan dalam e-Filing.

Ini boleh menjadi kesilapan kerana Ali tidak menanggung sendiri perbelanjaan tersebut.

Apa yang perlu dibuat? Semak syarat khusus bagi setiap kategori pelepasan cukai dan pastikan tuntutan dibuat berdasarkan perbelanjaan yang benar-benar layak dituntut.

Ingat, tuntutan pelepasan cukai bukan sekadar tentang berapa banyak kita berbelanja, tetapi juga sama ada perbelanjaan itu memenuhi syarat yang ditetapkan.

Perbelanjaan perubatan bagi penyakit serius termasuk rawatan dibuat ke atas penyakit seperti sindrom Kurang Daya Ketahanan (AIDS), sindrom Parkinson, barah, penyakit buah pinggang, leukemia dan lain-lain penyakit yang serupa. ‘Lain-lain penyakit yang serupa’ termasuk serangan jantung, pulmonari hypertension, penyakit hati kronik, fulminant viral hepatitis, trauma kepala dengan defisit nurologikal, ketumbuhan otak dan kecacatan kepada pembuluh darah, melepuh dan melecur yang keterlaluan, pemindahan organ utama dan pemotongan kaki dan / atau tangan. Potongan sehingga RM10,000 dibenarkan ke atas amaun yang dibelanjakan untuk rawatan ke atas diri sendiri, pasangan atau anak. Rujuk Nota Penerangan BE

5. ❌ Tuntut pelepasan cukai, tetapi resit tak dapat dicari

Contohnya, seseorang menuntut pelepasan bagi pembelian komputer riba bernilai RM3,000 tetapi tidak dapat mengemukakan bukti pembelian apabila diminta.

Jika tuntutan itu tidak dapat disokong dan akhirnya ditolak, pendapatan bercukainya mungkin meningkat RM3,000.

Pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM3,000 × 19% = RM570

Dia mungkin perlu membayar cukai tambahan RM570, bergantung pada pengiraan cukai sebenar.

Sebab itu, pastikan tuntutan memenuhi syarat dan simpan resit, invois serta dokumen sokongan yang berkaitan.

HASiL secara amnya menetapkan rekod dan dokumen berkaitan cukai perlu disimpan selama tujuh tahun mengikut keperluan undang-undang.

6. ❌ Salah masukkan nombor akaun bank

Katakan seseorang layak menerima bayaran balik cukai sebanyak RM1,800, tetapi tersalah memasukkan nombor akaun bank.

Kesilapan ini boleh menyebabkan bayaran balik tertangguh atau memerlukan pengesahan lanjut.

Duit itu tidak semestinya hilang, tetapi pembayar cukai mungkin perlu menghubungi HASiL untuk menyelesaikan masalah tersebut.

7. ❌ Terlupa memasukkan maklumat anak

Ini juga boleh berlaku kepada ibu bapa yang mempunyai beberapa orang anak.

Contohnya, seorang pembayar cukai terlupa menuntut pelepasan anak sebanyak RM2,000 yang sebenarnya layak.

Jika kadar marginal cukainya 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM2,000 × 19% = RM380

Dia mungkin terlepas peluang mengurangkan cukai sebanyak RM380.

Walau bagaimanapun, kelayakan dan jumlah pelepasan bergantung pada syarat yang ditetapkan bagi tahun taksiran berkenaan, termasuk keadaan dan status anak.

Jadi, jangan anggap maklumat yang diisi pada tahun sebelumnya semestinya sudah lengkap untuk tahun semasa.

8. ❌ Tak lapor pendapatan sewa rumah

Ini contoh yang dekat dengan kehidupan ramai pekerja makan gaji.

Amir bekerja dengan pendapatan tahunan RM90,000. Dalam masa yang sama, dia menyewakan sebuah rumah pada harga RM1,200 sebulan.

Pendapatan sewa setahun:

RM1,200 × 12 bulan = RM14,400

Katakan perbelanjaan sewa yang dibenarkan ialah RM3,000. Pendapatan sewa bersih untuk ilustrasi ialah RM11,400.

Jika pendapatan bercukai Amir sebelum mengambil kira pendapatan sewa ialah RM75,000 dan tambahan itu dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM11,400 × 19% = RM2,166

Jumlah sebenar bergantung pada pengiraan pendapatan berkanun sewa, perbelanjaan yang dibenarkan, pelepasan dan kadar cukai progresif.

Jangan anggap pendapatan sewa boleh diabaikan hanya kerana kita sudah mempunyai pekerjaan tetap dan PCB dipotong setiap bulan.

9. ❌ Tak lapor pendapatan freelance atau komisen

Siti bekerja sepenuh masa dan turut melakukan kerja freelance pada hujung minggu.

Sepanjang tahun, dia memperoleh pendapatan freelance bersih sebanyak RM18,000 daripada perkhidmatan reka bentuk dan pengurusan media sosial.

Dia menganggap pendapatan itu tidak perlu dilaporkan kerana bayaran diterima daripada pelanggan secara berasingan daripada gaji.

Jika pendapatan tersebut merupakan pendapatan perniagaan yang perlu dilaporkan, kesilapan ini boleh menyebabkan cukai terkurang dikira.

Dengan andaian keseluruhan RM18,000 itu merupakan tambahan kepada pendapatan bercukainya dan dikenakan cukai pada kadar marginal 19%, kesan cukai secara ilustrasi ialah:

RM18,000 × 19% = RM3,420

Pengiraan sebenar bergantung pada sifat pendapatan, perbelanjaan yang dibenarkan dan pengiraan cukai keseluruhan.

Perkara yang sama perlu diberi perhatian bagi pendapatan komisen, perniagaan dalam talian dan aktiviti lain yang menghasilkan pendapatan bercukai.

10. ❌ Tak lapor pendapatan luar negara kerana ingat semuanya bebas cukai

Ada orang bekerja di Singapura, kemudian memindahkan gaji ke akaun bank Malaysia. Ada juga yang menjalankan perniagaan melalui eBay.

Persoalannya, adakah semua pendapatan ini automatik bebas cukai di Malaysia?

Jawapannya, tidak semestinya. Layanan cukai bergantung pada jenis pendapatan, sumber pendapatan, status pemastautin cukai dan syarat pengecualian yang berkenaan.

Contohnya, Ali bekerja di Singapura dan menerima gaji SGD5,000 sebulan. Dia memindahkan gajinya ke akaun bank Malaysia. Pemindahan wang itu sahaja tidak bermaksud gajinya automatik dikenakan cukai di Malaysia. Ali lazimnya perlu membayar cukai pendapatan di Singapura kerana dia bekerja secara fizikal di sana.

Sebaliknya, Ali turut menjalankan perniagaan menjual barang melalui eBay. Jika perniagaan itu diuruskan dari Malaysia, keuntungan perniagaan tersebut perlu dinilai berdasarkan peraturan cukai Malaysia dan mungkin perlu dilaporkan dalam e-Filing.

Dah hantar e-Filing tetapi baru sedar ada kesilapan?

Jangan terus panik. Tetapi jangan biarkan kesilapan itu tanpa tindakan.

Langkah pertama ialah kenal pasti jenis kesilapan:

  • Terlupa tuntut pelepasan atau rebat: Semak sama ada pembetulan boleh dibuat melalui saluran pindaan yang dibenarkan.
  • Pendapatan terkurang lapor: Semak kaedah pindaan yang sesuai, termasuk Borang Nyata Terpinda jika memenuhi syarat.
  • Salah pilih ruangan atau maklumat peribadi: Semak dengan HASiL sama ada perlu meminda borang atau mengemas kini maklumat sahaja.
  • Salah maklumat akaun bank: Hubungi HASiL untuk mendapatkan panduan mengemas kini maklumat bayaran balik.

Kaedah pembetulan bergantung pada jenis borang, tahun taksiran, tempoh pindaan dan keadaan kes.

Rujuk panduan rasmi: https://www.hasil.gov.my/individu/pindaan-taksiran/

Kesimpulannya

Mengisi e-Filing bukan sekadar memasukkan angka daripada Borang EA dan menekan butang “Hantar”.

Kita perlu memastikan semua pendapatan yang perlu dilaporkan telah dimasukkan, pelepasan memenuhi syarat dan maklumat peribadi adalah tepat.

Lebih baik semak dua kali sebelum hantar daripada terpaksa membetulkan kesilapan kemudian.

Simpan artikel ini untuk rujukan musim e-Filing dan kongsikan kepada kawan-kawan yang sedang mengisi borang cukai mereka.