Malaysia Sedia Bekerjasama Untuk Pastikan Komoditi Pertanian Terus Berkembang — Zuraida

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) — Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan pihak antarabangsa, termasuk agensi kerajaan, ahli akademik, institut penyelidikan, peserta industri dan perniagaan bagi memastikan industri komoditi pertanian terus berkembang secara progresif dan mampan, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.

“Melihat kepada kemampanan dan ekonomi sirkular, kami menyedari bahawa kami perlu bekerjasama dengan ramai pihak berkepentingan dan peserta teknologi yang berpotensi untuk memanfaatkan teknologi terkini bagi meneroka lebih lanjut potensi penuh pengeluaran komoditi pertanian.

“Terdapat keperluan untuk menyediakan kemudahan yang lebih baik, teknologi yang canggih dan pelaburan yang besar ke dalam industri untuk memastikan kelebihan daya saing berbanding amalan tradisional,” katanya ketika berucap pada majlis Forum Perkongsian Malaysia-British di Kelab Caledonian, London baru-baru ini.

Zuraida berkata Malaysia telah berada di barisan hadapan mempromosikan minyak sawit dan biojisim sawit dalam sektor pembuatan.

Beliau berkata Strategi Biojisim Kebangsaan Malaysia 2020 (NBS2020) menetapkan sasaran untuk menjadikan biojisim sawit sebagai produk bernilai lebih tinggi yang akan menghasilkan pendapatan negara kasar (GNI) tambahan sebanyak £5.5 bilion (RM30 bilion) serta mewujudkan 66,000 pekerjaan dan pada masa yang sama menarik £4.6 bilion ( RM25 bilion) dalam pelaburan dan mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 12 peratus.

Kementerian telah mengintegrasikan ekonomi sirkular ke dalam pengeluaran komoditi pertanian, khususnya minyak sawit sebagai penyelesaian berkesan untuk mengoptimumkan penggunaan sumber (bahan mentah) dan meminimumkan pembaziran daripada pengeluaran, pelepasan dan ketidakcekapan tenaga.

“Model ekonomi sirkular sudah pasti merupakan jalan ke hadapan untuk penyumberan mampan dan beretika komoditi pertanian Malaysia.

“Walaupun menghadapi cabaran untuk menggabungkannya ke dalam model linear semasa, tumpuannya adalah untuk mencipta lebih banyak nilai. Terdapat banyak nilai yang diperoleh daripada menggunakan semula dan mengitar semula bahan mentah ini,” tambahnya.

UK ialah rakan dagangan ke-19 terbesar Malaysia. Pada 2021, jumlah perdagangan barangan dan perkhidmatan untuk kedua-dua negara bernilai £5.2 bilion.

Eksport komoditi pertanian Malaysia (minyak sawit, getah, kayu, koko dan lada) menyumbang 14 peratus daripada jumlah perdagangan, bernilai £734 juta, meningkat 17 peratus daripada £628 juta pada 2020.

— BERNAMA

Berita asal: https://thekapital.my/malaysia-sedia-bekerjasama-untuk-pastikan-komoditi-pertanian-terus-berkembang-zuraida/

Previous ArticleNext Article

MICCI Tekankan Kepentingan Daya Tahan, KeupayaanMenyesuaikan Diri dan Peluang Baharu Ketika Ketidaktentuan Global Membentuk Semula Landskap Perniagaan

Kuala Lumpur – Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) menekankan kepentingan daya tahan, keupayaan menyesuaikan diri serta kerjasama erat antara sektor awam dan swasta ketika perniagaan berdepan dengan persekitaran operasi global yang semakin kompleks, dipengaruhi oleh ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan perubahan landskap ekonomi semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Majlis Makan Tengah Hari Tahunan MICCI ke-53 yang berlangsung semalam.

Acara tersebut menampilkan ucapan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Tuan Sim Tze Tzin, yang turut menyertai sesi dialog bersama Puan Zalina Zainol, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Penggalakan dan Fasilitasi Pelaburan) di MIDA dan Puan Noor Hayati Abu Noh, Pengarah Bahagian Perancangan Strategik, Seksyen Koordinasi dan Pemantauan di MATRADE. Mereka berkongsi perspektif tentang prospek perdagangan dan pelaburan semasa, sentimen perniagaan, dan impaknya daripada konflik di Asia Barat.

Berucap pada majlis tersebut, Presiden MICCI, Christina Tee menyatakan bahawa perniagaan terpaksa mengharungi siri gangguan sepanjang dekad ini, daripada pandemik global kepada perubahan dasar perdagangan, peningkatan perlindungan perdagangan dan ketegangan geopolitik.

“Pada hari ini, konflik di Asia Barat telah mewujudkan kesan berantai terhadap pasaran global, menjejaskan harga tenaga, aliran perdagangan, keputusan pelaburan, rantaian bekalan serta kos operasi. Ia menjadi satu lagi peringatan bahawa perkembangan yang berlaku jauh dari negara kita boleh memberi kesan langsung dan ketara kepada perniagaan di Malaysia,” katanya.

Perniagaan kini sudah mula berdepan dengan gelombang pertama kesan tersebut melalui peningkatan kos logistik, kenaikan harga bahan api dan tenaga serta ketidaktentuan yang lebih besar dalam pasaran global. Namun, sebahagian daripada kesan yang lebih ketara mungkin hanya akan dirasai dalam beberapa bulan akan datang atau bahkan pada tahun hadapan.

“Perniagaan telah menyedari bahawa ketidaktentuan bukan lagi sesuatu yang luar biasa. Ia kini menjadi sebahagian daripada persekitaran operasi. Daya tahan bukan lagi sekadar kelebihan daya saing, tetapi satu keperluan,” tambah beliau.

Malaysia kekal berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan perubahan dalam rantaian bekalan global, integrasi ekonomi serantau dan peningkatan minat pelabur terhadap ASEAN. Tee menambah bahawa tempoh ketidaktentuan turut boleh membuka peluang untuk penyesuaian, inovasi dan pengukuhan kerjasama antara sektor perniagaan dan pembuat dasar. “Seiring dengan ulang tahun ke-189 MICCI pada tahun ini, kami kekal komited untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai ekonomi yang kompetitif, terbuka dan berhubung secara global, di samping terus memainkan peranan sebagai jambatan yang dipercayai antara komuniti perniagaan antarabangsa dan pembuat dasar,” kata Tee