Setel Menerajui Mobiliti Inklusif Dengan Fungsi Pengecasan EV

Sebagai langkah ke arah mobiliti yang  lebih inklusif dan lestari, Setel telah memperkenalkan fungsi terbaharunya yang membolehkan serta memudahkan pengguna mengecas kenderaan elektrik (EV) mereka melalui aplikasi Setel.

Pengguna EV dapat menemukan stesen pengecasan pilihan mereka berserta jenis pengecas, dan pengecas tersebut dapat diaktifkan dengan mudah hanya menggunakan aplikasi Setel. Pembayaran akan dibuat melalui Setel Wallet, lalu pengguna akan menerima mata ganjaran Mesra untuk setiap transaksi.

Mazlin Erawati Ab Manan, Ketua Pegawai Eksekutif Setel berkongsi, “Tawaran kemudahan pengecas EV dalam ekosistem Setel membolehkan kami menjurus fokus ke atas aspek kelestarian. Kemudahan ini terlahir dengan mendengar keperluan para pelanggan kami dan ia juga merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang kami untuk terus menginovasi demi mobiliti inklusif, yakni bagi mendukung usaha global untuk menyahkarbon pengangkutan jalan raya. Didorong oleh penerimagunaan EV yang kian berkembang di Malaysia, kami berhasrat untuk meluaskan akses ke atas infrastruktur pengecasan awam di samping memudahkan proses pengecasan bagi pengguna EV, setanding dengan pengalaman mengisi petrol yang ditawarkan oleh Setel kepada para pengguna kenderaan.”

Setel telah bekerjasama dengan JomCharge sebagai pihak penyedia yang pertama, dengan rancangan untuk bekerjasama dengan lebih ramai penyedia EV dalam tempoh terdekat, termasuk Energise oleh PETRONAS. Dalam fasa pertamanya, pengguna EV boleh menggunakan aplikasi Setel untuk mengecas kenderaan elektrik mereka di lima lokasi rintis: Lotus’s Tesco Kepong, EV Connection Workshop di Petaling Jaya, Carsome PJ Automall, Rasa Sayang Resort milik Shangri-La di Pulau Pinang serta ibu pejabat ACO Group di Johor Bahru – dan banyak lagi lokasi yang akan menyusul secara berperingkat.

Muat turun versi aplikasi Setel yang terkini secara percuma di iOS dan Android melalui Apple Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery. Maklumat lanjut mengenai Setel boleh didapati di https://www.setel.com/.

Previous ArticleNext Article

Mastercard Melancarkan Portfolio Penyelesaian Fleet Di Asia Pasifik

Malaysia, 4 Februari 2026 – Mastercard hari ini mengumumkan pelancaran Mastercard Fleet: Next Gen di Asia Pasifik, iaitu satu portfolio penyelesaian inovatif yang memperluaskan pembayaran fleet melangkaui pembelian bahan api bagi menyokong keseluruhan keperluan mobiliti pengendali fleet masa kini. Penyelesaian ini direka secara strategik untuk memenuhi tahap kematangan pasaran dan segmen pelanggan yang berbeza daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan fleet berskala kecil, hingga kepada pengendali logistik berskala besar.

Seiring ekosistem fleet yang semakin kompleks, pengendali memerlukan keterlihatan yang lebih jelas terhadap perbelanjaan, kawalan yang lebih kukuh, serta data yang boleh digunakan secara masa nyata. Apabila data pembayaran terpisah dalam sistem yang berasingan, ia mewujudkan titik buta yang mengehadkan kecekapan dan pengoptimuman termasuk kesukaran menyatukan transaksi bahan api, penyelenggaraan dan pengecasan kenderaan elektrik (EV) dalam satu platform, atau menyukarkan pengurus mengenal pasti ketidakwajaran di sepanjang laluan operasi. Mastercard Fleet: Next Gen menyatukan data pembayaran dan menukarkannya kepada maklumat yang boleh ditindaklanjuti, yang diintegrasikan terus ke dalam aliran kerja pengurusan fleet.

Asia Pasifik merupakan rantau yang berkembang paling pesat bagi pengurusan fleet, dengan pasaran diunjurkan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 18% sehingga tahun 2030. Dalam tempoh yang sama, pengendali terus berdepan tekanan kos, keperluan kelestarian yang semakin ketat serta jangkaan tinggi terhadap aspek keselamatan dan pematuhan. Dalam persekitaran ini, keupayaan untuk mengakses data pembayaran yang konsisten dan diperkaya merentasi semua aktiviti fleet adalah penting bagi menyokong skala operasi dan prestasi jangka panjang.

Disokong oleh lebih dua dekad kepakaran global dalam bidang fleet, Mastercard Fleet: Next Gen menghimpunkan satu set penyelesaian yang direka untuk menyokong keperluan pengendali fleet dan pengeluar kad yang sentiasa berkembang, termasuk:

  • Penerimaan global di berjuta-juta lokasi, merangkumi pembelian bahan api, pengecasan EV, penyelenggaraan, tol dan perbelanjaan sokongan fleet lain
  • Data fleet berasaskan rangkaian yang direkodkan di tempat jualan, selaras dengan piawaian global
  • Penyelesaian khusus pasaran yang membolehkan pengumpulan data yang dipertingkatkan di stesen minyak dan peniaga berkaitan fleet
  • Kad fleet yang diperuntukkan dan dikeluarkan secara digital untuk kenderaan atau pemandu bagi pembayaran tanpa sentuh atau mudah alih, termasuk penyelesaian kad maya khusus untuk kegunaan fleet
  • Integrasi dengan teknologi sedia ada seperti platform mobiliti, rangkaian pemeroleh dan alat pengurusan fleet

Menurut Anouska Ladds, Ketua Pembayaran Komersial & Aliran Pembayaran Baharu Asia Pasifik, Mastercard, “Keperluan fleet di Asia Pasifik sangat berbeza-beza, dan penyatuan pembayaran, data serta kawalan dalam satu pengalaman mencerminkan keperluan sebenar pengurus fleet. Penyelesaian fleet Mastercard direka untuk membantu pengeluar kad fleet dan penyedia pembayaran khusus membawa keupayaan fleet termaju ke pasaran dengan lebih pantas, sambil mengurangkan kerumitan dan pelaburan yang biasanya diperlukan untuk membangunkan keupayaan tersebut.”

Mastercard membolehkan pemilik program fleet menyediakan:

  • Kawalan kelulusan dan dasar perbelanjaan yang lebih pintar mengikut kenderaan, pemandu, kategori peniaga, lokasi, masa dan amaun
  • Pengurusan data fleet bagi menyokong pematuhan, perakaunan dan analitik seterusnya membolehkan pengurusan kos yang lebih baik serta ramalan yang lebih tepat
  • Pemantauan penipuan dan penyalahgunaan secara masa nyata yang boleh disesuaikan dengan keperluan operasi fleet

Pelancaran rangkaian penyelesaian fleet terbaharu Mastercard di Asia Pasifik ini memperluaskan lagi tawaran syarikat dalam segmen penting ini, di samping memperkukuh kepakaran dan inovasi Mastercard dalam bidang fleet dan mobiliti di peringkat global. Langkah ini juga mencerminkan komitmen Mastercard untuk mempermudah pembayaran B2B dengan menghubungkan aliran komersial yang terpecah-pecah melalui satu infrastruktur yang dipercayai, sekali gus membantu perniagaan daripada pelbagai saiz berkembang dalam persekitaran operasi yang semakin kompleks.