KWSP Catat Pendapatan Pelaburan Kasar RM15.85 Bilion Bagi Suku Pertama 2022

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) — Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah pendapatan pelaburan RM15.85 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2022 susut daripada RM19.29 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama 2021, berikutan kemerosotan ketara dalam pasaran dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata KWSP memulakan awal suku pertama dengan kukuh, tetapi keadaan berubah dengan mendadak apabila pasaran global mengalami kemerosotan, menyebabkan pulangan lebih rendah dalam bon dan ekuiti sepanjang baki tempoh suku pertama.

“Penurunan ini disebabkan oleh beberapa perkembangan yang berpunca daripada ketegangan geopolitik serta kesan kenaikan kadar inflasi dan kadar faedah.

“Perang Rusia-Ukraine hanya memburukkan lagi keadaan, menyebabkan ketidaktentuan terus berlanjutan pada masa negara-negara masih bergelut untuk pulih daripada beban hutang yang tinggi dan kewangan awam yang terjejas ekoran krisis pandemik,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata KWSP berjaya memanfaatkan kedudukan portfolionya untuk menjana keuntungan tambahan walaupun penjanaan pendapatan daripada ekuiti, yang menjadi penyumbang utama kepada pendapatan KWSP, terjejas akibat kelembapan pasaran.

Menurut KWSP, bagi suku tahun yang dikaji, ekuiti menyumbang RM10.46 bilion, iaitu 66 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar.

Selepas mengambil kira turun nilai kos atas ekuiti tersenarai, pendapatan pelaburan bersih bagi kelas aset ini menjana RM9.37 bilion untuk tempoh tersebut, jelas dana persaraan itu.

Sebanyak RM1.09 bilion telah diturunkan nilai untuk ekuiti tersenarai pada suku tahun tersebut, sekali gus menjadikan jumlah pendapatan pelaburan bersih pada suku pertama 2022 sebanyak RM14.76 bilion.

KWSP melaporkan, turun nilai kos atas ekuiti tersenarai adalah polisi dalaman yang diamalkan ke atas pelaburan ekuiti tersenarainya sebagai langkah berhemat untuk memastikan portfolio kekal sihat.

Ia menambah, instrumen pendapatan tetap, yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf, serta pinjaman dan bon, menyumbang pendapatan tetap sebanyak RM4.75 bilion atau 30 peratus kepada pendapatan pelaburan kasar.

Pendapatan yang direkodkan adalah lebih tinggi berbanding dengan RM3.89 bilion yang dijana pada suku pertama 2021, sebahagian besarnya didorong oleh hasil pasaran yang lebih tinggi pada suku pertama 2022 berbanding tempoh yang sama tahun lepas, jelasnya.

Menurut dana persaraan itu, hartanah dan infrastruktur mencatatkan penurunan dalam pendapatan kepada RM0.36 bilion daripada RM0.71 bilion bagi tempoh yang sama.

Pendapatan daripada instrumen pasaran wang pula mencatatkan RM0.28 bilion berbanding dengan RM0.38 bilion yang direkodkan pada suku pertama 2021, tambahnya.

KWSP menjelaskan sehingga Mac 2022, keseluruhan aset pelaburan KWSP meningkat kepada RM1.02 trilion, di mana 37 peratus dilaburkan dalam pelaburan luar negara.

Pempelbagaian KWSP ke dalam pelbagai kelas aset, pasaran dan mata wang yang berbeza terus memberikan kestabilan pendapatan dan tambah nilai kepada pulangan keseluruhan KWSP, menurutnya.

Ia melaporkan, pada suku pertama 2022, pelaburan luar negara menjana pendapatan sebanyak RM8.23 bilion, mewakili 52 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar yang direkodkan.

KWSP menambah, sejumlah RM1.88 bilion daripada RM15.85 bilion pendapatan pelaburan kasar dijana bagi Simpanan Shariah, dan RM13.97 bilion bagi Simpanan Konvensional.

Simpanan Shariah memperoleh kesemua pendapatannya daripada bahagian portfolio syariah sahaja, manakala pendapatan Simpanan Konvensional dijana oleh kedua-dua bahagian portfolio syariah dan konvensional, jelasnya.

— BERNAMA

Berita asal: https://thekapital.my/kwsp-catat-pendapatan-pelaburan-kasar-rm15-85-bilion-bagi-suku-pertama-2022/

Previous ArticleNext Article

Kajian Visa: Rakyat Malaysia Melancong Dengan Tujuan Lebih Jelas — Mengimbangkan Keselesaan, Perancangan Digital dan Keyakinan Pembayaran

Kuala Lumpur – Visa, pemimpin global dalam pembayaran, telah mendedahkan hasil penemuan baharu daripada kajian Tujuan Perjalanan Global 2026 edisi Malaysia, yang mendapati bahawa dalam gelombang kenaikan kos dan persekitaran global yang kian berubah, rakyat Malaysia tidak mengurangkan aktiviti perlancongan mereka – tetapi melakukannya dengan tujuan yang lebih nyata, mengutamakan destinasi yang lebih dikenali, merancang secara lebih praktikal dan memberikan lebih penekanan terhadap alat digital dan keyakinan pembayaran sebagai sebahagian daripada perjalanan pelancongan masing-masing.

Kajian  yang menjejak corak dan pilihan perjalanan global selama lebih 20 tahun ini, meninjau selidik lebih  daripada 47,000 responden di seluruh dunia, termasuk lebih daripada 17,000 responden di Asia Pasifik dan kira-kira seribu responden di Malaysia.

Melancong lebih dekat, berpandukan matlamat dan pengalaman

Rakyat Malaysia kini semakin cenderung melancong di rantau ini, dengan hampir lapan daripada sepuluh responden (78%) memilih Asia Pasifik sebagai rantau utama untuk dikunjungi. Jepun mendahului sebagai destinasi pilihan utama, diikuti oleh Thailand, Indonesia, China, dan Singapura.

Walaupun faktor kebiasaan merupakan pertimbangan utama, keputusan berkaitan pelancongan kini dibuat lebih berdasarkan tujuan. Tujuan bersantai kekal sebagai dorongan utama (48%), di samping meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan (40%) dan meneroka pengalaman baharu (31%). Kemampuan (36%) dan keselamatan (31%) juga memainkan peranan yang semakin penting untuk membentuk pilihan destinasi. Ini mencerminkan trend yang lebih luas, di mana pelancong kini mengimbangkan keselesaan dengan penerokaan, mengutamakan pengalaman yang bermakna dan terurus.

Pelancongan berasaskan minat juga semakin mendapat perhatian, dengan rakyat Malaysia menunjukkan minat untuk menghadiri acara global dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang, seperti menyaksikan temasya sukan antarabangsa secara langsung, konsert dan pesta seperti Piala Dunia FIFA 2026™, Formula 1™ dan K-Pop — dan sekali gus memperlihatkan pengalaman kini semakin menjadi faktor yang menyokong keputusan pelancongan.

Perancangan digital kini mencorakkan semula cara rakyat Malaysia melancong

Seiring dengan tingkah laku perjalanan yang semakin teliti dan bermatlamat, perancangan perjalanan juga semakin dipacu oleh platform digital.  Rakyat Malaysia menggunakan kaedah yang lebih tersusun — dengan tumpuan utama terhadap penginapan dan pengangkutan, di samping semakan insurans, keperluan visa dan keadaan destinasi sebelum berlepas.

Teknologi kecerdasan buatan (AI) kini pantas muncul sebagai sebahagian daripada proses ini, khususnya untuk menentukan keputusan perjalanan di peringkat awal. Dalam kalangan mereka yang menggunakan AI untuk merancang, 58 peratus memanfaatkannya untuk mencari destinasi baharu, manakala 54 peratus bergantung padanya untuk menyediakan jadual perjalanan. Pelancong juga menggunakan AI untuk membaca ulasan dan cadangan, dan juga membandingkan harga, menunjukkan bahawa alat digital bukan sahaja mengoptimumkan perjalanan — tetapi juga merupakan pengaruh yang semakin besar untuk menentukan destinasi pelancong, membantu mereka merancang dengan tahap ketelusan dan keyakinan lebih tinggi.

Selain perancangan, pembayaran juga menjadi sebahagian penting daripada persediaan perjalanan. Pelancong Malaysia secara proaktif menyemak kadar tukaran asing, penerimaan bayaran, keserasian kad dan keselamatan sebelum mereka berlepas — justeru menganggap pembayaran sebagai faktor penentu penting untuk pengalaman pelancongan yang lancar.

Pembayaran digital dan berasaskan kad terus memainkan peranan utama dalam cara rakyat Malaysia membuat pembayaran, dengan dompet mudah alih menjadi kaedah pembayaran yang paling banyak digunakan, manakala kad kekal sebagai alat pembayaran utama. Apabila para pelancong semakin bergantung kepada pilihan ini semasa merentasi sempadan, pembayaran digital yang lancar dan selamat merupakan faktor penting bagi memberikan keyakinan kepada rakyat Malaysia untuk berjalan, berbelanja dan meneroka dengan mudah di mana sahaja mereka pergi.

Merancang keperluan awal, memastikan fleksibiliti di destinasi

Pelancong Malaysia kini lebih strategik daripada segi cara mereka mengatur perjalanan mereka — dengan merancang keperluan lebih awal, sambil meninggalkan ruang untuk keputusan spontan. Penginapan (86%), insurans perjalanan (85%) dan pengangkutan ulang alik ke destinasi (76%) lazimnya ditempah lebih awal, memberikan jaminan sebelum berlepas.

Bagaimanapun, sebaik tiba di destinasi, rancangan pelancong kekal fleksibel. Makan minum, pengangkutan tempatan, dan pengalaman yang ingin dinikmati lazimnya ditentukan lebih hampir atau semasa perjalanan, mencerminkan pilihan mereka untuk menyesuaikan perancangan dalam waktu semasa. Secara keseluruhannya, tingkah laku ini mencerminkan pendekatan terhadap perjalanan yang semakin berubah — perancangan dilakukan untuk membina keyakinan dan sikap fleksibel untuk menambah baik pengalaman pelancongan.

Bagi destinasi pelancongan, perniagaan dan pengeluar, peralihan ini membuka peluang baharu untuk melibatkan pelancong Malaysia dalam seluruh proses perjalanan — daripada inspirasi dan perancangan kepada tempahan dan pengalaman di destinasi. Seiring peralihan yang lebih mengutamakan digital dan berasaskan tujuan, pembayaran lancar dan selamat memainkan peranan semakin penting untuk memudahkan perjalanan — demi mengurangkan kerenah dan memberikan keyakinan kepada pelancong untuk lebih bebas mengembara merentasi sempadan.

“Hasil kajian Tujuan Perjalanan Global terbaharu mengesahkan bahawa rakyat Malaysia tidak mengurangkan aktiviti pelancongan mereka — sebaliknya mereka merancang dan menikmatinya dengan lebih teliti dan berasaskan tujuan. Kami melihat lebih penekanan terhadap nilai, keselamatan dan pengalaman bermakna, memandangkan pelancong yang mengutamakan digital mengambil pendekatan lebih praktikal terhadap perancangan, dengan sokongan lebih besar daripada alat seperti AI. Apa yang penting sekarang adalah bagaimana kami dapat memudahkan pelancong di sepanjang perjalanan mereka — daripada penemuan dan perancangan kepada tempahan dan perbelanjaan — supaya mereka boleh meneroka, melakukan apa yang diminati dan mengembara dengan lebih yakin. Di sinilah pengalaman pembayaran yang lancar, selamat dan diterima secara meluas memainkan peranan kritikal, untuk membantu rakyat Malaysia bergerak merentasi sempadan dengan mudah di setiap peringkat perjalanan mereka,” kata Jason Phua, Ketua Pelanggan, Visa Malaysia.

Untuk mendapatkan kajian penuh Tujuan Perjalanan Global atau mengetahui lebih lanjut tentangnya, sila hubungi pasukan Strategi, Risikan dan Analitik Visa Asia Pasifik di APInsights&[email protected].

*Formula 1 ialah tanda dagang berdaftar yang dimiliki oleh Formula One Licensing B.V., anak syarikat Formula One Group.