Pakar Ekonomi Jangka Kadar Dividen KWSP Yang Lebih Rendah Untuk 2022

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) — Pakar-pakar ekonomi menjangkakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengagihkan kadar dividen yang lebih rendah bagi 2022 berikutan jumlah pendapatan pelaburan yang lebih lemah yang dicatatkan semasa suku pertama berakhir 31 Mac 2022.

Dana pencen itu hari ini mengumumkan bahawa jumlah pendapatan pelaburannya telah merosot kepada RM15.85 bilion pada suku pertama 2022 berbanding RM19.29 bilion yang dicatatkan semasa suku pertama tahun lepas berikutan penurunan dalam pasaran di seluruh dunia. 

“Kadar dividen KWSP dijangka jatuh seiring dengan pendapatan pelaburan yang lebih rendah,” kata Profesor Ekonomi Universiti Sunway Yeah Kim Leng kepada Bernama ketika dihubungi.

Tahun lepas, KWSP sebagai salah satu dana persaraan tertua dan terbesar di dunia, mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.10 peratus untuk simpanan konvensional dan 5.65 peratus bagi simpanan Syariah.

Menurut Yeah lagi, konflik Rusia-Ukraine yang berpanjangan termasuk inflasi serta peningkatan kadar faedah seperti kenaikan 75 mata asas oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) telah menyebabkan jangkaan pertumbuhan global disemak semula ke bawah.

Selain itu, risiko kemelesetan juga semakin bertambah ketika AS bergelut untuk mengendurkan ketegangan inflasinya. 

“Sekiranya ia mampu mencatatkan perkembangan yang baik dan China dapat meneruskan aktiviti biasa di tengah-tengah dasar sifar COVID-19, kita mungkin melihat pendapatan pelaburan bertahan untuk membolehkan dividen yang memuaskan, yang kemungkinan besar akan lebih rendah daripada tahun sebelumnya,” katanya.

Profesor Ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) Geoffrey Williams mempunyai pendapat yang sama, beliau tidak menjangkakan dividen yang tinggi untuk 2021 akan diulangi pada tahun ini memandangkan isyarat awal sudah boleh dibaca berdasarkan persekitaran pelaburan secara umum. 

Tahun lepas, prestasi dividen KWSP secara keseluruhan disokong oleh pemulihan yang kukuh dalam pasaran ekuiti, katanya.

“Tetapi pertumbuhan 2022 sudah mula dicanangkan menurun di seluruh dunia, jadi pulangan pelaburan mungkin lebih rendah,” kata Williams.

Sementara itu, Yeah berkata prestasi suku pertama yang lebih lemah memang dijangka susulan pergolakan dalam pasaran kewangan, makanan dan tenaga global ekoran konflik Rusia-Ukraine. 

“Pasaran kewangan juga dipacu oleh peningkatan inflasi yang kukuh termasuk ramalan kenaikan kadar faedah,” katanya.

Williams, bagaimanapun, menjelaskan bahawa hasil suku pertama tidak dijangka tetapi juga tidak mengejutkan susulan pergolakan dalam pasaran umum pada suku yang ditinjau. 

Sehingga 31 Dis 2021, jumlah pendapatan pelaburan KWSP menokok enam peratus kepada RM67.06 bilion berbanding RM63.45 bilion yang direkodkan semasa 2020, didorong oleh pemulihan progresif pasaran ekuiti dan kebanyakan kelas aset di tengah-tengah pemulihan global.

— BERNAMA

Berita asal: https://thekapital.my/pakar-ekonomi-jangka-kadar-dividen-kwsp-yang-lebih-rendah-untuk-2022/

Previous ArticleNext Article

Bank Dunia Turunkan Unjuran Pertumbuhan Global 2026 Kepada 2.5 Peratus

Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan global kepada 2.5 peratus bagi 2026 pada Khamis, daripada 2.9 peratus pada 2025, sekali gus mencatatkan kadar terendah sejak akhir 2019, lapor Agensi Berita Xinhua.

Laporan Prospek Ekonomi Global separuh tahun bank itu memetik faktor kenaikan harga tenaga, inflasi yang lebih tinggi dan peningkatan kos pinjaman di tengah-tengah konflik Asia Barat sebagai punca kepada pengurangan unjuran pertumbuhan berkenaan.

Laporan itu turut memberi amaran bahawa risiko kemerosotan adalah signifikan. Pertumbuhan global boleh terus menyederhana kepada 2.1 peratus jika gangguan bekalan tenaga berlarutan lebih lama dan harga minyak secara purata mencecah US$115 setong tahun ini, yang akan memacu inflasi kepada 4.4 peratus.

Laporan berkenaan menurunkan unjuran pertumbuhan bagi dua pertiga negara berbanding laporan Januari tahun ini, dengan negara-negara Teluk mencatatkan pengurangan paling besar daripada 3.9 peratus pada 2025 kepada hampir sifar pada 2026.

Asia Selatan pula dijangka mencatatkan pertumbuhan paling kukuh berbanding mana-mana wilayah lain pada kadar 6.3 peratus bagi tahun 2026, walaupun angka itu menunjukkan penurunan berbanding tujuh peratus pada 2025.

Selain itu, laporan berkenaan mengekalkan unjuran pertumbuhan sebanyak 2.2 peratus bagi ekonomi Amerika Syarikat (AS) pada 2026, biarpun ia menarik perhatian bahawa angka terbabit boleh menyusut kepada 2.1 peratus pada 2027 dan dua peratus pada 2028.

Ekonomi di zon euro pula dijangka berkembang pada kadar 0.8 peratus pada 2026, turun daripada 1.4 peratus pada 2025. Bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jepun, ia diunjurkan berkembang 0.7 peratus pada 2026 berbanding 1.1 peratus pada 2025.

Bank Dunia menjangkakan pertumbuhan global kembali meningkat kepada 2.8 peratus pada 2027, namun kadar itu kekal 0.4 mata peratusan di bawah purata yang direkodkan pada dekad 2010-an.

Walaupun risiko terus memihak kepada kemerosotan ekoran peningkatan permusuhan, gangguan pasaran komoditi dan ketegangan geopolitik yang bertambah, pihak bank menegaskan bahawa tindakan dasar adalah sangat kritikal.

Pada peringkat global, Bank Dunia menggesa negara-negara terbabit untuk melindungi keselamatan tenaga dan makanan serta memajukan peralihan tenaga. Bagi peringkat domestik pula, semua negara digesa mengawal inflasi, memperkukuh kemampanan fiskal dan menyokong pewujudan peluang pekerjaan.

–BERNAMA