Stok MSM Naik 2.79 Peratus Pada Julai 2022 – MPOB

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) — Stok minyak sawit mentah (MSM) Malaysia bagi Julai 2022 meningkat 2.79 peratus kepada 905,946 tan daripada 881,315 tan dicatatkan pada bulan sebelumnya, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Inventori minyak sawit diproses naik 13.39 peratus bulan ke bulan kepada 866,848 tan daripada 764,516 tan, katanya. 

“Secara keseluruhannya, stok minyak sawit meningkat 7.71 peratus kepada 1.77 juta tan daripada 1.65 juta tan sebelum ini,” menurut MPOB dalam laporan prestasi industrinya bagi Julai 2022.

Bagi pengeluaran, katanya pengeluaran MSM naik sebanyak 1.84 peratus kepada 1.57 juta tan pada Julai berbanding 1.55 juta tan pada Jun.

Katanya pengeluaran isirung sawit meningkat 1.39 peratus kepada 383,669 tan daripada 378,413 tan pada bulan sebelumnya manakala pengeluaran minyak isirung sawit mentah naik 2.78 peratus kepada 180,612 tan berbanding 175,731 tan pada Jun.

Sementara itu, MPOB berkata eksport minyak sawit meningkat sebanyak 10.72 peratus bulan ke bulan kepada 1.32 juta tan pada Julai daripada 1.19 juta tan pada Jun manakala eksport minyak isirung sawit merosot sebanyak 18.93 peratus bulan ke bulan kepada 74,689 tan daripada 92,130 tan pada bulan sebelumnya.

“Eksport oleokimia naik 4.47 peratus pada Julai kepada 221,343 tan daripada 211,881 tan pada Jun manakala eksport biodiesel merosot 39.21 peratus bulan ke bulan kepada 14,401 tan daripada 23,689 tan sebelum ini,” katanya.

Menurut agensi itu, import MSM Malaysia pada Julai 2022 turun 88.10 peratus kepada 356 tan berbanding 2,989 tan yang diimport pada Jun dan jumlah import minyak sawit meningkat 120.65 peratus kepada 130,615 tan daripada 59,195 tan pada bulan sebelumnya.

 — BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/stok-msm-naik-2-79-peratus-pada-julai-2022-mpob/

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA