BNM Unjur KDNK Malaysia Berkembang Antara 5.3 Peratus Dengan 6.3 Peratus Bagi 2022

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) — Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang antara 5.3 peratus dengan 6.3 peratus bagi 2022 walaupun pertumbuhan ekonomi global dijangka lebih perlahan tahun ini, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Beliau berkata unjuran pertumbuhan bagi baki tempoh 2022 dan 2023 akan dipacu terutama oleh perbelanjaan sektor swasta khususnya sektor pelancongan yang dijangka kembali normal ke tahap sebelum pandemik.

“Kegiatan pelaburan juga mendapat manfaat daripada pelaksanaan projek seperti MyDigital dan Laluan Rel Pantai Timur yang direalisasikan,” kata beliau semasa mengumumkan pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi suku kedua 2022 di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata rantaian bekalan juga dijangka kukuh memandangkan gangguan berkaitan COVID-19 yang semakin reda dan perdagangan global yang perlahan telah mengurangkan beberapa tekanan dalam melangkah ke hadapan.

“Ini akan mengimbangi kesederhanaan yang dijangka dicatatkan dalam pertumbuhan global. Terdapat juga beberapa faktor yang menyokong daya tahan eksport kita,” kata beliau.

Bagaimanapun, Nor Shamsiah berkata prospek pertumbuhan terus menghadapi cabaran dengan kemerosotan yang lebih teruk dalam pertumbuhan global merupakan satu risiko utama.

“Ini boleh berpunca daripada pelbagai faktor, termasuk pengetatan dasar monetari di Amerika Syarikat, krisis tenaga di zon euro dan perintah sekatan pergerakan baharu di China.

“Gangguan rantaian bekalan boleh menjadi lebih negatif dengan peningkatan harga komoditi global selanjutnya jika konflik geopolitik memuncak. Keadaan penawaran pula boleh semakin terjejas dengan kekurangan tenaga buruh yang lebih teruk atau keadaan cuaca buruk,” kata beliau.

Beliau menekankan bahawa tekanan kos dan harga yang lebih tinggi boleh menjejaskan perbelanjaan isi rumah dan kegiatan pelaburan selain mempengaruhi pemulihan ekonomi dan ini jauh lebih penting daripada risiko daripada pasaran buruh yang lebih kukuh, prestasi lebih baik yang direkodkan sektor pelancongan dan sebarang langkah dasar domestik tambahan.

Pemulihan yang tidak sekata 

BNM mengakui bahawa pemulihan ekonomi adalah tidak sekata dengan kemajuan membabitkan beberapa segmen terus ketinggalan berbanding yang lain.

Ketika sebahagian besar sektor ekonomi telah mencatatkan pemulihan kukuh, Nor Shamsiah berkata kira-kira 20 peratus daripada ekonomi masih berada di bawah tahap sebelum pandemik di mana sektor paling terjejas adalah pembinaan, disebabkan kekurangan buruh dan harga input yang tinggi.

Bagaimanapun, industri berkaitan pelancongan mula mencatatkan pemulihan baru-baru ini, tambahnya.

Sektor pembinaan meningkat untuk berkembang 2.4 peratus pada suku kedua 2022 berbanding penguncupan 6.2 peratus pada suku pertama, manakala sektor perkhidmatan menokok kepada 12 peratus daripada 6.5 peratus.

“Di pasaran buruh, pemulihan dalam kalangan kumpulan mudah terjejas, terutamanya golongan remaja dan orang tua, serta pekerja berkemahiran rendah adalah lebih perlahan berbanding kumpulan lain di pasaran buruh.

“Disebabkan itu, apabila dasar makro membuat kalibrasi semula berikutan pemulihan ekonomi secara keseluruhan, dasar yang disasarkan akan terus menyokong segmen masyarakat ini,” katanya.

Pembaharuan Struktur

Berikutan ekonomi meneruskan laluan pemulihannya, keutamaan dasar pada masa ini perlu memberi tumpuan lebih kukuh terhadap dasar jangka panjang sebagai pelengkap kepada langkah jangka pendek untuk meraih pertumbuhan mampan dan inklusif serta mendorong daya tahan Malaysia untuk mengharungi kejutan pada masa depan, kata Nor Shamsiah. 

Beliau berkata pembaharuan struktur itu akan merangsang pertumbuhan Malaysia dengan mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi dan berpendapatan tinggi untuk rakyat Malaysia dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Beberapa bidang tumpuan penting adalah termasuk menarik pelaburan berkualiti yang berupaya menghasilkan aktiviti bernilai tambah tinggi dan pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat Malaysia, membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang bersedia dengan ekonomi pada masa depan, serta mempercepat automasi dan pendigitalan, katanya.

Bank pusat turut menggesa peningkatan jaringan keselamatan sosial dan penambahbaikan ke atas rangka kerja perlindungan sosial yang dibiayai melalui rejim subsidi lebih bersasar serta memajukan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing di peringkat dunia.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/bnm-unjur-kdnk-malaysia-berkembang-antara-5-3-peratus-dengan-6-3-peratus-bagi-2022/

Previous ArticleNext Article

FLUX Himpunkan Pemimpin Perniagaan Malaysia Untuk Tangani Kos Ketegaran Dalam Ekonomi Tidak Menentu

KUALA LUMPUR, 21 Mei 2026 — FLUX, platform teknologi automotif Malaysia, hari ini menghimpunkan Forum Perniagaan FLUX 2026 dengan kerjasama Malaysia German Chamber of Commerce & Industry di AICB Centre of Excellence. Bertemakan “Competing in an Uncertain Economy: The Cost of Rigidity”, perhimpunan tertutup itu bertujuan membangkitkan persoalan yang tidak dapat dielakkan: apakah sebenarnya yang diperlukan syarikat untuk berdepan ketidaktentuan global berterusan, dan di manakah kebanyakan organisasi masih gagal menyesuaikan diri dengan cukup pantas?

Menyampaikan ucaptama pembukaan bertajuk “Policy & Competitiveness in an Uncertain Economy: Capital, Talent and the Cost of Rigidity”, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata tempoh semasa secara asasnya berbeza daripada kejutan-kejutan terdahulu — Krisis Kewangan Asia 1997, Krisis Kewangan Global 2008, dan Covid-19. Apa yang membezakannya, menurut beliau, bukanlah skala satu-satu kejutan, tetapi tekanan serentak melibatkan tenaga, geopolitik, monetari dan perdagangan — serta hakisan sokongan dasar yang sebelum ini menjadi sandaran syarikat. Sistem perdagangan global berasaskan peraturan, tindakan terkoordinasi bank pusat, dan kepimpinan monetari Amerika Syarikat yang boleh dijangka tidak lagi boleh dianggap sebagai sesuatu yang pasti.

Ucaptama itu menjadi asas kepada sesi panel yang menterjemahkan gambaran makro kepada realiti operasi di peringkat lapangan. Wakil kanan termasuk Jacob Lee Chor Kok dari Federation of Malaysian Manufacturers (FMM), Benyamin Ismail dari AirAsia X, Ir. Shazwan Khalid dari Siemens Energy Malaysia, dan Marc Appelt dari MAN Truck & Bus Malaysia membincangkan di mana tekanan kos paling ketara dirasai, bagaimana dasar penyetempatan Malaysia dan realiti operasi saling bertentangan, serta perubahan yang telah dilakukan syarikat secara senyap dalam tempoh enam hingga dua belas bulan kebelakangan ini. Antara tema utama yang dibincangkan termasuk peningkatan semula kos tetap yang sebelum ini berjaya dikurangkan ketika Covid-19, tekanan modal kerja yang kini menjejaskan pengeluar Malaysia, dan geseran operasi berkaitan rangka kerja Employment Pass baharu sebelum ia dilaksanakan.

Forum itu diakhiri dengan perkongsian kajian kes oleh Pengasas & CEO FLUX, Aziz Ayman, yang menyatakan bahawa komitmen kos tetap jangka panjang adalah pendekatan era lama. Syarikat yang berfikiran ke hadapan pada tahun 2026 kini menuntut ketangkasan dalam struktur kos mereka. Menggunakan mobiliti korporat sebagai kajian kes sebenar, Aziz memperkenalkan FLUX sebagai model peralihan daripada kos tetap kepada fleksibel — satu cara untuk “Netflix-kan” armada korporat, dengan pertukaran atas permintaan, kos menyeluruh yang boleh diramal dan kecekapan cukai terbina dalam.

“Dalam pasaran hari ini, satu-satunya kepastian ialah perubahan — dan syarikat bertindak balas dengan menuntut fleksibiliti dalam mobiliti korporat mereka. Perniagaan yang bekerjasama dengan kami tidak membuat keputusan hari ini yang mengikat mereka untuk dua atau tiga tahun akan datang. FLUX menukar CAPEX mobiliti kepada perbelanjaan operasi supaya pelanggan boleh membesarkan, mengecilkan atau menukar armada mereka mengikut perubahan perniagaan. Syarikat yang tangkas tidak memiliki apa yang boleh mereka akses. Dalam ekonomi tidak menentu, akses berbanding pemilikan bukan lagi pilihan kewangan — ia kini satu strategi.” — Aziz Ayman, Pengasas & CEO, FLUX

Forum Perniagaan FLUX mencabar syarikat untuk kekal tangkas dalam tempoh yang ditandai pelbagai kejutan serentak. Organisasi yang paling bersedia untuk bersaing ialah mereka yang telah melakukan usaha disiplin untuk menghapuskan ketegaran daripada model operasi mereka — sebelum gangguan seterusnya memaksa persoalan tersebut.