Maybank Muncul Bank Pertama Di Malaysia Tetapkan Garis Asas Pelepasan Dibiayai Skop 3

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) — Maybank muncul sebagai bank pertama di Malaysia yang menetapkan garis asas pelepasan dibiayai Skop 3 dan mengenal pasti strategi peralihan yang akan membentuk portfolio perniagaan masa depannya.

Maybank dalam kenyataan hari ini berkata, langkah berkenaan mendekatkannya dengan sasaran kedudukan setara karbon sifar bersih menjelang 2050 apabila ia mula melakar sasaran pengurangan pelepasan yang dibiayai mengikut garis masa yang ditetapkan.

“Bagi pihak bank, pelepasan yang dibiayai adalah pelepasan tidak langsung berkaitan pinjaman, penaja jaminan, pelaburan dan sebarang perkhidmatan kewangan lain. Pelepasan yang dibiayai adalah input yang diperlukan untuk analisis senario iklim, dan ia penting untuk menguruskan risiko dan peluang dalam peralihan berkaitan iklim.

“Dalam melaksanakan langkah ini untuk menetapkan garis asas pelepasan yang dibiayai, Maybank telah mengguna pakai piawaian Perakaunan dan Pelaporan Gas Rumah Hijau (GHG Global) untuk Industri Kewangan oleh Perkongsian untuk Kewangan Perakaunan Karbon.

Menurut Maybank, metodologi ini memberi tumpuan kepada pengiraan pelepasan enam kelas aset iaitu ekuiti tersenarai dan bon korporat, pinjaman perniagaan dan ekuiti tidak tersenarai, pembiayaan projek, hartanah komersial, gadai janji dan pinjaman kenderaan bermotor.

Maybank berkata ekuiti tersenarai dan bon korporat, pinjaman perniagaan dan ekuiti tidak tersenarai serta pembiayaan projek membentuk hampir 80 peratus daripada pelepasan yang dibiayai oleh kumpulan. 

Menurutnya lima sektor teratas yang menyumbang kepada kebanyakan pelepasan dibiayai oleh Maybank adalah tenaga, minyak dan gas, pertanian, utiliti dan pembinaan, manakala 97 peratus daripada pelepasan yang dibiayai oleh Maybank adalah daripada pasaran tempatan Malaysia, Singapura dan Indonesia.

“Dengan menghitung dan menganalisis data pelepasan yang dibiayai, Maybank kini boleh meneruskan ke arah pelaksanaan analisis senario kuantitatif untuk mereka bentuk hala tuju bagi mengurangkan pelepasan yang dibiayainya selaras dengan kesanggupan bank untuk mengambil risiko dan sasarannya sambil berhubung dengan pelanggan untuk mencapai hasil dan komitmen yang diingini,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli berkata aspek kritikal untuk mencapai kedudukan karbon sifar bersih termasuk, mewujudkan garis asas pelepasan yang dibiayai Skop 3 bank, menganalisis pemacu utama pelepasan, merangka rancangan untuk mengurangkan pelepasan ini mengikut garis masa dan akhir sekali, melaksanakan rancangan tersebut.

“Langkah ini membolehkan kami membahagikan pelepasan kami mengikut geografi, kelas aset dan sektor, yang kemudiannya membolehkan kami menumpukan kepada usaha untuk berhubung dengan pelanggan yang berupaya memberi impak terbesar bagi mengurangkan pelepasan yang dibiayai untuk tempoh jangka panjang. 

“Langkah kami yang selanjutnya adalah berhubung dan bekerjasama dengan pelanggan dan pihak berkepentingan utama termasuk pengawal selia dan kementerian untuk melaksanakan strategi peralihan kami,” katanya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/maybank-muncul-bank-pertama-di-malaysia-tetapkan-garis-asas-pelepasan-dibiayai-skop-3/

Previous ArticleNext Article

MICCI Tekankan Kepentingan Daya Tahan, KeupayaanMenyesuaikan Diri dan Peluang Baharu Ketika Ketidaktentuan Global Membentuk Semula Landskap Perniagaan

Kuala Lumpur – Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) menekankan kepentingan daya tahan, keupayaan menyesuaikan diri serta kerjasama erat antara sektor awam dan swasta ketika perniagaan berdepan dengan persekitaran operasi global yang semakin kompleks, dipengaruhi oleh ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan perubahan landskap ekonomi semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Majlis Makan Tengah Hari Tahunan MICCI ke-53 yang berlangsung semalam.

Acara tersebut menampilkan ucapan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Tuan Sim Tze Tzin, yang turut menyertai sesi dialog bersama Puan Zalina Zainol, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Penggalakan dan Fasilitasi Pelaburan) di MIDA dan Puan Noor Hayati Abu Noh, Pengarah Bahagian Perancangan Strategik, Seksyen Koordinasi dan Pemantauan di MATRADE. Mereka berkongsi perspektif tentang prospek perdagangan dan pelaburan semasa, sentimen perniagaan, dan impaknya daripada konflik di Asia Barat.

Berucap pada majlis tersebut, Presiden MICCI, Christina Tee menyatakan bahawa perniagaan terpaksa mengharungi siri gangguan sepanjang dekad ini, daripada pandemik global kepada perubahan dasar perdagangan, peningkatan perlindungan perdagangan dan ketegangan geopolitik.

“Pada hari ini, konflik di Asia Barat telah mewujudkan kesan berantai terhadap pasaran global, menjejaskan harga tenaga, aliran perdagangan, keputusan pelaburan, rantaian bekalan serta kos operasi. Ia menjadi satu lagi peringatan bahawa perkembangan yang berlaku jauh dari negara kita boleh memberi kesan langsung dan ketara kepada perniagaan di Malaysia,” katanya.

Perniagaan kini sudah mula berdepan dengan gelombang pertama kesan tersebut melalui peningkatan kos logistik, kenaikan harga bahan api dan tenaga serta ketidaktentuan yang lebih besar dalam pasaran global. Namun, sebahagian daripada kesan yang lebih ketara mungkin hanya akan dirasai dalam beberapa bulan akan datang atau bahkan pada tahun hadapan.

“Perniagaan telah menyedari bahawa ketidaktentuan bukan lagi sesuatu yang luar biasa. Ia kini menjadi sebahagian daripada persekitaran operasi. Daya tahan bukan lagi sekadar kelebihan daya saing, tetapi satu keperluan,” tambah beliau.

Malaysia kekal berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan perubahan dalam rantaian bekalan global, integrasi ekonomi serantau dan peningkatan minat pelabur terhadap ASEAN. Tee menambah bahawa tempoh ketidaktentuan turut boleh membuka peluang untuk penyesuaian, inovasi dan pengukuhan kerjasama antara sektor perniagaan dan pembuat dasar. “Seiring dengan ulang tahun ke-189 MICCI pada tahun ini, kami kekal komited untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai ekonomi yang kompetitif, terbuka dan berhubung secara global, di samping terus memainkan peranan sebagai jambatan yang dipercayai antara komuniti perniagaan antarabangsa dan pembuat dasar,” kata Tee