Kerajaan Salur RM7.150 Bilion Kepada PKS Di Bawah TRRF Setakat 6 Julai – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) — Kerajaan telah menyalurkan sejumlah RM7.150 bilion kepada sebanyak 26,119 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di bawah Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) setakat 6 Julai, 2022.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sejumlah 41,978 permohonan telah diterima setakat tempoh tersebut dan kemudahan pinjaman bernilai RM6 bilion ini telah ditambah menjadi RM8 bilion bagi membantu kalangan PKS yang terjejas dalam sektor perkhidmatan.

Jelas beliau, di bawah TRRF yang dipertingkat, PKS boleh menggunakan sehingga 30 peratus daripada pembiayaan yang diluluskan untuk membayar balik pembiayaan perniagaan (pembiayaan semula) sedia ada.

“Saiz pembiayaan yang ditawarkan adalah sehingga RM500,000 bagi setiap PKS manakala RM75,000 bagi perusahaan mikro dengan kadar faedah sehingga 3.5 peratus setahun termasuk fi jaminan.

“Tempoh bayaran balik pembiayaan ini adalah sehingga tujuh tahun berserta moratorium sekurang-kurangnya selama enam bulan,” katanya menerusi Laporan Kewangan Rakyat Ke-109 yang dikeluarkan hari ini.

Tengku Zafrul berkata kemudahan yang ditawarkan pada kadar sehingga 3.5 peratus setahun ini tersedia melalui institusi kewangan peserta dengan perlindungan jaminan oleh pihak Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) atau Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).

Kemudahan tersebut tersedia hingga 30 Jun, 2022 atau setelah peruntukan digunakan sepenuhnya.

Selain itu, beliau berkata, bagi menyokong matlamat kerajaan dalam mencapai pelepasan karbon sifar bersih pada tahun 2050, PKS juga digalakkan untuk menerapkan amalan kelestarian bagi meningkatkan daya tahan perniagaan masing-masing.

“Kemudahan Peralihan Rendah Karbon merupakan satu kemudahan pembiayaan yang diperuntukkan bermula dari 3 Feb, 2022 dan boleh dipohon sehingga peruntukan digunakan sepenuhnya iaitu sebanyak RM1 bilion di bawah strategi inisiatif 1, Amalan Rendah Karbon dalam Bajet 2022.

“Setakat 6 Julai, 2022, sebanyak 26 syarikat PKS telah memohon bagi kemudahan ini dengan sejumlah RM11.713 juta telah diluluskan bagi 12 PKS,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, pemohonan PKS itu mewakili semua sektor yang komited untuk beralih ke arah operasi perniagaan rendah karbon dan lestari.

Beliau berkata, amalan kelestarian ini termasuk namun tidak terhad kepada aktiviti seperti mendapatkan pensijilan kelestarian, meningkatkan penggunaan bahan yang diakui lestari dalam aktiviti pengeluaran, menambah baik kecekapan tenaga bangunan dan peralatan selain memasang peralatan jana kuasa tenaga boleh baharu di premis masing-masing.

Maklumat lanjut mengenainya boleh diperoleh di laman sesawang  https://www.bnm.gov.my/documents/20124/2294076/lctf2022_bm_faq.pdf.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/kerajaan-salur-rm7-150-bilion-kepada-pks-di-bawah-trrf-setakat-6-julai-tengku-zafrul/

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Sedang Kaji Perluas Guna QR SARA Ke Pasar Tamu, Pasar Tani –  MOF

KUALA LUMPUR — Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi pembayaran kod respons pantas (QR) di Pasar Tamu dan Pasar Tani dan keputusan mengenainya dijangka diumumkan dalam Belanjawan 2027 jika didapati mampan.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kerajaan telah meningkatkan penglibatan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA kepada lebih 6,000 premis.

Selain itu, jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA telah mencecah lebih 13,700 kedai di seluruh negara setakat 15 Julai 2026 berbanding 700 buah kedai pada 2024 manakala terdapat 140,000 produk atau barangan yang boleh diperolehi di bawah pelaksanaan SARA.

“Sekiranya Rakan Niaga SARA berkenaan turut terlibat sebagai peniaga di Pasar Tamu/Pasar Tani, penerima SARA boleh menggunakan kredit SARA berkenaan bagi pembelian kategori barangan SARA sahaja.

“Namun, bagi keseluruhan penggunaan SARA melalui kaedah pembayaran kod QR di Pasar Tamu/Pasar Tani, ianya masih dalam peringkat kajian dan penelitian oleh kerajaan. Sekiranya didapati mampan, ini akan diumumkan dalam Belanjawan 2027 kelak,” menurut kementerian menerusi jawapan bertulis Dewan Negara disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Senator Larry Anak Asap mengenai peluasan skop perbelanjaan SARA di pasar tamu bagi memberikan manfaat kepada golongan penjaja dan peniaga kecil.

— Bernama