Keluarga Malaysia Teguh Bersama Membangunkan Negara

“Aku
Bukanlah seorang perwira

Gagah menjunjung senjata

Namun hati rela berjuang

Walau dengan cara sendiri

Demi cinta ini

Ku ingin kotakan seribu janji

Sepanjang kedewasaan ini

Ku ingin sampaikan pesanan

Aku lah penyambung warisan”

(Petikan lirik lagu Warisan, – Dato’ Sudirman bin Haji Arshad)

Keluarga Malaysia Teguh Bersama

Tanggal 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat yang semestinya telah tersemat kemas di dalam jiwa dan sanubari setiap rakyat Malaysia. Sesungguhnya tarikh ini merupakan tarikh bersejarah apabila negara mencapai kemerdekaan dan bebas daripada cengkaman penjajah.

Tahun 2022 ini genaplah 65 tahun bumi bertuah ini merdeka dan ia disambut penuh meriah bertemakan “Keluarga Malaysia Teguh Bersama”. Pemilihan tema pada tahun ini menekankan tentang konsep keharmonian dalam masyarakat majmuk di Malaysia yang dicetuskan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Antara mesej yang ingin disampaikan melalui tema ini adalah perlunya masyarakat yang bersatu padu dan bekerjasama dalam mewujudkan keharmonian yang menjadi pemangkin kepada kemakmuran dan kestabilan sesebuah negara. Rakyat yang tidak bersatu padu boleh mendatangkan risiko kepada tanah air seperti perpecahan dalam masyarakat, kegawatan sosio-ekonomi, politik dan huru-hara.

Hikmah Ujian COVID-19 Melanda Negara

Menyelusuri bait-bait lirik dalam lagu Warisan, ia menggambarkan secara jelas bahawa segenap lapisan rakyat mempunyai satu tanggungjawab yang sama iaitu sebagai penyambung warisan dalam mengekalkan ekosistem keharmonian dan kesejahteraan negara kita agar sentiasa terpelihara. Jika diimbas kembali bagaimana kita bergelut mengharungi situasi pandemik COVID-19 selama lebih dua tahun ini, ternyata ujian getir tersebut sudah cukup menguji keteguhan dan kebersamaan kita dalam mendepani segala rintangan dan cabaran terutamanya ketika sektor ekonomi negara amat terkesan pada ketika itu.

Umum mengetahui dalam keadaan COVID-19 pada ketika itu, kerajaan perlu menampung lebih banyak perbelanjaan untuk membantu rakyat yang terkesan melalui pelaksanaan pelbagai program seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Geran Khas Prihatin (GKP), serta pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) semata-mata untuk memastikan nasib rakyat terbela dan aktiviti ekonomi negara terus berkembang.

Selain daripada itu, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) turut disalurkan kepada golongan B40 dan T20 bertujuan bagi membina semula motivasi rakyat yang rendah semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Kerajaan dalam Pembentangan Bajet 2022 juga telah memperuntukkan sejumlah RM8.2 bilion untuk manfaat 9.6 juta orang di bawah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) selain pelancaran beberapa inisiatif bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara seperti Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia dan Inisiatif Semarak Niaga Keluarga Malaysia yang mampu memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat untuk bangkit selepas lebih dua tahun berperang dengan wabak COVID-19.

Mungkin tidak ramai yang cuba untuk menilai dan memahami tatacara kerajaan memperoleh sumber dana atau pendapatan dalam merencana serta melaksanakan pelan rangsangan ekonomi ini. Hakikatnya perlu diingat bahawa hasil utama negara diperoleh daripada hasil cukai yang terbahagi kepada dua komponen, iaitu cukai langsung dan cukai tidak langsung yang mana cukai langsung menyumbang hampir 40% kepada belanjawan negara bagi tahun 2022. Komponen hasil cukai ini terbukti mempunyai peranan yang amat penting untuk memastikan segala projek dan pakej pembangunan yang direncanakan mampu untuk dilaksanakan oleh kerajaan.

Hasil Negara Benteng Keamanan Negara

Bersempena dengan sambutan hari kebangsaan ini, seringkali rakyat Malaysia disajikan dengan tontonan filem-filem mengenai jasa pahlawan-pahlawan terdahulu yang bergadai nyawa demi keselamatan dan kedaulatan negara sebagai salah satu elemen penghayatan kemerdekaan. Malah baru-baru ini juga tayangan filem “Mat Kilau” arahan Syamsul Yusoff telah berjaya menjentik semangat patriotisme dalam kalangan para penontonnya selain mencatatkan keuntungan luar biasa dan di luar dugaan.

Namun hakikatnya perubahan peredaran zaman menuntut kita untuk mempertahankan kedaulatan negara dengan cara tersendiri. Kalau dahulunya kita dituntut untuk menyertai pasukan Rejimen Askar Tanah Melayu (RAMD) bagi menjaga keselamatan negara namun kini setiap individu rakyat Malaysia mampu menjaga kedaulatan negara melalui medium percukaian.

Manfaat cukai kepada kesejahteraan negara tidak boleh dinafikan lagi kerana hasil negara yang mampan mampu menjadi benteng kepada pertahanan negara. Walaupun negara masih berperang dengan wabak COVID-19 sejak tahun 2020 namun rekod kutipan cukai langsung negara mencatatkan kutipan yang memberansangkan pada tahun 2021 dengan kutipan sebanyak RM 144 bilion. Data ini menunjukkan tanda positif kepada kadar tahap pematuhan cukai dalam kalangan rakyat Malaysia. Maka kita sebagai rakyat Malaysia harus berbangga dan bersyukur dengan nikmat keamanan yang telah kita kecapi hasil sumbangan cukai selama ini.

Menurut laporan pembentangan Bajet 2022 oleh YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan bahawa Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) masing-masing telah diperuntukkan dana sebanyak RM16 bilion dan RM17 bilion bagi tujuan memperkasakan benteng pertahanan negara termasuklah RM1.6 bilion diperuntuk bagi mempertingkat kesiagaan aset utama Angkatan Tentera Malaysia dan RM14 juta untuk menggantikan peralatan utama pasukan khas laut (PASKAL) dan pasukan khas udara (PASKAU) bagi menjamin keselamatan negara.

Nilai ini tidak mampu disediakan andainya rakyat Malaysia culas dalam menjalankan tanggungjawab mereka membayar cukai kepada negara. Hasil negara adalah benteng keamanan negara yang perlu dipertahankan. Mungkin pada hari ini kita mampu tersenyum menyaksikan anak kita bermain dengan penuh gembira, namun esok lusa belum tentu kita dapat mewariskan tanah air tercinta ini kepada anak cucu kita seandainya tanggungjawab kita melalui sumbangan cukai gagal kita laksanakan.

Mensyukuri Nikmat Keamanan Dengan Melaksanakan Tanggungjawab Anda

Malaysia merupakan sebuah negara yang makmur dan aman walaupun rakyatnya hidup dalam berbilang kaum disebabkan rakyatnya mengamalkan sikap toleransi antara satu sama lain. Sebagai penduduk negara yang bertuah ini, marilah kita bersyukur kerana telah dikurniakan nikmat kemerdekaan, keamanan, kesejahteraan dan kedamaian supaya nikmat itu berkekalan.

Bersyukurlah, kerana sehingga hari ini kita diberikan nikmat tidur yang tenang, melakukan aktiviti sosial serta bergerak dengan bebas, keluar bekerja pada sebelah pagi dan pada petangnya balik ke rumah bertemu insan tersayang. Keselamatan dan kedaulatan negara ini dijaga dengan sepenuh hati, jiwa dan raga oleh pihak berkuasa yang semestinya tanpa mereka, lena kita tidak mungkin setenang ini, makan kita tidak mungkin senikmat ini.

Hakikat yang perlu kita terima ialah cukai merupakan bayaran yang dibuat oleh rakyat untuk kebajikan diri mereka sendiri terutamanya apabila menyentuh aspek keselamatan dan keamanan negara. Secara ringkasnya konsep cukai adalah satu bentuk kerjasama antara rakyat dengan kerajaan untuk kepentingan bersama apabila cukai yang diterima daripada rakyat kemudiannya akan digunakan kembali untuk manfaat rakyat. Justeru, tanggungjawab membayar cukai merupakan salah satu cara untuk kita mensyukuri akan nikmat kemerdekaan agar ia kekal selama-lamanya sehingga ke anak cucu. Setiap sen wang cukai yang dibayar diterjemahkan dalam bentuk kehidupan yang harmoni dan tenteram yang mana semua ini mampu disediakan oleh pihak kerajaan selagi mana hasil pendapatan negara adalah stabil dan mencukupi.

Mensyukuri nikmat keamanan negara haruslah dibuktikan dengan tanggungjawab setiap individu untuk mendidik masyarakat sekeliling akan pentingnya kesedaran pendidikan cukai sejak dari awal lagi. Oleh yang demikian, HASiL sebagai sebuah agensi pentadbir cukai negara bertanggungjawab untuk memastikan rakyat Malaysia ‘celik cukai’ melalui pendidikan dan kesedaran cukai dengan memfokuskan usaha berdasarkan kepada tiga (3) pendekatan utama, iaitu; (A) Awareness, (E) Education and (S) Services atau ringkasnya AES.

HASiL akan terus mengamalkan tiga perkara ini dalam usaha untuk menunjukkan peranan HASiL sebenarnya adalah sebagai pemudahcara pematuhan atau facilitator of compliance. Secara tidak langsung, melalui pendekatan ini adalah diharapkan tahap pematuhan pembayar cukai akan terus meningkat kerana HASiL telah memberikan didikan yang sempurna sejak dari awal lagi. Nikmat keamanan ini mampu dipertahankan sekiranya seluruh rakyat menjalankan tanggungjawab percukaian mereka secara sukarela kerana hanya dengan cara ini sahaja negara boleh menjamin kutipan cukai yang lebih mampan.

Kesimpulan

Usaha untuk mempertahankan nikmat kemerdekaan dan keamanan ini perlulah dibuat secara berterusan tanpa henti. Janganlah kita menjadi generasi yang lupa akan perjalanan serta perjuangan terdahulu dengan berasa selesa dan mengambil mudah dengan apa yang kita ada sekarang. Hayatilah erti sebuah kemerdekaan dan pertahankanlah negara kita dengan melaksanakan tanggungajwab sebagai pembayar cukai kepada negara.

Bukan semua daripada kita mampu untuk mengangkat senjata dan berjuang di barisan hadapan, namun dengan sumbangan cukai yang kita salurkan pada hari ini sebenarnya mampu mempersiapkan pasukan keselamatan negara dengan kelengkapan yang terkini demi menjaga kedaulatan negara. Pepatah Melayu ada mengungkapkan “Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh” yang memberikan seribu makna untuk kita bersama-sama membangunkan negara yang kita cintai ini melalui platform serta medium percukaian.

Marilah sama-sama kita merapatkan saf dan berazam agar semangat Hari Kebangsaan dengan tema “Keluarga Malaysia Teguh Bersama” dapat kembali menyemarakkan semangat patriotisme dalam diri kita dan menyemai budaya integriti untuk Malaysia yang lebih sejahtera demi masa hadapan generasi pewaris kita. Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Previous ArticleNext Article

Apa Sebenarnya Isu dengan Cukai Pegangan / Withholding Tax (WHT)?

Sejak kebelakangan ini, semakin ramai usahawan berkongsi pengalaman berhubung kewajipan Cukai Pegangan / Withholding Tax (WHT) ke atas bayaran kepada syarikat luar negara seperti Meta, Google dan platform digital lain.

Ada yang menganggap WHT sebagai cukai baharu LHDN. Ada pula yang mempersoalkan kenapa perlu membayar WHT sedangkan mereka sudah membayar SST.

Sebenarnya, konsep WHT bukan perkara baharu. Persoalannya ialah mengapa ia kini menjadi perhatian ramai, khususnya dalam kalangan usahawan digital. Kenapa sebenarnya Cukai Pegangan / Withholding Tax (WHT) ini menjadi isu dalam kalangan usahawan yang menggunakan platform pengiklanan digital?

Jawapannya terletak pada bagaimana cara perniagaan beroperasi hari ini.

Dulu, iklan banyak dibelanjakan dalam negara.

Syarikat akan beli ruang iklan di surat khabar, stesen TV atau radio tempatan.

Media tempatan memperoleh pendapatan.

Pekerja mereka dibayar gaji.

Syarikat pula membayar cukai pendapatan di Malaysia.

Hari ini, landskap sudah berubah.

Ramai usahawan beriklan di Facebook, Instagram, Google dan TikTok.

Setiap bulan, ada yang membelanjakan ribuan, malah jutaan ringgit.

Tetapi bayaran itu tidak lagi diterima oleh syarikat tempatan.

Ia dibayar kepada syarikat di luar negara.

Persoalannya…

Patutkah Malaysia mempunyai hak mengenakan cukai ke atas sebahagian daripada pendapatan yang dijana daripada pasaran Malaysia?

Di sinilah perlunya konsep Withholding Tax (WHT).

WHT bukan bermaksud syarikat luar negara tidak membayar cukai di negara mereka. Mereka mungkin tetap dikenakan cukai mengikut undang-undang negara masing-masing. Jadi kerajaan Malaysia berpendapat, negara ini juga patut ada sedikit hak untuk mengenakan cukai ke atas bayaran tertentu yang keluar ke luar negara.

Oleh sebab syarikat tersebut berada di luar bidang kuasa LHDN, undang-undang meletakkan tanggungjawab kepada pihak yang membuat bayaran di Malaysia untuk memotong dan meremit cukai tersebut jika bayaran itu tertakluk kepada WHT.

Contoh

Bayangkan ada dua content creator.

Amir tinggal di Malaysia. Sebuah syarikat kosmetik Malaysia membayarnya RM100,000 untuk menghasilkan kandungan promosi. Amir akan melaporkan pendapatan itu dan membayar cukai di Malaysia.

Alex pula tinggal di Ireland. Syarikat kosmetik yang sama di Malaysia membayarnya RM100,000 untuk menghasilkan kandungan yang menyasarkan pelanggan di Malaysia. Alex juga mungkin akan membayar cukai di Ireland mengikut undang-undang negara tersebut.

Persoalannya, bayaran RM100,000 itu datang daripada syarikat Malaysia. Adakah Malaysia juga patut mempunyai hak untuk mengenakan cukai ke atas bayaran tersebut?

Inilah antara rasional kewujudan WHT.

WHT bukan bermaksud Alex tidak membayar cukai di Ireland. Sebaliknya, ia merupakan mekanisme yang membolehkan Malaysia mengenakan cukai ke atas bayaran tertentu kepada bukan pemastautin apabila syarat-syarat di bawah undang-undang dipenuhi.

Antara bayaran yang lazim tertakluk kepada WHT ialah:

  • Royalti (Seksyen 109)
  • Faedah (Seksyen 109)
  • Perkhidmatan, pengurusan atau khidmat khas (Seksyen 109B)
  • Pendapatan artis luar negara (Seksyen 109A)
  • Pendapatan kontrak (Seksyen 107A)

Namun, bukan semua bayaran kepada syarikat luar negara dikenakan WHT. Sama ada WHT terpakai bergantung kepada jenis bayaran, fakta sesuatu transaksi serta jika berkaitan, Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA).

Apa jadi kalau WHT tidak dipatuhi?

Bayangkan sebuah syarikat kosmetik di Malaysia.

Setiap bulan syarikat ini beriklan di Facebook dan Instagram.

Sepanjang tahun, jumlah belanja iklan mencecah RM1 juta.

Walaupun jumlah itu terkumpul sepanjang tahun, kewajipan WHT tidak timbul di hujung tahun. Sebaliknya, ia perlu dipatuhi bagi setiap bayaran yang dibuat kepada Meta Platforms Ireland Ltd (dahulunya dikenali sebagai Facebook Ireland Ltd) .

Berapa kadar WHT yang perlu dibayar?

Bayaran kepada Meta Platforms Ireland Limited bagi pengiklanan digital tertakluk kepada WHT sebagai royalti. Ramai menyangka kadarnya sentiasa 10%.

Namun bagi Meta, keadaannya sedikit berbeza.

Ini kerana Meta mengeluarkan invois kepada pelanggan Malaysia melalui Meta Platforms Ireland Limited, manakala Malaysia dan Ireland mempunyai Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA).

Jika syarat-syarat DTA dipenuhi, kadar WHT yang dikenakan ialah 8%, berbanding kadar domestik 10%.

Nota: Bagi TikTok Ads, oleh kerana invois dikeluarkan oleh TikTok Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura, pembayar cukai perlu memastikan syarikat tersebut benar-benar merupakan pemastautin cukai Singapura sebelum menggunakan kadar WHT (8%) di bawah DTA Malaysia–Singapura.

Jika bayaran kepada Meta Platforms Ireland Ltd tertakluk kepada WHT tetapi syarikat gagal mematuhi kewajipan tersebut, kesannya bukan sekadar perlu membayar WHT.

Perbelanjaan iklan RM1 juta itu juga boleh tidak dibenarkan sebagai potongan cukai di bawah perenggan 39(1)(j) Akta Cukai Pendapatan 1967 sehingga WHT dijelaskan.

Katakan syarikat itu memperoleh untung sebelum cukai RM2 juta.

Jika WHT dipatuhi

  • Untung sebelum cukai: RM2,000,000
  • Tolak kos iklan: RM1,000,000
  • Pendapatan bercukai: RM1,000,000
  • Anggaran cukai syarikat (24%): RM240,000

Jika WHT tidak dipatuhi

  • Untung sebelum cukai: RM2,000,000
  • Kos iklan RM1,000,000 tidak dibenarkan
  • Pendapatan bercukai: RM2,000,000
  • Anggaran cukai syarikat (24%): RM480,000

Perbezaan cukai: RM240,000.

Itu belum mengambil kira WHT yang masih perlu dijelaskan serta kenaikan jika lewat dibayar.

WHT bukan untuk iklan di sosial media sahaja

Ramai ingat WHT hanya berkaitan pengiklanan di Meta (Facebook & Instagram), Google Adwords atau TikTok Ads.

Sebenarnya tidak.

WHT telah lama wujud dan melibatkan pelbagai jenis bayaran kepada syarikat atau individu bukan pemastautin.

Antaranya ialah:

🛠️ Perkhidmatan

Contohnya sebuah kilang di Malaysia mengupah jurutera dari Jepun untuk memasang mesin.

💻 Perisian dan langganan digital

Contohnya bayaran lesen perisian, cloud computing atau platform AI kepada syarikat luar negara. (Tertakluk kepada fakta dan jenis bayaran.)

🎬 Content creator atau influencer luar negara

Contohnya syarikat kosmetik Malaysia membayar influencer di Korea Selatan untuk mempromosikan produk kepada pelanggan Malaysia.

🏷️ Royalti

Contohnya, sebuah syarikat Malaysia membayar royalti kepada pemilik jenama luar negara untuk menggunakan jenama tersebut di Malaysia.

Bagaimana hendak membayar WHT?

Jika sesuatu bayaran memang tertakluk kepada WHT, proses pembayarannya kini dibuat secara dalam talian melalui Portal MyTax menggunakan aplikasi e-WHT. LHDN menggalakkan pembayar cukai mengemukakan borang dan membuat bayaran melalui platform ini.

Secara ringkas, prosesnya adalah seperti berikut:

  1. Log masuk ke MyTax.
  2. Pilih ezHasil Services → e-WHT.
  3. Pilih borang WHT yang berkaitan (contohnya CP37 untuk royalti).
  4. Masukkan maklumat pembayar, penerima (termasuk TIN) dan butiran bayaran.
  5. Jana Bill Number.
  6. Buat pembayaran melalui ByrHASiL (FPX) atau saluran pembayaran yang dibenarkan.
  7. Muat turun resit pembayaran untuk simpanan rekod.

Tip: Antara cabaran yang sering dihadapi usahawan ialah mendapatkan maklumat penerima seperti Tax Identification Number (TIN) bagi syarikat luar negara. Jika TIN penerima belum tersedia, pembayar cukai boleh mendapatkan bantuan daripada LHDN melalui [email protected]

Kesimpulannya

Kita perlu faham bahawa WHT adalah mekanisme yang digunakan untuk memberi hak percukaian kepada Malaysia ke atas bayaran tertentu yang mengalir ke luar negara.

Ramai usahawan bukanlah mempertikaikan hak kerajaan untuk mengutip cukai. Apa yang mereka rungutkan ialah beban yang semakin bertambah.

Hari ini, mereka sudah pun membayar SST 8% ke atas perkhidmatan iklan digital. Dalam masa yang sama, timbul pula isu WHT yang memerlukan proses pengemukaan borang CP37 dan bayaran secara manual kepada LHDN.

Sebab itulah ada yang merasakan kos semakin tinggi, walaupun SST dan WHT sebenarnya merupakan dua cukai yang berbeza.

Namun, dalam era ekonomi digital hari ini, mungkin sudah tiba masanya mekanisme ini ditambah baik.

Antara cadangan yang boleh dipertimbangkan ialah:

  • Mewujudkan nilai ambang (threshold), sebagai contoh, hanya syarikat yang mempunyai hasil jualan tahunan melebihi jumlah tertentu diwajibkan mematuhi WHT bagi transaksi digital, manakala perusahaan mikro dan kecil diberi pengecualian
  • Menyediakan mekanisme pemotongan automatik melalui platform seperti Meta atau Google, seperti mana SST digital dikutip hari ini. Ini mengurangkan beban usahawan yang perlu memproses dan meremit sendiri WHT.
  • Memberikan tempoh pengampunan kepada pembayar cukai yang ingin membuat pengakuan secara sukarela tanpa dikenakan penalti 10%.

Bagi pembaca yang ingin memahami bagaimana mahkamah mentafsirkan isu Withholding Tax, berikut beberapa keputusan kes yang boleh dijadikan rujukan:

  • Kes Mahkamah Berkaitan WHT: Glocomp Systems (M) Sdn Bhd
    • Mahkamah Tinggi (Glocomp Systems (M) Sdn Bhd v KPHDN)
      Glocomp mencabar tindakan LHDN yang mengenakan WHT ke atas bayaran kepada Symantec Singapura. Mahkamah Tinggi memihak kepada Glocomp dan memutuskan bahawa bayaran tersebut bukan royalti, sebaliknya merupakan business profits di bawah DTA Malaysia–Singapura.
    • Mahkamah Rayuan (KPHDN v Glocomp Systems (M) Sdn Bhd)
      LHDN merayu keputusan tersebut. Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan LHDN. Namun, keputusan itu bukan kerana mahkamah memutuskan bayaran tersebut semestinya tertakluk kepada WHT. Sebaliknya, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Glocomp sepatutnya menggunakan saluran rayuan cukai yang disediakan oleh Akta Cukai Pendapatan, iaitu melalui Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT), dan bukannya terus memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.
  • Wira Swire Sdn Bhd v Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (Seksyen 109B ITA 1967) – Kes ini menunjukkan bahawa tidak semua bayaran kepada syarikat luar negara dikenakan WHT. Jika terdapat Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA), hak Malaysia untuk mengenakan WHT mungkin terhad. Dalam keadaan tertentu, pendapatan tersebut hanya dikenakan cukai di negara tempat syarikat itu bermastautin.
  • Alwan Enterprise Sdn Bhd v Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (Seksyen 109B ITA 1967) – jika pertikaian itu memerlukan penelitian terhadap kontrak dan fakta transaksi, tempat yang sesuai untuk menyelesaikannya ialah Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT), bukannya terus membawa kes ke Mahkamah Tinggi.

Anda juga boleh merujuk:

Artikel ini bertujuan memberi penerangan umum mengenai konsep Withholding Tax (WHT). Contoh yang diberikan adalah untuk tujuan ilustrasi bagi memudahkan pemahaman pembaca. Sama ada sesuatu bayaran kepada bukan pemastautin tertakluk kepada WHT bergantung kepada fakta transaksi, jenis bayaran, peruntukan Akta Cukai Pendapatan 1967 serta, jika berkaitan, Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA). Pembaca disarankan mendapatkan nasihat daripada penasihat cukai berlesen atau merujuk LHDN bagi menentukan layanan cukai yang tepat mengikut keadaan masing-masing.