Harga Emas Dijangka Cecah US$1,800 Seauns Pada Hujung Tahun

KUALA LUMPUR, 19 Sept  (Bernama) — Harga emas dijangka pulih dan akan mencecah paras US$1,800 (US$1=RM4.53) seauns pada hujung tahun daripada US$1,670 seauns pada masa ini disebabkan persekitaran pasaran yang lebih stabil.

“Ia akan mencecah US$1,800 seauns menjelang akhir tahun ini. (Selain itu), harga emas akan bergantung pada persekitaran tahun depan tetapi ia tidak akan tiba-tiba melonjak ke paras US$2,000 seauns,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Singapore Bullion Market Association Albert Cheng.

Kenaikan kadar faedah semasa yang meningkat, pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) serta ketidaktentuan dalam perdagangan dan pasaran ekuiti telah mempengaruhi harga emas, tambahnya.

Beliau berkata, terdapat orang yang beralih kepada emas pada masa ketidaktentuan, kenaikan inflasi dan pasaran kewangan yang tidak stabil, tetapi ia memiliki ciri-ciri aset kecairan yang tinggi berbanding aset kelas lain dan aktiviti memburu harga emas yang lebih murah menyebabkan harganya jatuh.

“Kadar faedah yang tinggi dijangka berterusan untuk sementara waktu dan dolar AS akan terus kukuh kerana ia disifatkan sebagai mata wang yang selamat, dan sebab itu orang ramai akan beralih kepada dolar AS apabila berlakunya ketidaktentuan dalam ekonomi.

“Jika melihat pada enam bulan akan datang, saya fikir harga emas akan kekal tetapi saya tidak fikir ia akan turun terlalu rendah,’’ kata Cheng kepada pemberita selepas majlis pelancaran semula kontrak Niaga Hadapan Emas di Bursa Malaysia Derivatives di sini hari ini. 

Cheng berkata, adalah sukar untuk meramalkan prestasi komoditi itu kerana harga emas sangat bergantung kepada geopolitik global dan sama ada kadar faedah akan stabil atau sebaliknya.

Bagaimanapun, beliau berpendapat orang ramai akan terbiasa dengan persekitaran pasaran dan akan melihat semula portfolio mereka dan kembali kepada perkara asas.

Cheng merupakan salah seorang ahli panel pada perbincangan panel industri yang bertajuk “Is Gold a Safe Haven in a Volatile and High-Interest Rate Environment?”, sempena dengan acara pelancaran semula kontrak Niaga Hadapan Emas.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/harga-emas-dijangka-cecah-us1800-seauns-pada-hujung-tahun/

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA