Soal Selidik Keadaan Kewangan Rakyat Malaysia Dedah ‘Kebenaran Yang Menyakitkan’ – RinggitPlus

KUALA LUMPUR, 6 Dis  (Bernama) — Rakyat Malaysia akan mengalami “kedudukan kewangan yang sangat perit” jika mereka menghadapi kemelesetan global yang akan berlaku di tengah-tengah peningkatan inflasi, menurut satu soal selidik.

Data daripada Soal Selidik Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus (RMFLS) 2022 telah mendedahkan “pelbagai kebenaran yang menyakitkan tentang keadaan kewangan semasa rakyat, termasuk simpanan yang semakin berkurangan, isu aliran tunai dan trend lain yang membimbangkan.”

Soal selidik itu dilakukan oleh RinggitPlus.com (RinggitPlus), sebuah laman web kewangan yang dimiliki dan dikendalikan oleh syarikat fintech Jirnexu Sdn Bhd.

Pengasas Bersama dan Pengarah RinggitPlus Hann Liew berkata, trend semasa adalah satu ‘wake-up call’ kepada semua pihak untuk mengambil tindakan kerana kesan ekonomi yang disebabkan oleh pandemik amat membinasakan dan rakyat Malaysia berdepan cabaran kewangan sebenar yang perlu ditangani.

“Ia adalah realiti yang pahit bukan sahaja untuk rakyat tetapi juga untuk penggubal dasar dan pemain industri.

“Ini adalah isu generasi yang memerlukan penyelesaian jangka panjang dengan sokongan berterusan dan bersepadu daripada semua pihak. Kita tidak boleh tinggalkan sesiapa,” katanya pada pelancaran keputusan RMFLS 2022 di Menara Etiqa di sini hari ini.

RinggitPlus juga berkata rakyat daripada semua lapisan masyarakat kini menghadapi cabaran kewangan yang membarah hingga menyebabkan mereka terdedah kepada kejutan kewangan, dengan mengambil kira bahawa pelbagai bantuan kewangan telah mengurangkan kesan ke atas mereka pada 2020 dan 2021.

“Sebanyak 70 peratus responden menyatakan mereka menyimpan kurang daripada RM500 sebulan atau langsung tidak mampu untuk menyimpan.

“Ini adalah keputusan terburuk yang diperoleh oleh RMFLS dalam tempoh lima tahun,” katanya dalam satu kenyataan yang berasingan.

Bilangan rakyat Malaysia yang menyimpan lebih daripada RM1,500 sebulan juga telah menurun dengan ketara, katanya. “Daripada 20 peratus pada 2020, angka itu telah menurun empat kali lebih rendah kepada hanya 5 peratus pada 2022.”

Dapatan RMFLS 2022 itu juga menunjukkan bahawa lebih ramai rakyat Malaysia bergelut dengan simpanan yang kurang di tangan dengan 53 peratus responden menyatakan mereka boleh bertahan selama tiga bulan atau kurang dengan hanya bergantung pada simpanan mereka (tahun lepas pada kadar 52 peratus).

“Trend yang sama juga mendapati yang mana 55 peratus rakyat Malaysia membelanjakan dengan tepat atau lebih daripada apa yang mereka peroleh setiap bulan (Sebanyak 44 peratus tahun lepas), pada asasnya bergantung dari gaji ke gaji untuk hidup,” kata RinggitPlus.

Dengan kurangnya berjimat dan kos barangan yang lebih tinggi, soal selidik itu juga menyerlahkan trend yang membimbangkan.

“Lebih ramai pemegang kad kredit tidak membayar bil secara penuh dengan hanya 55 peratus (berbuat demikian) pada 2022 berbanding 70 peratus tahun lepas,” katanya.

RinggitPlus juga mendapati rakyat Malaysia lebih memilih pelepasan kewangan jangka pendek berbanding kestabilan kewangan jangka panjang.

“Sebanyak 66 peratus responden berusia 21 tahun ke atas menyatakan mereka akan mempertimbangkan untuk memohon lebih banyak pengeluaran daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) jika kerajaan membenarkannya,” katanya.

Tinjauan itu dijalankan dalam tiga bahasa melalui soal selidik dalam talian yang dikawal selia sendiri melalui platform analitik pihak ketiga, berdasarkan persampelan 3,144 rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Ada Gaji Tetap Tapi Buat Side Income? Jangan Terkejut Jika Terima Notis CP500 Dari LHDN

Ramai yang mempunyai gaji tetap beranggapan urusan cukai mereka telah selesai kerana majikan sudah membuat potongan cukai bulanan (PCB) setiap bulan. Namun, keadaan berbeza apabila seseorang individu mempunyai pendapatan tambahan selain gaji.

Antara pendapatan sampingan yang sering diterima rakyat Malaysia termasuk:

  • Pendapatan sewa rumah/homestay
  • Bisnes online
  • Grab/Food Panda rider
  • Content creator
  • Komisen jualan
  • Ejen insurans/takaful
  • Ejen hartanah

Jika anda mempunyai pendapatan seperti ini, anda mungkin akan menerima Notis CP500 daripada LHDN.

Apa Itu CP500?

CP500 ialah arahan bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN kepada individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian.

Secara mudahnya, LHDN menganggarkan cukai yang perlu dibayar berdasarkan rekod tahun-tahun terdahulu dan membenarkan bayaran dibuat secara ansuran setiap dua bulan.

Daripada menunggu sehingga hujung tahun dan membayar sekaligus, sistem CP500 membantu menyebarkan beban pembayaran sepanjang tahun.

Kenapa Pekerja Bergaji Tetap Boleh Terima Notis CP500?

Ramai menyangka CP500 hanya untuk peniaga sepenuh masa.

Hakikatnya, seorang pekerja bergaji juga boleh menerima CP500 jika mempunyai pendapatan sampingan yang signifikan.

Sebagai contoh:

Ahmad bekerja sebagai jurutera dan menerima gaji RM8,000 sebulan. Pada masa sama, beliau memperoleh RM3,000 sebulan daripada sewaan sebuah apartmen. Walaupun PCB telah dipotong daripada gajinya, pendapatan sewa tersebut tidak tertakluk kepada PCB. Oleh itu, LHDN boleh mengeluarkan CP500 bagi memastikan cukai ke atas pendapatan sewa itu dibayar secara berperingkat.

CP500 Bukan Cukai Tambahan

Salah faham yang sering berlaku ialah ramai menganggap CP500 sebagai cukai tambahan.

Sebenarnya tidak.

Bayaran CP500 hanyalah bayaran pendahuluan terhadap cukai yang bakal dikira apabila anda mengemukakan borang cukai pendapatan.

Jika jumlah CP500 yang dibayar melebihi cukai sebenar, lebihan tersebut boleh dituntut semula. Jika tidak mencukupi, baki cukai perlu dijelaskan.

Musim Borang B: Semak Jika Anda Ada CP500

Bersempena musim penghantaran Borang B, individu yang mempunyai pendapatan selain penggajian disarankan untuk menyemak MyTax masing-masing.

Ramai pembayar cukai hanya menyedari kewujudan CP500 selepas menerima peringatan atau notis tunggakan.

Lebih baik mengetahui lebih awal dan merancang aliran tunai berbanding berdepan cukai yang besar secara mengejut.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Menerima Notis CP500?

Apabila menerima notis CP500, anda perlu memberi perhatian kepada tiga perkara utama:

  • Membuat bayaran cukai secara ansuran setiap dua bulan.
  • Membayar jumlah yang dinyatakan dalam notis CP500.
  • Memastikan bayaran dibuat sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Ramai pembayar cukai menyimpan notis tersebut tanpa mengambil sebarang tindakan kerana menyangka ia sekadar makluman biasa. Hakikatnya, CP500 adalah jadual bayaran ansuran cukai yang dikeluarkan oleh LHDN dan memerlukan tindakan daripada penerima notis.

Jika anda tidak bersetuju dengan jumlah yang ditetapkan atau menjangkakan pendapatan anda jauh berbeza daripada tahun sebelumnya, anda boleh menghubungi LHDN untuk mendapatkan penjelasan lanjut atau membuat semakan yang bersesuaian.

Bagaimana LHDN mengetahui anda mempunyai pendapatan tambahan? Secara umumnya, CP500 ditentukan berdasarkan maklumat yang telah dilaporkan dalam borang cukai tahun-tahun terdahulu. Dengan pelaksanaan e-Invois yang semakin meluas, data transaksi yang direkodkan juga dijangka membantu meningkatkan ketepatan maklumat percukaian pada masa hadapan.

Terlepas Bayar CP500, Ada Penalti?

Ya. Jika bayaran CP500 tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan, penalti lewat bayar boleh dikenakan oleh LHDN.

Namun bagi Tahun Taksiran 2026, LHDN memberikan pengecualian penalti kepada individu yang mempunyai pendapatan penggajian serta pendapatan bukan penggajian yang menyebabkan notis CP500 dikeluarkan, termasuk pendapatan seperti sewa, faedah dan royalti.

Artikel The Star juga menekankan bahawa kelayakan bergantung kepada jenis pendapatan dan profil pembayar cukai, bukan sama ada penerima CP500 kali pertama atau tidak.

Langkah ini diperkenalkan bagi membantu kumpulan tersebut menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem CP500 sepanjang tempoh peralihan.

Contoh:

Ahmad bekerja makan gaji dan PCB dipotong setiap bulan. Pada masa sama, beliau menerima pendapatan sewa rumah. Oleh sebab pendapatan sewa tidak tertakluk kepada PCB, Ahmad menerima notis CP500.

Sekiranya Ahmad tidak membuat bayaran ansuran CP500 pada Tahun Taksiran 2026, beliau tidak akan dikenakan penalti 10% di bawah Seksyen 107B(3) Akta Cukai Pendapatan.

Namun begitu, cukai yang masih belum dibayar tetap perlu dijelaskan apabila beliau mengemukakan borang cukai pendapatan kelak.

Ringkasnya, yang dikecualikan adalah penalti, bukannya cukai.

Baca lagi KONSESI PENGENAAN PENALTI KE ATAS NOTIS BAYARAN ANSURAN (CP500) BAGI INDIVIDU YANG MENERIMA PENDAPATAN PENGGAJIAN

Kesimpulan

Mempunyai pendapatan sampingan sememangnya satu perkara yang baik kerana ia membantu meningkatkan pendapatan. Namun begitu, jangan lupa bahawa setiap pendapatan juga datang bersama tanggungjawab percukaian.

Jika anda mempunyai pendapatan selain gaji, luangkan sedikit masa untuk memahami CP500. Ia bukan hukuman, bukan juga cukai tambahan, tetapi mekanisma yang membantu pembayar cukai mengurus bayaran cukai dengan lebih teratur sepanjang tahun.