JLand Group (JLG) Tandatangan MOU Dengan Mitsui Untuk Bangunkan Pusat Data Hiperskala Dan Ladang Solar Kegunaan Sendiri Di Taman Teknologi Sedenak (SteP)

Kerjasama juga bertujuan meneroka peluang pelaburan bagi Ibrahim Technopolis (IBTEC) dan perniagaan pelabuhan yang lebih luas dalam bidang Tenaga Boleh Diperbaharui, Infrastruktur Digital & Pergerakan dan Pembangunan Perindustrian Berteknologi Tinggi

Johor Bahru, 5 Disember 2022 – JLand Group Sdn Bhd (“JLG”), bahagian hartanah dan infrastruktur serta anak syarikat milik penuh Johor Corporation (JCorp) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Mitsui & Co., Ltd., menerusi anak syarikat milik penuhnya Mitsui & Co. (Malaysia) Sdn. Bhd. (“Mitsui”) untuk bersama-sama meneroka peluang perniagaan dan membangunkan projek-projek strategik di Ibrahim Technopolis (IBTEC) termasuk Taman Teknologi Sedenak (STeP), dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang. Majlis tandatangan tersebut disaksikan oleh YAB Datuk Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor.

Dalam tempoh terdekat MOU, JLG dan Mitsui akan menjalankan kajian boleh laksana secara bersama mengenai pembangunan Pusat Data Hiperskala, dan juga kemudahan tenaga boleh diperbaharui (RE) dalam bentuk Ladang Solar Kegunaan Sendiri untuk membekalkan kuasa kepada pusat-pusat data di Taman Teknologi Sedenak. Setelah kajian disempurnakan, JLG dan Mitsui dan para pemaju bersama projek akan menubuhkan sebuah usaha sama (JV) untuk melabur, membangunkan dan mengendalikan projek-projek tersebut. 

YBhg Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp dan Pengerusi JLG berkata, “Kerjasama strategik ini dengan Mitsui ialah bukti daya maju projek-projek berpandukan kelestarian dan tumpuan khusus kami untuk membolehkan syarikat-syarikat korporat memenuhi matlamat ESG-nya. Dalam ekonomi digital yang semakin bergantung kepada data, kami proaktif untuk mengenal pasti dan mengguna pakai sumber tenaga boleh diperbaharui dalam usaha mengurangkan penghasilan karbon pusat-pusat data pada masa depan. Inisiatif ini menandakan salah satu mercu jaya penting dalam wawasan JCorp untuk membina masa depan lestari, sambil memastikan negeri dan negara kita memenuhi aspirasi penyahkarbonan (usaha mengurangkan pelepasan karbon ke atmosfera).”

YBhg Datuk Sr Akmal Ahmad, Pengarah, Bahagian Hartanah dan Infrastruktur, JCorp berkata, “MOU antara JLG dan Mitsui mencerminkan komitmen yang ditunjukkan oleh syarikat-syarikat korporat yang bertanggungjawab dalam usaha beralih kepada sumber tenaga lebih bersih untuk memacu perniagaan masing-masing. Kerjasama strategik kami untuk membangunkan projek-projek hijau bernilai tinggi ini memanfaatkan ilmu dan kepakaran teknikal tergabung kami untuk meneruskan transformasi industri tenaga ke arah sumber yang lebih lestari. JLG berbangga untuk meningkatkan sumbangan kami kepada matlamat tenaga boleh diperbaharui Johor, sambil memenuhi permintaan semakin meningkat untuk bekalan tenaga sampingan yang bersih dan mesra alam daripada para pelanggan perindustrian di STeP.”

“Pertumbuhan positif sektor pusat data dalam tempoh beberapa tahun lepas telah menekankan betapa pentingnya peranan kelestarian dan tenaga boleh diperbaharui, sambil pengendali pusat data beralih kepada teknologi lebih bersih untuk memastikan operasi mereka lebih mesra alam. Kami berbangga untuk menjadi salah satu perintis dalam pusat data hijau skala hiper di Johor, dan teruja untuk bekerjasama dengan Mitsui dan juga para pemaju bersama RE untuk mengurangkan penghasilan karbon pusat-pusat data dengan menggunakan sumber kuasa yang bersih,” tambah Datuk Akmal.

Di bawah kerjasama strategik ini, STeP –– sebuah hab pusat data utama seluas 700-ekar –– akan menarik penyertaan pusat-pusat data skala hiper global, bukan sahaja dengan menawarkan bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui pada masa depan, tetapi  juga menyediakan pakej sokongan menyeluruh termasuk pembiayaan projek hijau kompetitif daripada pasaran. Langkah ini akan membuka peluang-peluang menarik bagi pelanggan serantau yang mahu mengguna pakai pusat data hijau untuk memenuhi keperluan mereka. 

Kerjasama ini juga melibatkan peserta industri lain, yang menyumbang kepada kepakaran sektor dan pemindahan ilmu menerusi fasa pelaburan, reka bentuk, pembangunan dan penyenggaraan projek. 

Sebagai sebahagian daripada MOU, JLG dan Mitsui juga akan meneroka potensi pelaburan lain di dalam portfolio Kumpulan, termasuk Ibrahim Technopolis (IBTEC) yang memberi tumpuan terhadap pembangunan perindustrian serba maju dan teknologi mesra alam, dan juga perniagaan pelabuhan. Antara bidang yang mungkin diceburi termasuk tetapi tidak terhad kepada Tenaga Boleh Diperbaharui, Infrastruktur Digital & Pergerakan dan Pembangunan Perindustrian Berteknologi Tinggi.

– TAMAT –

Mengenai JLand Group Sdn Bhd

JLand Group Sdn Bhd (JLG) ialah anak syarikat milik penuh Johor Corporation, yang mengkhusus dalam perniagaan hartanah dan infrastruktur Kumpulan. Portfolio JLG meliputi pelbagai aktiviti dan pelaburan hartanah, termasuk pembangunan bersepadu, perindustrian, logistik dan hab data. 

Perniagaan teras JLG meliputi tiga bidang teras, iaitu Pembangunan Hartanah, Pengurusan Kitaran Hayat Aset, Pelaburan Hartanah dan Utiliti & Infrastruktur, membolehkan nilai strategik dioptimumkan bagi perniagaan dan aset meliputi pelbagai industri. 

Mengenai Mitsui & Co., Ltd.

Mitsui & Co. (Malaysia) Sdn. Bhd. adalah sebahagian daripada Mitsui & Co., Ltd. (8031: JP), sebuah syarikat perdagangan dan pelaburan global dengan portfolio perniagaan terpelbagai meliputi 63 negara di Asia, Eropah, Amerika Utara, Tengah & Selatan, Timur Tengah, Afrika dan Oceania.

Mitsui & Co., Ltd. mempunyai lebih 44,336 kakitangan dan menggembleng bakat di seluruh dunia untuk mengenal pasti, membangunkan dan mengembangkan perniagaan dengan kerjasama rangkaian global rakan-rakan niaga yang dipercayai. Mitsui & Co., Ltd. telah membina portfolio perniagaan teras yang kukuh dan terpelbagai meliputi industri Sumber Mineral dan Logam, Tenaga, Mesin dan Infrastruktur, dan Bahan Kimia. 

Berbekalkan kekuatannya, Mitsui & Co., Ltd. telah mempelbagaikan pelaburan menjangkaui perniagaan terasnya untuk mencipta nilai dalam pelbagai bidang baharu, termasuk Penyelesaian Tenaga Inovatif, Penjagaan Kesihatan & Pemakanan dan menerusi tumpuan strategik terhadap pasaran pertumbuhan tinggi Asia. Strategi ini bertujuan menghasilkan peluang pertumbuhan menerusi beberapa trend mega utama dunia: kelestarian, kesihatan & kesejahteraan, pendigitalan dan kuasa pengguna yang kian meningkat. 

Previous ArticleNext Article

seeNI Memperkenalkan Hala Tuju Baharu Menghubungkan Kandungan, Komuniti dan Komersial

PETALING JAYA, 29 Oktober 2026 – Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, menyatukan portfolio jenama medianya di bawah jenama seeNI sebagai sebahagian daripada strategi untuk membuka peluang pertumbuhan baharu melalui kandungan berjenama, penajaan, kempen yang melibatkan bakat dan kerjasama komersial.

Berteraskan Komuniti, Kandungan dan Komersial, peralihan ini menggantikan identiti Nu Ideaktiv kepada seeNI. Langkah ini menyediakan satu pintu masuk kepada pengiklan dan agensi untuk mengakses jenama media, bakat komuniti dan kepakaran kreatif syarikat bagi mencapai matlamat perniagaan yang sama.
Portfolio ini merangkumi antaranya seeNI Creator Academy, Media Hiburan, Borak seeNI, NONA, Remaja, Roda Panas, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma. Penyatuan kekuatan jenama ini bertujuan memperluas nilai komersial merentas minat dan peringkat kehidupan khalayak, melangkaui penawaran berasaskan satu jenama atau penempatan iklan secara berasingan.

Melalui tiga tunjang tersebut, Komuniti menghubungkan khalayak melalui minat dan pengalaman bersama; Kandungan menggabungkan jenama media, penceritaan, kepakaran produksi dan bakat; manakala Komersial menterjemahkan hubungan itu kepada peluang kempen bersepadu, penajaan dan kerjasama. Gabungan ini menjadi asas untuk memadankan matlamat pelanggan dengan khalayak serta pendekatan interaksi yang bersesuaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, berkata,
“Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami.

Menerusi Komuniti, Kandungan dan Komersial, kami mahu melangkaui penempatan iklan secara berasingan dengan menawarkan peluang yang lebih menyeluruh kepada jenama untuk berhubung dengan khalayak melalui kandungan yang relevan, bakat dan penglibatan yang bermakna. Dalam melangkah ke fasa baharu ini, keutamaan kami adalah untuk memperkukuh kerjasama, membuka peluang pendapatan baharu dan membina perniagaan yang lebih mampan untuk masa hadapan.”

Menerusi seeNI Collective, seeNI menggabungkan kekuatan kandungan, komuniti, bakat kreatif dan rakan strategik untuk membuka peluang kerjasama melangkaui pengiklanan konvensional. Antara kerjasama yang diketengahkan termasuk TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions dalam usaha memperkasa bakat baharu industri kreatif menerusi seeNI Story Lab, serta Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam bidang fesyen dan gaya hidup. Kesemua kerjasama ini bertujuan memperluas peluang untuk jenama berhubung dengan audiens melalui pelbagai platform dan pengalaman.

Sementara itu, seeNI Talent dirangka untuk memadankan bakat yang sesuai dengan kandungan, kempen jenama, acara dan peluang komersial berdasarkan rekod kerja, kesesuaian khalayak serta kesediaan bakat untuk terlibat. Kedua-dua penawaran ini menyokong penyelesaian yang lebih bersepadu kepada keperluan pelanggan dengan menggabungkan keupayaan mengikut khalayak sasaran dan matlamat komersial.

The New World of seeNI – mengetengahkan hala tuju seeNI hari ini di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City. Acara ini memperkenalkan barisan kandungan seeNI untuk tahun 2027, barisan bakat serta peluang kerjasama kepada pengiklan, peneraju jenama dan pemain industri lain.

Acara ini menandakan satu pencapaian komersial penting dalam transformasi berterusan seeNI. Berpandukan More Begins Here, seeNI berhasrat menyediakan sebuah destinasi bersepadu yang membolehkan pelanggan meneroka lebih banyak kandungan, di samping membuka peluang baharu untuk perniagaan berkembang.