MIDA, UNDP Sedia Lancar Peta Pelabur SDG Malaysia Tahun Hadapan

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) — Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam bakal melancarkan Peta Pelabur Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Malaysia yang julung kali diadakan pada 2023. 

MIDA berkata peta itu akan memberikan pandangan dan alat yang diperlukan oleh sektor swasta untuk meningkatkan pelaburan mereka ke arah SDG selain mengisi jurang pembiayaan yang dihadapi oleh kerajaan dalam memenuhi sasaran SDG. 

“Peta Pelabur SDG akan membantu memperkenalkan peluang yang belum diterokai yang berpotensi untuk memacu pembangunan pesat,” kata Pengerusi MIDA Tan Sri Sulaiman Mahbob dalam satu kenyataan.

Ia juga akan memberi hala tuju yang jelas kepada kerajaan untuk memberi tumpuan kepada bidang baharu yang boleh mendapat manfaat daripada pelaksanaan dasar dan penyediaan sumber seperti modal insan serta inisiatif pembangunan kapasiti, katanya lagi.

Sementara itu, Setiausaha Agung PBB dan Pentadbir Bersekutu UNDP Usha Rao-Monari menjelaskan sekarang adalah masa untuk perniagaan swasta serta pelabur meletakkan taruhan mereka pada pelaburan sensitif iklim dan bukan hanya melindungi risiko iklim mereka.

“(Mereka mampu) membuat nilai perniagaan sebenar daripada produk dan perkhidmatan hijau, selain penyelesaian mitigasi dan penyesuaian iklim.

“Dengan menceburi produk dan perkhidmatan baharu yang menyumbang kepada penyelesaian iklim, perniagaan boleh memperoleh pulangan pasaran yang baik termasuk menjadi peneraju dalam industri masing-masing,” katanya. 

Sehubungan itu, MIDA berkata seperti yang dilaporkan oleh Suruhanjaya Global mengenai Adaptasi pada 2019, pelaburan bernilai US$1.8 trilion (US$=RM4.40) dalam langkah penyesuaian perubahan iklim dijangka membawa pulangan sebanyak US$7.1 trilion dalam kos dielakkan dan faedah-faedah lain.

Sulaiman dan Usha berkata demikian pada ‘Dialog Sektor Swasta mengenai Peta Pelabur SDG’, bertemakan “Kelestarian Penting : Pelaburan untuk Masa Hadapan yang lebih Baik”, anjuran bersama UNDP dan MIDA di sini hari ini. 

Dialog itu bertujuan untuk melibatkan diri dengan pemain industri dalam mengenal pasti peluang pelaburan baharu dengan sumbangan berpotensi kepada SDG, di samping menjana pulangan pasaran yang menarik.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Niaga Hadapan MSM Meneruskan Keuntungan Berikutan Unjuran Output Yang Lemah

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) — Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif ditutup lebih tinggi pada Khamis untuk hari kedua berturut -turut selepas didorong oleh jangkaan output yang lebih lemah. 

Peniaga minyak sawit David Ng menjelaskan pengukuhan harga turut disokong oleh harga minyak kacang soya yang lebih baik semasa waktu perdagangan Asia. “Kami menjangkakan harga (komoditi) untuk meraih sokongan pada paras RM4,350 dan rintangan pada RM4,480,” katanya kepada Bernama.

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group dari Mumbai, Anilkumar Bagani turut melahirkan pandangan yang sama dengan berkata keadaan cuaca buruk di Malaysia dan Indonesia telah menjejaskan pengeluaran serta pengangkutan minyak sawit. Beliau juga menyatakan import minyak sawit India agak rendah dalam tempoh satu dekad pada Januari, meningkatkan jangkaan pembelian yang diperbaharui bagi menokok inventorinya sebelum kedatangan bulan Ramadan.

Pada penutup, kontrak Februari 2025 meningkat sebanyak RM65 kepada RM4,678 satu tan, Mac 2025 naik RM69 kepada RM4,508 dan April 2025 bertambah sebanyak RM69 kepada RM4,403.

Mei 2025 pula menyaksikan kenaikan berjumlah RM64 kepada RM4,314 satu tan, Jun 2025 untung RM57 kepada RM4,237 dan Julai 2025 melonjak RM50 kepada RM4,179.

Jumlah dagangan adalah lebih mantap kepada 80,473 lot berbanding 74,758 lot yang direkodkan semalam, manakala kepentingan terbuka melebar kepada 223,563 kontrak daripada 221,110 sebelum ini. 

 Harga MSM fizikal untuk Februari Selatan meningkat sebanyak RM70 kepada RM4,730 satu tan.

— BERNAMA